Hadir sebagai peraturan sejagat, azan dilihat sebagai satu panggilan suci yang mengandungi makna tertentu yang seterusnya boleh disimbolkan sebagai penyatuan ummah dan penyeruan ke arah kejayaan dunia dan akhirat..
Azan sudah berusia 1429 tahun dan disyariatkan di Madinah al- Munawarrah. Diriwayatkan bahawa azan diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama hijrah. Ketika itu, orang-orang yang berhijrah ke Madinah berkumpul untuk menunaikan solat. Terbit persoalan pada waktu itu bagaimana caranya memberitahu umat Islam masuknya waktu solat dan menyeru secara langsung kepada mereka untuk bersama-sama menunaikan solat secara berjemaah.
Sudah pasti perlunya satu mekanisme yang praktikal dan mudah serta satu cara yang merangkumi perlambangan dakwah Islamiah yang menyeru kepada kebaikan dan kesejahteraan dunia dan akhirat. Pada saat itu, diriwayatkan Abdullah Bin Zaid dan Umar bin al-Khattab telah bermimpi mengenai lafaz azan. Rasulullah membenarkan mimpi mereka dan meminta Bilal bin Rabah melaungkannya.
Azan merupakan satu lafaz khusus yang menyeru umat Islam menunaikan solat dan melakukan solat berjemaah. Mengerti dari aspek harfiahnya, azan membawa maksud ‘al-I’lam’ (pemberitahuan) atau ‘an-nida’ (seruan).
Al-Quran, as sunah dan al-ijmak menyatakan, laungan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dihukumkan sebagai sunat muakkad dan fardhu kifayah bagi umat Islam.
Azan harus dilafazkan oleh seorang lelaki yang beragama Islam, berakal, dilafazkan dalam bahasa Arab dan dilaungkan ketika masuknya waktu solat. Azan juga harus diseru oleh muazzin (orang yang melaungkan azan) yang suci daripada hadas besar, hadas kecil dan najis. Dilaksanakan dengan mengadap kiblat dengan suara yang nyaring tetapi merdu.
Dilafazkan dengan jiwa yang benar, azan hadir bukan sahaja sebagai satu peraturan bagi umat Islam mengerjakan solat. Malah, azan juga dilaungkan ketika bayi dilahirkan, jenazah dikebumikan, ketika menghadapi bencana dan gangguan jin atau syaitan dan azan juga diselitkan ketika mengerjakan sesuatu yang baik. Pendek kata azan adalah perantaraan untuk memohon rahmat dan berkat serta kekuatan, kesyukuran dan sebagainya buat umat Islam.
Lafaz azan menyimpul kesatuan yang merangkumi aspek tauhid (akidah), ibadah dan akhlak muslim yang sejati. Hal ini terlihat jelas melalui seruan yang dilaungkan sebanyak lima kali sehari untuk mengajak umat Islam mendepani kehidupan dengan sempurna.
Allah hu Akbar (4x) – Allah Maha Besar
Ash-hadu alla ilaha illallah (2x) – Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah
Ash-hadu anna Muhammadar rasulullah (2x) – Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah
Hayya ‘alas-solah (2x) – Marilah mendirikan solat
Hayya ‘alal-falah (2x) – Marilah menuju kejayaan
*As-solatu khayru minan naum (2x) – Solat itu lebih baik dari tidur
Allah hu Akbar (2x) – Allah Maha Besar
La ilaha illallah (1x) – Tiada Tuhan selain Allah
(* hanya digunakan untuk solat subuh)
Tauhid merupakan kepercayaan bahawa Tuhan hanya satu iaitu Allah. Tauhid terangkum di dalam lafaz azan dan ini jelas memberitahu bahawa Allah Maha besar, tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah. Itu syahadah yang perlu dipegang sebagai umat Islam dan akidah yang wajib ditetapkan dalam hati.
Menghayati azan sedalam-dalamnya memberi pengertian yang luas. Mengiyakan dan meyakini kewujudan Allah S.W.T, mengakui kebesaran dan keagunganNya sudah cukup memberi semangat dan kekuatan buat umat Islam mendepani cabaran yang pelbagai. Itulah yang dilafazkan sebagai Allah hu-Akbar dan Ash –hadu alla ilaha illallah.
Mengakui kehadiran Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah S.W.T dan pemimpin umat Islam memberi pengertian bahawa kita percaya bahawa Nabi Muhammad adalah utusan yang telah dihantar oleh Allah untuk memimpin dan memberi cahaya pertunjuk kepada umat islam di dunia.. Keyakinan ini terlontar melalui lafaz Ash- hadu- anna muhammadar rasulullah.
Kalimah syahadah yang terkandung dalam azan ini adalah tunjang kepada ketauhidan umat Islam akan kewujudan Tuhan. Tauhid yang diseru juga membuang perbezaan sesama manusia dari aspek warna kulit, latar belakang pendidikan, tahap kekayaan dan darjat. Tauhid ini memberi persepsi manusia itu sama di sisi tuhan. Yang membezakannya adalah ketaqwaan kepada Allah S.W.T.
Jelas seruan azan yang mengingatkan tauhid dan akidah setiap muslim adalah sesuatu yang harus di pandang berat kerana iman manusia seringkali mengalami pasang surut dan tidak konsisten bergantung kepada ujian dan dugaan yang mereka terima. Ia juga meliputi seluruh kehidupan yang harus berpaksi kepada hubungan yang baik dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan yang baik sesama manusia (habluminannas).
Laungan azan yang bergema di seluruk pelusuk alam menunjukkan bukti kewujudan umat manusia yang beragama Islam. Laungan ini bukan sahaja melambangkan tauhid seperti yang telah dijelaskan di atas. Selain tauhid dan akidah yang terkandung dalam lafaz azan, aspek kepentingan mengerjakan ibadah solat juga ditekankan.
Lafaz ‘Hayya alas-solah’ melambangkan kepentingan mengerjakan ibadah solat yang menjadi kekuatan dalam menyeimbangkan peranan manusia di dunia dan akhirat. Selain itu laungan azan memang sudah sebati dalam setiap umat Islam dan bukan Islam sebagai satu seruan menunaikan solat. Solat inilah yang akan mencerminkan akhlak seseorang muslim.
Hayya alas-solah, lafaz yang mengajak seluruh umat Islam melakukan solat sebaiknya secara berjemaah. Kekuatan dan kesepaduan ummah terlihat di sini apabila imam dan makmum hadir sebagai satu jemaah. Imam sebagai ketua solat berada di hadapan dan memastikan barisan jemaahnya berada dalam barisan yang rapi dan betul. Mengikut perilaku imam dan menegur jika imam melakukan kesilapan bacaan dan tertib gerakan.
Situasi ini juga melambangkan kepatuhan kepada konsep kepemimpinan secara keseluruhannya. Memilih imam yang benar-benar layak untuk memimpin solat seperti memilih pemimpin yang benar-benar layak menerajui negara sudah pasti melahirkan keadaan yang baik untuk umat dan negara
Manakala, aspek akhlak yang tekandung dalam seruan azan diwakili dengan lafaz ‘Hayya alal-falah’ iaitu bermakna marilah menuju kejayaan. Melalui tauhid yang kukuh iaitu menghayati syahadah yang terkandung dalam azan, kita akan senang melakukan ibadah.
Dengan tauhid yang melambangkan kekuatan akidah seseorang muslim itu juga, umat Islam patuh kepada Tuhan dengan melakukan ibadah yang diperintahkan. Ibadah ini pula merangkumi ikatan sesama manusia seperti kuatnya ikatan imam dan makmum serta pemimpin dan rakyat. Ini sekaligus akan membawa kemenangan buat umat Islam menentang bujukan syaitan dan musuh Islam secara nyata atau terselindung.
Lumrah dalam perhubungan sesama manusia terdapat pertelingkahan dan perselisihan pendapat. Oleh itu, kita diminta kembali kepada Allah S.W.T, mengagungkan kekuasaannya serta tidak lupa bahawa hanya Allah S.W.T yang mampu memberi dan manarik balik apa yang telah dikurnikan kepada umat manusia. Hal ini terangkum dalam lafaz seterusnya. Kalimah Allah Maha Besar, tiada Tuhan selain Allah dilaungkan kembali sebagai penutup seruan.
Betapa manisnya Tuhan mengatur lafaz azan untuk panduan dan peraturan sejagat umat manusia. Hanya orang-orang yang tidak menghayati akan kerugian dan tidak mendapat apa-apa hikmah apabila mendengar laungan azan di sekeliling mereka.
Laungan azan terbiar di angin lalu tanpa memberi apa-apa kesan pada jiwa dan sanubari umat yang mengaku Islam. Mengaku Tuhan itu satu dan tiada tuhan selain Allah. Memilukan juga apabila ada sesetengah stesen televisyen dan radio tidak mahu menyiarkan seruan azan di setesen mereka dengan alasan kemajmukan rakyat negara ini.
Wujud kesepakatan masyarakat bukan Islam yang meminta seruan azan diperlahankan kenyaringannya di masjid dan surau-surau sekitar mereka dengan alasan menggangu kedamaian suasana. Mereka tidak menghormati azan yang dilaungkan malah berani meminta azan diperlahankan walaupun mereka tahu bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang harus mencanang keislamannya di pelusuk bumi ini melalui pelbagai cara dan salah satu daripadanya ialah seruan azan.
Oleh kerana masyarakat Islam sendiri kebanyakannya tidak menghayati dan mengambil tahu pengertian lafaz azan itu, maka tidak ada perjuangan untuk menentang anasir bukan Islam yang mahu mengaturcara kehidupan masyarakat Islam di bumi Islam ini sendiri.
Azan dilihat sebagai seruan biasa untuk memanggil umat Islam bersolat. Kehidupan tetap berjalan seperti biasa tanpa perlu memberhentikan sebentar perbualan, perbuatan dan sebagainya demi menghormati azan. Di manakah azan di hati kita?
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)
(Surah an-Nahl: ayat 125)
No comments:
Post a Comment