^ Scroll to Top

Saturday, September 20, 2008

Ramadan masa buang tabiat buruk

RAMADAN saban tahun mampir dengan penuh rahmat dan berkat. Selain disyariatkan berpuasa selama sebulan, umat Islam amat digalakkan juga kita meningkatkan ibadat wajib dan sunat ke tahap maksimum. Apatah lagi, mengetahui akan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dan pintu keampunan yang terbuka luas pada bulan penuh kelebihan ini.
Wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, REDWAN ADMAN menemu bual Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh bagi merungkai kemelut yang dihadapi kaum wanita acap kali tibanya Ramadan.
MEGA: Lumrahnya kaum wanita ada cuti khas pada setiap bulan. Jadi bagaimana perlunya pengisian Ramadan agar lebih bermanfaat?
NIK SALIDA: Sewaktu wanita tidak diizinkan berpuasa dalam bulan Ramadan kerana haid atau nifas, mereka masih boleh memanfaatkan Ramadan dengan amal ibadat yang lain seperti bersedekah, memberi makan khusus kepada orang yang berbuka puasa, mendengar orang bertadarus, berselawat, bertasbih, berzikir dan sebagainya.
Di samping itu, wanita masih boleh merebut kelebihan Ramadan dengan mewakafkan tenaga dan masa kepada orang yang berpuasa. Contohnya, menyediakan makanan untuk bersahur dan berbuka. Apatah lagi jika mereka mampu bersedekah dan memberi makan kepada orang yang berpuasa.
Perlu diingat bahawa menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa tinggi fadilatnya. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, nescaya ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.” (riwayat Ahmad dan An-Nasai serta dinyatakan sahih oleh Al-Albani)
Walaupun bunyinya mudah, tidak semua orang tergerak hati untuk melaksanakan semua ini melainkan mereka yang merasai betapa berharga mengejar jutaan kebaikan di bulan yang mulia ini.
Satu perkara yang tidak asing dalam masyarakat Islam terutamanya kaum wanita kita ialah kesibukan mereka pada 10 malam terakhir Ramadan. Bagaimana perlu diperjelaskan kerugian mereka yang meninggalkannya?
NIK SALIDA: Kesibukan wanita pada 10 malam terakhir Ramadan ialah dengan membuat persiapan hari raya seperti penyediaan juadah hari raya, menjahit langsir atau kelengkapan rumah yang lain, menghias rumah pada malam hari kerana siangnya berkerja.
Malah ada juga yang tiada pun alasan melainkan tidak tergerak hati untuk merebut peluang keemasan mendapat keistimewaan malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar.
Persediaan untuk berhari raya sehingga meninggalkan ibadat-ibadat sunat pada 10 malam yang terakhir yang boleh membebaskan umat Islam dari api neraka adalah amat merugikan kerana ia datang setahun sekali.
Kebetulan ibadah bulan Ramadan ini kebanyakannya ibadah badani, iaitu ibadah yang banyak melakukan gerakan badan, seperti bangun sahur, menahan lapar dan dahaga, solat tarawih, qiam dan sebagainya, maka individu Muslim sepatutnya bijak menguruskan masa agar waktu malam tidak dikorbankan untuk tidur sahaja sebaliknya, carilah rehat yang cukup untuk memanfaatkan malam terutamanya 10 yang terakhir untuk beribadat.
Kaum wanita khususnya adalah diseru agar mengetahui keutamaan mereka dalam melakukan sesuatu perkara, yang mana ibadah, yang mana wajib, yang mana sunat, bahkan yang mana haram dilakukan dalam menyambut bulan kegembiraan umat Islam ini.
Malah lebih mengharukan, apabila ada ibu-ibu yang memaksa anak-anak turut serta berjaga malam membantu membuat biskut raya, bukannya mengambil peluang membimbing anak-anak bagaimana untuk menambahkan ibadat sunat di bulan Ramadan.
Selalunya orang mengatakan bahawa bulan Ramadan adalah bulan untuk berhenti merokok, bagaimana pula tabiat buruk kaum wanita yang boleh diperbaiki menerusi Ramadan?
NIK SALIDA: Kalau wanita juga merokok, tentulah mereka cuba berhenti merokok, kerana puasa ialah menahan diri dari sesuatu, termasuklah hawa nafsu untuk merokok. Tabiat buruk lain kaum wanita yang boleh diperbaiki menerusi Ramadan ialah bangun di awal pagi, kerana lumrahnya kaum wanita perlu menguruskan rumah tangga, kalau mereka tidak berdisiplin dalam urusan pengurusan rumah tangga, sudah tentulah mereka akan menghadapi masalah kelak.
Disebabkan puasa ialah menahan diri daripada sesuatu, ia termasuklah menahan diri daripada mengumpat dan mengeji serta mengeluarkan perkataan-perkataan yang buruk apabila berbicara, tidak berbohong, berbicara kotor, curang, tidak jujur, menyakitkan hati dan sebagainya. Dari Abu Hurairah, berkata: Nabi SAW bersabda: Barang siapa tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan curang, maka Allah sama sekali tidak memerlukan perbuatannya meninggalkan makan dan minum. (riwayat Bukhari)
Wanita juga perlu menjauhi perbuatan suka bertengkar, mencerca, memaki, mencuri, meninggalkan sembahyang, tidak menutup aurat dan sebagainya. Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah dikatakan berpuasa kerana tidak makan dan minum. Akan tetapi yang dinamakan puasa ialah kerana meninggalkan ucapan yang sia-sia dan perbuatan yang buruk. Kerana itu, jika ada orang yang memakimu, katakanlah kepadanya, Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa.”
Hadis riwayat Muslim pula mengatakan bahawa beza orang yang kufur dan orang Islam ialah solat, iaitu: Di antara hamba dan kekufuran itu ialah meninggalkan sembahyang.
Justeru, amatlah penting wanita menganggap dirinya sentiasa berpuasa daripada mencaci, berbohong, bercakap perkara yang sia-sia, mengumpat dan sebagainya walaupun setelah usai Ramadan kerana Ramadan boleh melatih wanita melakukan semua itu jika mereka nekad.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template