IBU BAPA sekarang membeli kasih sayang anak dengan wang. Kebanyakannya bermurah hati memberi wang tetapi agak ‘berkira’ untuk meluangkan masa bersama seisi keluarga. Inilah rungutan anak yang ibu bapa sering terlepas pandang kerana bagi mereka, wang itu antara punca bahagia.
Tiada siapa dapat menafikan kuasa dan kepentingan wang, tetapi kerana terlalu mengejar impian yang mahu memberi kesenangan serta kesempurnaan hidup, banyak nilai diketepikan, terutama untuk perkembangan rohani anak.
Tiada siapa dapat menafikan kuasa dan kepentingan wang, tetapi kerana terlalu mengejar impian yang mahu memberi kesenangan serta kesempurnaan hidup, banyak nilai diketepikan, terutama untuk perkembangan rohani anak.
Namun tidak ramai ibu bapa mahu menerima rungutan anak dengan fikiran terbuka. Sebagai orang dewasa, ibu bapa berasa mereka lebih arif mengenai kehidupan dan soal kebahagiaan, tetapi ramai terlupa anak juga ada pendapat dan keperluan sendiri.
Bagi kebanyakan ibu bapa, kemewahan dan kesenangan diberi perlu dibalas dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Walaupun ia dianggap insentif, tetapi insentif dalam bentuk wang bukan amalan sihat kerana boleh menyumbang kepada pembentukan sifat mementingkan kebendaan.
Pada masa sama, ada ibu bapa tidak kisah jika anak jarang ada di rumah tetapi mulai bimbang apabila prestasi pelajaran mereka merosot.
Kemerosotan pelajaran antara tanda awal kekusutan fikiran anak sebelum mereka terbabit dalam pelbagai masalah sosial lain seperti rempit, kegiatan tidak bermoral atau lari dari rumah, kata Perunding Psikologi Pusat Perubatan Pantai, Dr Khairi Rahman.
Cara paling baik ialah berbincang bersama anak untuk mengetahui punca tekanan mereka. Masalahnya, anak remaja pula tidak mahu bercakap dengan ibu bapa, terutama apabila menyentuh soal peribadi.
“Ini sebabnya ibu bapa perlu mengenali kawan anak dan ibu bapa mereka, termasuk mempunyai nombor telefon serta mengambil tahu aktiviti harian anak. Mungkin ramai tidak sedar, anak sebenarnya gembira jika ibu bapa sukakan kawan mereka.
“Mempunyai hubungan baik dengan golongan muda ada manfaatnya kerana kita boleh merisik masalah anak kita melalui kawannya. Bagaimanapun, ibu bapa perlu ada kemahiran untuk menembusi ‘benteng’ persahabatan anak. Kemahiran ini perlu dipelajari, ia tidak datang sendiri.
“Biasanya anak yang dilayan seperti ‘kawan’ lebih mudah berbincang dengan ibu bapa. Ini antara cara baik untuk mendekati anak, tetapi ‘persahabatan’ itu perlu dimulakan sejak mereka kecil.
“Namun perlu diingat, anak yang membesar mempunyai pandangan sendiri terhadap sesuatu perkara. Jika dirasakan ibu bapa ‘tidak berguna’, anak akan menjauhkan diri, tetapi tanpa disedari mereka ada kecenderungan untuk mengikuti jejak langkah dan mengulangi perkara sama dilakukan ibu bapa,” katanya.
Antara kesilapan yang sering terjadi ialah apabila ibu bapa memberi wang tanpa banyak soal setiap kali anak meminta. Bahkan, ada ibu bapa pula bertanya berapa banyak wang dikehendaki. Ini adalah kesilapan yang mesti dielak kerana ia boleh mendorong kepada penipuan..
Soal selidik yang dijalankan Readers Digest beberapa tahun lalu mendapati, anak merungut kerana ibu bapa memberi terlalu banyak wang tetapi tidak sanggup meluangkan masa bersama mereka. Ini menunjukkan selain kesenangan hidup, anak masih mahu ibu bapa memberi perhatian kepada mereka setiap hari, walaupun seketika.
Gejala Tanggang Moden
Isu remaja dan anak muda terbabit dalam masalah sosial tidak pernah sudah. Hampir setiap hari ada saja berita kurang menyenangkan disiarkan di akhbar..
Daripada menipu dan ponteng sekolah kepada keganasan ke atas orang tua hinggalah lari mengikut teman lelaki; semuanya menimbulkan kebimbangan ibu bapa, terutama yang mempunyai anak remaja.
Perkara ini tidak hanya berlaku kepada remaja di bandar kerana banyak laporan menunjukkan ia turut membabitkan remaja luar bandar.
Ada ibu bapa bertanya bagaimana anak yang dijaga dengan penuh kasih sayang dan diberi pendidikan agama boleh sampai hati menjadi ‘Tanggang’?
Dr Khairi berkata, banyak faktor menyebabkan perkara itu dan satu daripadanya datang daripada ibu bapa. Ada kala anak jadi kurang ajar apabila mereka memandang rendah ibu bapa yang kurang berpendidikan dan berpendapatan rendah.
“Usah cepat salahkan anak. Kita juga kena tengok pada cara ibu bapa bercakap dengan anak. Contohnya ramai bercakap begini: “Aku kerja keras hendak bagi kau makan” dengan nada marah. Penggunaan perkataan ‘aku’ dan ‘kau’ menghilangkan kedudukan tinggi seorang ayah.
“Selain itu nada ketika bercakap dalam keadaan marah tidak menimbulkan rasa insaf pada anak, sebaliknya boleh membuahkan kebencian dengan keadaan keluarga. Ketiadaan unsur kasih sayang dalam percakapan dan perlakuan juga boleh membuatkan anak memberontak.
“Anak mungkin berfikir, sudahlah hidup serba kekurangan, keadaan di dalam rumah juga selalu tidak aman dan dipenuhi dengan kata-kata marah. Sebagai penyelesaian, anak melepak di luar atau mana-mana tempat yang dianggap lebih nyaman dan mampu menenangkan hati,” katanya.
Jika ayah bercakap dengan nada marah, ibu perlu menjadi penyelamat keadaan. Bukan dengan memenangkan mana-mana pihak, tetapi menjadi orang tengah dengan bercakap secara lembut kepada anak. Nasihat yang disampaikan secara lembut dan berhemah lebih mudah diterima dan meresap ke dalam hati.
Untuk dihormati, ibu bapa perlu pandai menghormati anak. Kehormatan itu tidak datang sendiri, sebaliknya perlu dicari. Caranya ialah dengan menetapkan disiplin di rumah yang diamalkan sejak anak kecil.
“Sifat bersih dan teratur penting dalam membentuk kesejahteraan rumah tangga dan menarik minat anak untuk duduk di rumah. Jika rumah berselerak, fikiran juga jadi berserabut dan anak akan lari ke tempat lain yang dirasakan lebih selesa.
“Ibu bapa yang mengamalkan hidup berlandaskan tuntutan agama juga biasanya lebih mudah mendapat rasa hormat anak. Sebagai contoh, ibu bapa yang mendirikan solat sebaik masuk waktu secara tidak langsung memberitahu anak bahawa mereka mempunyai disiplin.
“Bersolat bukan sekadar memenuhi tugas sebagai hamba, tetapi ia mempunyai banyak fadilat lain, kerana untuk menunaikan ibadat, rumah perlu bersih. Kebersihan, kepatuhan orang tua terhadap suruhan Allah serta percakapan yang lemah lembut akan menjinakkan hati anak untuk menghormati mereka,” katanya.
Disiplin di rumah yang mudah seperti makan bersama, makan di meja makan dan memberi tugas kepada anak untuk membantu ibu atau ayah menyiapkan dan mengemas meja makan juga memupuk rasa tanggungjawab anak.
Makan bersama seisi keluarga perlu dijadikan aktiviti harian. Ia boleh membentuk hubungan antara ibu bapa dan anak. Walaupun bercakap ketika makan dianggap kurang sopan mengikut budaya kita, ketika inilah antara waktu sesuai untuk mengetahui aktiviti harian anak.
“Jangan sesekali amalkan konsep layan diri di rumah. Apabila konsep ini wujud, anak akan memilih untuk makan sendirian dan apabila bersendiri, mereka biasanya lebih suka makan depan televisyen. Ini amalan yang sangat tidak sihat bukan kepada hubungan keluarga, tetapi pada tahap kesihatan jangka panjang,” katanya.
Teladan
Ramai ibu bapa sukar menerima hakikat apabila ada orang mengadu atau memberitahu keburukan anak mereka. Mereka tidak percaya anak kesayangan terbabit dalam gejala sosial. Kebanyakannya percaya anak mereka baik dan kepercayaan ini tertanam kukuh dalam fikiran.
Sikap penafian ini tidak membawa kebaikan. Ibu bapa harus menyiasat sama ada aduan yang disampaikan benar atau sebaliknya. Jangan mudah menerima cakap orang, tetapi jangan pula menolak semuanya.
Apabila jiran mengadu perilaku anak, kita sepatutnya berterima kasih kerana ia menandakan masih ada orang prihatin terhadap anak penduduk setempat.
Mereka secara tidak langsung menjadi ‘mata tambahan’ yang membantu memerhatikan anak kita seperti diamalkan penduduk di kampung.
Jika anak berbuat salah, usah marah tetapi beri kritikan membina dengan menunjuk atau memberitahu cara betul. Ramai ibu bapa marah apabila anak melakukan kesilapan, tetapi tidak mengajar langkah yang harus diambil. Ini membuatkan anak terus mengulangi kesilapannya.
Beri pujian apabila anak berkelakuan baik. Kebanyakan orang kita lokek hendak memuji anak, sedangkan anak anda memerlukan pujian sebagai galakan.
Menyentuh isu remaja kahwin lari mengikut teman lelaki yang banyak dilaporkan akhir-akhir ini, Dr Khairi berpendapat, ia dipelajari daripada orang dewasa dan pengaruh media. Walaupun membimbangkan, masalah ini boleh dibendung melalui hubungan baik antara ibu bapa dan anak.
Untuk memupuk hubungan baik bukan payah tetapi ia memerlukan kemahiran keibubapaan, terutama dalam percakapan. Perkara pertama perlu dilakukan ialah meluangkan masa berkualiti bersama anak, tidak kira sesibuk mana pun kerja anda.
“Bentuk suasana mesra apabila bersama anak. Ini boleh dilakukan dengan mengajak anak berbual atau melakukan bersama perkara yang disukainya. Jika anak membaca, perhatikan apa dibacanya. Anda boleh galakkan anak berbincang mengenai sesuatu isu dengan bertanya pendapatnya dan mengapa dia beranggapan demikian.
“Tengok juga bagaimana mereka berinteraksi dan berkomunikasi, cara dia membantu orang lain dan gerak badan atau reaksi apabila disuruh melakukan sesuatu kerja. Daripada pemerhatian ini anda boleh menegur, memperbetul atau memuji anak.
“Namun kebanyakan ibu bapa lupa mengenai perkara ini akibat kesibukan mencari rezeki. Sebenarnya ibu bapa mempunyai pilihan sama ada mahu menjadi teladan kepada anak atau sebaliknya.
“Perancangan ini perlu dibuat sebaik mempunyai anak dan bukan selepas anak melepasi umur remaja kerana pembentukan akhlak pada peringkat ini lebih sukar,” katanya.
Anak juga memerhati dan mentafsir cara anda melayan ibu bapa anda. Jika hubungan anda dan ibu bapa kurang baik, ada kemungkinan hubungan anda dan anak juga jadi begitu apabila tua kelak.
Malah, jika hubungan anda dan ibu bapa bermasalah, anak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk tidak merapati dan menghormati anda suami isteri.
Pada masa sama, rancang percutian bersama anak. Percutian di dalam negara secara bersederhana sudah memadai. Jika tidak dapat cuti lama, anda boleh membawa anak berkelah. Ia terbukti dapat membantu mengeratkan hubungan anak beranak dengan babitkan mereka secara langsung dalam penyediaan program keluarga itu.
Bagi ibu bapa yang lebih berani, anda boleh mengadakan sesi perbincangan ‘hati ke hati’ bersama anak. Pada sesi ini beri anak peluang untuk mengkritik anda atau meluahkan ketidakpuasan hatinya dan anda perlu menerimanya dengan hati terbuka.
“Jangan marah apabila dikritik anak, sebaliknya jadikan perbincangan itu sebagai laluan untuk memperbaiki diri masing-masing. Memang ia bukan mudah, tetapi kaedah ini boleh membuatkan anak lebih menghormati anda sebagai ibu atau bapa,” katanya.
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)
(Surah an-Nahl: ayat 125)
No comments:
Post a Comment