^ Scroll to Top

Friday, September 4, 2009

Mengungkap rahsia urutan surah al-Quran

Pelbagai ilmu yang tersimpan di dalam kitab suci suburkan iman jika diamal setiap Muslim

PERNAHKAH anda terfikir mengapa al-Quran yang mengandungi 114 surah dimulakan dengan al-Fatihah diikuti surah al-Baqarah, Ali 'Imran dan diakhiri dengan surah al-Nas dengan sebelumnya adalah surah al-Falaq dan al-Ikhlas? Apakah rahsia di sebaliknya dan manfaat yang boleh kita ambil daripadanya?

Al-Quran ialah semulia kitab dan tidak diragukan ia Kalamullah mengatasi segala kalam. Mushaf yang ditulis Kalamullah wajib dihormati, dimuliakan dan tidak mendedahkannya kepada penghinaan serta pencemaran.

Al-Quran seperti disifatkan Baginda Rasulullah maksudnya: "(Berpegang) kepada kitab Allah yang sudah menceritakan orang sebelummu dan berita orang sesudahmu, dan sebagai penghukum apa yang terjadi antara sesamamu. Kitab Allah adalah firman yang memisahkan antara hak dan batil serta bukan senda gurau, orang yang meninggalkan kitab Allah daripada orang yang sombong, Allah akan membinasakannya, orang yang mencari petunjuk selain kitab Allah, maka Allah akan menyesatkannya, kitab Allah adalah (tali) Allah yang kuat, ia juga kitab yang penuh hikmah, jalan yang lurus, ia tidak condong pada hawa nafsu, tidak berat pada setiap lisan, alim ulama tidak akan kenyang padanya, ia tidak usang oleh banyak diulang (bacaannya), ia tidak habis keajaibannya, ia tidak hentinya, tatkala jin mendengarnya, mereka berkata: (Sesungguhnya kami sudah mendengar al-Quran menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan benar, lalu kami beriman kepadanya). Barang siapa berkata dengan al-Quran, maka benarlah dia, barang siapa yang mengamalnya, dia diberi pahala, orang yang menetapkan hukum dengannya maka dia adil dan barang siapa mengajak kepada al-Quran, ia mendapat petunjuk pada jalan yang lurus. Ambillah (kata yang baik) hai A'war." (Hadis riwayat Tirmizi)

Dalam hadis ada menyatakan 'ulama tidak kenyang padanya, ia tidak usang oleh banyaknya diulang (bacaannya), ia tidak habis keajaibannya.' Kita sudah menjumpai bukti kebenaran ucapan hadis ini. Kita dapati ulama menemukan perkara baru selepas merujuk kepadanya; kita dapati manusia tidak pernah bosan mendengarkannya dan kita dapati banyak keajaiban yang timbul daripadanya.

Ulama yang arif mengeluarkan banyak ilmu daripada al-Quran; ulama yang bijak pandai sudah banyak mengeluarkan hukum yang jitu daripada al-Quran; ulama yang ikhlas lagi setia banyak mengungkap rahsia al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan membuka tabir keagungan Allah Taala.

Tiada satu kitab pun di dunia ini yang boleh dibandingkan dengan al-Quran. Tidak ada satu kitab pun di dunia selain al-Quran yang sangat menarik perhatian manusia dari segi bahasa, tatabahasa, sastera, kandungan bahkan jumlah kata dan hurufnya sehingga ulama mengira bahawa lafaz 'Allah' dengan fathah (di atas) ialah 591, dengan kasrah (di bawah) 1,131 dan dengan dammah (di depan) berjumlah 974. (Al-Madisi, Fath al-Rahman, 489)

Melalui tadabbur al-Quran kita mendapati gaya bahasa dan metod persembahan dalam menyampaikan mesejnya sungguh bergaya. Tatabahasa tepat, penyampaian menarik, struktur ayat yang indah dan pilihan perkataan yang cantik hanya sebahagian daripada pesona memukau bagi menggamit insan bertadabbur terhadap wahyu Ilahi.

Satu cabang ilmu al-Quran yang diciptakan manusia adalah ilmu asrar tartib suwar al-Quran atau rahsia urutan surah-surah al-Quran. Ilmu ini tidak seberapa berbanding ilmu munasabah al-ayat atau ilmu hubung kait satu ayat kepada ayat yang lain yang selalu kita dapati dalam Tafsir Mafatih al-Ghaib (Kunci Alam Ghaib) karangan Imam al-Razi (w 1209M) kerana yang pertama disebut hanya membincangkan 114 surah sedangkan terakhir membincangkan seluruh ayat al-Quran berjumlah lebih 6,000 ayat.

Adalah Imam al-Suyuti (w 1505M), seorang ulama ensiklopedia kerana menulis di semua bidang ilmu keislaman pernah menulis kitab Asrar Tartib al-Quran.

Ketika membincangkan rahsia mengapa al-Quran dimulakan dengan al-Fatihah, beliau berkata pada halaman pertama: "Allah SWT memulakan kitab-Nya dengan surah ini (al-Fatihah) kerana di dalamnya terkumpul semua tujuan al-Quran, oleh itu ia juga dinamai umm al-Quran (induk al-Quran), umm al-kitab (induk al-kitab) dan al-asas (Asas), maka ia sesuai dengan namanya sebagai pembuka.

Berkata Hasan al-Basri: "Sesungguhnya Allah SWT menyimpan semua ilmu kitab terdahulu di dalam al-Quran; kemudian Dia menyimpan ilmu al-Quran dalam surah al-Mufassal; kemudian Dia menyimpan ilmu al-Mufassal dalam surah al-Fatihah. Siapa mengetahui tafsir al-Fatihah seolah-olah mengetahui tafsir semua kitab yang diturunkan (itu)." (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Ketika masuk membincangkan surah al-Baqarah, al-Suyuti menulis: Sebahagian imam berkata: "Surah al-Fatihah merangkumi pengakuan terhadap ketuhanan (rububiyyah) dan cara kembali kepada-Nya dalam Islam dan juga pemeliharaan daripada agama Yahudi dan Kristian.

Sedangkan surah al-Baqarah merangkumi kaedah asas agama dan surah Ali Imran sebagai penyempurna maksudnya. Surah al-Baqarah adalah dalil hukum sedangkan Ali 'Imran jawapan terhadap kekeliruan musuh (Islam)." (halaman. 2)

Akhirnya ketika membincangkan surah al-Nas, al-Suyuti menulis: "Selepas itu disebut pula surah al-Nas yang di dalamnya diberitakan mengenai martabat dan darjat jiwa manusia." (Halaman 43)

Perkara yang menarik ialah mengapa disebut dalam surah ini tiga perkataan berbeza untuk satu benda yang sama. Rab al-nas, malik al-nas dan ilah al-nas. Jika dalam tafsiran biasa diterjemah dengan 'Pemelihara sekalian manusia', 'Yang Menguasai sekalian manusia', dan 'Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia', secara berurutan. Al-Suyuti mengetengahkan pendapat Ibn al-Zamlkani dalam memahami rahsianya iaitu tiga kata 'al-nas' diertikan kanak-kanak, belia dan orang tua secara berurutan kerana sebab tertentu seperti dilihat Ibn al-Zamlkani.

Inilah rahsia ilmu al-Quran yang dijumpai ulama yang tidak pernah dilakukan terhadap kitab sebelumnya. Ia bertujuan menambah dan mempertingkatkan keimanan Muslim yang mencintai kita sucinya.

Al-Quran diturunkan oleh Allah bertujuan menyuntik semangat keimanan kepada manusia. Semangat yang sudah berputik menimbulkan minat untuk membaca dan beramal dengan tuntutannya penuh keyakinan tanpa dibatasi faktor masa, kaum, kepentingan dan tempatan.

Seseorang yang bermula dengan iman yakin dan percaya kesesuaian kitab ini pada semua zaman dan masa kerana diturunkan oleh Allah, Tuhan yang menciptakan makhluk manusia.

"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam)," seperti maksud firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 9. Maha Benar Allah!






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Taubat membersihkan dosa, tenangkan jiwa

SETIAP manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan, kecuali kalangan nabi dan rasul. Tetapi sebaik-baik manusia ialah mereka yang bertaubat, dengan menyesali atas kesilapannya dan tidak mengulanginya lagi.

Taubat adalah satu keistimewaan bagi umat Islam dan ia seharusnya dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan, bukannya disalah guna dengan alasan untuk melakukan seberapa banyak dosa.

"Dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Ia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (al-Muzammil:20)

Taubat bermaksud kembali daripada keburukan kepada kebaikan dengan beberapa syarat tertentu. Antara syaratnya ialah:

  • Meninggalkan maksiat atau perkara dosa yang dilakukan.

  • Menyesal atas segala perkara dosa yang dilakukan.

  • Berazam tidak akan mengulanginya lagi.

  • Mengembalikan hak makhluk yang dizalimi.

  • Mengerjakan ibadat fardu yang ditinggalkan selama melakukan dosa.

    Orang yang bertaubat sudah tentu mendapat beberapa kelebihan, berbanding mereka yang belum bertaubat. Antara kelebihan itu ialah:

  • Dekat diri kepada Allah.

  • Takwanya semakin meningkat.

  • Mendapat kemuliaan dan anugerah Allah di dalam kehidupan dunia dan akhirat.

  • Membersihkan kekotoran di dalam hati.

  • Menenangkan jiwa yang resah kerana dosa.

  • Menghapuskan tipu daya syaitan yang selama ini memerangkap manusia dengan melakukan perkara dosa.

  • Dapat mengekalkan hubungan yang baik sesama manusia.







  • "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Jujur Dalam Perniagaan

    AGAMA bagi Muslim bersangkutan dalam segenap aspek kehidupan, tidak seperti golongan bukan Islam, yang mempraktikkan etika agama dan urusan dunia secara berasingan, sekali gus mengizinkan mereka melakukan segala keinginan.
    AGAMA bagi Muslim bersangkutan dalam segenap aspek kehidupan, tidak seperti golongan bukan Islam, yang mempraktikkan etika agama dan urusan dunia secara berasingan, sekali gus mengizinkan mereka melakukan segala keinginan.

    Muslim tidak terlepas dengan etika digariskan agama dalam usaha untuk mencapai keselesaan, kesenangan dan kekayaan, termasuklah dalam bidang perniagaan.

    Ada yang mahu barang laris, keuntungan berganda dan cepat kaya sehingga sanggup mengadai prinsip agama dan menzalimi pihak lain.

    Senario yang berlaku hari ini memang mengecewakan. Mereka mengaburi pengguna dalam pelbagai sudut, bermula dengan janji manis ketika tawar menawar sehinggalah penetapan harga, kualiti dan kuantiti barang.

    Muslim sepatutnya mengamalkan etika dan nilai mengikut piawai ditetapkan dalam berurus niaga, tidak kiralah dia penjaja kecil, usahawan atau ahli perniagaan.

    Dalam hubungan ini, Presiden Majlis Fiqah Amerika Utara, Dr Muzammil Siddiqi menjelaskan kisah Nabi Syu'aib a.s yang diutuskan kepada penduduk Madyan pada zaman Nabi Ibrahim a.s wajar diteladani.

    "Baginda diutuskan terhadap golongan yang terbabit dalam perniagaan. Golongan ini sangat bangga dengan pengetahuan perniagaan dimiliki dan kejayaan dicapai. Tetapi mereka tidak jujur," katanya.

    Al-Quran menceritakan usaha Nabi Syu'aib menasihati mereka. Baginda menggesa mereka mematuhi etika dalam perniagaan seperti menyempurnakan sukatan dan timbangan dengan adil, tidak menzalimi orang lain dan membawa kerosakan.

    Mereka dengan angkuh tidak mahu menerima nasihat itu. Mereka marah dan menasihati baginda jangan mencampurkan agama dengan perniagaan. Tetapi kesudahannya mereka yang binasa, sedangkan Nabi Syu'aib terselamat.

    Dr Muzammil berkata, ini memberikan gambaran bahawa setiap orang mesti mengamalkan etika mengikut piawai dalam perniagaan.

    Menurutnya, perniagaan dan etika tidak berasingan, bahkan ia berhubungkait, sebagaimana yang ditunjukkan manusia yang paling ideal dalam segenap aspek, Nabi Muhammad s.a.w.

    "Baginda adalah guru, pembimbing, pemidato dan pemimpin terbaik, penggubal undang-undang, hakim dan diplomat, perunding dan jeneral tentera terbaik, ketua keluarga, suami, bapa dan datuk yang pengasih serta jiran dan sahabat yang baik."

    Rasulullah dipilih Tuhan menjadi nabi dan rasul terakhir pada usia 40 tahun. Sebelum itu baginda terkenal sebagai seorang ahli perniagaan yang sangat jujur dan berjaya.

    Makkah adalah tempat kelahiran baginda sangat popular dari dulu. Kafilah dari Syria di utara dan Yaman di selatan menjadikan kota itu sebagai laluan perniagaan.

    Baginda dilaporkan turut menyertai kafilah ini.

    Katanya, Rasulullah melalui perjalanan ke Syria, Yaman, Bahrain dan banyak lagi tempat di Arab Saudi melalui kafilah ini.

    "Bahkan, sesetengah ahli sejarah mengandaikan yang baginda juga meneruskan perjalanan ke Iraq dan Ethiopia," katanya.

    Sejak usia awal lagi baginda terbabit dalam perniagaan. Baginda mempunyai reputasi yang baik, sebagai ahli perniagaan bekerja kuat, jujur, benar dan sangat berjaya.

    Berasaskan reputasi ini Khadijah, ahli perniagaan yang kaya raya menggajikannya untuk melakukan perniagaannya. Sebelum itu ada pemuda lain yang berminat untuk bekerja dengan beliau, tetapi ditolak kerana tidak jujur.

    Dr Muzammil menegaskan, prinsip umum yang mesti dipatuhi antaranya, tiada penipuan, penjual mesti mengelakkan daripada melakukan banyak sumpah apabila menjual barang, adanya persetujuan, tepat terhadap timbangan dan ukuran.

    Menurutnya, peniaga dilarang melakukan monopoli (perdagangan dalam kawalan seorang), kerana Nabi s.a.w melarang amalan itu, malah tindakan itu dihukumkan berdosa.

    Kitab fiqah mengenai rukun jual beli, menjelaskan barang yang diniagakan itu mestilah suci, ada manfaat, dapat diserahkan kepada pembeli, kepunyaan penjual dan diketahui kedua-dua pihak mengenainya, termasuk bentuk, ukuran dan sifatnya.

    Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Zaharuddin Abd Rahman, dalam artikelnya, berkata di dalam Islam setiap penjual berhak menentukan harga barangan yang dimilikinya, namun ia masih terikat dengan harga pasaran.

    "Justeru, harga yang ditawarkan hendaklah diterima harga pasaran, jika ia mahu keluar dari harga pasaran, ia mesti mesti mempunyai sesuatu nilai tambah unik pada kualiti barangan itu.

    "Tidak dibuat dengan tujuan spekulasi (harga yang ditawar bukan bertujuan untuk jual beli sebenar tetapi hanya dibuat bagi memberi kesan kepada harga pasaran semasa) atau bagi menaikkan harga pasaran," katanya.

    Beliau berkata, jika ia ada tujuan tidak sihat seperti usaha untuk menaikkan harga melalui sorokan barangan hingga harganya meningkat, mengambil peluang atas kelemahan pembeli terhadap harga pasaran, harga yang tinggi tadi menjadi haram.

    Dalam disiplin perniagaan hari ini globalisasi sepatutnya difahami lebih positif yang menunjukkan semua orang boleh bertolak ansur dan sepakat seperti dalam satu keluarga, bukan mengambilnya sebagai loncatan untuk bersikap lebih rakus.

    Semua pihak sepatutnya dilayan dengan hormat, sama rata dan adil. Eksploitasi terhadap sesetengah pihak sepatutnya dihentikan dan tidak timbul perbezaan sesama manusia berdasarkan bangsa, warna kulit, warganegara, jantina atau agama.

    Ini kerana kemakmuran sumber bumi bukan hanya untuk segolongan dan terpakai bagi satu generasi saja, tetapi ia khazanah yang perlu dikongsi bersama. Siapa pun kita dan di dalam bidang apa kita usahakan, tetap terikat dengan etika.







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Rahsia diwajibkan solat

    SOLAT adalah satu perintah yang diwajibkan ke atas orang Islam setiap hari. Umat Islam dituntut melakukan ibadat itu menurut sebagaimana diperintahkan Rasulullah s.a.w, dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salamnya dengan penuh takwa.

    Orang yang mendirikan solat adalah orang yang beriman. Orang yang beriman mesti mendirikan solat. "Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan solat." (Ibrahim:31)

    Dalam al-Quran, dilaporkan ada lebih 25 tempat ayat "aqama" yang merujuk kepada makna perintah mendirikan solat dan lebih 70 kali perkataan "as-solah" atau solat diulang dan disebut dalam al-Quran.

    Antaranya, firman yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.

    "Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (an-Nisa':103)

    Setiap individu Muslim dan Muslimah mesti mengerjakan solat. Malah, bagi ketua keluarga seharusnya memerintahkan ahli keluarganya melakukan solat. Ibu bapa pula wajib mengajar dan membimbing anak melakukan ibadat itu, seawal usia tujuh tahun.

    Ibadat solat adalah suatu perintah daripada Tuhan kepada hamba-Nya. Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, malah mengiringi mereka yang mengerjakannya.

  • Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampiri diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya.

    "Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha:14)

  • Solat adalah tanda kesyukuran. Muslim atau Muslimah yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya. Mereka bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan dengan melakukan ibadat kepada-Nya.

  • Ibadat solat menghapuskan dosa. Manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. Sebagaimana satu hadis bermaksud:

    "Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

  • Solat juga dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ibadat solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya dari melakukan maksiat dan kemungkaran.

    "Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Ankabut:45)

  • Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup. Kita boleh lihat kehidupan orang yang memelihara solat dan orang yang tidak mengerjakan solat, jauh berbeza bukan!

    "Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (al-Mukminun: 1-2)

  • Solat dapat mententeramkan jiwa. Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekali gus menjadikan kehidupannya lebih ceria.

    Seorang yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya serta memahami kelebihan dan rahsia bacaannya, sudah tentu akan tenang jiwanya.

    "Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij:19-23)

    Rasulullah s.a.w ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati.

    Kelebihan ini sekurang-kurangnya akan menyuntik diri kita umat Islam untuk lebih tekun mengerjakan solat, malah mereka yang selama ini tidak mengenali ibadat itu tertarik untuk turut sama melakukannya







  • "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Pengislaman Abu Darda'

    WAHAI orang-orang beriman, masuklah ke dalam agama Islam seluruhnya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata. (al-Baqarah: 208)
    ABU Darda' merupakan seorang seorang lelaki yang kuat mengamalkan ajaran menyembah berhala. Beliau menyerahkan semua urusan di tangan berhalanya itu. Dia amat bergantung kepada berhala di rumahnya apabila ingin membuat keputusan. Kepala berhala akan dibungkuskan dengan secebis kain yang kemudiannya diletakkan di dalam sebuah bilik khas. Bilik itu dijadikan Abu Darda' sebagai bilik penyembahan.
    Abdullah bin Rawahah merupakan sahabat baik Abu Darda'. Malah lelaki itu sudah dianggap saudaranya. Mereka saling mengenali ketika zaman jahiliah lagi. Abdullah terlebih dahulu memeluk agama Islam.
    Oleh sebab itu, dia sering ke rumah Abu Darda dan mengajak sahabatnya itu memeluk agama Islam, namun Abu Darda' sering kali menolak. Dia memberi alasan bahawa dia belum bersedia lagi hendak meninggalkan agama nenek moyangnya itu.
    Pada suatu hari, Abdullah pergi ke rumah Abu Darda'. Beliau tidak masuk ke dalam rumah dan menemui Abu Darda'. Sebaliknya beliau bersembunyi dan menunggu sehingga Abu Darda' keluar. Abdullah lalu masuk ke dalam rumah Abu Darda'. Dia merapati isteri Abu Darda; yang sedang menyikat rambut.
    "Di mana Abu Darda?" Abdullah berpura-pura bertanya kepada wanita itu.
    "Oh, dia baru saja keluar. Ada urusan," maklum isteri Abu Darda'.
    Apabila isteri Abu Darda' tidak melihatnya, Abdullah bagaikan pencuri segera memasuki bilik penyembahan Abu Darda'. Abdullah mengambil kapak yang tersimpan di dalam bilik itu lalu menghampiri berhala milik Abu Darda' yang amat disayanginya itu. Kapak itu diangkat setinggi-tingginya lalu dengan deras Abdullah menghayun kapak itu ke arah berhala Abu Darda'.
    "Ingatlah, segala apa yang disembah selain Allah adalah tidak benar. Bodoh!" kutuk Abdullah sambil terus memecahkan berhala itu. Berhala itu berkecai-kecai dalam masa yang singkat sahaja. Abdullah terus mengutuk berhala itu.
    Isteri Abu Darda' yang sedang menyikat rambutnya terkejut. Dia mendengar bunyi bising dari dalam bilik berhala. Dia pun segera menuju ke bilik itu. Sebaik sahaja pintu itu terbuka, dia terkejut melihat berhala suaminya sudah hancur berkecai ke atas lantai. Abdullah kelihatan masih lagi menghayun kapaknya.
    "Eh, Abdullah! Apa yang engkau lakukan ini?" tanya isteri Abu Darda'. "Matilah aku kalau Abu Darda' melihatnya nanti."
    Abdullah tidak menjawab. Dia segera keluar dan melarikan diri dari rumah itu. Apabila Abu Darda' pulang ke rumah, dia terus menuju ke bilik berhalanya. Alangkah terkejutnya Abu Darda' apabila melihat berhala yang selalu disembahnya sudah hancur. Tidak ada apa-apa pun yang tertinggal.
    "Siapa yang pecahkan berhalaku?" tanya Abu Darda' kepada isterinya. Dia menengking isterinya kerana menyangkakan wanita itu yang memecahkannya.
    "Bukan saya yang pecahkan berhala itu," jawab isteri Abu Darda' sambil menangis teresak-esak. Dia sesal kerana Abdullah telah memecahkan tuhan mereka itu. Pasti tuhan mereka itu akan murka nanti.
    "Kalau bukan kau yang pecahkan, siapa dia yang kurang ajar ini?" soal Abu Darda' lagi.
    "Abdullah, saudara itu," jawab isterinya.
    "Abdullah? Tapi kenapa?" soal Abu Darda' lagi.
    "Saya tidak tahu. Saya pun tidak menyangka dia akan berbuat begitu. Dia datang bertanya sama ada kau ada atau tidak. Saya pun tidak perasan bila dia masuk ke dalam bilik penyembahan dan memecahkan tuhan kita itu," jawab isterinya lagi.
    Abu Darda' berasa amat marah kepada Abdullah. Ini adalah perbuatan yang tidak dapat dimaafkan sama sekali. Namun, tiba-tiba Abu Darda' terdiam. Amarahnya perlahan-lahan menurun. Dia memandang berhalanya yang sudah berkecai itu.
    "Kenapa tuhan ku ini mendiamkan diri saja bila Abdullah memusnahkannya? Kenapa dia tidak mempertahankan diri dan bertindak balas? Bagaimana dia mahu melindungi kami jika dirinya sendiri pun dia tidak mampu melindungi," fikir Abu Darda' di dalam hatinya.
    Mulai hari itu, Abu Darda' selalu memikirkan persoalan itu. Akhirnya, Abu Darda' berjumpa Abdullah dan memberitahu keinginannya untuk memeluk agama Islam. Abdullah pun membawa sahabatnya itu berjumpa dengan Rasulullah. Di hadapan Rasulullah, Abu Darda' memeluk agama Islam dengan hati yang ikhlas.








    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

     
    Dear Diary Blogger Template