^ Scroll to Top

Sunday, June 15, 2008

Perpaduan Ummah

ISLAM adalah agama bersifat universal yang menyeru kepada perdamaian, perpaduan dan persaudaraan bagi memastikan umatnya kuat dan bermaruah.

Banyak ayat al-Quran mengenai perkara itu, malah menggesa sikap berkasih sayang, hormat menghormati sesama umat Islam dan bukan Islam.

Perpaduan adalah berlawanan dengan perpecahan. Perpaduan membawa banyak kebaikan manakala perpecahan membawa kerugian.

Semangat perpaduan jelas terpancar melalui amal ibadat, seperti solat secara berjemaah di sesebuah masjid, malah senireka masjid yang melengkung seperti pada gerbang dan kubah yang berakhir pada satu garis pusat juga adalah satu simbol kesatuan dan pemuafakatan dalam Islam.

Umat Islam tahu mengenai perpaduan, tetapi perbezaan pendapat, berlainan mazhab, fahaman dan budaya merobek benteng perpaduan.

Di beberapa negara Arab berlaku perkelahian, pencabulan hak dan pembunuhan, gara-gara fahaman berbeza, Sunnah dan Syiah.

Kadangkala terfikir mengenai Islam yang diasaskan dari rumpun yang satu boleh berlaku perbezaan mazhab, tidak kah ini merugikan umat Islam?

Penceramah bebas, Ahmad Shukri Yusof, berkata perbezaan itu adalah satu perkara lumrah dalam kehidupan, disebabkan berbezanya budaya, latar belakang pendidikan dan pemahaman.

“Walaupun berbeza pendapat dan mazhab, kena ada juga persamaan iaitu cinta pada Rasulullah, ibadat yang satu dan Kaabah yang satu.

“Kita kena melihat perselisihan ini bukan kerana ajaran Islam tidak cukup.

“Persengketaan di negara Teluk kerana ketaksuban, sama ada kepada mazhab, pemikiran, parti dan pemimpin.

“Aliran Sunnah dan Syiah sudah lama bertapak, justeru tidak mungkin ia akan lenyap, mungkin berterusan sehingga hari kiamat,” katanya.

Perpaduan amat ditekankan dalam Islam, kerana dengan semangat itu umat Islam akan lebih dihormati.

Malah, rapuhnya pemupukan perpaduan dan ikatan persaudaraan, umat Islam mudah diperkotak-katikkan, sehingga bergaduh sesama sendiri.

“Dan, berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Ali Imran:103)

Hadis Nabi saw bermaksud: “Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan Muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya)...” (Muttafak ‘alaihi)

Ahmad Shukri yang juga Perunding Motivasi Fitrah Power Resources berkata, pergolakan juga berlaku disebabkan fahaman politik.

“Bagaimanapun, cerita bidaah seperti membaca Yasin pada malam Jumaat atau tidak, iaitu perkara ranting tidak perlu diperbesarkan.

“Kepada mereka yang membaca Yasin pada malam itu misalnya tidak boleh mengatakan ia adalah satu amalan wajib, iaitu mesti dilakukan dan jika tidak akan berdosa.

“Manakala golongan yang tidak membacanya tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan ia adalah suatu bidaah dan menyeleweng, kerana masing-masing ada pandangan.

“Sebagai umat Islam, kita kena berlapang dada seperti pandangan Ikhwanul Muslimin, umat Islam patut bermaafan dan bertoleransi atas perbezaan dan sepakat atas persamaan.

Dalam Islam, umatnya perlu berpegang kepada al-Quran dan sunnah supaya tidak tersesat seperti hadis yang bermaksud:

“Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw.”

“Cuma disebabkan berbeza pemahaman terhadap ayat al-Quran dan hadis berlakulah perbezaan pendapat,” katanya.

Dalam perkara ini sangat elok sekiranya umat Islam berkongsi kisah dengan Imam Syafie yang pernah mendirikan solat Subuh di sisi makam Abu Hanifah.

Walaupun Imam Syafie dan Abu Hanifah berbeza pendapat, beliau masih menghormatinya dengan tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh, sedangkan dalam mazhab Syafie ia adalah sunat yang dikira besar.

Melihat tindakan Imam Syafie yang tidak membaca doa qunut itu, pelajarnya mengajukan pertanyaan kepada imam terbabit, lalu beliau menegaskan tidak membaca qunut itu untuk menghormati Abu Hanifah.

Ahmad Shukri berkata, dalam buku, 'Lelaki Berkisar Nabi' tulisan Muhammad Khalid, sahabat nabi juga berbeza pendapat, sikap, warna kulit dan perangai tetapi mereka ada persamaan, iaitu cinta kepada nabi.

“Tetapi jika perbezaan dan perselisihan di kalangan umat Islam berlaku tanpa kawalan, sehingga menyebabkan kecelaruan dalam masyarakat, ia perlu ditangani dan dibendung,” katanya.





...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template