^ Scroll to Top

Friday, September 4, 2009

Jujur Dalam Perniagaan

AGAMA bagi Muslim bersangkutan dalam segenap aspek kehidupan, tidak seperti golongan bukan Islam, yang mempraktikkan etika agama dan urusan dunia secara berasingan, sekali gus mengizinkan mereka melakukan segala keinginan.
AGAMA bagi Muslim bersangkutan dalam segenap aspek kehidupan, tidak seperti golongan bukan Islam, yang mempraktikkan etika agama dan urusan dunia secara berasingan, sekali gus mengizinkan mereka melakukan segala keinginan.

Muslim tidak terlepas dengan etika digariskan agama dalam usaha untuk mencapai keselesaan, kesenangan dan kekayaan, termasuklah dalam bidang perniagaan.

Ada yang mahu barang laris, keuntungan berganda dan cepat kaya sehingga sanggup mengadai prinsip agama dan menzalimi pihak lain.

Senario yang berlaku hari ini memang mengecewakan. Mereka mengaburi pengguna dalam pelbagai sudut, bermula dengan janji manis ketika tawar menawar sehinggalah penetapan harga, kualiti dan kuantiti barang.

Muslim sepatutnya mengamalkan etika dan nilai mengikut piawai ditetapkan dalam berurus niaga, tidak kiralah dia penjaja kecil, usahawan atau ahli perniagaan.

Dalam hubungan ini, Presiden Majlis Fiqah Amerika Utara, Dr Muzammil Siddiqi menjelaskan kisah Nabi Syu'aib a.s yang diutuskan kepada penduduk Madyan pada zaman Nabi Ibrahim a.s wajar diteladani.

"Baginda diutuskan terhadap golongan yang terbabit dalam perniagaan. Golongan ini sangat bangga dengan pengetahuan perniagaan dimiliki dan kejayaan dicapai. Tetapi mereka tidak jujur," katanya.

Al-Quran menceritakan usaha Nabi Syu'aib menasihati mereka. Baginda menggesa mereka mematuhi etika dalam perniagaan seperti menyempurnakan sukatan dan timbangan dengan adil, tidak menzalimi orang lain dan membawa kerosakan.

Mereka dengan angkuh tidak mahu menerima nasihat itu. Mereka marah dan menasihati baginda jangan mencampurkan agama dengan perniagaan. Tetapi kesudahannya mereka yang binasa, sedangkan Nabi Syu'aib terselamat.

Dr Muzammil berkata, ini memberikan gambaran bahawa setiap orang mesti mengamalkan etika mengikut piawai dalam perniagaan.

Menurutnya, perniagaan dan etika tidak berasingan, bahkan ia berhubungkait, sebagaimana yang ditunjukkan manusia yang paling ideal dalam segenap aspek, Nabi Muhammad s.a.w.

"Baginda adalah guru, pembimbing, pemidato dan pemimpin terbaik, penggubal undang-undang, hakim dan diplomat, perunding dan jeneral tentera terbaik, ketua keluarga, suami, bapa dan datuk yang pengasih serta jiran dan sahabat yang baik."

Rasulullah dipilih Tuhan menjadi nabi dan rasul terakhir pada usia 40 tahun. Sebelum itu baginda terkenal sebagai seorang ahli perniagaan yang sangat jujur dan berjaya.

Makkah adalah tempat kelahiran baginda sangat popular dari dulu. Kafilah dari Syria di utara dan Yaman di selatan menjadikan kota itu sebagai laluan perniagaan.

Baginda dilaporkan turut menyertai kafilah ini.

Katanya, Rasulullah melalui perjalanan ke Syria, Yaman, Bahrain dan banyak lagi tempat di Arab Saudi melalui kafilah ini.

"Bahkan, sesetengah ahli sejarah mengandaikan yang baginda juga meneruskan perjalanan ke Iraq dan Ethiopia," katanya.

Sejak usia awal lagi baginda terbabit dalam perniagaan. Baginda mempunyai reputasi yang baik, sebagai ahli perniagaan bekerja kuat, jujur, benar dan sangat berjaya.

Berasaskan reputasi ini Khadijah, ahli perniagaan yang kaya raya menggajikannya untuk melakukan perniagaannya. Sebelum itu ada pemuda lain yang berminat untuk bekerja dengan beliau, tetapi ditolak kerana tidak jujur.

Dr Muzammil menegaskan, prinsip umum yang mesti dipatuhi antaranya, tiada penipuan, penjual mesti mengelakkan daripada melakukan banyak sumpah apabila menjual barang, adanya persetujuan, tepat terhadap timbangan dan ukuran.

Menurutnya, peniaga dilarang melakukan monopoli (perdagangan dalam kawalan seorang), kerana Nabi s.a.w melarang amalan itu, malah tindakan itu dihukumkan berdosa.

Kitab fiqah mengenai rukun jual beli, menjelaskan barang yang diniagakan itu mestilah suci, ada manfaat, dapat diserahkan kepada pembeli, kepunyaan penjual dan diketahui kedua-dua pihak mengenainya, termasuk bentuk, ukuran dan sifatnya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Zaharuddin Abd Rahman, dalam artikelnya, berkata di dalam Islam setiap penjual berhak menentukan harga barangan yang dimilikinya, namun ia masih terikat dengan harga pasaran.

"Justeru, harga yang ditawarkan hendaklah diterima harga pasaran, jika ia mahu keluar dari harga pasaran, ia mesti mesti mempunyai sesuatu nilai tambah unik pada kualiti barangan itu.

"Tidak dibuat dengan tujuan spekulasi (harga yang ditawar bukan bertujuan untuk jual beli sebenar tetapi hanya dibuat bagi memberi kesan kepada harga pasaran semasa) atau bagi menaikkan harga pasaran," katanya.

Beliau berkata, jika ia ada tujuan tidak sihat seperti usaha untuk menaikkan harga melalui sorokan barangan hingga harganya meningkat, mengambil peluang atas kelemahan pembeli terhadap harga pasaran, harga yang tinggi tadi menjadi haram.

Dalam disiplin perniagaan hari ini globalisasi sepatutnya difahami lebih positif yang menunjukkan semua orang boleh bertolak ansur dan sepakat seperti dalam satu keluarga, bukan mengambilnya sebagai loncatan untuk bersikap lebih rakus.

Semua pihak sepatutnya dilayan dengan hormat, sama rata dan adil. Eksploitasi terhadap sesetengah pihak sepatutnya dihentikan dan tidak timbul perbezaan sesama manusia berdasarkan bangsa, warna kulit, warganegara, jantina atau agama.

Ini kerana kemakmuran sumber bumi bukan hanya untuk segolongan dan terpakai bagi satu generasi saja, tetapi ia khazanah yang perlu dikongsi bersama. Siapa pun kita dan di dalam bidang apa kita usahakan, tetap terikat dengan etika.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template