^ Scroll to Top

Thursday, February 5, 2009

Semangat perjuangan Salahuddin al-Ayyubi, Talut patut jadi iktibar capai kemenangan

NAMPAKNYA nama kota Gaza di Palestin perlu diganti agar tidak lagi terjadi peperangan. Gaza - tempat lahir Imam Shafie pada 150H - dalam bahasa Arab mungkin berasal daripada kata dasar 'ghazwu' atau peperangan. Oleh itu, kita dapati banyak terjadi peperangan sepanjang sejarah manusia di sana.

Ketika Nabi Musa AS membawa keluar kaumnya bani Israel dari Mesir, Baginda membawa mereka ke Palestin. Malangnya bani Israel menolak memasuki Palestin sehingga mereka mendapat hukuman untuk hidup mengembara di sekitarnya selama 40 tahun.
Kisah ini direkod al-Quran dalam ayatnya bermaksud: "(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang yang rugi (di dunia dan di akhirat). Mereka menjawab: "Wahai Musa, bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)." (Surah al-Maidah: 21-22).

Selama 40 tahun berlalu dan di bawah pimpinan Yusha Nun mereka dapat mengalahkan tentera Amaliq di Palestin.

Sejarah berulang selepas kaum Yahudi hidup tak tentu arah kerana dosa mereka termasuk membunuh nabi sehingga mereka bak kelompok kambing yang tidak mempunyai pengembalanya. Dalam krisis kepemimpinan itu, muncul tokoh pemimpin Talut Qaisy atas petunjuk Nabi Syamuel AS.
Al-Suddi menceritakan selepas Amaliq yang menguasai wilayah Gaza dan Asqalan memperoleh kemenangan ke atas bani Israel sehingga ramai mereka terbunuh, ditahan dan terputus juga kenabian daripada nasab Lawi serta tidak ada yang tersisa daripada mereka melainkan seorang wanita yang sedang hamil. (Lihat Ibn Kathir, terjemahan Qisasul Anbiya', 527)

Pada masa pemerintahan Talut juga terjadi peperangan di sekitar Gaza merebut Palestin di antara tentera Talut dan Jalut (Goliath). Akhirnya bani Israel berhasil merebut kembali Palestin selepas tentera Talut bernama Daud berhasil membunuh Jalut.

Al-Quran menyebutkan maksudnya: "Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami, serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir." Oleh itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut." (Surah al-Baqarah: 250-51)

Dalam ayat sebelumnya, tentera Talut yang beriman hanya sedikit berbanding antara 310 hingga 319 tenteranya seperti jumlah tentera Muslim ketika perang Badar pada 2 Hijrah seperti diriwayatkan Imam al-Bukhari.
Walaupun sedikit, mereka mengimani maksud ayat ini: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama orang yang sabar." (Surah al-Baqarah: 249)

Selepas perjanjian dimeterai Khalifah Umar Khattab dan Bishop Sophronius sejurus jatuhnya Antioch, Damsyik dan Baitulmaqdis pada 636 M, orang Islam, Yahudi dan Kristian hidup rukun dan damai di Baitulmaqdis. Mereka bebas dan aman menjalankan ajaran agama masing-masing di kota suci itu.

Bagaimanapun, kerukunan yang berlangsung lebih 460 tahun itu kemudian porak-peranda akibat pelbagai hasutan dan fitnah yang diuar-uarkan oleh patriark bernama Ermite. Provokator ini berhasil mengobarkan semangat Pope Urbanus yang kemudian mengirim ratusan ribu tentera ke Baitulmaqdis untuk Perang Salib Pertama. Kota suci ini berhasil mereka rebut pada 1099. Ratusan ribu orang Islam dibunuh dengan kejam dan biadab seperti mereka akui sendiri: "In Solomon's Porch and in his temple, our men rode in the blood of the Saracens up to the knees of their horses."

Tapi seorang tokoh penyelamat muncul dan berhasil menghalau mereka selepas 88 tahun Kristian bertapak menguasai Gaza dan sekitarnya. Tokoh yang dimaksudkan adalah Salahuddin al-Ayyubi yang berhasil menguasai kembali Baitulmaqdis dan semua tanah Palestin pada 1192.

Perjuangan Salahuddin dalam membebaskan Palestin tidak datang begitu saja tapi dengan perancangan bertahun lamanya. Apabila dilantik menjadi Gabenor Mesir pada 1169 beliau menyusun strategi membebaskan Baitulmaqdis daripada cengkaman tentera Salib. Pada September 1174, beliau menekan penguasa Dinasti Fatimiyyah supaya tunduk kepada Khalifah Daulat Abbasiyyah di Baghdad. Tiga tahun kemudian, sesudah kematian Sultan Nuruddin, beliau melebarkan sayap kekuasaannya ke Syria dan utara Mesopotamia. Satu persatu wilayah penting berjaya dikuasainya; Damsyik pada 1174, Aleppo atau Halb pada 1138 dan Mosul pada 1186. Selepas disatukan negeri ini di bawah kekuasaannya, baru perebutan Baitulmaqdis dilancarkan dan membawa kejayaannya pada 1192 dengan termeterainya perjanjian antara beliau dan Raja Richard The Lion Heart.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia biasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada suatu ketika berada di Jerusalem dan tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian, dia berdoa: "Ya Tuhanku, aku sudah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini."

Dengan doa ini perbalahan berlaku di antara musuh yang menatijahkan berita baik bagi tentera Islam beberapa hari kemudian.

Pada 1987 intifadah, perlawanan dengan batu oleh orang Palestin yang tinggal di kawasan pendudukan terhadap tentera Israel mulai bergejolak. Intifadah ini dianjurkan oleh Hamas, gerakan Islam yang memulai aktivitinya dengan pendidikan dan sosial.

Selepas Hamas berjaya memimpin Kerajaan Palestin di Gaza dua tahun lalu episod perjuangan perlawanan Palestin mengalami corak baru walaupun mendapat tentangan semua pihak dengan corak lama musuh gerakan pembebasan Palestin.

Terakhir ialah serangan Gaza oleh tentera Israel atas sokongan Amerika Syarikat dan kebisuan masyarakat antarabangsa serta ketidakpedulian bangsa Arab dan ketidakberdayaan umat Islam.

Kerana Hamas dan hati kita masih dalam peperangan melawan keganasan Yahudi Israel, maka ada baiknya kita juga melafazkan doa yang dipanjatkan tentera Talut dan Salahuddin seperti di atas. Hanya itulah yang boleh kita lakukan setakat ini. Anta Maulana fansurna 'alal qaumil kafirin







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template