^ Scroll to Top

Sunday, June 8, 2008

Berserah Cara Mendapatkan Tayyibah

Ulul Albab: Berserah cara mendapatkan tayyibah
Oleh Abdurrahman Haqqi


Manusia makhluk lemah tetapi mampu hadapi dugaan dengan bertawakal

TAYYIBAH bererti 'baik' disebut sembilan kali dalam al-Quran.
Pengertian baik ini dipadankan dengan beberapa hal dalam sembilan
ayat berkenaan.

Sebagai contoh, ia dipadankan dengan keturunan, zurriyyah, dalam ayat
38 Surah Ali `Imran; ia juga dipadankan dengan tempat tinggal,
masakin dalam ayat 72 Surah al-Taubah; dan kemudian ia juga
dipadankan dengan sebuah negeri, baldah dalam ayat 15 Surah Saba.

Tayyibah yang bererti baik itu juga dipadankan dengan kehidupan.
Allah SWT berfirman maksudnya: "Sesiapa yang beramal salih, dari
lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami
akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya
Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang baik daripada
apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Nahl: 97)

`Hayatan tayyibah' dalam ayat ini diterjemahkan ke dalam bahasa
Melayu sebagai `kehidupan yang baik'. Ia, seperti ditulis Dr Aid al-
Qarni dalam La Tahzan bermaksud `ketenangan jiwa orang beriman kerana
dijanjikan baik oleh Tuhan mereka, keteguhan hati mereka dalam
mencintai Zat yang menciptakan mereka, kesucian nurani mereka
daripada unsur penyimpangan iman, ketenangan mereka dalam menghadapi
setiap kenyataan hidup, kerelaan hati mereka dalam menerima dan
menjalani ketentuan Allah, dan keikhlasan mereka dalam menerima
takdir. Dan semua itu kerana mereka yakin dan tulus menerima Allah
adalah Tuhan mereka, Islam agama mereka, dan Muhammad adalah Nabi dan
Rasul yang diutus Allah untuk mereka." (hal. 29)

Walaupun ada yang mengehadkan pengertian `kehidupan yang baik' dalam
ayat ini pada kehidupan di syurga saja seperti ditulis al-Imam al-
Alusi dalam tafsirnya, tetapi secara am, ulama berpendapat
pengertiannya tidak terhad pada kehidupan syurga, tetapi mencakupi
kehidupan duniawi. Tafsir pimpinan Ar-Rahman mengulas ayat ini dengan
katanya: "Lelaki atau perempuan yang mengerjakan amal yang salih,
sedang dia tetap beriman hingga akhir hayatnya, maka Allah akan
menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik di dunia dengan menikmati
sepenuh-penuh kebahagiaan meskipun dia hidup miskin; dan di akhirat
pula dia akan beroleh sebaik-baik balasan, manakala orang kafir atau
orang yang tenggelam dalam maksiat akan dihidupkan di dunia dalam
keadaan resah gelisah dan tidak tenteram jiwanya, walaupun mereka
kaya raya; dan di akhirat pula akan beroleh seburuk-buruk balasan
dengan sebab kekufurannya atau maksiat dilakukannya.

Umur dunia ini sangat pendek dan kenikmatannya pun sangat miskin.
Akhirat lebih baik dan kekal. Sehingga, sesiapa di dunia mendapat
musibah, dia akan mendapat kesenangan di akhirat kelak; dan sesiapa
yang hidup sengsara di dunia, dia akan hidup bahagia di akhirat.
Mereka ini adalah termasuk dalam maksud ayat: "Kesejahteraan dan
kebahagiaan bagi kalian kerana kalian bersabar mentaati Allah dan
menerima dugaan-Nya. Syurga adalah sebaik-baik tempat kesudahan."
(Surah al-Ra'd: 24)

Lain halnya dengan mereka yang memang lebih mencintai dunia, hanya
menginginkan kenikmatan dunia dan lebih senang pada keindahan dunia.

Hati mereka akan selalu gundah gulana; cemas tidak mendapatkan
kenikmatan dunia dan takut tidak nyaman hidupnya di dunia. Mereka ini
hanya menginginkan kenikmatan dunia, sehingga mereka selalu memandang
musibah sebagai petaka besar.

Mereka termasuk golongan yang disebutkan al-Quran maksudnya: "Dan
sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka
sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan
himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta." (Surah Taha: 124)

Implikasi daripada pengertian hayatan tayyibah di atas boleh kita
perhatikan dalam kenyataan kehidupan manusia.

Keadaan dunia ini penuh kenikmatan, banyak pilihan, penuh rupa dan
banyak warna. Semua ini bercampur baur dengan kecemasan dan kesulitan
hidup. Kita adalah sebahagian daripada dunia yang berada dalam
kesukaran.

Al-Qarni berkata: "Anda tidak akan pernah menjumpai seorang ayah,
isteri, kawan, sahabat, tempat tinggal atau pekerjaan yang padanya
tidak ada sesuatu yang menyusahkan. Justeru pada setiap hal, ada
sesuatu yang buruk dan tidak anda sukai. Maka, padamkan panasnya
keburukan pada setiap hal itu dengan dinginnya kebaikan yang ada
padanya. Itu kalau anda mahu selamat dengan adil dan bijaksana kerana
setiap luka ada harganya.

Allah menghendaki dunia ini sebagai tempat bertemu dua perkara saling
berlawanan, dua jenis yang saling bertolak belakang, dua kubu yang
saling bertelagah dan dua pendapat saling bertentangan; yang baik
dengan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagiaan dengan
kesedihan. Selepas itu, Allah akan mengumpulkan semua yang baik,
kebaikan dan kebahagiaan itu di syurga. Yang buruk, kerosakan dan
kesedihan akan dikumpulkan di neraka.

Sebuah hadis maksudnya: "Dunia ini dilaknati. Semua yang ada di
dalamnya dilaknati kecuali zikir (ingat) kepada Allah, perbuatan yang
disukai Allah, dan sesuatu yang dapat mendekatkan diri hamba kepada-
Nya, serta orang yang berilmu dan orang yang mempelajari ilmu yang
bermanfaat."

Jalanilah hidup ini sesuai dengan kenyataan, jangan terleka dalam
khayalan dan jangan menerawang ke alam imaginasi. Hadapi kehidupan
ini apa adanya; kawal jiwa anda untuk dapat menerima dan
menikmatinya! Bagaimanapun, tidak mungkin semua teman tulus kepada
anda dan semua perkara sempurna. Sebab, ketulusan dan kesempurnaan
itu ciri dan sifat kehidupan dunia.

Bahkan, isteri anda pun tidak pernah sempurna di mata anda. Maka,
kata hadis maksudnya: "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci
wanita mukminah (yang menjadi isterinya), kerana jika dia tidak
menyukai satu perangai isterinya, tentu dia akan menyukai perangainya
yang lain."

Oleh itu, bila kita merapatkan barisan, menyatukan langkah, saling
memaafkan dan berdamai kembali, mengambil hal yang mudah kita
lakukan, meninggalkan hal yang menyulitkan, menutup mata daripada
beberapa hal untuk masa tertentu, meluruskan langkah dan membuang
pelbagai hal yang mengganggu." (hal. 35)

Ketika membincangkan masalah perang untuk menentang penceroboh
sedangkan berperang tidak disukai manusia dan al-Quran mengajarkan
maksudnya: "Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik
bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk
bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya
itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah: 216)

Sebagai implikasi daripada ingin mendapatkan hayatan tayyibah di
dunia dan akhirat, maka kita sewajarnya menyerahkan semua urusan
kepada Allah, bertawakal kepada-Nya, percaya terhadap janji-Nya, reda
dengan apa dilakukan-Nya, berbaik sangka kepada-Nya dan menunggu
dengan sabar pertolongan daripada-Nya. Sifat ini sebahagian daripada
keimanan paling besar dan sifat mukmin paling mulia.

Ketika seorang hamba berasa tenang bahawa apa yang akan terjadi baik
baginya dan dia menggantungkan setiap permasalahannya kepada Tuhan,
maka dia akan memperoleh pengawasan, perlindungan, kecukupan,
kekuatan serta pertolongan daripada Allah SWT.

Menyerahkan segala sesuatu kepada Allah mempunyai dua cara pendekatan
yang satu sama lainnya tidak boleh dipisahkan iaitu dengan ucapan dan
perbuatan. Ucapan digambarkan dengan zikir lisan `hasbunallahu wa
ni'mal wakil' (Cukuplah Allah untuk menolong kami, dan Dia sebaik-
baik Pengurus yang terserah kepada-Nya segala urusan kami). Dan
perbuatan dibuktikan dengan apa jua tingkah laku yang menunjukkan
kepada penyerahan sepenuhnya kepada urusan Allah.

Ketika Nabi Ibrahim AS dilempar ke dalam api, Baginda
mengucapkan `Hasbunallahu wa ni'mal wakil,' maka Allah menjadikan api
yang panas itu dingin seketika dan Nabi Ibrahim AS selamat.

Demikian dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabatnya tatkala mereka
mendapat ancaman orang kafir dan penyembah berhala.

Mereka juga mengucapkan `Hasbunallahu wa ni'mal wakil'. Allah
berfirman maksudnya: "Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang
(pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik)
mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu
gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu
berkata: "Hasbunallahu wa ni'mal wakil". Setelah (pergi mengejar
musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia
Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka
pula menurut keredaan Allah. Dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah
kurnia yang amat besar." (Surah Ali 'Imran: 173-174)

Manusia tidak mampu melawan setiap bencana, menakluk setiap derita
dan mencegah setiap malapetaka dengan kekuatannya sendiri. Manusia
diciptakan sebagai makhluk lemah. (Surah al-Nisa: 28) Mereka hanya
akan mampu menghadapi semua itu dengan baik apabila mereka bertawakal
kepada Tuhan, percaya sepenuhnya kepada Pelindung dan menyerahkan
semua perkara kepada-Nya, maka dia akan memperoleh kekuatan. Firman
Allah maksudnya: "Dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah
(setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang yang
beriman." (Surah al-Maidah: 23)

.
..dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template