^ Scroll to Top

Saturday, July 5, 2008

Pelihara percakapan elak dosa mengumpat

LIDAH adalah alat komunikasi penting dalam menjalin hubungan mesra
antara masyarakat manusia di dunia. Ia juga untuk menyebar ilmu dan
banyak lagi manfaat lain. Sebaliknya, lidah boleh jadi bahaya, kerana
boleh digunakan untuk memecah belahkan masyarakat, memfitnah,
mencaci, mengumpat dan sebagainya.

Justeru, Islam memberi perhatian serius terhadap penjagaan lidah.
Peri pentingnya penjagaan lidah itu sehingga Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: "Siapa diam dia berjaya"(Hadis riwayat al-Tirmizi)

Pada waktu lain Baginda SAW memberi jaminan kepada orang yang sanggup
menjaga lidahnya. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang
boleh memberi jaminan kepadaku apa yang ada antara misai dan
janggutnya dan apa yang ada antara dua pahanya, aku jamin baginya
syurga." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Al-Quran mengingatkan bahawa setiap ucapan yang diucapkan seseorang
tidak akan terlepas daripada catatan malaikat-Nya. Allah berfirman
yang bermaksud: "Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan
ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir." (Surah Qaf,
ayat 18)

Antara keburukan lidah ialah bercakap perkara yang tidak berfaedah,
tidak baik, mengucapkan kata keji, mencaci, mencarut, menghina,
membuka rahsia orang, mengumpat dan perbuatan negatif lain yang tidak
sepatutnya.

Mereka yang mengetahui nilai masa serta umur tidak akan membiarkan
diri menggunakan lidah untuk berkata perkara tidak mendatangkan
faedah, kemarahan orang lain atau menyebabkan perbalahan sesama
manusia.

Diriwayatkan bahawa Luqmanul Hakim pernah ditanya: "Apa rahsia
kebijaksanaanmu? Jawabnya: Aku tidak bercakap perkara yang tidak
memberi faedah kepadaku. Kata Luqman lagi: Diam itu bijaksana, tetapi
sedikit pelakunya."

Sewajarnya lidah digunakan untuk memberitahu atau mengajak orang lain
kepada kebaikan dengan memberi nasihat serta menegur sahabat jika
mereka melakukan perkara mungkar supaya segera kembali ke pangkal
jalan.

Sebaliknya, mengeji, mencaci dan mencarut adalah perkara yang
dilarang Islam dan mereka yang melakukan perkara itu dengan lidahnya
wajib bertaubat serta memohon maaf kepada mereka yang disakitinya.

Selain itu, menghina orang lain termasuk keburukan lidah yang patut
dijauhi, kerana ia boleh merosakkan hubungan mesra dan harmoni antara
anggota masyarakat. Paling buruk tindakan lidah ini dalam konteks
Islam ialah mengumpat.

Allah Taala mengumpamakan pengumpat itu sebagai pemakan daging
saudaranya yang sudah mati. Firman Allah yang bermaksud: "Dan
janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu
yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah
kamu berasa jijik kepadanya dan bertakwalah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (Surah
al-Hujurat, ayat 12)

Mengumpat ialah menyebut di belakang saudaramu sesuatu yang tidak
disukainya, sama ada kekurangan itu pada fizikalnya, keturunannya,
peri lakunya, pakaiannya atau sebagainya.

Berdasarkan pengertian ini, jika kita tidak menjaga betul-betul
lidah, maka rata-rata kita tidak terlepas daripada dosa mengumpat.
Pada hal dosa itu tidak akan diampun Allah jika tuannya tidak
memaafkannya lebih dulu.

Umumnya masyarakat kita kurang memberi perhatian serius terhadap
amalan mengumpat yang kesannya akan menyebabkan berlaku pergaduhan,
saling tuduh menuduh dan memburukkan orang lain dengan perkara
mengaibkan.

Namun, ulama menyenaraikan beberapa kelonggaran yang mengizinkan kita
menyebut kekurangan orang lain di belakangnya iaitu tidak dikira
dosa. Ia termasuk beberapa keadaan berikut:

* Apabila seseorang itu dizalimi, maka dia dibolehkan menceritakan
kezaliman ke atasnya kepada pihak yang bertanggungjawab;
* Apabila hendak mendapat fatwa atau mengetahui hukum sesuatu;
* Apabila ingin memberi peringatan kepada orang lain;
* Apabila seseorang itu dikenali dengan gelaran itu secara menyeluruh;
* Apabila ia terkenal dengan jahatnya.




...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template