^ Scroll to Top

Wednesday, November 26, 2008

Perceraian berlaku jika lelaki salah guna kuasa sebagai ketua keluarga diamanahkan Allah

SEJAK kebelakangan ini kita sering membaca di media mengenai keruntuhan rumah tangga masyarakat Islam yang bukan saja berlaku di kalangan masyarakat bawahan malah orang berada juga tidak dapat lari daripada masalah ini.

Keruntuhan rumah tangga juga tidak terhad kepada mereka yang tiada didikan agama, malah orang yang mendapat pendidikan agama juga sering terjerat dalam polemik ini.
Walaupun umat Islam berlumba-lumba mengerjakan kebaikan seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat kepada orang lain, sebahagiannya alpa mengerjakan kebaikan kepada orang yang hampir dengan kita.

Rasulullah SAW lebih utama melakukan kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti keluarga, sanak, jiran tetangga dan mereka di sekeliling kita.

Perkara ini dapat dilihat daripada beberapa hadis Rasulullah yang menerangkan pentingnya memperlakukan isteri dengan sebaik-baiknya.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: Seorang mukmin yang imannya paling sempurna adalah yang akhlaknya paling baik.

"Sebaik-baik kamu adalah yang baik terhadap isterinya."

Jelas daripada dua hadis yang dinyatakan di atas, ketinggian kedudukan isteri di samping suami.

Hakikat ini perlu disedari suami kerana sebahagian mereka mengambil mudah peranan isteri dan menganggap isteri perlu patuh kepada segala kehendak suami tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak isteri sendiri.
Kuasa ketua keluarga diberikan kepada suami, namun kuasa berkenaan perlu ditadbir secara adil dengan mengambil kira kemampuan, kesusahan dan juga kehendak isteri.

Jika kuasa ini tidak dijalankan dengan sempurna, tentu akan mengundang polemik antara suami isteri terbabit.

Suami yang tidak menjalankan kuasa dengan sempurna tentu akan dipertanggungjawabkan atas kegagalannya.

Kuasa sebenarnya bukan suatu keistimewaan tetapi lebih kepada tanggungjawab yang hendak digalas dengan sempurna.

Dalam Islam, apabila keistimewaan diberikan kepada seseorang, ia sebenarnya disertakan dengan tanggungjawab. Lebih besar keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab dibebankan kepada seseorang.

Antara tanggungjawab suami adalah memberi nafkah kepada isteri dan anak. Suami tidak kedekut membelanjakan wangnya untuk kebajikan isteri dan anak.

Kesimpulannya, seorang suami perlu menghargai apa yang dilakukan isterinya dalam membentuk rumah tangga bahagia. Suami perlu mengutamakan kebajikan keluarga berbanding dengan orang lain.

Suami juga bertanggungjawab mendidik isteri dengan cara yang dianjurkan oleh agama.

Isteri pula harus akur bahawa suami adalah ketua keluarga dan wajib mematuhi arahan suami selagi tidak bertentangan dengan Hukum Syarak.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template