Tak ada apa yang nak ditakutkan dengan warna putih. Putih melambangkan kesucian.Tetapi bila putih digabungkan dengan perkataan selimut atau kafan maka akan terasa kelainannya. Ada suatu perasaan kurang senang atau seram terbentuk di lubuk hati. Paling tidak rasa kesayuan akan menyapa walau sebentar. Teringat akan dunia yang bakal ditinggalkan dan dunia lain yang akan dihuni.
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, istilah Kafan merujuk kepada kain pembalut mayat. Kain kafan biasanya dipilih bewarna putih bagi melambangkan kesucian.Biasanya, sekurang-kurangnya tiga kain kafan digunakan, dan ia dibeli menggunakan harta si mati (harta suami jika isteri dan harta bapa jika anak).Diambil daripada wikipedia
Masakan kain kafan hanya disimpan sebagai hiasan atau khazanah almari. Tentunya kain kafan akan dipakaikan kepada sekujur tubuh yang sudah kaku. Tubuh siapakan yang akan dibaluti? Bila dan siapa yang akan memandi dan seterusnya membaluti tubuh itu dengan kain putih.? Apakah kita tak mahu mengakhiri pakaian kita dengan pakaian kain kafan berwarna putih. Sukar bagi kita menolak 'kemestian' ini cuma kita tidak pasti bila.Firman yang bermaksud: “Tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan dilakukan esok hari, sebagaimana tiada seorang pun yang mengetahui di manakah ia akan mati.” (Surah Luqman, ayat 34)
Menepis Rasa
Bila terbaca tajuk 'seputih kain kafan', berkocak jiwa. Ada kehendak untuk menepis rasa yang hinggap di dalam hati. Ada percubaan untuk mengalih fokus, mengelak debar. Tidak ramai yang gemar tajuk ini," ahh kenapalah aku terbaca" mungkin itulah rungut pertama seimbas kerling anak mata tika melirik tajuk cerita. Malasnya nak baca. Asyik asyik cerita hal mati, lain tak ada ker? Mungkin begitu gerutu hati seterusnya. Dalam pada itu sepatuh hati terus melonta, rasa ingin pula nak tahu cerita. Ya bacalah seterusnya.
Bagi mereka yang tak pernah merasai 'mati' cerita kain kafan mungkin kurang bermakna. Mungkin dianggap perkara biasa, lumrah alam atau fenomena alam . Yang hidup pasti mati, apa yang nak dipelikkan,apa yang nak ditakutkan? Tak ada orang yang telah mati bangun semula untuk bercerita tentang 'dunia baru' mereka. jadi cerita rahsia disebalik putihnya kain kafan tidak seronok untuk dibualkan. Jika dibualkan sekalipun pasti akan membantutkan usaha untuk maju dan memakmurkan dunia yang bakal ditinggalkan. Jalan mesti pandang ke depan, kata iklan.Umat akan mundur kalau asyik bercerita tentang kain kafan, kereta mayat , keranda, batu nesan dan tanah perkuburan.Cerita mati itu cerita orang jumud,mungkin begitulah sanggah minda sesetengah orang.
Antara Taman dan Laman.
Dari kain kafan hingga ke batu nesan putih belaka warnanya. Bayangkan jika laman rumah kita yang menghijau dihiasai dengan replika beberapa cendawan gergasi berwarna putih, tentu indah kompinasi warna penghias taman. Di tambah pula dengan pepohon kemboja warna putih bersih menghasilkan bayang-bayang mentari menyejukkan mata memandang. Namun bila replika cendawan putih tadi bertukar kepada dua pasang batu terpahat nama penghuni, maka sukar pula kita nak melayangkan pandangan menikmati keindahan seni Taman Nesan saujana mata memandang.
Memang sukar untuk kita memacu minda, menggarap apa yang tersirat disebalik yang tersurat. Dakwaan perlukan bukti, keyakinan perlukan iman. Ada pula yang berfikir yakin tanpa bukti adalah bodoh,mengikut membuta tuli kununnya. Ya benar,itulah keunikan iman, iman tak perlu bukti. Ibarat cinta suci, tak perlu bukti tak perlu sebab,hanya perlu yakin dan percaya.Anehnya manusia ada yang mengagungkan kalimah 'cinta itu buta' tetapi mempertikaikan iman tanpa bukti nyata.
Pahala mana buktinya? Dosa mana buktinya. Mana penyata akaun Dosa-Pahala jika kita mahu semak. Mana buktinya kita telah berbuat dosa atau pahala. Mati itu pasti,itu ada buktinya. Tetapi adanya hidup selepas mati mana buktinya . Ada , buktinya ada dalam al-qur'an silakan baca.Betul,kita boleh baca tetapi mana buktinya al-qur'an itu benar? Tidak ada bukti kecuali iman, jika kita beriman /percaya maka ia akan benar, jika tidak percaya juga ia akan benar.
Allah itu benar
Al-qur'an benar
Nabi dan rasul benar
Mati itu benar
Hari akhirat itu benar
Jika al-qur'an itu tidak benar maka datangkanlah kenyataan lain yang lebih benar dan kita ber'mubahalah' untuk tentukan kitab mana yang lebih benar, mahu? Jika tak mahu mubahalah kita muzakarahkan. Kalau masih keliru kita duduk bermuqabalah pula. Jika tak mahu, elok kita renungkanlah dua pasang batu ditanah perkuburan. Jika rumah kita jauh dari tanah perkuburan, carilah gambar2 tanah perkuburan, hiaskan dinding rumah kita dengan pemandangan sepasang batu putih di taman . Hiaskan PC kita dengan wallpaper bergambar pemandangan di kuburan .
Mudah2an ingatan terhadap kain kafan (kematian) akan menjadikan kita seorang yang cerdik sebagaimana sabda rasulullah s.a.w bermaksud "Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat." ( Riwayat Ibnu Majah dan Abiddunya ) . Allahu'aklam
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)
(Surah an-Nahl: ayat 125)
No comments:
Post a Comment