^ Scroll to Top

Saturday, September 20, 2008

Bani Israel ingkari nikmat Ilahi dilaknat jadi monyet, khinzir

KEHIDUPAN di padang pasir yang kering kontang menyebabkan sumber
makanan berkurangan dan keadaan itu membangkitkan kemarahan bani
Israel yang mula menyalahkan Nabi Musa serta Harun yang mengajak
mereka keluar dari Mesir.

Mereka sudah mula nampak kematian. Di padang pasir yang tandus itu
mereka bagaikan hilang kepercayaan kepada Maha Kuasa yang berupaya
menurunkan makanan kepada hamba-Nya.

Allah memberitahu Nabi Musa bahawa Ia mendengar segala rintihan bani
Israel. Pada petangnya, angin bertiup membawa bersama burung salwa
sehingga menutupi bumi yang kering kontang itu. Burung itu ditangkap
dan dimasak oleh bani Israel.

Keesokan paginya, turun pula manna, tepung berwarna putih bagaikan
tepung gandum atau jagung. Rasanya menyerupai tepung apabila dicampur
dengan madu. Manna turun bagai embun pagi dan perlu dipungut segera
sebelum cair terkena sinaran matahari.

Nabi Musa memberitahu kaumnya bahawa itulah tepung untuk membuat roti
yang Allah turunkan kepada mereka. Setiap orang hanya dibenar
mengambil kira-kira satu umir atau 8.5 liter setiap hari.

Manna dan salwa diturunkan Allah kepada bani Israel setiap hari
kecuali Sabtu. Mereka harus mengumpul makanan itu pada Jumaat untuk
kegunaan Sabtu kerana Allah menurunkannya sekali ganda pada Jumaat.

Ada juga yang mengumpulnya pada hari lain, namun pada hari berikutnya
ia rosak dan berulat. Bagaimanapun makanan yang mereka kumpul pada
Jumaat tidak rosak dan boleh digunakan keesokan hari.

Begitulah nikmat yang Allah turunkan kepada bani Israel. Pada cuaca
yang panas Allah menaungi mereka dengan awan dan ketika ketiadaan
makanan Allah turunkan manna serta salwa. Namun, mereka tetap tidak
mensyukuri nikmat Allah.

Allah memerintah bani Israel menghormati Sabtu kerana hari itu
kelepasan untuk mengabdikan diri kepada Allah dan beribadah. Wasiat
keempat daripada 10 wasiat Nabi Musa kepada umatnya melarang mereka
bekerja pada Sabtu.

Mereka menangkap ikan sepanjang minggu kecuali Sabtu, namun mencukupi
untuk menyara mereka seminggu. Allah menguji keimanan bani Israel
pada Sabtu apabila banyak ikan timbul dan bermain di permukaan air.

Sekumpulan daripada mereka menjadi tamak dan mencari helah lalu
mengepung ikan itu pada Sabtu dan menangkapnya pada hari berikut.
Pada mereka, larangan Allah ialah menangkap ikan dan mereka hanya
mengepung tetapi tidak menangkapnya.

Nasihat dan teguran ahli agama mereka abaikan lalu Allah menukar
mereka kepada monyet dan khinzir. Selepas beberapa hari tidak
kelihatan, rakan menjengok mereka di rumah dan terperanjat melihat
apa yang berlaku. Monyet dan khinzir itu mati akhirnya.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template