^ Scroll to Top

Wednesday, November 26, 2008

Alam Nusantara terus jadi tumpuan gerakan Kristianisasi sejak penjajahan abad ke-15

HAKIKAT manusia adalah berbilang bangsa dan bersuku puak ditetapkan Yang Maha Pencipta, al-Khaliq menerusi firman-Nya bermaksud: "Wahai manusia! Sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal." (Surah al-Hujarat: 13)

Ketetapan ini ditegaskan Nabi Muhammad SAW menerusi beberapa hadis Baginda yang diucapkan dalam pelbagai kesempatan termasuk hadis yang menyatakan bahawa Baginda diutus Allah kepada manusia dan jin, bangsa merah dan hitam. 'Bangsa' yang dalam konteks al-Quran disebut 'syu'ub' dan hanya disebut dalam satu ayatnya saja, yakni ayat 13 Surah al-Hujarat di atas berbeza dengan perkataan 'umat'. Yang pertama disebut lebih khusus daripada yang kedua disebut sehingga dikatakan bahawa tidak semua umat adalah bangsa, tetapi setiap bangsa adalah umat.
Kita, sebagai contoh, tidak mengatakan bangsa Islam, tapi umat Islam dan kita mengatakan bangsa Yahudi dan juga umat Yahudi disebabkan oleh perbezaan ideologi antara kedua-duanya. Jika kita mengkaji lebih mendalam perbezaan 'syu'ub' dan 'ummah' dalam al-Quran sudah tentu kita akan mengumpulkan data dan kemudian kita akan mempunyai konsep bangsa dan umat yang sangat komprehensif seperti diinginkan oleh al-Quran, kitab petunjuk seluruh manusia yang berbangsa dan berumat. Di sini penulis hanya menyoroti satu titik daripada sebuah aspek yang ada dalam satu konsep mengenai bangsa dalam al-Quran, iaitu bangsa dan umat Melayu.

Allahyarham Ismail Faruqi pernah menyifatkan bangsa dan umat Melayu seperti katanya: "One of the oldest and bloodiest struggle the Muslims have waged against Christian-Colonialist aggression." atau "Salah satu perjuangan umat Islam yang paling lama dan sengit ialah dalam menentang pencerobohan penjajahan Kristian." (Rujuk Hilmy Bakar (1994), Ummah Melayu Kuasa Baru Dunia Abad ke-21)

Penulis tertarik dengan apa yang dibincangkan dalam buku Ahlul Bait dan Kesultanan Melayu yang disusun Tun Suzana ketika mengulas tajuk kecil 'Pembentukan fitrah kekuatan dan ketahanan dalaman agama yang tinggi dalam jati diri umat Melayu' iaitu ditulis: "Sepanjang penguasaan Portugis di Melaka contohnya, ia tidak pernah tenteram daripada diganggu gugat oleh gerakan jihad kesultanan-kesultanan seperti Demak, Jepara, Aceh dan Johor.
Kesultanan Acheh melancarkan tujuh kali jihad untuk membantu bumi Melaka bebas daripada penaklukan Portugis. Walaupun gagal dalam semua serangan ini, ia cukup untuk menggerunkan Portugis. Di Melaka, Bendahara Johor yang bernama Tun Jenal berserta pengikutnya memanjat benteng La Farmosa untuk masuk ke kawasan Portugis. Banyak pahlawan Melayu yang gugur kerana dibedik dengan pengganda yang berduri seperti durian, dengan pahat dan beliung, namun yang lain terus naik memanjat benteng kubu sehingga berjaya.

Diriwayatkan pahlawan-pahlawan Melayu Johor beramuk-amukan menyerang orang Portugis, sehingga rebahlah benteng La Farmosa yang menjadi kemegahan mereka selama 130 tahun. Portugis juga tidak dapat bertahan dalam taklukannya di Pasai apabila dihambat oleh Kesultanan Aceh dan disingkirkan dari bumi Ternate oleh Sultan Babullah (muka surat, 267-8).

Hakikat sejarah umat Melayu yang panjang, iaitu lebih 600 tahun lamanya membuktikan bahawa agenda terus-menerus untuk membinasakan Islam di alam Melayu oleh cubaan penjajah Barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris semuanya menemui kegagalan, berbeza dengan kejayaan yang dikecapi untuk merosakkan akidah serta menyelewengkan umat Islam seperti di utara Filipina, Turki, Eropah, malah sesetengah wilayah Arab sendiri. Mengenai jati diri Islam yang menambat hati umat Melayu dan memalingkan mereka daripada pegangan sebelumnya.

Prof Sayyid Muhammad Naquib al-Attas menulis: "Pengaruh Hindu itu tidaklah sampai merubah pandangan hidup umat Nusantara yang berdasarkan seni, yang tiada berdasarkan falsafah." Selepas bangsa Melayu memeluk Islam kemudian menjadi sebuah umat, pendakyah Kristian dari semua mazhab berputus asa ke atas bangsa Melayu (yakni untuk memurtadkan mereka kepada agama Kristian) seperti dikatakan Frank Sweetenham, seorang Gabenor British dalam era penjajahan. Dalam lawatan Pope John Paul ke India pada Oktober 1994, seperti ditulis Tun Suzana, beliau secara halus mengisyaratkan kekecewaannya mengenai hakikat bahawa walaupun banyak negara di dunia dapat dikristiankan, terutama dalam abad-abad mutakhir ini, beberapa ratus tahun selepas peristiwa percubaan bangsa Sepanyol dan Portugis untuk mengkristiankan dunia Asia Tenggara, ia masih gagal ditembusi oleh mereka. Pope John Paul lalu secara halusnya mengisytihar dan menggalakkan petugas-petugas Kristian memberikan penumpuan khusus kepada bumi Melayu ini menjelang alaf baru supaya umatnya dapat menikmati 'cahaya yang benar' dan dapat 'diselamatkan' daripada kesesatan. (muka surat 264-5).
Perbuatan mereka adalah satu bukti kebenaran al-Quran di mana Allah berfirman maksudnya: "Berkata mereka itu: 'Beragama Yahudilah kamu atau beragama Nasrani supaya kamu mendapat petunjuk. Katakanlah: Bahkan agama Ibrahim yang lurus (kami ikuti) dan bukanlah dia termasuk orang yang musyrik." (Surah al-Baqarah: 135)

Mereka tidak sedar akan hakikat Qurani yang menyatakan maksudnya: "Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka sedangkan Allah tetap akan menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang kafir enggan menerimanya." (Surah al-Saf: 8)

Dalam ringkasannya mengulas kelemahan bangsa Melayu hari ini, Tun Suzana mengatakan: "Kesimpulannya, kekuatan bangsa Melayu sebenarnya terletak pada perisian hakikat, iaitu ketahanan dalaman agamanya yang tinggi...Sistem sekular telah berjaya merubah pegangan kita daripada nilai, neraca dan tafsiran Islam kepada nilai, neraca dan tafsiran Barat. Akibatnya berlakulah penyelewengan tafsiran istilah contohnya istilah kekuatan. Dari perspektif sekular, kekuatan sesuatu bangsa dirujuk hanya kepada unsur zahiriyyahnya semata-mata seperti tahap ekonomi dan ketenteraan. Sedangkan istilah kekuatan jika ditafsir mengikut kaca mata Islam ialah perisian hakikat, contoh, ketahanan agama yang tinggi." (muka surat 268).

Kesetiaan dan ketulusan Melayu terhadap Islam terbukti kerana seperti diamati pendeta Za'ba, "Sejak orang Melayu memeluk agama Islam sehingga ke hari ini, mereka amat setia dan amat keras pegangannya pada agama yang mereka anuti ini (Islam). Walaupun mereka jahil banyak dari segi pengamalan dan kefahaman agama, mereka tetap menganggap bahawa itulah satu-satunya agama yang terbaik dan benar, dan tidak ada apapun hujah atau pujukan daripada orang kafir yang boleh mengubah sikap mereka yang demikian itu."

Pandangan Za'ba beberapa dekad lalu yang mana sifat umat Melayu adalah jahil terhadap agamanya, tetapi mereka memiliki kekuatan perpaduan, bagaimana halnya sepatutnya mereka pada hari ini dalam keadaan mereka yang sudah terdedah dengan ledakan 'worldview' Melayu sebagai salah satu tiang umat Islam dunia? Wallahu a'lam.

INTI PATI:
  • Konsep bangsa dan umat yang sangat komprehensif seperti diinginkan oleh al-Quran, kitab petunjuk seluruh manusia yang berbangsa dan berumat.
  • Lebih 600 tahun lamanya membuktikan bahawa agenda terus-menerus untuk membinasakan Islam di alam Melayu oleh cubaan penjajah Barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris semuanya menemui kegagalan.
  • Mengenai jati diri Islam yang menambat hati umat Melayu dan memalingkan mereka daripada pegangan sebelumnya.
  • Menurut pendeta Za'ba, sejak orang Melayu memeluk agama Islam sehingga ke hari ini, mereka amat setia dan amat keras pegangannya pada agama yang mereka anuti ini (Islam). Walaupun mereka jahil banyak dari segi pengamalan dan kefahaman agama, mereka tetap menganggap bahawa itulah satu-satunya agama yang terbaik dan benar.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template