^ Scroll to Top

Tuesday, September 9, 2008

Kurma bukan ‘hak’ Ramadan

MENURUT Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma yang segar sebelum menunaikan solat (Maghrib). Sekiranya tidak ada kurma yang segar, baginda akan berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada juga kurma kering, Baginda mengambil beberapa cedok air. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan daripada Sulaiman bin Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan kurma. Sekiranya tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu bersih lagi membersihkan.
Diriwayatkan dari Anas bin Malik yang berkata: “Adalah Nabi (SAW), tidak berangkat menuju musolla kecuali baginda memakan beberapa biji kurma, dan baginda memakannya dalam jumlah bilangan ganjil.” (Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim).
Amalan berbuka Rasulullah SAW menggambarkan kurma itu banyak khasiatnya, terutama untuk badan yang keletihan selepas sehari berpuasa.
Kajian sains terkini turut memperakui kelebihan buah kurma yang mengandungi kebanyakan nutrien penting yang diperlukan badan. Sesetengah pihak turut mendakwa buah kurma mampu mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit.
Pada asasnya, kurma mengandungi gula yang mudah diserap badan, memberikan tenaga segera dan berpanjangan untuk menjalankan aktiviti harian atau sembahyang tarawih pada malam hari sepanjang Ramadan. Kandungan serat yang tinggi di dalamnya pula melambatkan rasa lapar ketika berpuasa, dan mempercepatkan rasa kenyang ketika berbuka supaya kita tidak makan secara berlebihan. Kelebihan ini menjadikannya buah yang amat sesuai dimakan ketika bersahur atau berpuasa.
Kajian saintifik seluruh dunia mendapati kurma bukan sahaja mengandungi jumlah karbohidrat (gula) yang tinggi malahan turut mengandungi pelbagai vitamin penting seperti vitamin A, tiamin, riboflavin, niasin, zat besi, vitamin B, asam nikotinat (yang baik untuk usus) dan bermacam-macam lagi. Kurma juga didapati mengandungi banyak garam galian lain seperti magnesium, potasium dan kalsium. Buah ini turut mengandungi kalium yang khusus untuk kebaikan jantung dan pembuluh darah.
Setiap 100 gram kurma kering mengandungi 50 IU vitamin A, 0.09 miligram (mg) tiamin, 0.10 mg riboflavin, 2.20 mg niasin, serta 666 mg kalium. Kesemua nutrien penting ini berfungsi membantu membebaskan tenaga yang cukup, menjaga kesihatan kulit dan saraf serta membantu fungsi jantung. Diet yang ditambah buah kurma dikatakan dapat membakar kalori berlebihan badan dengan setiap biji kurma mampu mengurangkan sebanyak 3,470 kalori.
Mencegah
Kurma dan produk berasaskan kurma sering dikaitkan dengan pencegahan, malahan rawatan sesetengah penyakit kronik badan. Ini berikutan jenis dan jumlah nutrien di dalam setiap buah kurma memainkan peranan di dalam membantu fungsi badan berjalan lancar.
Sebagai contoh, serat di dalam kurma bukan sahaja melambatkan rasa lapar dan mempercepatkan rasa kenyang. Kandungan serat yang tinggi turut membantu melancar dan mengaktifkan fungsi usus, seterusnya membantu proses perkumuhan dan penyingkiran toksin dari badan.
Kurma juga dikaitkan dengan peranan membantu meningkatkan fungsi sistem badan, sekaligus mencegah penyakit melalui:
  1. Pengurangan tekanan darah tinggi, seterusnya mengurangkan risiko angin ahmar dan risiko sakit jantung.
  2. Kalium di dalam kurma dapat membantu membetulkan denyutan jantung, mengaktifkan pengecutan otot-otot dan mengatur tekanan darah.
  3. Kandungan kalium yang tinggi juga mampu merendahkan risiko serangan angin ahmar.
  4. Mengelakkan sembelit, radang usus, anemia dan sebagainya.
  5. Mencegah pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis di samping menyihatkan sel darah merah.
  6. Mencegah lemah otot, lesu, barah usus besar dan sengal-sengal badan.
Melihatkan kandungan nutrien dalam setiap biji buah kurma dan khasiatnya untuk kesihatan, diet yang ditambah buah kurma amat disarankan, bukan hanya pada bulan Ramadan, malahan bila-bila masa sahaja. Kelebihan buah ini juga bukan hanya untuk dinikmati umat Islam tetapi semua bangsa di Malaysia, tidak mengira agama atau usia patut mencubanya.
Beberapa pihak juga dilihat telah mula mengambil langkah mempelbagaikan cara hidangan kurma sama ada dalam masakan atau sebagai jus buah. Ini diharapkan dapat meningkatkan diet buah kurma di negara ini supaya khasiat dan kelebihannya dapat dinikmati ramai dan bukan hanya dinikmati pada masa tertentu sahaja. Kurma banyak kelebihannya dan bukan hanya untuk Ramadan semata-mata.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Bulan ibadat atau bulan makan?

SALAM Ramadan! Hari ini genap seminggu umat Islam menahan diri daripada makan dan minum bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Kita juga cuba menahan diri daripada bercakap mengenai perkara yang sia-sia, menimbulkan syahwat, perkataan yang diharam dan dimakruhkan menurut syarat-syarat yang ditetapkan.
Alhamdulillah, setakat ini kebanyakan daripada kita berjaya melakukannya dengan sebaik mungkin. Tetapi sejauh mana kita memenuhi pengertian puasa ini? Adakah ia sekadar ibadat tradisi sebulan dalam setahun? Masih banyak yang perlu kita insafi dan mengerti mengenai ibadat puasa ini. Contoh paling hampir, yang bagi kebanyakan orang belum mengerti erti puasa ialah soal makan. Minggu pertama ini mungkin ramai yang lebih selesa berbuka di rumah. Esok dan hari-hari seterusnya mungkin lebih ramai yang berbuka di luar bagi mengubah selera. Setidak-tidaknya akan berkunjung ke gerai-gerai jualan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Ketika itu isu kenaikan harga makanan mungkin tenggelam seketika. Namun dalam apa keadaan sekalipun, jadikanlah Ramadan ini bulan untuk kita berjimat cermat serta benar-benar menahan nafsu makan.
Makanlah sekadar yang perlu sama ada semasa bersahur atau berbuka.
Firman Allah bermaksud: Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan (Al A’raaf: 31)
Ingatlah bahawa puasa itu boleh menyihatkan badan dan melatih diri supaya hidup berdisiplin. Namun segala-galanya akan menjadi sebaliknya jika tabiat makan kita berubah kepada yang tidak baik. Tidak dinafikan, di kalangan sesetengah orang, Ramadan mengubah tabiat makan mereka. Bulan puasa bertukar menjadi pesta makan. Di sana sini pelbagai promosi makanan diadakan. Di televisyen, ustaz dan ustazah yang selama ini asyik berceramah juga sama-sama ‘memasak’ dengan chef-chef jemputan. Adakah Ramadan ini bulan puasa atau bulan makan? (Fasting or Feasting?). Berbuka dan bersahur adalah satu kemestian tetapi jangan sampai membazir!
Ingatlah Firman Allah yang bermaksud: ‘‘Makanlah di antara rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepadamu dan janganlah melampaui batas padanya yang menyebabkan kemurkaan-Ku menimpamu. Dan barang siapa ditimpa oleh kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah ia’’ (Thaha: 81).
Alangkah baiknya jika makanan yang berlebihan itu disalurkan kepada mereka yang memerlukan kerana puasa juga mendidik umat merasai bagaimana penderitaan orang miskin yang lapar dan dahaga.
Seperti disebut sebelum ini, puasa boleh menyihatkan tetapi malangnya ramai yang makan dalam keadaan tidak sihat. Manusia menjadi rambang mata atau ‘lapar mata’ melihat begitu banyak juadah di bazar Ramadan. Kadang-kala semua 10 jari digunakan untuk membawa bungkusan makanan - ayam percik, ikan bakar, murtabak, bubur lambuk, nasi kerabu, otak-otak, pelbagai jenis kuih muih, cendol, air bandung, tebu, soya dan macam-macam lagi. Malahan hanya dengan dua jari, mereka mampu membawa 10 bungkusan plastik berisi pelbagai jenis makanan dan minuman. Begitulah nafsu makan pada bulan Ramadan. Bagaikan orang mengandung yang sedang mengidam - ketika inilah selera terbuka luas untuk makan itu dan ini. Akhirnya, ada juga yang membazir makanan apabila juadah yang dibeli tidak habis dimakan sama ada semasa berbuka atau bersahur. Oleh itu bersederhanalah. Belanjalah mengikut keperluan bukan menurut kemahuan.
Justeru. ketika iftar, elakkan daripada mengisi perut sepenuh-penuhnya sehingga susah hendak bernafas, ibarat ular sawa kekenyangan. Pilihlah makanan yang sihat semasa berbuka. Mulakan dengan buah kurma seperti amalan Rasulullah SAW.
Akhirnya mana satu tingkatan puasa anda?
  1. Adakah anda dalam golongan awam iaitu yang hanya menahan diri daripada makan/ minum dan bersetubuh sahaja?
  2. Puasa golongan Ahlul Khawas iaitu orang yang menahan makan, minum serta syahwat kerana Allah dengan mengharapkan keampunan dan syurga, terhindar dari neraka.
  3. Puasa golongan Ahlul Makrifat iaitu orang yang menahan diri daripada makan dan minum serta syahwat juga menahan hati dan segala pancaindera daripada segala yang tidak disukai Allah kerana semata-mata mengharapkan keredaan Allah.
Semoga puasa Ramadan yang antara lain bagi menahan lapar dan dahaga ini tidak bertukar menjadi pesta menjamu selera.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Hadiah Terakhir

"Bang... mari tengok apa yang ummi bawa ni". Ustaz muda yang tengah tenggelam dalam pembacaannya itu menoleh separuh terkejut. Isterinya menghampirinya seraya menghulurkan sebungkus plastik hitam berisi kotak. Sejenak dia memandang isterinya dengan penuh tanda tanya, semestara isterinya hanya tersenyum kecil membalas pandangan suamunya yang tercinta.

"Apa ni ummi"



"Untuk abanglah... bukaklah tengok apa kat dalam tu". Segera ia membuka bungkusan itu dengan penuh rasa rasa ingin tahu. Sepasang sandal kulit baru. Tertegun ia sejenak.

"Ummi tengok sendal abang dah buruk benar. Sebab itu ummi belikan yang baru ni. Nanti abang pakailah masa solat Hari Raya Korban ni... yea bang..." kata isterinya dengan mata bersinar penuh harapan.

Tersentak rasa hatinya... rasa haru menyusup kesegenap jiwa sudut jiwanya. Dalam keadaan ekonomi yang sebegini, isterinya masih sempat memperuntukkan wang untuk membelikan sesuatu yang memang sangat dia perlukan. Sandalnya memang sudah masanya untuk diganti. Sudah dua kali ia terputus. Yang terakhir, waktu ia memakainya kelmarin, tali sandalnya yang kanan hampit terputus.

Terpaksalah dia menjinjit sandal itu dan pulang dengan kaki kanannya berkaki ayam. Padahal, waktu itu panas terik dan Ya Allah, panasnya sampai terasa hampir melepuh telapak kakinya. Keinginan untuk menggantikan dengan yang baru memang ada, tetapi ia singkirkan sementara. Takpe.. masih boleh dibaiki... gumamnya sendiri. Tetapi sebetulnya bukan itu sebab utamanya, melainkan kerana masalah kewangannya yang belum ada. Banyak lagi keperluan lain yang perlu dipenuhi. Apatah lagi saat ini mereka sedang menantikan kehadiran anak pertama. Isterinya sedang hamil sembilan bulan.. cuma menantikan harinya.

"Baguskan ummi.. tentu mahalkan.."

"Jangan fikirkan soal harganya, takde salahnyakan sekali sekala membelikan sesuatu yang terbaik untuk abang".

"Terima kasih yea ummi..." katanya gembira sambil memeluk isterinya penuh kasih.

Ustaz muda itu merasa tidak tenteram. Masuk hari ini, sudah 7 hari isterinya ditahan di wad. Menurut doktor keadaan isterinya sangat lemah dan dikhuatiri akan menghadapi masalah pada saat melahirkan nanti. Pagi tadi air ketubannya pecah dan sedari pagi ia tidak berganjak dari sisi isterinya. Hatinya berdebar kencang tidak menentu. Apabila ia menatap wajah isterinya, batinnya tersentuh haru. Isterinya terbaring lemah, matanya terpejam rapat, nampak kurus dan pucat. Berbeza dengan tudung labuh berwarna biru cair yang dipakainya.

"Tapi kau masih tetap nampak cantik, Mi.." bisik hatinya.

Sementara itu sayup-sayup terdengar suara takbir dikumandangkan. Tiba-tiba isterinya membuka mata. Senyumannya menghiasi wajahnya bila terlihat sang suami disisi.

"Pukul berapa sekarang bang?... tanya isterinya lirih.

"Hampir pukul 12. Macammana keadaanmu, Ummi?".

"Tak sabar rasanya nak dengar tangisan anak kita bang...".

"Sabarlah... InsyaAllah, semuanya akan berjalan dengan lancar".

"Amin..." jawab isterinya lemah.

"Bang, esok Hari Raya Aidiladha kan ?".

"Ya.. tu suara takbir kedengaran".

"Sebaiknya abang bali dulu, berehat dirumah. Esokkan abang kena beri khutbah Hari Raya. Jangan risau tentang Ummi. Abang pun kena jaga kesihatan... kurang tidurkan sejak akhir-akhir ni, nanti abangpun jatuh sakit".

"Abang rasa abang nak gantikan orang lain jagi Khatib esok, abang akan beritahu Pengerusi Masjid pagi esok mengenai hal ni... penggantinya pun dah ada".

"Jangan bang... Ummi minta tolong bang, jangan batalkan..".

"Tapi macammana Ummi?".

"Jangan risau tentang Ummi. Seperti yang abang katakan tadi, insyaAllah, semuanya akan berjalan dengan lancar. Ummi pun dah rasa sihat sikit. Ummi harap abang tetap dapat melaksanakan tanggungjawab abang dengan baik. Ummi akan kecewa kalau abang batalkan.".

"Tapi, siapa akan menjaga Ummi?".

"Bukan ke semua telah kita serahkan kepada Allah S.W.T. dialah sebaik-baik penjaga dan pemelihara makhluknya".

"Baiklah". Ustaz muda itu akhirnya mengalah.

"Alhamdulillah. . doakan anak kita sihat dan selamat ye bang..".

"Sudah tentu Ummi".

"Satu lagi bang... sandal yang Ummi belikan tu pakai esok yea...". Dia hanya mampu tersenyum dan mengangguk. Mata isterinya yang berkelopak cengkung itu kembali bersinar.

Hanya tinggal beberapa orang jamaah yang masih berada di masjid itu. Ustaz muda itu merasakan sesuatu yang sejuk meresap dalam hatinya. Kegelisahan yang sejak beberapa hati lalu terasa mencengkam, enggang menyingkir dalam dirinya, kini hilang dan terasa ringan beban fikirannya. Doanya khusyuk dan apabila ia berdoa khusus untuk isterinya dan bayi yang bakal lahir, tanpa terasa matanya basah. Basah oleh kedamaian yang menguasai jiwanya. Kemudian dia bangkit perlahan-lahan. Suasana perkarangan masjid telah sepi. Ketika dia melangkah keluar, tertegun sesaat lamanya. Eh, mana sandalku?. Sibuk dia mencari di segenap sudut. Tadi dia pasti meletakkan sandalnya di sini, di sudut ini. Tapi tiada pula. Yang tinggal hanya 3 pasang selipar yang telah buruk.

"innalillahi wa inna ilaihirajiu'un." Gumamnya lirih setelah beberapa lama mencari tanpa hail.

" Ada apa ustaz?". Tanya salah seorang AJK masjif yang kebetulan berada tidak jauh darinya.

"Saya cari sandal saya.. tak jumpa lagi. Tadi rasanya saya letak di sini, mungkin tertukar...".

"Jenama apa sandalnya". "Sandal kulit, masih baru. Baru sekali ni pakai".

"Itu bukan tertukar ustaz, tapi sengaja ditukar. Kemungkinan besar tak dapat balik ni ustaz".

"Ustaz muda itu hanya dapat manarik nafas panjang. Takde rezeki. Bukan miliknya... gumamnya sekadar menghiburkan hati. Kesedihannya bukan kerana hilangnya sandalnya itu tetapi lebih tertuju kepada isterinya. Bagaimana bersinarnya mata isterinya ketika memberikan sandal itu dan meminta untuk memakainya pada solat Aidul Adha ini tergambar kembali dengan jelas. Rasanya tak sanggup ia menatap wajah teduh isterinya nanti ketika ia menjelaskan bagaimana nasib sandal pemberiannya itu. Paling tidak, isterinya pasti hanay akan tersenyum nipis sambil mengucapkan pasrah

"Takpe... lain kali kalau ada rezeki lebih, InsyaAllah kita beli lagi". Tapi justeru itulah yang akan membuatkannya tidak sampai hati.

Ketika dia sampai di depan hospital, pakciknya telah ada di sana , menyambutnya lalu mengajaknya duduk di bangku panjang. Perasaannya tidak menentu. Dari tutur kata dan sikapnya, ia mempunya firasat bahawa sesuatu telah terjadi kepada isterinya. Dan ternyata benar.

"Isterimu telah kembali ke rahmatullah nak" ujar pakciknya lirih nyaris tidak kedengaran. Tapi baginya umpama suara guruh yang menyambar telinganya.

"Lebih kurang pukul lapan pagi tadi".

"Innalillahi wainna ilaihi raji'un," desisnya dengan hati yang pedih. Dia tidak kuasa lagi menahan air matanya dari jatuh. Pakciknya cuba menenangkannya.

"Tapi Alhamduilillah bayinya dapat diselamatkan. ..".

"Macammana dengan keadaannya?'

" Baik, gemuk dan sihat nampaknya... tangisannya pun kuat". Alhamdulillah. .

"ini ada pesanan dari isterimu" kata pakciknya sambil menyerahkan sepucuk surat yang telah lusuh.

Bismillahhirrahmani rrahim...
wbt...
Abang tersayang,
Puji dan syukur kita panjatkan kehadrat Rabb Pencipta Alam atas rahmat, nikmat dan kurnianya. Selawat dan salam untuk Rasululllah SAW, keluarga, sahabat dan pengikutnya.
Abang,
Ummi tidak dapat menulis panjang. Ummi rasa kian lemah... dan rasanya waktu Ummi semakin dekat. Ummi selalu berdoa agar anak kita lahir selamat dan tidak kurang satu atau apa pun. Kalau nanti ia lahir selamat dan Ummi tidak sempat menjaga dan membesarkannya, Ummi redha. Sebab Ummi yakin, InsyaAllah abang akan mengasuhnya seperti yang abang harapkan. Ummi tinggalkan anak itu kepada abang...
Abang,
Ummi minta ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki kiranya Ummi ada melakukan kesalahan pada abang selama kita bersama. Halalkan makan minum Ummi... dan redhalah atas pemergian Ummi ini...
Abang,
Sandal yang Ummi hadiahkan itu Ummi beli dari Ukhite Hasanah, masih berbaki pembayarannya. .Kalau ternyata Ummi tidak sempat membayarnya, tolong abang bayarkan untuk Ummi yea.

Semoga Allah senantiasa melindungi dan merahmati kita. Ameen... Wassalam Ummi...

Kertas lusuh itu basah dengan airmatanya. Rupanya isterinya telah merasa dirinya akan menghadap ilahi. Dilipatnya kembali surat terakhir itu. Tak sempat mendengar kata-kata sejuk isterinya saat menghadapi sandalnya yang hilang itu seperti yang dibayangkan. Teringat ia akan sabda Rasulullah SAW: jihadnya wanita itu adalah saat ia melahirkan.

Sungguh beruntung engkau, Ummi. Kesedihannya perlahan tersingkir oleh rasa syukur dan bangga terhadap isterinya. Isterinya pergi setelah menyelesaikan kewajipan yang paling mulia bagi seorang wanita, iaitu melahirkan seorang bayi yang masih suci dan bersih.

InsyaAllah akan selalu kujaga amanahmu ini, bisiknya seperti memperoleh kekuatan baru. Selamat jalan mujahidahku. ..!!






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Antara Lima Kelebihan Ramadhan

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum bernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka."

1. Bau busuk mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

2. Ikan-ikan di laut akan beristigfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.

3. Setiap hari Allah s.w.t. akan menghiaskan syurgaNya dan berkata, "Telah hampir masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu."

4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa mereka lakukan pada bulan lain.

5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan.
Ditanya kepada Rasulullah, "Adakah ia lailatur Qadar?" Baginda menjawab, "Tidak! Tetapi seorang pekerja yang diberikan ganjarannya apabila telah selesai kerjanya."

(Riwayat Imam Ahmad)







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kepentingan Mengajar Al-Quran Awal Kepada Si Manja

Oleh: Ustaz Kamal Mahyuddin Harun, Penyusun Siri Cepat Membaca Al-Quran – Al-Furqan


Harapan sepanjang zaman

“Timang tinggi-tinggi sampai cucur atap, Belum tumbuh gigi sudah pandai baca kitab”

Pantun nasihat seperti ini telah dialunkan sejak zaman berzaman, sebagai warisan nenek moyang kita bangsa Melayu, khususnya ketika si ibu mendodoikan anaknya dalam buaian. Secara tidak langsung, pantun nasihat ini memperlihatkan harapan yang tinggi menggunung daripada setiap ibu bapa sejak dahulu lagi, supaya anak-anak mereka dapat membaca al-Quran seawal mungkin.

Persoalannya apakah cita-cita dan harapan tersebut telah tercapai, atau apakah kebolehan anak-anak untuk membaca al-Quran pada usia kanak-kanak yang belum memasuki alam persekolahan itu suatu yang mustahil atau terlalu sukar untuk dicapai.



Apakah belajar al-Quran itu susah?

Sekiranya belajar al-Quran itu susah atau perkara ini mustahil, kenapakah generasi awal Islam seperti imam as-Syafi`e, as-Sayuti, Ibnu Sina dan lain-lain lagi bukan sahaja dapat membaca al-Quran dengan baik pada usia kanak-kanak, malah telah menghafaz 30 juzuk al-Quran tersebut. Sehubungan dengan ini Allah SWT juga telah menegaskan di dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud:

“…dan sesungguhnya Kami mudahkan al-Quran itu untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pengajaran...” (Surah al-Qamar, ayat: 13)

Ayat ini jelas menyatakan bahawa al-Quran itu merupakan suatu pelajaran yang senang dan telah dipermudahkan oleh Allah SWT untuk manusia mempelajarinya. Namun begitu tidak ramai yang menyahut seruan Allah SWT untuk mencari kaedah pengajaran yang sesuai dan seumpamanya. Majoriti masyarakat Islam menerima apa yang ada itu “seadanya”. Mereka beranggapan, kanak-kanak kecil itu masih hingusan dan tidak tahu apa-apa, masih belum mampu membezakan antara kebersihan dan kotoran (mumayyiz) dan sebagainya. Kanak-kanak pada tahap ini dianggap tidak sesuai untuk diajarkan al-Quran, kerana mereka tidak boleh memberikan tumpuan dan akan merosakkan al-Quran kerana mereka lebih suka bermain daripada belajar.

Mentaliti dan paradigma seperti ini perlu diubah kerana rakaman sejarah dan penemuan pelbagai bukti, fakta dan teknik terkini menunjukkan bahawa kanak-kanak perlu diajarkan al-Quran ini seawal yang mungkin. Kanak-kanak yang telah dapat membaca al-Quran pasti akan lebih cemerlang dalam pelajaran, berakhlak mulia dan lebih tenang menjalani kehidupan harian. Al-Quran yang dipelajari bukan sahaja merupakan mukjizat dan perlembagaan hidup agung, malah berperanan penting sebagai sumber dan asas kepada semua ilmu dan kemahiran-kemahiran yang lain seperti membaca Bahasa Melayu dan Jawi.

Peringkat awal kanak-kanak merupakan peringkat perkembangan yang berlaku dengan pesatnya, baik dari segi intelek, jasmani, mahupun rohaninya. Kanak-kanak tidak berhenti belajar tentang apa yang berlaku di sekelilingnya dan menjiwai setiap yang mereka pelajari. Inilah masa yang sesuai untuk mengajar, merangsang dan mendidik kanak-kanak dengan al-Quran. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mengajar kanak-kanak bagaikan mengukir di atas batu.

Antara penemuan dan fakta penting yang telah ditemui oleh pelbagai pakar, khususnya pakar kanak-kanak mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak ini ialah dari segi perkembangan potensi otak manusia pada peringkat kanak-kanak.

Peringkat ini merupakan tahap yang paling penting untuk merangsang dan meningkatkan keupayaan otak dan minda agar menjadi lebih cekap dan bijak melalui pelbagai bentuk rangsangan.

Salah seorang pakar yang banyak membuat kajian dan percubaan terhadap kecerdasan otak kanak-kanak, termasuk kanak-kanak cacat otak ialah Dr. Glenn Doman. Antara rumusan penting daripada kajiannya dan pakar-pakar yang lain ialah:

· Tiada ahli sains yang dapat mengalahkan kanak-kanak, dari segi semangat belajar, mengkaji, mencuba dan menyelidik.

· Kanak-kanak akan lebih gembira jika lebih banyak dan lebih cepat menerima pelajaran. Potensi kanak-kanak membaca sama sahaja dengan potensi bercakap.

· Kanak-kanak boleh bercakap dahulu kerana kanak-kanak lebih banyak menerima rangsangan pendengaran percakapan.

· Sekiranya ransangan mata dan telinga sama banyak diterima, pasti kanak-kanak akan dapat membaca juga pada masa kanak-kanak itu dapat bercakap. Walau bagaimanapun kaedah dan suasana pembelajaran yang sesuai diperlukan.

· IQ akan meningkat dengan pesat bila dirangsangkan dalam peringkat ini dan tidak berkesan lagi bila dirangsangkan selepas peringkat ini.

· Apa yang tidak diperolehinya semasa kecil, sangat sukar diperolehi apabila ia besar kelak.

· Pembelajaran pada masa akan datang juga terletak di atas apa yang didapatinya semasa kecil.

· Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang cacat otak (seperti akibat demam panas) masih boleh dirawati jika sel otaknya dirangsangkan sebelum umur persekolahan seperti yang dilakukan oleh pihak Nuri.

Berdasarkan pelbagai kajian pakar dan para ilmuan tersebut, amat penting sekali ibu bapa memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan seawal mungkin, khususnya pelajaran al-Quran. Para ibu bapa juga hendaklah memahami proses pembelajaran simanja yang berkesan seperti melalui ransangan, belaian sentuhan dan sebagainya.

Interaksi antara ibu bapa dan anak juga merupakan faktor utama yang membantu melahirkan anak pintar serta berkebolehan membaca al-Quran seawal mungkin. Lebih awal ibu bapa berinteraksi dengan anak mereka, lebih bagus perkembangan si anak. Ramai anak yang cerdas dan pintar didapati mempunyai ibu bapa yang perihatin terhadap keperluan anak dan sering meluangkan masa untuk berinteraksi dengan mereka.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template