^ Scroll to Top

Friday, September 4, 2009

Bersihkan rohani, jasmani

SECARA umum manusia gemar kepada kebersihan, kesucian dan kesuburan. Pakaian kotor dibersihkan, kenderaan berdebu dicuci, malah kediaman yang kelihatan kian suram diceriakan dengan sentuhan baru, seperti cat dan perabot baru.

Diri manusia juga lebih-lebih lagi memerlukan usaha penyucian, kerana sekiranya dibiar, tidak dirawat dan disuburkan, kekotoran yang melekat pada diri menjadi makin degil dan sukar dibersihkan.

Sebab itu ada manusia yang bersifat dengki khianat, makin menjadi-jadi gelagat buruknya, manakala yang bertabiat jahat seperti suka mencuri, menyamun dan merompak, makin menjadi-jadi pula.

Jika sifat keburukan itu tidak dirawat segera dan tidak dibersihkan sebaiknya, kemungkinan besar diri akan terus bergelumang dengan kekotoran, sehingga berpenghujung dengan kemusnahan.

Pembersihan, penyucian dan penyuburan diri dalam istilah Arab dipanggil `tazkiyah nafs'. Ia adalah suatu usaha bersungguh untuk membersihkan dan menyucikan diri manusia dari sifat yang rendah dan hina, buruk dan keji.

Tetapi usaha penyucian ini tidak sempurna jika tidak disertai dengan usaha pengisian dan perhiasan diri manusia iaitu dengan sifat yang tinggi lagi mulia, baik dan terpuji.

Dalam ilmu akhlak, tazkiyah mengandungi dua sudut, iaitu membuang sifat yang rendah dan tercela (disebut juga takhalli/takhliyah) serta menghias dengan sifat mulia lagi terpuji (disebut tahliyah/tahalli).

Antara sifat buruk yang perlu dibersihkan ialah takbur, suka berbangga dan menunjuk-nunjuk, riak, syirik dan kufur manakala sifat baik yang perlu dihias seperti bercakap benar, ikhlas, reda dan sabar.

Jika mencuci pakaian menggunakan cara tertentu termasuk menggunakan bahan pencuci yang disyorkan bagi mendapatkan tahap kebersihan berkualiti, usaha menyucikan diri juga memerlukan kaedah dan panduan, supaya tidak tersasar dari matlamat.

Dalam Islam usaha penyucian diri mestilah berasaskan tauhid iaitu keimanan kepada Allah dan cirinya, keimanan berasaskan ilmu yang benar. Iman yang berasaskan ilmu menghasilkan keyakinan, iaitu keyakinan yang berasaskan ilmu.

Tauhid adalah teras yang mendasari binaan hidup manusia yang sebenar, sentiasa berinteraksi dengan semua sudut di dalam binaan terbabit. Dengan lain perkataan, tauhid yang menjadi teras itu yang menjiwai, menyuburkan, mengukuhkan dan mengindahkan binaan Islam.

Antara amalan penting yang dapat memberikan kesan terhadap usaha pembersihan dan penyucian diri ialah solat, membelanjakan harta seperti berzakat, puasa, mengerjakan haji, membaca al-Quran, zikir dan tafakur.

Bagaimanapun amalan yang memberikan kesan positif adalah amalan yang dilakukan dengan sempurna, selari dan menepati di antara amalan zahir (fizikal) dan batin (rohani).

Tuntutan zahir dilaksanakan dengan memenuhi syarat dan rukunnya, sebelum, semasa dan selepasnya, wajib dan sunatnya serta meraikan adab lahir dan batinnya.

Sejauh mana amalan itu dilaksanakan dengan sempurna, sejauh itulah kesan dalam usaha penyuciannya, sama ada ketika berusaha membuang sifat tercela atau memasukkan sifat terpuji.

Dalam usaha penyucian ini, sudah tentulah anggota lahir yang tujuh seperti tangan, kaki, telinga, mata, lidah, perut dan jantina dibersihkan dan dipelihara dari perbuatan keji.

Ini kerana kebersihan anggota berkenaan memberikan kesan secara langsung terhadap kebersihan diri.

Kemudian, ilmu pengetahuan berkaitan proses penyucian dan penyuburan juga perlu diketahui, termasuk tabiat nafsu dan hubungannya dengan hawa (nafsu), seperti kelemahannya yang menjadi saluran syaitan menggoda dan memperdayakan diri.

Apabila manusia, khususnya umat Islam dapat memahami konsep penyucian dan penyuburan diri, mengamalkannya dengan kesungguhan sudah pasti akan menghasilkan kesejahteraan, kebahagiaan dan kelapangan - bak cahaya menyinari hidup.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template