Ingin menguji minda anda berfikir? Ini ada satu kisah yang ingin
saya kongsi bersama. Cerita rekaan oleh seorang Ulama' yang ingin
mengajar manusia erti sebenar kehidupan.
Cerita ini tidak ada kena mengena dengan yang telah mati ataupun
yang akan mati. Ianya mengisahkan satu cerita zaman dahulu kala di
mana teknologi seumpama hand-phone masih belum tercipta. Manusia
masih berkomunikasi dengan menggunakan asap dan menghantar `massage'
dan e-mel menggunakan perkhidmatan burung merpati. Perjalanan sejauh
Kuala Lumpur ke Sungai Siput (U) memakan masa berhari-hari kerana
menunggang kuda yang tidak berkuasa kuda. Tidak ada kemudahan
lebuhraya yang menghubungkan Utara ke Selatan melainkan jalan darat
merentasi rimba dan gunung ganang serta jalan sungai yang tidak
memerlukan bayaran tol. Pendek kata, manusia dan alam adalah dua
sahabat yang cukup intim.
Pada zaman dahulu kala, dikisahkan oleh orang-orang tua akan satu
ceritera. Kisah ini adalah kisah yang diturunkan daripada satu
generasi ke generasi yang lain sebagai pengajaran dan panduan hidup
mendatang. Mail seorang gembala kambing. Beliau seorang yang cukup
prihatin dengan kambing-kambingnya. Bagi beliau, kambing itulah yang
menjadi punca pencarian kehidupannya walaupun kerja mengambil upah
menjaga kambing ini mendatangkan hasil yang cukup lumayan. Pendek
kata, beliau adalah kambing dan kambing adalah beliau.
Satu hari yang redup cuacanya, disulami angin dingin yang bertiup
manja, Mail leka melayan kerenah kambing-kambingnya. Itulah rutinan
harian yang perlu dilakukan oleh Mail. Tiba-tiba, tanpa disangka-
sangka, tanpa notis makluman dari pihak berkuasa, suasana yang
tenang itu dikejutkan oleh segerombolan asap debu yang menyerang
umpama buting beliung layaknya. Tiada dapat dilihat oleh Mail akan
apakah puncanya petaka itu bermula dan mengapa pula tanpa dijemput
ia kunjung tiba. Saat berlalu cukup pantas. Hati Mail cukup terdetik
untuk mengetahui apakah bala yang datang menjelma. Rupa-rupanya,
asap debu yang disangka puting beliung itu adalah debu-debu yang
berterbangan daripada sekumpulan gajah liar yang berlari-lari gajah
menuju ke arahnya. Dari riak wajah gajah-gajah tersebut, Mail dapat
mengagak mereka pasti mahukan sesuatu daripadanya.
Masa terus berlalu. Mail tanpa panjang berfikir, melompat berlari
mencari tempat berlindung. Tiadalah lagi difikirkan akan kambing-
kambingnya itu melainkan hanya untuk menyelamatkan dirinya daripada
menjadi mangsa gajah-gajah liar tersebut. Sedang Mail berlari
mencari Balai Bomba terdekat, terpandanglah Mail akan sepohon pokok
yang rendang. Maka, tanpa membuang waktu, Mail pun memanjatlah pokok
tersebut. Berbekalkan pengalamannya sebagai pemanjat pokok kelapa
pada zaman remajanya, dalam masa yang cukup singkat, Mail telahpun
berada di atas pokok tersebut. Nyatalah, pengalaman menyelamatkan
segalanya.
Buat seketika Mail terselamat daripada bencana. Pokok yang sebegitu
besar nyata sekali tidak mudah untuk ditumbangkan oleh sekumpulan
gajah liar tersebut. Namun, jauh di dalam hatinya masih lagi
mengharapkan agar gajah-gajah liar tersebut akan beredar daripada
pokok tersebut. Nyata sekali gajah-gajah tersebut tidak berganjak
walau seinci, setia menanti di bawah.
Hari semakin tinggi. Detik berlalu. Sesaat tidak terkemudian, tidak
juga terkehadapan. Mail semakin lenguh bergayutan. Perut bergurindam
meminta makanan. Kering tekak tiada lagi air liur untuk ditelan.
Mail masih mengharap kiranya ada insan datang membantu. Penantian
Mail akhirnya berputik harapan. Jauh di sebelah kanan sana,
kelihatan sekawan serangga berwarna putih datang bak ombak
menghempas pantai. Mail mengukir senyuman kelegaan. Penantiaannya
berbalas sudah. Jauh dimindanya terbayang akan serangga yang banyak
itu akan mengharu-birukan sekawan gajah liar tersebut. Maka dapatlah
Mail turun daripada pokok tersebut untuk pulang ke terataknya
berehat.
Bak kata pepatah Melayu. "Harapkan pagar, pagar makan padi".
Serangga putih yang diharapkan akan membantunya menghalau gajah-
gajah liar, rupanya mengerumuni akar pokok sebelah kanan. Kumpulan
serangga putih itu tadi dengan lahapnya memakan akar sebelah kanan
pokok dengan lahapnya. Senyuman yang terukir hanya tinggal senyuman.
Senyuman tanpa seri pemanis. Suasana bertambah gawat. Kalau tidak di
halang serangga putih itu memakan akar pokok sebelah kanan, maka
lama kelamaan akan tumbanglah pokok tersebut. Mail tidak mampu
berbuat apa-apa. Dia hanya berdoa akan tiba pertolongan kepadanya.
Sekali lagi, jauh di sebelah kiri, kelihatan sekawan serangga
berwarna hitam terbang umpama awan hitam. Dengungan sayapnya cukup
menggemparkan. Mail sekali lagi tersenyum sambil mengurut dadanya
tanda kelegaan. Jiwanya cukup yakin bahawa kali ini pastinya
serangga hitam ini akan membantunya menghalau gajah-gajah dan
serangga putih tersebut. Apakah malang nasib Mail? Sekali lagi
jiwanya dirundum duka lara apabila serangga hitam tersebut menyerang
akar pokok di sebelah kanan lalu memakannya. Suasana cemas semakin
meragut semangat jantan Mail. Apakah nasib hayatnya berakhir di sini?
Mail masih belum berputus asa. Di kanan serangga putih, di kiri
serangga hitam, di depan sekawan gajah liar menantinya dengan penuh
tekun....Di belakang...Apa pula yang ada di belakangnya? Mail tanpa
disuruh menoleh ke belakang. Kali ini bukan sahaja Mail tersenyum
girang, mahu saja dia ketawa tanda gembira. Sebatang sungai mengalir
tenang di belakangnya. Mail sudah berkira-kira mahu melompat ke
dalam sungai tersebut. Baginya, sedalam mana sekalipun sungai
tersebut, pasti dapat direnanginya. Siapa tak kenal Mail...Mail
jaguh selam di kampung. Dialah yang dicari orang kampung apabila ada
orang yang mati lemas di sungai mahupun lombong. Mail dan sungai
cukup sebati, umpama aur dan tebing, saling lengkap melengkapi.
Mail menarik nafas sepanjang mungkin. Matanya liar mencari tapak
yang paling sesuai untuk dijadikan tempat pendaratannya. Akar pokok
semakin genting. Tiap detik yang berlalu cukup berharga pada ketika
itu. Sesaat sebelum Mail mengatur kekudanya untuk melompat ke dalam
sungai, tiba-tiba...mimpi ngeri berulang lagi. Sungai yang tadinya
tenang, dikunjungi tetamu tidak diundang. Sang Buaya tiba-tiba
muncul bagaikan sudah mengerti hasrat yang terbuku di hati Mail.
Sekali lagi Mail kecewa. Ya...Mail mungkin jaguh selam di
kampungnya, tetapi tidak perkampungan buaya.
Hari semakin gelap. Mentari mengufuk ke barat tanda malam bakal
menjelma. Mail mendongak ke atas andai ada apa-apa yang boleh
membantunya. Tanpa disedarinya, betul-betul di atas kepalanya ada
sarang lebah yang penuh dengan madu. Mail sekali lagi kaget dan
panik, andai kata tersilap langkah, sudah pasti dia akan mengejutkan
lebah tersebut. Sekali lagi Mail berhadapan dengan ancaman baru
iaitu lebah.
Di depan...Sekawan gajah liar setia berkampung menunggu Mail terleka.
Di belakang....Lubuk sang buaya menunggu habuan santapan bersama.
Di kiri....Serangga hitam memakan akar pokok sebelah kiri.
Di kanan ....Serangga putih memakan akar pokok sebelah kanan.
Di atas....Si lebah bersarang.
Mail tersepit di antara gajah, serangga putih dan hitam, buaya dan
lebah. Dalam leka berangan mencari akal, tiba-tiba sesuatu menitis
di pinggir mulutnya. Terdorong naluri deria rasanya, tanpa diminta,
Mail terus merasa apakah yang menitis di pinggir mulutnya, tidak
berfikir sebelum bertindak. Sah!!!!Bukanlah titisan hujan ataupun
najis gagak putih, kerana rasanya yang manis, Mail pasti ia adalah
madu. Ya...Madu yang menitik daripada sarang lebah. Titisan yang
sedikit itu, lama kelamaan semakin banyak titisannya. Bagaikan
mengantuk di hulurkan bantal, Mail tanpa berlengah menadah tangan
menghirup madu yang menakung dan dalam tapak tangannya. Alangkah
manisnya madu!!!
Tanpa disedarinya, akar pokok yang dimakan serangga putih dan hitam
semakin lama semakin menghakis. Sedang Mail terus leka menikmati
kemanisan madu asli, ditambah pula kelaparan kerana tidak menjamah
makanan sejak tengahari. Akhirnya, pokok itu tumbang kerana akarnya
habis dimakan serangga hitam dan putih. Lantas tercampaklah Mail ke
dalam lubuk sang buaya. Maka, matilah Mail dibaham sang buaya sedang
dia asyik menikmati kemanisan madu.
Cerita ini bukan sembarangan cerita. Sekalipun ia memperlihatkan
dongengan masyarakat yang tidak logik diterima rasional akal, tetapi
pengajaran dan hikmah yang terkandung di dalamnya adalah tamsilan
apa yang berlaku di dalam umat manusia pada hari ini. Allah
kurniakan manusia akal untuk berfikir...maka gunakanlah ia untuk
mencarinya...
WALLAHUA'LAM.....
Sunday, June 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment