Persoalan besar timbul ialah apakah kita menyedari bahawa gaya hidup dan tingkah laku sehari-hari itu termasuk sebagai persediaan sebagai ahli syurga atau sudah pun tergelincir sebagai ahli neraka.
Gaya hidup dan tingkah laku manusia yang beruntung ialah hidup yang selalu diisi dengan amalan salih iaitu melaksanakan hak Allah, mengerjakan kebajikan dan melakukan perbuatan membawa kebaikan kepada masyarakat atau manusia umumnya.
Allah menjadikan hidup di dunia bukan dengan tujuan sia-sia atau secara main-main tetapi ada tanggungjawab tertentu. Kerana itulah manusia diberi akal fikiran supaya tidak terikut-ikut dengan gaya menyalahi fitrah.
Allah berfirman yang bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? (Surah al-Mukminun, ayat 115)
Justeru, kehidupan di dunia perlu selari dengan ajaran Islam dan menjauhi daripada gaya hidup penuh maksiat. Manusia yang bebas daripada budaya maksiat akan membentuk masyarakat bertamadun dan berintegriti.
Orang yang baik bukan hanya sekadar melakukan kebaikan tetapi mestilah meninggalkan segala keburukan dan mencegahnya. Seseorang itu tidaklah dinamakan baik apabila ia pada sebelah pagi memberi sedekah kepada orang miskin tetapi petang pula melakukan kejahatan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Oleh itu, untuk mengelakkan rugi atau menyesal, gunakan kesempatan kehidupan yang dikurniakan untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya dan menghindarkan perbuatan yang merosakkan masyarakat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang lelaki melalui sebatang jalan dan ternampak satu ranting pokok yang berduri lalu dialihkan ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki itu dan diberikan keampunan ke atasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Walaupun menjauhkan sebatang duri dari tengah jalan kelihatan mudah tetapi pekerjaan itu dianggap Allah sebagai satu kebajikan yang besar kerana boleh mengurangkan kesusahan dan penderitaan manusia sejagat.
Janganlah berangan ingin memasuki syurga Allah jika usaha dan gaya hidup dipenuhi budaya maksiat. Oleh itu, setiap kita yang mengaku beriman dan ingin ke syurga perlu membuktikannya dengan melakukan amal ibadah dan amal salih bersungguh-sungguh.
Antaranya memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi kejahatan, memastikan kehidupan sehari-hari tidak bercanggah dengan hak Allah dan hak manusia, memperbanyakkan kebajikan dan memastikan kehidupan seharian tidak mencampuradukkan perkara halal dan haram.
Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah sama ahli neraka dan ahli syurga. Ahli syurga merekalah orang yang beroleh kemenangan.” (Surah al-Hasyr, ayat 20)
No comments:
Post a Comment