^ Scroll to Top

Wednesday, June 4, 2008

Kebaikan amalan Ayat Seribu Dinar

MENURUT ulama termasuk ulama besar ilmu tafsir, ada banyak faedah dan
fadilat yang diperoleh daripada amalan ayat seribu dinar iaitu baris
terakhir ayat kedua dan bersambung dengan ayat ketiga daripada surah
al-Talaq.

Antara fadilatnya ialah mendapat rezeki yang tidak disangka bahkan
memperoleh rezeki menurut jalan yang tidak pernah terfikir,
melenyapkan segala bentuk kesusahan serta dijauhkan daripada keraguan
dan kesusahan maut.

Menurut banyak riwayat, sebab ayat seribu dinar diturunkan Allah
adalah kerana peristiwa berkaitan seorang sahabat bernama Auf bin
Malik al-Asyja'i yang mempunyai anak lelaki ditawan kaum Musyrikin.

Beliau mengadu perkara itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda meminta
Auf supaya bersabar sambil bersabda kepadanya yang
bermaksud: "Sesungguhnya Allah akan memberi jalan keluar kepadamu."

Ternyata tidak lama selepas itu anaknya dilepaskan daripada tawanan
pihak musuh dan dalam perjalanan ia terserempak seekor kambing
kepunyaan musuh lalu dibawanya kambing itu kepada ayahnya.

Kemudian turunlah ayat yang bermaksud: "Siapa yang bertakwa kepada
Allah, Dia menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari
jalan yang tidak disangka-sangka dan tidak terfikir sebelumnya."
(Hadis riwayat Ibnu Jarir)

Menyingkap khasiat dan kegunaan pelbagai surah dalam al-Quran, buku
Amalan Mustajab dan Murah Rezeki hasil tulisan Nurhafiz Abdullah
memberi tumpuan kepada hikayat yang dikaitkan dengan ayat seribu
dinar.

Ini termasuk riwayat hartawan yang bermimpi didatangi lelaki meminta
beliau bersedekah 1,000 dinar kepada fakir miskin dan kisah Malik bin
Dinar yang dapat dibaca pada bahagian awal buku berkaitan ayat seribu
dinar.

Pada masa sama, buku setebal 162 halaman ini turut mendedahkan
fadilat dan khasiat ayat surah al-Fatihah, al-Kursi, al-Qadr, al-
Ikhlas dan beberapa surah lain supaya dapat diamalkan pembaca bagi
menyelesaikan masalah dihadapi dalam kehidupan.

Begitu juga doa untuk kejayaan, keberkatan hidup serta murah rezeki
yang dilampirkan dalam usaha mengajak manusia tabah menghadapi ujian
yang didatangkan dan berusaha mencari jalan penyelesaian dengan
bermohon kepada Allah.

Ada 30 doa memohon pertolongan Allah disediakan dalam buku Amalan
Mustajab dan Murah Rezeki yang boleh dijadikan panduan serta amalan
harian termasuk doa memohon dibuka pintu rezeki, diberi kecerdasan
akal dan hati serta memohon sentiasa dicintai Allah.

Kandungan buku ini menekankan hal berkaitan fadilat dan khasiat
beramal dengan ayat wahyu Allah dalam al-Quran serta hadis Rasulullah
SAW sebagai jalan keluar bagi mereka yang berhadapan kesusahan selain
ingin mencapai hajat untuk diri, keluarga serta orang lain.

Buku Amalan Mustajab dan Murah Rezeki adalah rujukan sumber ilmu yang
bukan saja menjadi penawar malah, malah mendorong pembaca
memperbanyakkan ibadat sunat dengan membaca ayat al-Quran seterusnya
menjadikannya sebahagian amalan harian.

Ilmu yang berkat adalah ilmu yang dimanfaatkan, semoga usaha penulis
menyampaikan maklumat kepada pembaca yang akan memanfaatkannya
membawa kedua-duanya beroleh keredaan Allah serta rahmat dalam
kehidupan di dunia dan akhirat.

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template