^ Scroll to Top

Friday, August 29, 2008

Muslim dituntut selalu mengingati Tuhan sebagai benteng jauhi keingkaran

MENGIKUT syariat Islam, dosa terbahagi kepada dua, iaitu dosa besar dan dosa kecil. Dikatakan dosa besar ialah dosa yang sudah ditentukan hukumannya di dunia serta mendapat ancaman azab pedih di akhirat seperti termaktub dalam al-Quran dan hadis.

Dosa besar hanya boleh terhapus dengan bertaubat kepada Allah, menyesali perbuatan mungkar yang dilakukan serta berazam dengan sekuat hati tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila sudah melakukan perbuatan keji atau menganiaya dirinya sendiri, mereka ingat kepada Allah, lalu memohon ampun atas dosanya. Dan siapa lagi yang akan mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tiada meneruskan perbuatan buruk itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah ali-Imran, ayat 135)

Dosa kecil pula ialah dosa yang tidak ditentukan hukumannya ketika di dunia dan tidak diberi ancaman azab keras di akhirat seperti mengeluarkan kata-kata kesat, menyentuh al-Quran tanpa berwuduk atau membuang sampah merata-rata. Walaupun begitu, perlu diingat bahawa dosa kecil apabila dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hati-hatilah kamu terhadap dosa kecil, kerana apabila sering dilakukan oleh seseorang, maka pasti akan merosakkannya (akan menjadi dosa besar).” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Selain daripada itu, sesiapa yang ingin mengetahui sama ada dosa besar atau dosa kecil maka ada sebahagian ulama berpendapat: “Bandingkanlah kerosakan yang diakibatkan daripada dosa itu dengan dosa besar yang sudah ada nasnya. Apabila pada kenyataannya kerosakan yang ditimbulkan itu hanya sedikit, maka yang demikian adalah dosa kecil. Tetapi apabila kerosakan yang diakibatkan itu sebanding atau lebih besar, yang demikian itu adalah dosa besar.”

Walau apapun, tidak ada seorang pun yang terlepas melakukan dosa kecil kecuali orang yang maksum (dijaga) oleh Allah seperti Nabi Muhammad SAW. Dosa kecil akan terhapus jika taat melakukan solat lima waktu dan amalan fardu yang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara solat fardu sampai solat fardu lainnya dan antara solat Jumaat sampai solat Jumaat lainnya, serta antara bulan Ramadan sampai Ramadan lainnya adalah pelebur dosa, selagi dosa besar dijauhi.” (Hadis riwayat Muslim)

Mengapakah manusia senang terjebak dengan perbuatan dosa? Paling ketara sekali ialah kerana dalam diri seseorang itu tidak mempunyai iman yang kukuh, tidak ada rasa malu dan gerun dengan ancaman azab Allah.
Hakim Peradilan Agama Beirut, Syeikh Husin Yusuf Ghazzal dalam kata pengantarnya untuk buku Dosa Dalam Pandangan Islam berkata: “..... dapat kita saksikan bahawa saat ini apabila seseorang melakukan perbuatan dosa, maka ia tidak akan merasa malu sedikitpun. Bahkan dengan sebarangan mereka berusaha menghalalkan suatu perbuatan tanpa mengendahkan syariat agama dan norma etika. Hal ini disebabkan lantaran mereka sudah kehilangan rasa takut kepada Allah dan hari pembalasan-Nya kelak.”

Keadaan itu terjadi disebabkan lemahnya iman. Apabila iman begitu tipis, bermakna diri sudah tidak ada lagi pertahanan dan kekuatan. Jiwa jadi rapuh, mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan dan juga tunduk terhadap dorongan nafsu. Lalu senang pula seseorang terperangkap dalam perbuatan dosa, baik dosa zahir (nampak) mahu pun dosa batin (membabitkan hati).

Kejahilan mengenai ajaran al-Quran dan hadis atau sering kali mengabaikannya dalam kehidupan, boleh mendorong seseorang itu melakukan dosa. Apalagi jika hidup di persekitaran yang tidak menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar.

Kita perlu sedar dan ingat bahawa hidup ini bukan untuk memenuhi tuntutan nafsu yang merosakkan tetapi mengabdikan diri kepada Allah. Justeru, bagi mengelakkan diri daripada perbuatan maksiat atau dosa, hendaklah berasa takut kepada Allah.

Seorang yang melanggar undang-undang atau melakukan jenayah terhadap pemerintah, sudah tentu sepanjang hari dalam keadaan gementar dan risau memikirkan balasan bakal diterimanya nanti. Ini baru hukuman di dunia, bagaimana dengan hukuman akhirat.

Kenapa perasaan kebimbangan dan ketakutan seperti ini tidak terhadap Allah apabila membabitkan kemungkaran, kerana azab Allah itu sangat pedih? Setiap orang beriman seharusnya memiliki perasaan takut terhadap-Nya yang dapat menghalang daripada berbuat dosa.

Said bin Zubair yang ditanya mengenai takut berkata: “Takut kepada Allah ialah rasa takut yang boleh menghalangi antara dirimu dengan maksiat kepada Allah.”

Selalu ingat kepada Allah juga dapat menghindarkan diri daripada berbuat maksiat dan perkara ditegah kerana menyedari segala perbuatannya diperhatikan oleh-Nya. Kesannya, seseorang itu akan meningkatkan keimanan serta ibadat kepada Allah.

Sesungguhnya orang yang berdosa adalah orang malang dan cukup menderita sekali di akhirat nanti. Firman Allah yang bermaksud: “Adapun orang yang celaka, mereka (tempatnya) di dalam neraka, di dalamnya mereka mengeluarkan nafas dan menariknya (dengan merintih).” (Surah Hud, ayat 106)

Sekarang terletak pada pertimbangan diri untuk memilih arah mana hendak dituju, yang lurus atau bengkok. Allah menegaskan yang bermaksud: “Dan sesungguhnya di antara kami ada orang yang taat dan ada pula menyimpang daripada kebenaran. Barang siapa yang taat, maka itu benar-benar sudah memilih jalan yang lurus. Adapun orang yang menyimpang daripada kebenaran maka mereka menjadi kayu api neraka Jahanam.” (Surah al-Jin, ayat 14-15]







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template