^ Scroll to Top

Sunday, July 13, 2008

Kemampuan berfikir bezakan manusia dengan haiwan

BERSYUKUR atas jati diri kemanusiaan adalah penting. Apabila kita memahami hakikat kemanusiaan yang ada dalam diri, kita tidak mungkin melakukan perbuatan seperti perangai haiwan. Kita berusaha sekuat tenaga supaya bertindak berlandaskan akal dan fikiran.
Menurut falsafah, perbezaan manusia dengan haiwan itu tidak banyak. Manusia adalah haiwan yang berfikir. Oleh itu, daripada segi kemampuan berfikir, sesungguhnya manusia lebih unggul apabila dibandingkan dengan haiwan.
Apabila kemampuan ini tidak digunakan dengan baik, hilanglah keunggulan yang ada pada diri dan akhirnya kita seperti binatang, bahkan lebih buruk lagi.
Allah menganugerahkan pelbagai kelebihan kepada manusia. Anugerah terbesar dimiliki manusia berbanding makhluk lain adalah akal. Dengan akalnya manusia mampu mengambil pengajaran dan memanfaatkan semua kemudahan yang Allah ciptakan di dunia.
Manusia yang mampu menakluk semua makhluk di dunia ini. Allah memberikan pendengaran, penglihatan dan perasaan. Semua itu adalah modal supaya manusia mampu menduduki darjat yang paling tinggi di sisi Allah.
Keunggulan manusia melebihi jin dan syaitan. Oleh itu, janganlah sekali-kali merendahkan diri kita sehingga menyerupai binatang iaitu makhluk yang bergerak dan bertindak atas rasa dan sifat binatangnya. Binatang, sehariannya hanya sibuk memenuhi keperluan makan, minum dan syahwat. Tidak ada tujuan lain. Pada sebelah pihak lain, syaitan menggunakan seluruh kesempatan diberikan Allah bagi menyesatkan manusia supaya mereka mempunyai teman di neraka. Seluruh waktu syaitan digunakan bagi melakukan maksiat kepada Allah.
Allah menjelaskan dalam mafhumnya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami jadikan neraka jahanam kebanyakannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan bagi memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan bagi melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan bagi mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai." (Surah al-A'raf, ayat 179)
Jagalah imej sebagai manusia. Gunakan kemampuan berfikir. Gunakan akal supaya kita mampu menjadi makhluk paling mulia. Apabila tidak mampu menjaga imej sebagai manusia pasti kemuliaan yang ada pada diri kita jatuh dan berubah menjadi hina.





...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template