JIKA Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat tetapi apa caranya jika orang tua sudah meninggal dunia sedangkan ketika hidupnya kita menderhaka dan melawan mereka?
Apabila insaf, selalulah menziarahi pusara ibu bapa dan bacakan ayat suci untuknya. Jumpa kembali kawan baik ibu bapa atau jiran yang masih ada dan berbuat baik kepada mereka.
Sedekahkan kepada masjid atas nama ibu bapa. Walaupun ibu bapa sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga mereka berdua reda dan Allah mengampunkan dosa.
Allah Maha Pengampun dan luas rahmat-Nya tetapi jangan pula mengambil kesempatan untuk berbuat jahat, kemudian baru hendak bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala akan diterima.
Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Contohnya, tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, tetapi cuba selidiki kesalahan yang kita lakukan hari ini.
Pertama, bagaimana hubungan kita dengan Tuhan? Jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan kita dengan ibu bapa?
Seboleh-bolehnya pastikan hubungan kita dengan ibu bapa sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalin hubungan baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita.
Lazimnya dalam hubungan ini, ibu yang dilebihkan se dangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak.
Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, Nabi s.a.w meminta ibu didahulukan. Tiga kali ibu memanggil, barulah sekali kepada bapa.
Bagaimanapun, sebaik-baiknya kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati.
Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka.
Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak mengambil kira kata-kata mereka, kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.
Mentua juga mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Jika mereka berkecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati ibu bapa kita.
Kita sayang anaknya, jadi mengapa tidak turut menyayangi orang yang melahirkannya?
Saya tahu, ada menantu berkecil hati dan memendam rasa terhadap mentua yang terlalu mengambil berat terhadap anaknya.
Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung.
Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua kepada Rasul dan ketiga kepada ibu dan ibu mentua manakala keempat bapa dan bapa mentua. Kelima barulah isteri.
Jadi, isteri kena faham jika suami sayang dan melebihkan ibu bapa, kerana itu memang wajar.
Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua Rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak selain Allah ialah ibu bapanya.
Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail a.s.
Suatu hari Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah. Isterinya pun tidak mengenali mentuanya.
Menantunya berkasar, menyebabkan Nabi Ibrahim berkecil hati tetapi sebelum pulang Nabi Ibrahim berpesan kepada menantunya itu, meminta suaminya menukar alang rumah kepada yang baru.
Apabila Nabi Ismail pulang ke rumah, isterinya meng gambarkan rupa lelaki berkenaan yang menyampaikan pe sanan. Nabi Ismail sedar, itu adalah bapanya.
Nabi Ismail insaf di sebalik simbolik kata-kata bapanya bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan.
Kemudian Nabi Ismail berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa Baginda.
Nabi Ibrahim tertarik dan sebelum pulang, baginda ber pesan lagi, dengan mengatakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.
No comments:
Post a Comment