ADA orang tidak takut atau gusar nikmat di sisinya hilang, bahkan selalu bergembira. Gembiranya kerana nikmat itu semata-mata, lebih-lebih lagi mengenangkan keupayaan dan kejayaan dirinya mendapatkan nikmat terbabit, bukannya atas kesedaran ia adalah satu kurniaan Allah.
Menurut ilmuan, golongan yang dilanda situasi itu diistilahkan sebagai orang yang bersifat ujub. Dalam Kamus Dewan, kata ujub merujuk kepada perkataan Arab yang membawa makna kagum terhadap diri sendiri, angkuh, bongkak dan ego.
Menurut ilmuan, golongan yang dilanda situasi itu diistilahkan sebagai orang yang bersifat ujub. Dalam Kamus Dewan, kata ujub merujuk kepada perkataan Arab yang membawa makna kagum terhadap diri sendiri, angkuh, bongkak dan ego.
Bagaimanapun, selagi hati yang dikuasai perasaan mengakui nikmat itu kurniaan Allah yang berada di bawah kekuasaan dan kehendak-Nya, sama ada mahu dikekalkan atau diambil-Nya semula pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya, selama itu sifat ujub terkikis daripada hati seseorang.
Berdasarkan penjelasan di atas, menunjukkan ujub bolehlah difahami sebagai sifat kehairanan (berasa hairan) atau kagum bercampur bangga dengan sesuatu nikmat yang diperoleh atau dimiliki. Di samping itu, diri lupa kepada Allah yang memberikan nikmat terbabit.
Jika perasaan terbabit ditambah dengan perasaan yang diri mempunyai hak di sisi Allah (seolah-olah diri memaksa Allah memberikan hak) atau dengan amalnya, diri diberi kedudukan di sisi Allah yang melayakkannya diberi kemuliaan di dunia dan berasa diri jauh daripada bencana keburukan yang selalu menimpa orang fasik dan derhaka, perasaan itu diistilahkan sebagai ‘idlal’ iaitu seolah-olah dia berasa dimanja oleh Allah.
Kedua-dua sifat iaitu ujub dan idlal ada perbezaan, dengan yang pertama hanya berasa hairan atau kagum bercampur bangga pada sesuatu nikmat sementara yang kedua, ditambah dengan mengharapkan balasan yang lebih besar daripada yang diusahakan.
Jika diibaratkan, sifat ujub adalah pintu yang membawa kepada sifat takabur dan sifat takabur pula akan mengundang pelbagai penyakit dan keburukan. Keburukan ini adalah akibat daripada sifat ujub terhadap sesama makhluk.
Seseorang yang bersifat ujub, selalunya lupa untuk menyelidiki kekurangan dalam ibadat dan kebaikan yang dilakukannya, sedangkan kealpaannya itu boleh mengakibatkan ibadatnya menjadi sia-sia, jika benar ada kecacatan dalam ibadatnya.
Orang yang dilanda sifat ujub sebenarnya orang yang terpesona dan terpedaya, merasakan dirinya selamat daripada ujian Allah dan seksaan-Nya.
Seterusnya orang terbabit merasakan dirinya mempunyai kedudukan di sisi Allah dan berpendapat setiap ibadatnya berhak mendapat ganjaran, sedangkan hakikatnya ia adalah nikmat dan pemberian Allah.
Jika seseorang itu bersifat ujub, sama ada dengan pendapatnya, ilmuya atau daya fikirannya, akan mengakibatkan dirinya angkuh dan tidak mahu untuk bertanya, malah tidak mahu mendengar pendapat orang lain kerana merasakan dirinya sentiasa betul dan benar.
Titik ini bermulanya segala bentuk keburukan seperti sikap keras kepala, malah akan lebih memburukkan lagi jika dia berbangga dengan pendapatnya yang salah, dirasakan betul, tetapi sebenarnya jauh menyimpang daripada kebenaran.
Dia bukan saja berasa bangga dengan pendapatnya, malah memandang kecil pendapat orang lain dan membenci orang terbabit.
Justeru, dia berasa dirinya tidak perlu diberikan nasihat dan peringatan. Jika demikian, dirinya akan berterusan dalam kesilapan dan kesalahan.
Sekiranya sikap ujubnya itu membabitkan perkara duniawi, mungkin ia tidaklah membawa kerugian besar, tetapi bagaimana apabila membabitkan perkara keagamaan seperti akidah? Sudah pasti akan membinasakan diri sendiri dan kerugian yang amat besar.
Berbahaya juga apabila sifat buruk ini mengakibatkan seseorang menjadi malas, tidak aktif dan kurang berusaha kerana menyangka dia sudah berjaya dan sudah cukup segala-galanya. Sifat ini boleh menyerang sesiapa saja, tidak mengira tua atau muda.
Misalnya seorang pelajar menyangka dirinya sudah pandai, lalu dia merasakan tidak perlu mengulang kaji pelajaran, tidak perlu membaca buku dan akhirnya malas untuk ke sekolah. Tidakkah ini akan menyebabkan pelajar terbabit kandas dalam peperiksaan?
Jelas, sifat ujub adalah sifat tercela dan sepatutnya setiap individu berwaspada terhadapnya, jangan membiarkannya tumbuh dan bermaharajela di dalam diri.
>Info
Antara keburukan sifat ujub terhadap Allah:
Sekiranya dia mengingati dosa yang lalu, dia hanya menganggapnya kecil atau dipandang sebelah mata, sekali gus tidak berusaha untuk menebusnya kerana dia menyangka Allah sudah memaafkan dan mengampunkan dosanya.
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam banyak medan perang dan perang Hunain, semasa kamu bermegah dengan bilangan kamu yang ramai; maka ia tidak memberi faedah kepadamu sedikit pun; dan bumi yang luas itu menjadi sempit kepadamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” (at-Taubah:25)
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)
(Surah an-Nahl: ayat 125)
No comments:
Post a Comment