Mungkin membicarakan persoalan mengenai saka adalah satu perkara sensitif. Perkara yang berkaitan dengan makhluk yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar atau suatu yang tidak dapat disentuh adalah suatu yang tidak mudah..
Bagi mereka yang hidup dalam dunia teknologi dan ledakan maklumat adalah sukar untuk menerima hakikat kewujudan sihir dan makhluk halus, lebih-lebih lagi apabila dikaitkan manusia mendapat bantuan daripada makhluk halus.
Seperti yang dibincangkan sebelum ini bahawa meminta bantuan dan mengharapkan pertolongan daripada makhluk halus adalah syirik, lebih-lebih lagi meminta bantuan jin atau syaitan untuk mengganggu dan memudaratkan orang lain.
Masyarakat Melayu memahami saka sebagai ilmu yang diperturunkan atau dipusakai daripada waris teratas kepada waris di bawahnya, daripada ibu ataupun bapa kepada anak, daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucu atau cicitnya, ataupun ilmu yang dipusakai daripada seorang bapa saudara kepada anak saudara atau kepada seseorang yang berada dalam lingkungan keluarga.
Yang dimaksudkan dengan ‘ilmu yang dipusakai’ itu ialah ilmu yang ada kaitan dengan jin-jin, sama ada jin berkenaan dibela, dibuat sahabat ataupun dibuat saudara, disedari atau tidak disedari.
Tujuan makhluk-makhluk ini dibela adalah untuk perantaraan makhluk tadi, waris berkenaan berupaya melakukan rawatan penyakit, menilik dan sebagainya dalam keadaan menurun atau tidak menurun.
Hasil daripada penglibatan makhluk ini juga waris ada kalanya melibatkan diri dengan ilmu kebatinan mempertahankan diri, seperti ilmu amalan wali suci, budi suci dan lain-lainnya atau ilmu kebatinan yang dinamakan amalan al-Fatihah, silat sheikh, amalan sinar Islam dan sebagainya.
Amalan kebatinan mempertahankan diri ini juga melibatkan ilmu kebal, ilmu penggerun, ataupun amalan yang lebih bersifat peribadi, seperti ilmu seri muka, ilmu kebidanan tradisional atau ilmu andaman tradisional.
Makhluk yang berdampingan itu dalam proses masa tertentu menjadi sebahagian daripada dampingan manusia menyebabkan orang yang seumpama ini berupaya melakukan sesuatu yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa.
Penurunan saka boleh berlaku dengan sengaja atau tidak sengaja. Dilakukan dengan sengaja apabila seseorang itu secara berterangan menyatakan pada waris tertentu, seperti anaknya yang dia adalah orang yang paling sesuai atau berkelayakan mewarisi ilmu pemiliknya, yang dimiliki selama ini.
Apabila orang yang berkenaan menyatakan kesanggupannya menerima, maka bermula dari tarikh itu, dia telah mewarisi saka tadi.
Seksaan
Antara kesan buruk ialah pewaris akan menghadapi seksaan amat perit ketika hendak mati kerana roh sukar keluar. Situasi yang lebih dahsyat berlaku apabila pemilik saka sudah meninggal dunia tetapi saka yang dimilikinya masih enggan meninggalkan tuannya.
Pada mulanya memang saka ini kelihatan seperti memberi pelbagai kelebihan kepada tuannya contohnya untuk melindungi diri, keluarga serta harta benda dan sebagainya tetapi itu semua hanyalah tipu helah saka bagi menyesatkan manusia.
Pelbagai kesan buruk dan masalah akan timbul pada masa panjang dan kemuncaknya menyebabkan manusia itu melakukan dosa besar iaitu syirik kepada Allah SWT.
Adapun hukum mengguna atau mewarisi saka adalah haram dalam Islam seperti firman-Nya: Dan hari (kiamat) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): ‘Wahai golongan jin (syaitan), sesungguhnya kamu banyak (menyesatkan) manusia’, lalu berkatalah sahabat mereka dari golongan manusia: ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian kami sudah mendapat kesenangan dari sebahagian yang lain (jin) dan kami sampai kepada masa yang Engkau tentukan bagi kami (hari pengadilan). (Allah berfirman): Neraka itulah tempat diam kamu sedang kamu kekal didalamnya, kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain)’ .Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
(al-An’aam: 128).
Untuk melindungi diri gangguan pengamal saka ini eloklah kalau dapat diamalkan beberapa potong ayat al-Quran dan wirid yang ma’thur yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.
Yakinlah jika diri seseorang itu sudah ada pendindingnya, pasti makhluk yang jahat tidak dapat menembusinya.
Banyakkan membaca ayat-ayat suci al-Quran terutamanya ayat 97 dan 98 dari surah al-Mukminun.
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)
(Surah an-Nahl: ayat 125)
No comments:
Post a Comment