Oleh Aminudin Mansor
SIFAT malu adalah salah satu sifat yang patut ada dalam diri setiap
remaja Islam. Bagaimanapun, sifat malu ini mestilah bertempat kerana
ada peribahasa Melayu mengatakan, "malu biarlah bertempat."
Kita tidak mahu remaja terhalang mengejar kemajuan oleh sebab sifat
malu yang terlalu tebal. Bagaimanapun, pada masa kini keseluruhannya
remaja kita sudah tidak mempunyai sifat malu.
Sifat malu dapat diistilahkan sebagai berasa aib (hina, rendah)
kerana membuat sesuatu yang salah atau tidak sopan, berasa tidak
senang melakukan perkara dilarang Allah.
Manusia diciptakan Allah dengan sempurna, salah satu sifat yang patut
ada dalam diri seseorang insan adalah malu terutama sekali berasa
malu kepada Allah jika melakukan perbuatan terlarang.
Jika manusia mengetahui Allah memberikan pelbagai macam kenikmatan
kepada manusia seperti kenikmatan mata untuk melihat, telinga untuk
mendengar, lidah untuk merasa dan nikmat paling besar berupa iman
kepada Allah.
Manusia harus malu jika mengerjakan kemaksiatan, manusia juga patut
berasa malu jika lupa kepada nikmat yang diberikan kepadanya,
perasaan malu ini harus dimiliki setiap manusia beriman.
Jika perasaan malu tidak ada dalam diri seseorang, maka itu suatu
alamat kehancuran bagi manusia itu sendiri sebab hilangnya malu akan
menarik pelbagai macam perbuatan maksiat dan kerosakan di muka bumi.
Bagi remaja, malu adalah kunci mencegah daripada segala yang merosak
akhlak. Sifat itu dapat disemai seseorang apabila selalu bergaul
dengan orang beriman, berilmu pengetahuan dan mempunyai budi pekerti
luhur.
Orang yang memiliki rasa malu akan menyesal apabila melakukan perkara
ditegah dan ia menunjukkan hati kecilnya hidup, batinnya suci dan
bersih.
Tetapi sebaliknya, bagi orang yang sudah tidak memiliki rasa malu,
dia berasa seronok apabila melakukan perbuatan tidak patut dilakukan
sekalipun ramai orang mengetahuinya, bahkan sehingga melanggar
kesopanan dan larangan agama.
Malu itu diwajibkan oleh Islam kerana malu termasuk sebahagian
daripada iman, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Malu
itu sebahagian daripada iman." (Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi
dari Ibnu Umar)
Islam mengingatkan umatnya supaya memerhatikan rasa malu kerana rasa
malu termasuk sebahagian daripada iman, juga menjadi sebab
terbentuknya akhlak mulia. Apabila hilang rasa malu akan rosaklah
akhlaknya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya semua agama itu
mempunyai akhlak dan akhlak Islam itu berperangai malu." (Hadis
riwayat Imam Malik)
Tokoh Islam, Sulaiman Darani pernah berkata, "seseorang yang berbuat
sesuatu perbuatan kerana didorong empat sebab; rasa takut, mengharap
pahala, mengagungkan Allah dan rasa malu. Semulia-mulia mereka ialah
orang yang berbuat kerana malu."
Sikap ini bersumber kepada keyakinan bahawa Allah selalu melihat
kepadanya pada setiap waktu dan keadaan, rasa malunya berbuat
kebajikan lebih besar daripada malunya dalam berbuat kemaksiatan.
Manusia yang bersifat seperti ini akan mendapat balasan daripada
Allah.
Kita pernah mendengar peribahasa Melayu menyatakan, "Malu berkayuh
perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan." Sifat malu seperti ini
tidaklah kita kehendaki dalam masyarakat kerana disebabkan terlalu
pemalu sehingga menyusahkan diri sendiri.
Apa yang ditegaskan ialah sifat malu melakukan sesuatu bertentangan
ajaran Islam. Sifat malu seperti ini amat dituntut dalam pendidikan
rohani.
Rasulullah SAW adalah seorang yang terlalu baik perangainya, seorang
paling mulia akhlaknya, tinggi ketaatan kepada perintah Allah dan
segala tugas kewajipan kemasyarakatannya serta selalu menahan diri
daripada segala larangan-Nya.
Diriwayatkan daripada Abi Sa'id al-Khudri, ia berkata yang
maksudnya: "Rasulullah SAW adalah lebih pemalu daripada gadis dalam
pingitan. Dan apabila terjadi sesuatu yang tidak disukainya, kami
dapat mengenal daripada wajahnya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Malu sebenar-benarnya adalah ikatan yang tidak dapat dipisahkan dalam
hidup beragama kerana antara iman dan malu itu suatu ikatan yang utuh
dan tidak dapat dipisahkan antara satu dengan lain.
Kajian ahli psikologi menyatakan, sifat malu dapat membantu membaiki
akhlak seseorang, sementara sifat pemalu yang tidak betul pada
tempatnya boleh menjejaskan imej seseorang. Jika rasa malu hilang
maka secara beransur-ansur sifat insannya menurun, sampai kepada
darjat yang paling rendah.
Oleh itu, asuhan sejak kecil penting kepada anak supaya mereka
memiliki sifat malu positif iaitu mengikut ajaran Islam. Tugas ibu
bapa mendidik anak dengan menanamkan rasa dan sifat malu dalam diri
mereka.
Sudah menjadi fitrah kejadian manusia itu sendiri, apabila manusia
diberi akal sempurna hilang daripadanya sifat malu, maka ia akan
menjadi ganas bahkan lebih ganas daripada haiwan tidak berakal.
Manusia yang hilang rasa malu akan berbuat semahunya tanpa
mempedulikan adanya aturan dan kesopanan dalam masyarakat, menjadi
liar, rakus dan kurang ajar. Tidak hairanlah jika kita mendengar
gejala bohsia, lari dari rumah, bersekedudukan, melakukan perbuatan
maksiat, terbabit penagihan dadah, pil khayal yang mengancam remaja
dewasa ini.
Sudah tentu perkara seumpama tidak akan berlaku jika remaja mempunyai
sifat malu, berbudi bahasa, berakhlak mulia dan menjauhkan perbuatan
keji ini.
Hanya iman yang kuat dalam diri remaja dapat menghindarkan segala
perbuatan yang boleh merosakkan diri, bangsa dan negara. Ingatlah
remaja hari ini adalah pelapis dan pemimpin negara pada masa depan.
...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."
Monday, June 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment