^ Scroll to Top

Thursday, February 5, 2009

Muafakat wujud masyarakat berkasih sayang, menghormati

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Namun, bagi manusia, perubahan itu biarlah ke suatu arah yang lebih baik dan terbaik. Jadilah pantai terhakis daripada riak dan sombong menjadi pantai tenang serta nyaman biarpun ombak datang menghempas.

Hidup bukan untuk berbangga dengan ilmu, harta, pangkat serta kedudukan yang kerap menimbulkan permusuhan dan pertelingkahan. Benarlah dunia sudah banyak berubah, ikatan keluarga, persaudaraan, jiran, sahabat dan taulan semakin renggang kerana menjadi ukuran.

Apabila wujud perselisihan, pelbagai perkara diluahkan dalam emosi dan alangkah manisnya jika hati dapat menahan sabar, setiap permasalahan dileraikan secara baik bagi mengelak permusuhan.

Muafakat itu melahirkan kasih sayang, hormat menghormati. Ia mampu melahirkan sebuah masyarakat yang sedia dan sanggup bersama menanggung susah senang dalam sesuatu urusan kehidupan.

Seumpama muafakat pemimpin dan rakyat, majikan dan pekerja atau suami dan isteri. Persefahaman serta kasih sayang yang terjalin membolehkan hubungan itu menghasilkan keputusan terbaik untuk kedua-dua pihak serta mereka di sekeliling.

Sebenarnya setiap di antara kita tidak mampu melaksanakan sesuatu urusan bersendirian tanpa bergantung kepada masyarakat sekeliling. Semua urusan akan menjadi mudah jika saling membantu dan bermuafakat melaksanakannya.
Prof Dr Hamka berkata: “Sekiranya tabiat mementing diri itu mengalahkan akalnya, maka dia pun menjadi penipu. Cerdik buruk, penjual si bodoh, penindas si lemah, menjadi syaitan yang bertubuh manusia.”

Sikap mementing diri hanya membiak dalam masyarakat buruk perilaku. Hidup tidak membawa makna apalagi untuk memberi kesempurnaan sebagai insan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan menjadikan makhluk untuk memenuhi keperluan manusia, tidak mementing diri supaya Tuhan tidak menyeksa mereka di neraka. Ketika kiamat diletakkan untuk mereka mimbar daripada nur. Mereka berbincang kepada Tuhan mengenai orang yang masih dalam hisab.”

Namun walau apa pun sikap manusia, sebenarnya sikap mementing diri itu tidak memberi kebahagiaan kepada seseorang. Mungkin juga seseorang itu dilihat senang, tetapi cuma untuk beberapa waktu saja lambat laun dia akan menerima padahnya juga.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template