"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa..."
(Ali Imran 3: 133)
------------
Antara keistimewaan Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas terbuka dan tidak membebankan. Peluang seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredaan Allah tidak pernah disekat oleh sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau harta.
Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut, atau apa sahaja.
Seseorang yang ingin kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu. Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada Allah dan Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya.
Firman Allah dalam surah Ali 'Imran 135-136: (maksudnya) Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.
Demikian perbuatan sesetengah pihak mencari rezeki dengan mengambil upah untuk pelupusan dosa solat atau puasa atau ibadah yang lain, bukan dari ajaran Islam. Islam tidak pernah mengenal itu semua. Seperti Islam tidak pernah menerima sama sekalipun perbuatan sesetengah agama lain yang mengeluarkan surat berbayar untuk penghapusan dosa, demikian Islam tidak dapat menerima perbuatan penganutnya jika melakukan hal yang sama dengan mengeluarkan borang pahala yang dijual sempena Ramadan atau selainnya.
Keampunan dan rahmat Allah bukan dijual di jalanan. Ia sangat berkaitan dengan keluhuran jiwa yang ikhlas ingin kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun. Jika keampunan hanyalah bayaran yang dibayar kepada pihak tertentu, tentulah semua orang kaya tempatnya di syurga.
Sementara si miskin yang tidak mampu membayar kepada golongan agama tiadalah habuan keampunan untuknya. Maka tidaklah perlu lagi seseorang berpegang dengan agama, cukuplah dengan membanyakkan ongkos, maka selamatlah dia di sisi Tuhan. Aduhai, tentu tidak demikian.
Firman Allah (maksudnya): Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera. Dan (pada hari itu) didekatkan syurga bagi orang- orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat. (surah al-Syu'ara 88-91)
Seseorang yang berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya kepada orang lain sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan manusia. Bahkan dia disuruh bertaubat antara dia dengan Allah dan menutup keburukan dirinya daripada orang lain.
Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim).
Termasuk dalam perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri, dia juga tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya. Maka dalam Islam tidak ada 'pengakuan dosa di hadapan paderi'. Sesiapa sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia bertaubat di mana sahaja dia berada.
Sabda Nabi: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah hadis kudsi, Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Bahkan kita dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari rahmat-Nya. Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53: (maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: "Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan". (Tafsir al-Quran al-'Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).
Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun Allah tidak pernah menutup pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf, benar-benar kembali kepada-Nya.
Saya bicarakan tajuk ini, sesuai dengan suasana puasa. Juga agar perbincangan agama, janganlah menyebabkan manusia ini kecewa dengan diri mereka dalam mencari jalan pulang ke pangkuan Tuhan.
Agama ini begitu lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya dikhususkan untuk orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang menerima Islam ini dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan Rasulullah maka dia akan sampai ke dalam rahmat Allah.
Tiada perbezaan antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak pernah menilai insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama manusia. Dia melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa ramai orang biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang bersandar dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke pangkuan Tuhan tidak pernah mendiskriminasikan manusia.
Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah mendengar seseorang menyebut "dosa-dosa si polan tidak akan diampunkan Allah." Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di sisi Allah.
Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.
Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan Allah ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah belum pun kita tahu.
Nabi bersabda: Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa. (Riwayat Muslim). Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan tujuan merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan Allah. Dakwah agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh kita. Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang pelbagai. Sama ada yang berada di gelanggang sukan, di pentas filem, di medan politik atau apa sahaja.
Janganlah perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua manusia akan memasuki neraka semata, lalu kita lupa Allah ialah Tuhan Yang Maha Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan memberikan harapan, bukan menimbulkan kekecewaan.
Sehingga dalam hadis Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh Allah s.w.t.
Hadis ini memberikan semangat kepada mereka yang telah bersalah berulang kali untuk terus bertaubat bukan berputus asa dan terus mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya "tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu", namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.
Jika Allah menutup pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan. Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada Allah setiap kali tergelincir.
Saya amat hairan, ada agama tertentu yang dikatakan mempengaruhi emosi sesetengah anak-anak muda kita disebabkan unsur kasih sayang dan rahmat berkenaan yang ditonjolkan dalam agama. Seakan anak-anak muda kita tidak pernah mendengar tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah dalam Islam ini. Lalu mereka pun kagum dengan agama lain dan melupai agama sendiri yang diturunkan Allah ini.
Adakah kerana mereka tidak mempelajari ajaran Islam yang betul? Ataupun kempen kita kepada Islam kurang menonjolkan unsur-unsur kerahmatan agama ini?
Hendaklah kita sedar, dalam dakwah baginda Nabi bukan hanya diceritakan balasan neraka, namun diceritakan juga kenikmatan syurga. Bukan hanya tentang kemurkaan Allah kepada yang menderhakai-Nya tetapi juga rahmat-Nya bagi yang kembali kepada kepada-Nya.
Firman Allah dalam surah al-Hijr 49-50: (maksudnya) Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (Wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, adalah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaan).
Semoga taubat mempunyai ruang yang besar dalam hidup kita. Manusia disuruh takut melakukan dosa. Namun jangan kecewa jika tersilap. Di samping insan juga hendaklah selalu beringat, bahawa dosa yang terlampau setelah diberi peringatan, boleh menghilangkan ingatan insan untuk kembali kepada Tuhan.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 6-7: (maksudnya) Sesungguhnya orang-orang yang ingkar itu, sama sahaja kepada mereka: Sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka, pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.
Kebanyakan masyarakat percaya berdasarkan sangkaan bahawa taubat bagus dimulakan apabila umur tua (sudah berumur), setelah beranak cucu, setelah menunaikan haji atau dengan beberapa alasan lain adalah suatu tradisi atau idea yang batil, berpunca dari kejahilan seseorang itu tentang apa itu taubat dan pengampunan Allah yang sebenarnya.
Tiada seorang individupun yang dibenarkan menentukan bila masanya seharusnya seseorang itu bertubat. Sedangkan perintah Allah agar bersegera bertaubat tidak pernah ditetapkan masa-masanya yang tertentu, tempat-tempatnya yang tertentu, pada situasi atau kondisi yang tertentu, malah seseorang hamba yang tahu dirinya berdosa diwajibkan agar cepat-cepat bertaubat. Ini kerana manusia sering didominan oleh hawa nafsunya dan godaan syaitan.
Oleh itu, Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang memudahkan kepada sekalian hambaNya untuk segera bertaubat. Buku kecil ini layak dikonsumsi oleh semua peringkat usia, dapat membantu dalam urusan atau cara bertaubat, membincangkan permasalahan taubat yang perinsipil agar membuka minda dan kesedaran masyarakat tentang perlunya bersegera bertaubat.
Bagi sesiapa yang telah melakukan kesalahan atau merasa berdosa, sama ada besar atau kecil, yang telah lama berlaku atau yang baru saja dilakukan, maka tulisan ini membantu para pembaca cara-cara untuk bertaubat sebagaimana yang ditunjuk ajar dan dibimbing oleh syara.
Semoga tulisan yang dipenuhi dengan hujjah dan dalil-dalil dari al-Quran dan hadis ini dapat membetulkan konsep taubat dalam fikiran pelaku dosa, memberi keinsafan kepada mereka yang takutkan Allah, yang ingin keampunan-Nya, mengharapkan rahmat dari-Nya dan ingin menjadi generasi ahlus sunnah yang soleh dan yang bertakwa.
Dengan demikian, diharapkan mereka yang telah sedar akan hakikat sifat Allah Yang Maha Pengampun agar bersegera bertaubat tanpa dilengah-lengahkan lagi, kerana bertaubat dan meminta keampunan adalah perintah dari Allah yang telah tertera di dalam al-Quran dan hadis.
Moga-moga tulisan ini sentiasa diberkati oleh Allah Azza wa-Jalla dan dapat dimanfaatkan oleh para pembaca yang budiman.
------
Taubat Dan Pengertiannya
------
Pengertian taubat menurut syara ialah kembali kepada Allah dengan berpegang teguh kepada kewajipan yang diwajibkan kepada hambaNya. Meninggalkan laranganNya atau beralih dari setiap perbuatan yang dibenci kepada yang disenangi.
Orang yang bertaubat amat beruntung kerana kembali menjalankan perintah Allah dan menjauhkan larangannya. Inilah hakikat taubat sehingga Allah memberi kejayaan dan pahala kepada sesiapa yang mentaati hakikat ini. FirmanNya:
"Dan bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin! Semoga kamu mendapat kemenangan". (an-Nuur: 31)
Al-Quran menjelaskan bahawa Allah Maha Pengasih, Penyayang dan Maha Pengampun yang sentiasa mengampunkan segala dosa hambaNya yang mahu bertaubat. FirmanNya lagi:
"Katakanlah! Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnyanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)". (az-Zumar: 53-54)
Melalui Sifat Allah Yang Maha Pengasih dan Pengampun, Allah menjanjikan rahmat dan pengampunan dari semua dosa kepada hambaNya yang bertaubat. Allah Subhanahu wa-Ta'ala pula bertanya mengapa kamu tidak mahu bertaubat sedangkan taubat adalah amalan yang mulia di sisiNya sebagaimana firmanNya:
"Maka mengapa mereka tidak mahu bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Al-Maidah, 74)
"Dan Tuhanmu Maha Pengampun lagi melimpah-limpah rahmatNya". (Al-Kahfi, 58)
Oleh kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, melimpah-limpah rahmatNya dan mencintai hambaNya yang bertaubat, maka adalah suatu kesilapan bagi seseorang yang melambat-lambatkan taubatnya sehingga menunggu pada sesuatu masa yang tertentu, seperti menunggu di hari tua, setelah menunaikan haji, setelah bersara, setelah berilmu, setelah berjaya meninggalkan maksiat, setelah berkeluarga atau sebagainya. Maka melengah-lengahkan taubat seperti ini adalah suatu kejahilan dan kesilapan yang nyata. Sebenarnya Allah menyeru agar hambaNya sentiasa bersegera meminta keampunan dan bertaubat kepadaNya sebagaimana firmanNya:
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa". (Ali-Imran, 133)
Allah Subhanu wa-Ta'ala tidak akan membiarkan para hambanya bergelumang dengan berbagai dosa, oleh kerana itu Allah sentiasa membuka luas pintu taubat dan keampunannya kepada mereka yang mahu bertaubat. Allah memberikan contoh bahawa Nabi Adam dan Hawa telah bertaubat dari kesalahannya dan Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang menerima taubat mereka. Allah berfirman:
"Keduanya (Adam dan Hawa) berdoa, Ya Tuhan kami! Kami telah menganayai diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang merugi". (Al-Baqarah, 23)
"Kemudian Adam Menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang". (Al-Baqarah, 37)
"Kemudian Tuhan memilihnya (Nabi Adam 'alaihis salam), maka Dia menerima taubatnya dan memberi petunjuk". (Taha: 122)
------
Jangan Menzalimi Diri Sendiri
------
Manusia sebagai hamba Allah terbahagi kepada dua bahagian, pertama: Orang yang bertaubat dari kesalahannya dan kedua: Orang yang menzalimi dirinya sendiri. Dianggap orang yang menzalimi dirinya sendiri ialah orang yang tidak mahu bertaubat. Orang yang tidak mahu bertaubat seolah-olah tidak mengenali Tuhannya, tidak mengetahui hak-haknya yang diberikan oleh Allah kepadanya dan tidak melihat aib dirinya dan perbuatannya.
Manusia perlu sedar bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam walaupun sebagai seorang Nabi dan Rasulullah namun baginda disetiap hari sentiasa bertaubat sebagaimana sabda baginda:
"Wahai sekalian manusia! Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, kerana demi Allah, sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya lebih dari tujuh puluh kali dalam sehari".
Apabila bertaubat, bererti seseorang itu telah meninggalkan jalan orang yang sesat, terkutuk dan dimurkai Allah, kemudian kembali kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala dengan seluruh dimensi kesedaran di hatinya.
------
Cara-Cara Bertaubat
------
Antara cara-cara dan makna taubat menurut syara ialah:
Menyedari besarnya dosa yang dilakukan sehingga menyesalinya dan menggeruni balasannya yang akan tertimpa diakhirat kelak jika tidak bertaubat, sebagaimana sabda Rasullullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:
"Menyesali (dosa) itu adalah taubat". (H/R Ahmad dan Ibn Majah. Sahih al-Jam'i. 6802)
Berniat serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan dosa yang telah dilakukan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi.
Meninggalkan setiap apa yang dibenci dan diharamkan oleh Allah lahir dan batin, lantas beralih kepada yang dicintai dan diredhaiNya.
Bertaubat dengan taubat nasuha sebagaimana firman Allah:
"Hai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang semurni-murninya), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai". (At-Tahrim, 8)
Sememangnya sudah tercangkup dalam agama Islam pengertian taubat. Kerana taubat adalah hakikat Islam, iman dan ihsan yang meliputi semua tingkatan ibadah, amal dan tingkah laku seorang mukmin, dari awal hinggalah kepengakhir hidupnya. Oleh itu, setiap mukmin wajib menyedari dan mengetahui hakikat taubat dan menerapkan dalam ilmu dan kehidupannya. Orang yang suka bertaubat amat mulia di sisi Allah dan dicintaiNya. Allah Azza wa-Jalla bergembira dengan taubat seseorang mukmin sehinggalah ia menjadi kekasihNya. (Rujuk: Madarajus Salikin jld. 1 hlm. 187 Ibn Qayyim) Allah berfirman:
"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang mahu bertaubat dan orang-orang yang mahu membersihkan dirinya sendiri". (Al-Baqarah, 2: 222)
Orang yang leka atau tidak mahu bertaubat, kemudian menyerahkan nasibnya kepada qada dan qadar, maka ia adalah seorang yang amat jahil, telah meninggalkan perintah Allah, seorang yang sombong, tidak sedar diri, dan telah menzalimi darinya sendiri sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:
"Dan barangsiapa yang tidak mahu bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Al-Hujurat, 49:11)
Allah menyeru dan memerintahkan agar hambaNya yang berdosa sering bertaubat dengan taubat nasuha (taubat yang murni). Perlulah diketahui dan disedari bahawa Allah Yang Maha Pengasih dan Pengampun sentiasa menerima taubat seseorang walau bagaimanapun besarnya dosa yang telah dilakukan. Allah berfirman:
"Tidakkah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat hamba-hambanyaNya". (At-Taubah, 9:104)
Bertaubat bukan sahaja merupakan perintah Allah, tetapi taubat adalah nikmat dan penghapus segala dosa sehingga tiada hadnya dosa yang diampunkan. Dosa di pagi hari terhapus lantaran taubat di waktu petang dan dosa di siang hari terhapus lantaran taubat di waktu malam. Bagitulah janji Allah di dalam firmanNya:
"Hai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai".
"Dan Dialah yang menerima taubat dari hambaNya dan mengampunkan segala dosa dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan". (As-Syura, 43:25)
"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubatlah kepadaNya (jika kamu mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberi kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa Hari Kiamat". (Hud, 11:3)
"Dan hendaklah kamu meminta keampunan kepada Tuhanmu dan bertaubat kepadaNya". (Hud, 3)
Dari Abu Musa al-Asy'ari radiallahu 'anhu beliau menceritakan: Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya Allah Azza wa-Jalla membentangkan tanganNya di malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di siang hari dan membentangkan tanganNya di siang hari untuk menerima taubat orang yang berdosa di malam hari. Demikianlah seterusnya sehingga sampai matahari terbit dari barat (Kiamat)". (H/R Muslim)
Demikianlah keutamaan taubat sehingga orang yang meninggalkan taubat dianggap membiarkan dirinya dalam dosa dan menzalimi dirinya sendiri. Predikat zalim hanya hilang apabila dihapuskan dengan bertaubat dan mengamalkan yang diperintah serta meninggalkan yang dilarang.
------
Syarat-Syarat Taubat
------
Mengikut Manhaj Salaf as-Soleh, antara syara-syarat taubat yang wajib dipenuhi agar taubat di terima oleh Allah Azza wa-Jalla ialah:
Berazam dan bertekad untuk meninggalkan (tidak akan mengulangi lagi) perbuatan dosa yang telah dilakukan.
Kesal (menyesali) dan berduka di dalam hati terhadap perbuatan dosa yang dibuat.
Bersegera meninggalkan dosa yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah.
Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.
------
Hukum Taubat
------
Sepakat para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh mengatakan bahawa: "Bertaubat dari segala dosa hukumnya wajib bagi setiap muslim lelaki dan perempuan, kerana manusia selain nabi dan rasul tidak sunyi dari dosa (tidak maksum)".
Rasulullah bersabda:
"Setiap Bani Adam mereka itu bersalah dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat".
Hadis di atas menyatakan bahawa semulia-mulia manusia adalah yang bertaubat apabila menyedari dirinya telah melakukan dosa atau bersalah. Allah Azza wa-Jalla pula telah memerintahkan setiap mukmin agar mereka segera bertaubat, janganlah ditangguh-tangguh atau dilewat-lewatkan. Adapun antara dalil-dalil dari al-Quran tentang wajibnya segera bertaubat ialah:
"Bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin kepada Allah semoga kamu mendapat keuntungan". (An-Nur. 31)
Bertaubat adalah amalan para Nabi, para Rasul, para sahabat, tabi'in, tabi'ut at-tabiin (para salaf) dan orang-orang soleh. Perkara ini telah digambarkan di dalam ayat-ayat al-Quran:
"Kemudian Adam menerima beberapa kalimah dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang". (Al-Baqarah, 2:37)
Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar, yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka". (At-Taubah, 9:117)
"(Iaitu) bahawasanya barangsiapa yang berbuat kejahatan antara kamu lantaran kejahilan, kemudian ia bertaubat setelah mengerjakannya dan mengadakan perbaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Al-An'am, 6:54)
"Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang antara mereka (barulah) ia mengatakan: Sesungguhnya saya bertaubat sekarang. Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran". (An-Nisa, 4:17-18)
Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah berdoa dengan doa meminta pengampunan dan taubat sebagaimana yang berikut ini:
"Ya Tuhanku! Ampunkanlah diriku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Penerima taubat dan Maha Pemberi rahmat". (H/R Turmizi. Dan berkata Turmizi: Hadis hasan sahih)
------
Tanda-Tanda Diterimanya Taubat
------
Petanda seseorang itu bertaubat dan telah diterima taubatnya telah dijelaskan oleh Ibnul Qayyim rahimahullah. Antara tanda-tanda tersebut ialah:
Setelah bertaubat, seseorang hamba itu lebih baik dari sebelumnya.
Terus diselubungi rasa takwa dan takut terhadap dosanya dan tidak pernah merasa aman dari siksa Allah walau sekelip mata.
Terlepas dari cengkaman dosa yang dilakukan kerana penyesalan dan rasa takutkan dosa.
Lembut hatinya setelah bertaubat dengan kelembutan yang sempurna, sehingga tunduk kepada Allah walau dalam keadaan marah dan sentiasa dalam kekhusukan. (Lihat: Madarajus Salikin. Jld. 1)
Allah Azza wa-Jalla telah menggambarkan ciri-ciri atau keadaan orang yang telah bertaubat di dalam firmanNya, bahawa mereka sentiasa beramal soleh dengan cara mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh berbuat baik dan melarang dari mengerjakan yang mungkar:
"Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang melawat (mencari ilmu, berjihad, berpuasa), yang menyuruh berbuat makruf dan menegah berbuat mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin". (At-Taubah, 9:112)
"Jika mereka bertaubat (mereka) mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-mara mu seagama".
Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah menggambarkan di dalam al-Quran tentang sikap mereka yang telah bertaubat dan ikhlas dalam taubatnya, bahawa mereka bertambah kuat iman dan amalnya, memperbaiki ibadahnya dengan cara banyak beramal soleh, belajar ilmu-ilmu agama, konsisten dan sentiasa beriltizam. Firman Allah:
"Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun". (Maryam, 19:60)
"Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) mereka kerana Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar". (An-Nisa, 4:146)
------
Taubat Nasuha
------
Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa bertaubat nasuha atau taubat yang murni adalah dituntut oleh syara berdasarkan firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu sekalian dengan taubat nasuha (taubat yang murni)" (At-Tahrim, 8)
Ibnul Qayyim al-Jauziyah rahimahullah telah menjelaskan cara-cara taubat nasuha:
Pertama: Meminta pengampunan (taubat) yang meliputi segala dosa-dosa maksiat tanpa ada kecualinya, sehingga tidak ada dosa yang tidak disertakan dalam taubatnya.
Kedua: Membulatkan tekad dan kejujuran hati dengan sepenuhnya supaya tidak menyiksa pada dirinya keragu-raguan, kekesalan atau menanti-nanti (masa bertaubat). Tetapi seorang hamba harus mengerahkan segala keinginan dan ketekadannya untuk segera bertaubat.
Ketiga: Memurnikan taubat dari berbagai noda dan penyakit yang mengganggu keikhlasan bertaubat.
Seterusnya memastikan agar taubat itu benar-benar dari rasa takut, kesedaran dan gentar terhadap siksa Allah, mengharapkan apa yang ada di sisiNya dan khawatir terhadap ancamanNya. Jauhilah diri dari cara taubatnya orang-orang yang hanya ingin mempertahankan maruah dan kehormatannya, kedudukannya, jawatannya, kepemimpinannya untuk memelihara kekuasan dan harta bendanya, atau demi mendapatkan pujian orang banyak, takut pada penghinaan manusia agar orang-orang yang bodoh tidak memperbodohkan dan menghinanya, atau sekadar memenuhi sifat rakusnya terhadap dunia, atau kerana muflis yang tidak berdaya lagi, atau taubatnya lantaran penyakit yang tersembunyi yang telah merosakkan kebenaran dan ketulusan taubatnya kepada Allah Azza wa-Jalla. (Lihat Madarijus Salikin Jld.1 Hlm. 178)
Ketiga-tiga perkara di atas yang dijelaskan oleh Ibn Qayyim sewajarnya difahami dan dipenuhi apabila bertaubat, kerana dengannyalah taubat nasuha seseorang itu akan diterima oleh Allah Azza wa-Jalla.
------
Dosa Umpama Penyakit Yang Merbahaya
------
Orang yang berpenyakit memerlukan ubat dan rawatan. Dosa diumpamakan penyakit rohani yang bertempat di hati sebagaimana firman Allah:
"Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya". (Al-Baqarah, 2:10)
Taubat merupakan terapi, pengubat dan penghapus segala dosa (penyakit) dan pembersih kekotoran hati yang dicemari oleh dosa. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam disebuah hadis baginda:
"Dari Abu Hurairah radiallahu anhu, beliau berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah bersabda: Sesungguhnya jika seorang mukmin itu melakukan dosa, maka dosa itu menjadi noktah hitam di dalam hatinya. Lalu jika dia bertaubat, melepaskan dosanya dan memohon keampunan, maka hatinya menjadi bersinar. Yang demikian itulah tutupan yang disebut Allah Azza wa-Jalla dalam kitabNya: Sekali-kali tidak (demikian)! Sebenarnya dosa yang selalu mereka lakukan itu menutup hati mereka". (Ayat di surah al-Muthaffifin, 14. Menurut At-Tirmizi hadis ini hasan sahih. Minhajul Qasisin. Ibnu Qudamah. Hlm. 388)
Al-Hasan radiallahu 'anhu pula berkata:
"Kebaikan adalah cahaya di dalam hati dan kekuatan bagi tubuh. Sedangkan dosa merupakan kegelapan di dalam hati dan kelesuan bagi tubuh". (Lihat: Minhajul Qasidin. Hlm. 388. Ibnu Qudamah)
Oleh itu, janganlah dibiarkan hati gelap, lesu dan tersiksa kerana berpenyakit, ubati dan rawatlah hati dengan banyak meminta pengampunan kepada Allah Yang Maha Pengampun dengan segera dengan cara bertaubat.
------
Taubat Nasuha Menghapuskan Semua Dosa
------
Menurut ulama tafsir, semua dosa akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala lantaran taubat nasuha. Sama ada yang besar seperti kufur, syirik atau murtad dan tercangkup dosa-dosa yang lebih rendah dari itu juga akan terampun.
Adapun keraguan bahawa dosa-dosanya terlalu banyak untuk diampunkan oleh Allah sehingga berat untuk bertaubat, maka Seyikh Muhammad Soleh al-Munajjid berkata punca-puncanya ialah dikeranakan oleh:
Ketidak-yakinan seseorang terhadap luasnya rahmat Allah dan kasih sayangNya.
Lemahnya iman dan keyakinannya terhadap kuasa Allah yang mampu mengampuni keseluruhan dosa makhlukNya.
Kurang berharap, berdoa, mengingati dan tawadhu' kepada Allah.
Tidak berkeyakinan bahawa taubat itu pasti menghapuskan semua jenis dosa disebabkan rahmat Allah. (Lihat: اريد ان اتوب ولكن Muhammad Soleh al-Munajjid)
Allah tidak pernah merasa rugi atau kekurangan jika mengampunkan segala dosa hambaNya yang meminta pengampunan. Pengampunan Allah Azza wa-Jalla sentiasa diberikan kepada hambaNya yang bertaubat kerana rahmatNya meliputi segala-galanya. Firman Allah Subhanahu wa-Ta'ala:
"Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu". (Al-A'raf, 156)
"Katakanlah! Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan semua dosa". (Az-Zumar, 53)
Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah bersabda:
"Orang yang bertaubat dari dosanya bagaikan orang yang tidak mempunyai dosa sama sekali". (H/R Ibn Majah. Sahih al-Jami'. 2008)
------
Pintu Taubat Sentiasa Terbuka
------
Pintu taubat sentiasa terbuka kecuali setelah roh berada di kerongkongan (sakaratul maut). Dan taubat belum tertutup sebelum mata hari terbit dari barat (Kiamat). Sebagaimana sabda Rasulullah sallahu 'alaihi wa-sallam:
"Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum rohnya berada di kerongkongan (Sakaratul maut), maka Allah menerima taubatnya". (H/R Ahmad dan Turmizi. Sahihul Jami' 6132)
"Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, maka Allah menerima taubatnya". (H/R Muslim)
Segala hujjah berupa ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis sahih dan penjelasan para ulama yang tertera di atas, semuanya menunjukkan bahawa pintu dan peluang untuk bertaubat sentiasa dibuka luas oleh Allah kepada sekalian hamba-hambaNya.
Tidak ada perbuatan durjana, keji dan mungkar yang tidak diampunkan jika pelakunya bertaubat nasuha, oleh itu rebutlah peluang dan kesempatan ini sebelum menemui kematian yang menakutkan.
Semoga semua penjelasan di atas dapat dicernakan di hati, difahami dan diamalkan. Dan akhir sekali, dengan penuh harapan kita bermohon kepada Allah Yang Maha Agung agar memberikan kepada kita kemudahan untuk memperbaiki amalan kita, menjauhkan kita dari maksiat dan menjadikan kita insan yang berkemampuan dan dimudahkan untuk beramal soleh, bertaubat nasuha dan bertakwa. Amin Ya Rabbal 'Alamin!
(Surah an-Nahl: ayat 125)
No comments:
Post a Comment