^ Scroll to Top

Sunday, June 8, 2008

Perkasa Ummah Tonggak Perpaduan

Ulul Albab: Perkasa ummah tonggak perpaduan
Oleh Abdurrahman Haqqi

Kewajipan umat Islam perlu dilaksana secara amali, bukan sekadar
ucapan di bibir

JARANG kita menjumpai satu-satu perkataan dalam bahasa Melayu yang
mempunyai tujuh makna dalam kamus. Setakat ini, hanya beberapa
perkataan saja yang mempunyai lebih tujuh makna termasuk
perkataan 'cukup', 'kuasa' dan 'saudara'. Hal ini berlaku dalam
masyarakat kerana kesignifikanan perkataan berkenaan seperti
penggunaan yang luas dan pengertiannya. Itulah kelebihan perkataan
cukup, kuasa dan saudara yang ada dua signifikan ini.

Saudara dalam Kamus Dewan mempunyai erti, 1. orang yang sama ayah dan
ibunya (ibu atau ayahnya saja yang sama), abang (kakak) atau adik; 2.
orang yang ada hubungan kekeluargaan, sanak saudara; 3. orang yang
sama darjat (sekutu, segolongan dan lain-lain); 4. kawan, sahabat,
teman; 5. bahasa halus kata ganti kedua (seperti awak, kamu, anda)
yang digunakan terutama pada lelaki; 6. tembuni, uri (yang keluar
mengiringi bayi yang lahir; dan 7. kiasan sesuatu yang hampir sama
(keadaan, sifat dan lain-lain. Sedangkan persaudaraan didefinisikan
sebagai perihal bersaudara, perhubungan seperti bersaudara, pertalian
yang rapat sekali (seolah-olah bersaudara).

Dalam bahasa al-Quran, persaudaraan disebut secara khasnya dengan dua
perkataan utama iaitu ikhwah dan ikhwan di mana kedua-duanya adalah
kata jamak daripada akh. Kata ikhwah disebutkan di empat tempat,
manakala ikhwan disebut sebanyak 22 kali.

Apa yang membezakan kedua-dua perkataan itu? Al-Quran menggunakan
kata ikhwah untuk merujuk makna persaudaraan yang ada hubungan darah
seperti erti 1 dan 2 dalam kamus di atas sedangkan ikhwan lebih umum
yakni seperti erti 3 dan 4.

Dalam Surah An-Nisaa' ayat 11 disebutkan maksudnya "... Kalau pula si
mati mempunyai beberapa saudara (adik-beradik)..." Dan pada ayat 176-
nya disebutkan maksudnya "... Dan sekiranya mereka (saudara itu)
ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai
bahagian dua orang perempuan". Kedua-dua ayat ini menggunakan kata
ikhwah bagi merujuk hukum waris untuk yang mempunyai hubungan darah.

Dalam Surah Yusuf ayat 58 disebutkan maksudnya "Dan (setelah tiba
musim kemarau) datanglah saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah
mereka mendapatkannya; Yusuf dengan serta merta kenal mereka, sedang
mereka tidak mengenalnya." Ayat ini adalah satu rentetan kisah Nabi
Yusuf AS dan saudara-saudaranya di mana ketika terjadi krisis
makanan, ayah mereka Nabi Ya'qub AS menghantar saudara-saudara Nabi
Yusuf ini ke Mesir dari Palestin untuk mencari bekalan makanan.

Dan dalam Surah al-Hujarat ayat 10 disebutkan maksudnya: "Sebenarnya
orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di
antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah
kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." Ayat ini mengajarkan kepada
kita agar orang beriman yang bertelagah mestilah didamaikan kerana
sebenarnya mereka umpama saudara yang sepatutnya saling berkasih
sayang dan saling mencintai. Dengan perkataan lain, al-Quran
menggunakan kiasan dalam hubungan orang Islam sebagai bersaudara agar
hati mereka tersentuh untuk selalu mengutamakan kehidupan yang damai
di antara mereka.

Di sinilah rahsianya mengapa dalam ayat ini tidak digunakan kata
ikhwan ketika merujuk erti bersaudara padahal sebenarnya orang
beriman itu tidak semuanya mempunyai hubungan darah yang dekat
sebagaimana pengertian 1 dan 2 pada Kamus Dewan. Ia ditegaskan ayat
103 Surah Ali Imran yang maksudnya: "...lalu Allah menyatukan di
antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam),
maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang
bersaudara..."

Berkenaan dengan kata ikhwan yang disebut sebanyak 22 kali oleh al-
Quran, ia dirujuk kepada makna persaudaraan umum yang tidak ada
hubungan darah sama ada negatif mahupun positif. Contoh positif
adalah ayat yang bermaksud: "Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai
Muhammad), mengenai (masalah) anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki
keadaan anak yatim itu amatlah baiknya, dan jika kamu bercampur gaul
dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah
saudara kamu (yang seagama)." – (Surah al-Baqarah: 220) dan contoh
negatif adalah ayat yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang boros
itu adalah saudara Syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk
yang sangat kufur kepada Tuhannya." – (Surah al-Isra: 27)

Dengan jumlah 22 kali disebut dalam al-Quran, ikhwan mempunyai makna
tersendiri yang menunjukkan betapa pentingnya persaudaraan dalam
kehidupan bermasyarakat. Almarhum Fathi Yakan dalam bukunya Maza
Ya'ni Intami'i Ila al-Islam (Apa Ertinya Saya Seorang Muslim)
menulis: "Persaudaraan di dalam Islam adalah jalinan yang
menghubungkan sebahagian dengan sebahagian umat Islam yang lain. Ia
adalah ikatan rabbani – ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan
kepada Allah – yang mengikat hati-hati mereka dan ia adalah jalinan
yang mendekatkan mereka kepada Allah SWT. Persaudaraan adalah ikatan
keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW
maksudnya: "Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang
kerana Allah dan marah juga kerana Allah." – (Hadis riwayat Imam
Ahmad)

Di dalam ajaran Islam persaudaraan adalah tonggak yang menjadi
tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan sendi
yang menghubungkan anggota masyarakat.

Umat Islam sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang
dianjurkan oleh Islam diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah
satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu
anggota yang lain. Ia seumpama satu jasad yang apabila satu daripada
anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan
turut menanggung penderitaannya.

Bagi memastikan hak dan kewajipan persaudaraan ini dilaksanakan
dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan ummah, Islam
menjelaskan cara bagaimana hak dan kewajipan itu dilaksanakan secara
amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah satu tanggungjawab
yang mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori
semata-mata. Fathi menyenaraikan enam perkara dalam hal ini iaitu:

Persaudaraan mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada
ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah SAW yang
menyatakan bermaksud: "Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan
kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia
yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi
peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan
menolongnya".

Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina
Umar bin Al-Khattab yang mengatakan: "Engkau mestilah mencari saudara
yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka kerana mereka itu adalah
perhiasan pada waktu senang dan bekalan pada waktu kesusahan".

Dari sudut kejiwaan, persaudaraan adalah satu keperluan kerjasama,
turut merasai keperluan saudara yang lain dan berusaha memenuhi
keperluan itu sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah SAW
bermaksud: "Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama
saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan Baginda
menunjukkan isyarat dengan jari Baginda) amalan itu lebih utama dari
dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini". – (Hadis
riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).

Persaudaraan juga adalah kerjasama dalam bidang kebendaan sebagaimana
sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang melapangkan seorang
Muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya
satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang
yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan
(urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan
rahsia seorang Muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di
dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba
selama ia menolong saudaranya".

Persaudaraan adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi
kewajipan yang ringkas. Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda
maksudnya: "Hak seseorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain ada
enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau
memberi salam; (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya
itu; (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat
kepadanya; (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau
lengkapkan dengan bertasymit; (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau
menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau
mengiringi jenazahnya". – (Hadis riwayat Muslim).

Persaudaraan juga bererti kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu
membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: "Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim,
janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling
benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya)
jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang
Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari". –
(Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasai)
Rasulullah SAW juga bersabda bermaksud: "Janganlah kamu memandang
rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka
ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)". – (Hadis
riwayat Muslim)

Persaudaraan menurut ajaran Islam ialah keghairahan dan setia kerana
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang mempertahankan
maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari
seksaan api neraka di hari kiamat". – (Hadis riwayat Tirmizi) Baginda
juga bersabda bermaksud: "Doa seorang saudara kepada saudaranya yang
lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah
doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang
ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan
untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan
bagimu seperti itu juga". – (Hadis riwayat Muslim)

Perpaduan yang memperkasa umat akan dapat direalisasikan dengan
melaksanakan ajaran Junjungan SAW berkaitan dengan persaudaraan agar
tidak saling memutuskan hubungan silaturahim, saling belakang-
membelakangi, saling benci-membenci dan saling hasad dengki. Bahkan
yang agak susah juga dilaksanakan ramai umat kerana kelunturan iman
iaitu agar tidak memulaukan saudaranya melebihi tiga hari yang
hukumnya haram dan dengan sendirinya akan menjejaskan perpaduan dan
keperkasaan umat.
Wallahu a'lam.




...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template