^ Scroll to Top

Friday, September 4, 2009

Mengungkap rahsia urutan surah al-Quran

Pelbagai ilmu yang tersimpan di dalam kitab suci suburkan iman jika diamal setiap Muslim

PERNAHKAH anda terfikir mengapa al-Quran yang mengandungi 114 surah dimulakan dengan al-Fatihah diikuti surah al-Baqarah, Ali 'Imran dan diakhiri dengan surah al-Nas dengan sebelumnya adalah surah al-Falaq dan al-Ikhlas? Apakah rahsia di sebaliknya dan manfaat yang boleh kita ambil daripadanya?

Al-Quran ialah semulia kitab dan tidak diragukan ia Kalamullah mengatasi segala kalam. Mushaf yang ditulis Kalamullah wajib dihormati, dimuliakan dan tidak mendedahkannya kepada penghinaan serta pencemaran.

Al-Quran seperti disifatkan Baginda Rasulullah maksudnya: "(Berpegang) kepada kitab Allah yang sudah menceritakan orang sebelummu dan berita orang sesudahmu, dan sebagai penghukum apa yang terjadi antara sesamamu. Kitab Allah adalah firman yang memisahkan antara hak dan batil serta bukan senda gurau, orang yang meninggalkan kitab Allah daripada orang yang sombong, Allah akan membinasakannya, orang yang mencari petunjuk selain kitab Allah, maka Allah akan menyesatkannya, kitab Allah adalah (tali) Allah yang kuat, ia juga kitab yang penuh hikmah, jalan yang lurus, ia tidak condong pada hawa nafsu, tidak berat pada setiap lisan, alim ulama tidak akan kenyang padanya, ia tidak usang oleh banyak diulang (bacaannya), ia tidak habis keajaibannya, ia tidak hentinya, tatkala jin mendengarnya, mereka berkata: (Sesungguhnya kami sudah mendengar al-Quran menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan benar, lalu kami beriman kepadanya). Barang siapa berkata dengan al-Quran, maka benarlah dia, barang siapa yang mengamalnya, dia diberi pahala, orang yang menetapkan hukum dengannya maka dia adil dan barang siapa mengajak kepada al-Quran, ia mendapat petunjuk pada jalan yang lurus. Ambillah (kata yang baik) hai A'war." (Hadis riwayat Tirmizi)

Dalam hadis ada menyatakan 'ulama tidak kenyang padanya, ia tidak usang oleh banyaknya diulang (bacaannya), ia tidak habis keajaibannya.' Kita sudah menjumpai bukti kebenaran ucapan hadis ini. Kita dapati ulama menemukan perkara baru selepas merujuk kepadanya; kita dapati manusia tidak pernah bosan mendengarkannya dan kita dapati banyak keajaiban yang timbul daripadanya.

Ulama yang arif mengeluarkan banyak ilmu daripada al-Quran; ulama yang bijak pandai sudah banyak mengeluarkan hukum yang jitu daripada al-Quran; ulama yang ikhlas lagi setia banyak mengungkap rahsia al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan membuka tabir keagungan Allah Taala.

Tiada satu kitab pun di dunia ini yang boleh dibandingkan dengan al-Quran. Tidak ada satu kitab pun di dunia selain al-Quran yang sangat menarik perhatian manusia dari segi bahasa, tatabahasa, sastera, kandungan bahkan jumlah kata dan hurufnya sehingga ulama mengira bahawa lafaz 'Allah' dengan fathah (di atas) ialah 591, dengan kasrah (di bawah) 1,131 dan dengan dammah (di depan) berjumlah 974. (Al-Madisi, Fath al-Rahman, 489)

Melalui tadabbur al-Quran kita mendapati gaya bahasa dan metod persembahan dalam menyampaikan mesejnya sungguh bergaya. Tatabahasa tepat, penyampaian menarik, struktur ayat yang indah dan pilihan perkataan yang cantik hanya sebahagian daripada pesona memukau bagi menggamit insan bertadabbur terhadap wahyu Ilahi.

Satu cabang ilmu al-Quran yang diciptakan manusia adalah ilmu asrar tartib suwar al-Quran atau rahsia urutan surah-surah al-Quran. Ilmu ini tidak seberapa berbanding ilmu munasabah al-ayat atau ilmu hubung kait satu ayat kepada ayat yang lain yang selalu kita dapati dalam Tafsir Mafatih al-Ghaib (Kunci Alam Ghaib) karangan Imam al-Razi (w 1209M) kerana yang pertama disebut hanya membincangkan 114 surah sedangkan terakhir membincangkan seluruh ayat al-Quran berjumlah lebih 6,000 ayat.

Adalah Imam al-Suyuti (w 1505M), seorang ulama ensiklopedia kerana menulis di semua bidang ilmu keislaman pernah menulis kitab Asrar Tartib al-Quran.

Ketika membincangkan rahsia mengapa al-Quran dimulakan dengan al-Fatihah, beliau berkata pada halaman pertama: "Allah SWT memulakan kitab-Nya dengan surah ini (al-Fatihah) kerana di dalamnya terkumpul semua tujuan al-Quran, oleh itu ia juga dinamai umm al-Quran (induk al-Quran), umm al-kitab (induk al-kitab) dan al-asas (Asas), maka ia sesuai dengan namanya sebagai pembuka.

Berkata Hasan al-Basri: "Sesungguhnya Allah SWT menyimpan semua ilmu kitab terdahulu di dalam al-Quran; kemudian Dia menyimpan ilmu al-Quran dalam surah al-Mufassal; kemudian Dia menyimpan ilmu al-Mufassal dalam surah al-Fatihah. Siapa mengetahui tafsir al-Fatihah seolah-olah mengetahui tafsir semua kitab yang diturunkan (itu)." (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Ketika masuk membincangkan surah al-Baqarah, al-Suyuti menulis: Sebahagian imam berkata: "Surah al-Fatihah merangkumi pengakuan terhadap ketuhanan (rububiyyah) dan cara kembali kepada-Nya dalam Islam dan juga pemeliharaan daripada agama Yahudi dan Kristian.

Sedangkan surah al-Baqarah merangkumi kaedah asas agama dan surah Ali Imran sebagai penyempurna maksudnya. Surah al-Baqarah adalah dalil hukum sedangkan Ali 'Imran jawapan terhadap kekeliruan musuh (Islam)." (halaman. 2)

Akhirnya ketika membincangkan surah al-Nas, al-Suyuti menulis: "Selepas itu disebut pula surah al-Nas yang di dalamnya diberitakan mengenai martabat dan darjat jiwa manusia." (Halaman 43)

Perkara yang menarik ialah mengapa disebut dalam surah ini tiga perkataan berbeza untuk satu benda yang sama. Rab al-nas, malik al-nas dan ilah al-nas. Jika dalam tafsiran biasa diterjemah dengan 'Pemelihara sekalian manusia', 'Yang Menguasai sekalian manusia', dan 'Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia', secara berurutan. Al-Suyuti mengetengahkan pendapat Ibn al-Zamlkani dalam memahami rahsianya iaitu tiga kata 'al-nas' diertikan kanak-kanak, belia dan orang tua secara berurutan kerana sebab tertentu seperti dilihat Ibn al-Zamlkani.

Inilah rahsia ilmu al-Quran yang dijumpai ulama yang tidak pernah dilakukan terhadap kitab sebelumnya. Ia bertujuan menambah dan mempertingkatkan keimanan Muslim yang mencintai kita sucinya.

Al-Quran diturunkan oleh Allah bertujuan menyuntik semangat keimanan kepada manusia. Semangat yang sudah berputik menimbulkan minat untuk membaca dan beramal dengan tuntutannya penuh keyakinan tanpa dibatasi faktor masa, kaum, kepentingan dan tempatan.

Seseorang yang bermula dengan iman yakin dan percaya kesesuaian kitab ini pada semua zaman dan masa kerana diturunkan oleh Allah, Tuhan yang menciptakan makhluk manusia.

"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam)," seperti maksud firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 9. Maha Benar Allah!






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template