Alhamdulillah, setakat ini kebanyakan daripada kita berjaya melakukannya dengan sebaik mungkin. Tetapi sejauh mana kita memenuhi pengertian puasa ini? Adakah ia sekadar ibadat tradisi sebulan dalam setahun? Masih banyak yang perlu kita insafi dan mengerti mengenai ibadat puasa ini. Contoh paling hampir, yang bagi kebanyakan orang belum mengerti erti puasa ialah soal makan. Minggu pertama ini mungkin ramai yang lebih selesa berbuka di rumah. Esok dan hari-hari seterusnya mungkin lebih ramai yang berbuka di luar bagi mengubah selera. Setidak-tidaknya akan berkunjung ke gerai-gerai jualan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Ketika itu isu kenaikan harga makanan mungkin tenggelam seketika. Namun dalam apa keadaan sekalipun, jadikanlah Ramadan ini bulan untuk kita berjimat cermat serta benar-benar menahan nafsu makan.
Makanlah sekadar yang perlu sama ada semasa bersahur atau berbuka.
Firman Allah bermaksud: Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan (Al A’raaf: 31)
Ingatlah bahawa puasa itu boleh menyihatkan badan dan melatih diri supaya hidup berdisiplin. Namun segala-galanya akan menjadi sebaliknya jika tabiat makan kita berubah kepada yang tidak baik. Tidak dinafikan, di kalangan sesetengah orang, Ramadan mengubah tabiat makan mereka. Bulan puasa bertukar menjadi pesta makan. Di sana sini pelbagai promosi makanan diadakan. Di televisyen, ustaz dan ustazah yang selama ini asyik berceramah juga sama-sama ‘memasak’ dengan chef-chef jemputan. Adakah Ramadan ini bulan puasa atau bulan makan? (Fasting or Feasting?). Berbuka dan bersahur adalah satu kemestian tetapi jangan sampai membazir!
Ingatlah Firman Allah yang bermaksud: ‘‘Makanlah di antara rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepadamu dan janganlah melampaui batas padanya yang menyebabkan kemurkaan-Ku menimpamu. Dan barang siapa ditimpa oleh kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah ia’’ (Thaha: 81).
Alangkah baiknya jika makanan yang berlebihan itu disalurkan kepada mereka yang memerlukan kerana puasa juga mendidik umat merasai bagaimana penderitaan orang miskin yang lapar dan dahaga.
Seperti disebut sebelum ini, puasa boleh menyihatkan tetapi malangnya ramai yang makan dalam keadaan tidak sihat. Manusia menjadi rambang mata atau ‘lapar mata’ melihat begitu banyak juadah di bazar Ramadan. Kadang-kala semua 10 jari digunakan untuk membawa bungkusan makanan - ayam percik, ikan bakar, murtabak, bubur lambuk, nasi kerabu, otak-otak, pelbagai jenis kuih muih, cendol, air bandung, tebu, soya dan macam-macam lagi. Malahan hanya dengan dua jari, mereka mampu membawa 10 bungkusan plastik berisi pelbagai jenis makanan dan minuman. Begitulah nafsu makan pada bulan Ramadan. Bagaikan orang mengandung yang sedang mengidam - ketika inilah selera terbuka luas untuk makan itu dan ini. Akhirnya, ada juga yang membazir makanan apabila juadah yang dibeli tidak habis dimakan sama ada semasa berbuka atau bersahur. Oleh itu bersederhanalah. Belanjalah mengikut keperluan bukan menurut kemahuan.
Justeru. ketika iftar, elakkan daripada mengisi perut sepenuh-penuhnya sehingga susah hendak bernafas, ibarat ular sawa kekenyangan. Pilihlah makanan yang sihat semasa berbuka. Mulakan dengan buah kurma seperti amalan Rasulullah SAW.
Akhirnya mana satu tingkatan puasa anda?
- Adakah anda dalam golongan awam iaitu yang hanya menahan diri daripada makan/ minum dan bersetubuh sahaja?
- Puasa golongan Ahlul Khawas iaitu orang yang menahan makan, minum serta syahwat kerana Allah dengan mengharapkan keampunan dan syurga, terhindar dari neraka.
- Puasa golongan Ahlul Makrifat iaitu orang yang menahan diri daripada makan dan minum serta syahwat juga menahan hati dan segala pancaindera daripada segala yang tidak disukai Allah kerana semata-mata mengharapkan keredaan Allah.
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)
(Surah an-Nahl: ayat 125)
No comments:
Post a Comment