^ Scroll to Top

Tuesday, June 10, 2008

Cinta Sesama Ummah Mampu Elak Perpecahan

MENGHARUNGI kehidupan pada zaman serba moden, kelihatan struktur hidup bermasyarakat di kalangan umat Islam semakin goyah. Kehidupan semakin menjadi terlalu individualistik dan rata-rata insan hanya mengambil berat mengenai perkara yang boleh menggugat kebahagiaan mereka.

Maka tidak hairanlah jika kemungkaran yang berlaku secara terbuka di depan mata, ramai mengambil sikap tidak endah kerana ia tidak membabitkan diri atau keluarga mereka.

Anak yang ponteng sekolah bebas menghisap rokok di sesetengah kawasan awam kerana tiada siapa menegur mereka. Apa yang dijadikan alasan bagi sesetengah pihak untuk tidak menghalang itu ialah murid berkenaan bukan anak mereka.

Muda-mudi kita juga bebas berpakaian mencolok mata serta berkelakuan tidak senonoh secara terbuka tanpa ada yang menegah kerana mereka tidak ada hubung kait dengan diri kita. Sungguh menghairankan senario sebegini kerana Islam agama yang menggalakkan umatnya mengerjakan amal makruf dan menolak kemungkaran.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Ada juga di kalangan umat Islam yang tidak begitu mengenali jiran tetangga di sekeliling mereka. Interaksi antara jiran terbatas kepada sapaan kecil yang tidak begitu bererti. Susah payah diharungi jiran tetangga tidak dipedulikan.

Mungkin ada di kalangan jiran kita yang benar-benar kesempitan kewangan sehingga hidup berlapar bersama anak mereka sedangkan kita dengan penuh ketenangan dan kegembiraan menjamu makanan yang enak serta berlambak sehinggakan lebihan makanan dibuang saja.

Bagaimana hal ini boleh terjadi sedangkan Islam menekankan kepentingan menjalinkan hubungan yang baik dengan tetangga.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar, hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.” (Surah al-Nisaa’, ayat 36)

Kita juga sering melihat umat Islam apabila berbeza pendapat dalam apa juga perkara, maka mereka akan berantakan sehingga terputus tali silaturahim. Keadaan ini tidak sewajarnya terjadi kerana Islam benar-benar menolak hidup berpuak yang akhirnya akan menjerumuskan umat Islam kepada lembah perpecahan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik, iaitu orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (daripada fahaman dan amalan yang terpesong itu).” (Surah al-Ruum, ayat 31-32)

Diakibatkan sikap tidak ambil peduli antara sesama umat Islam ini jugalah, maka golongan Yahudi di Israel berkemampuan menindas rakyat Palestin serta merampas tanah mereka sesuka hati sedangkan Israel pada hakikatnya dikelilingi negara Arab yang jumlah rakyatnya jauh lebih ramai daripada mereka.

Umat Islam hanya mampu melihat kezaliman rejim Zionis tanpa mampu untuk berbuat apa-apa.

Umat Islam hanya tekun bersidang dalam persidangan atau muktamar bagi mencapai pelbagai resolusi yang akhirnya sekadar menjadi ilusi. Mana semangat jihad umat Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah al-Hajj, ayat 78)

Demikianlah beberapa contoh yang menggambarkan betapa rapuhnya kehidupan bermasyarakat di kalangan umat Islam. Keadaan ini terjadi kerana hilangnya perasaan cinta di hati umat Islam terhadap sesama mereka.

Islam melihat perasaan cinta sebagai satu aspek penting dalam menerapkan hidup bermasyarakat yang ideal. Seorang Muslim tidaklah dianggap sempurna keimanannya sehingga dia mencintai umat Islam yang lain seperti dia mencintai dirinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian sehingga dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) seperti dia mencintai dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Cinta di sini bermaksud kecenderungan terhadap sesuatu yang diinginkan dalam diri seperti kebaikan, kesempurnaan, keutamaan, mencapai manfaat serta menghindari bahaya. Oleh itu, umat Islam harus hidup dalam keadaan seperti pepatah Melayu menyatakan, cubit peha kiri, peha kanan terasa sakitnya.

Jika kita inginkan segala kebaikan untuk diri kita, maka kita juga ingin umat Islam lain juga mencapai kebaikan itu. Jika kita berjaya menerapkan nilai cinta yang suci sebegini dalam jiwa, kita tidak akan berasa tenang apabila melihat umat Islam lain berada dalam lembah kemungkaran atau hidup sudah.

Kita pasti akan bangkit untuk mempertahankan maruah umat Islam lain yang tercalar serta menjamin seluruh umat Islam akan mencapai segala bentuk kebaikan dalam hidup seperti diinginkan diri sendiri. Kita juga akan sentiasa berusaha memperbaiki keadaan umat Islam sekeliling dan berganding bahu demi membentuk masyarakat bertamadun yang mampu mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Maaidah, ayat 2)

Justeru, janganlah kita berlengah untuk menyemaikan benih cinta di kalangan sesama umat Islam. Cintailah saudara kita di kalangan umat Islam dengan penuh ketulusan kerana sesungguhnya ia kewajipan yang dituntut syarak. Hanya mereka yang benar-benar ikhlas mencintai sesama umat Islam akan dapat mencapai keimanan yang sempurna.




...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template