^ Scroll to Top

Monday, June 9, 2008

Memelihara Sifat Takwa Kepada Allah S.W.T.

WAHAI orang-orang yang beriman! apabila kamu berbisik-bisik sesama
sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan
pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah SAW, dan
(sebaliknya) berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertakwa. Dan
hendaklah kamu tetap bertakwa kepada Allah yang kepada-Nya kamu semua
akan dihimpunkan (pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu dan
menerima balasan). (al-Mujadalah: 9)

HURAIAN

Allah SWT melarang keras orang-orang yang beriman mengadakan
perbincangan sulit dalam suasana yang boleh menimbulkan keraguan,
menggugat kepercayaan dan membangkitkan kebimbangan di kalangan umat
manusia. Apatah lagi, jika perbincangan tersebut merupakan perbuatan
untuk menentang Rasulullah SAW, sama ada secara langsung atau tidak
langsung.

Islam menganjurkan perbincangan mengikut adab dan peraturan yang
betul. Sesuatu tindakan yang hendak diambil yang melibatkan
kepentingan ummah perlu diberitahu kepada ketua dan seterusnya
dibincangkan bersama ahli-ahli yang lain bagi mengatur strategi yang
berkesan dan mengambil tindakan yang bijaksana.

Sekiranya adab dan peraturan musyawarah ini diikuti, sudah pasti akan
menghasilkan kesan yang positif yang dapat memberi faedah dan
kebaikan kepada umat manusia. Sehubungan itu, semua orang beriman
diseru melakukan hanya perkara-perkara kebaikan dan bertakwa kepada
Allah sahaja. Sifat takwa akan dapat memelihara mereka daripada
tergelincir dari jalan Allah dan menyelamatkan mereka daripada azab
seksa pada hari kiamat kelak kerana Allah SWT pasti akan
membangkitkan seluruh umat manusia untuk dihitung segala amal
perbuatan mereka semasa di dunia.

KESIMPULAN

Islam menganjurkan umat manusia untuk mengadakan perbincangan demi
menghasilkan faedah dan kebaikan untuk semua. Orang yang bertakwa
kepada Allah SWT akan sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang
keputusan kerana takutkan kemurkaan dan balasan Allah SWT di akhirat
kelak.

.
..dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

No comments:


 
Dear Diary Blogger Template