^ Scroll to Top

Saturday, September 20, 2008

Kalam Allah beri hidayah, petunjuk manusia tinggalkan hidup jahiliah penuh kesesatan

PERISTIWA Nuzul al-Quran antara perkara penting yang harus diingat dan direnung Muslim kerana bermula dengan peristiwa itu zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah Yang Esa.

Peristiwa Nuzul al-Quran menjana perubahan dan membina peradaban umat. Allah berfirman bermaksud: "Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata "al-Quran mukjizat akhir zaman" atau "al-Quran yang mempunyai mukjizat". Disebabkan keutamaan inilah, al-Quran berbeza daripada kitab lain yang diturunkan kepada nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat terbesar dianugerahkan Allah kepada Rasulullah SAW dalam menghadapi cabaran menegakkan syiar Islam. Ketabahan Baginda berjaya mengubah bangsa Arab yang hidup tanpa pedoman, jauh daripada hak dan kebenaran dengan meniupkan roh semangat al-Quran.
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam. Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan terakhir daripada Allah, diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun kepada Rasul-Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.

Penurunan ayat al-Quran secara beransur-ansur mempunyai hikmah, antaranya tidak membebankan pesuruh-Nya dan umat Islam pada zaman awal Islam, malah sesetengah ayat diturunkan bagi menerangkan kedudukan sesuatu kes dalam masyarakat. Contohnya, dalam kes Umar terhadap Rasulullah SAW yang mengingatkan kemungkinan ada antara mereka yang menemui isteri Baginda bersikap tidak jujur. Sejurus kemudian, turun wahyu Allah menjelaskan perkara itu, iaitu firman Allah yang bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isterimu, anak perempuanmu dan isteri orang Mukminin hendaklah memakai jilbab. Dengan demikian akan mudah dikenali dan tidak diganggu. Allah Maha Pengampun dan Penyayang." (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Waktu penurunan al-Quran mengikut perancangan dan ketentuan Ilahi. Sesuai dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadan untuk menurunkannya. Firman Allah bermaksud: "Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada pembeza (antara yang hak dan batil)." (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Nabi menerima wahyu dalam pelbagai cara dan keadaan antaranya:

l Malaikat memasukkan wahyu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia sudah berada dalam kalbunya.

l Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW berupa lelaki yang berkata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal kata-kata itu.

l Wahyu datang seperti gemerincingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadangkala pada keningnya keluar peluh walaupun ketika itu musim sejuk. Ada kalanya, unta yang Baginda tunggangi terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun.
l Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW dalam rupanya yang asli.

Hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu ialah:

  • Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan jika diturunkan sekali gus dengan banyak.

  • Antara ayat itu ada yang nasikh dan mansukh, sesuai dengan permasalahan waktu itu. Ini tidak dilakukan jika al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan ada nasikh dan mansukh)

  • Turun ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku lebih mengesankan dan berpengaruh di hati.

  • Memudahkan penghafalan. Orang Musyrik bertanya mengapakah al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus? Dijawab dalam ayat itu sendiri: Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu." (Surah al-Furqan, ayat 32)

  • Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan seperti dikatakan Ibnu Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana jika al-Quran diturunkan sekali gus.

    Al-Quran mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan dalam segenap aspek, bukan saja suruhan dan larangan, malah merangkumi cerita alam ghaib, teladan dan ilmu pengetahuan.

    Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat kerana al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia.

    Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredai di sisi Allah. (Buku Peristiwa Bersejarah Bulan Ramadan)







  • "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Ramadan masa buang tabiat buruk

    RAMADAN saban tahun mampir dengan penuh rahmat dan berkat. Selain disyariatkan berpuasa selama sebulan, umat Islam amat digalakkan juga kita meningkatkan ibadat wajib dan sunat ke tahap maksimum. Apatah lagi, mengetahui akan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dan pintu keampunan yang terbuka luas pada bulan penuh kelebihan ini.
    Wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, REDWAN ADMAN menemu bual Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh bagi merungkai kemelut yang dihadapi kaum wanita acap kali tibanya Ramadan.
    MEGA: Lumrahnya kaum wanita ada cuti khas pada setiap bulan. Jadi bagaimana perlunya pengisian Ramadan agar lebih bermanfaat?
    NIK SALIDA: Sewaktu wanita tidak diizinkan berpuasa dalam bulan Ramadan kerana haid atau nifas, mereka masih boleh memanfaatkan Ramadan dengan amal ibadat yang lain seperti bersedekah, memberi makan khusus kepada orang yang berbuka puasa, mendengar orang bertadarus, berselawat, bertasbih, berzikir dan sebagainya.
    Di samping itu, wanita masih boleh merebut kelebihan Ramadan dengan mewakafkan tenaga dan masa kepada orang yang berpuasa. Contohnya, menyediakan makanan untuk bersahur dan berbuka. Apatah lagi jika mereka mampu bersedekah dan memberi makan kepada orang yang berpuasa.
    Perlu diingat bahawa menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa tinggi fadilatnya. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, nescaya ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.” (riwayat Ahmad dan An-Nasai serta dinyatakan sahih oleh Al-Albani)
    Walaupun bunyinya mudah, tidak semua orang tergerak hati untuk melaksanakan semua ini melainkan mereka yang merasai betapa berharga mengejar jutaan kebaikan di bulan yang mulia ini.
    Satu perkara yang tidak asing dalam masyarakat Islam terutamanya kaum wanita kita ialah kesibukan mereka pada 10 malam terakhir Ramadan. Bagaimana perlu diperjelaskan kerugian mereka yang meninggalkannya?
    NIK SALIDA: Kesibukan wanita pada 10 malam terakhir Ramadan ialah dengan membuat persiapan hari raya seperti penyediaan juadah hari raya, menjahit langsir atau kelengkapan rumah yang lain, menghias rumah pada malam hari kerana siangnya berkerja.
    Malah ada juga yang tiada pun alasan melainkan tidak tergerak hati untuk merebut peluang keemasan mendapat keistimewaan malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar.
    Persediaan untuk berhari raya sehingga meninggalkan ibadat-ibadat sunat pada 10 malam yang terakhir yang boleh membebaskan umat Islam dari api neraka adalah amat merugikan kerana ia datang setahun sekali.
    Kebetulan ibadah bulan Ramadan ini kebanyakannya ibadah badani, iaitu ibadah yang banyak melakukan gerakan badan, seperti bangun sahur, menahan lapar dan dahaga, solat tarawih, qiam dan sebagainya, maka individu Muslim sepatutnya bijak menguruskan masa agar waktu malam tidak dikorbankan untuk tidur sahaja sebaliknya, carilah rehat yang cukup untuk memanfaatkan malam terutamanya 10 yang terakhir untuk beribadat.
    Kaum wanita khususnya adalah diseru agar mengetahui keutamaan mereka dalam melakukan sesuatu perkara, yang mana ibadah, yang mana wajib, yang mana sunat, bahkan yang mana haram dilakukan dalam menyambut bulan kegembiraan umat Islam ini.
    Malah lebih mengharukan, apabila ada ibu-ibu yang memaksa anak-anak turut serta berjaga malam membantu membuat biskut raya, bukannya mengambil peluang membimbing anak-anak bagaimana untuk menambahkan ibadat sunat di bulan Ramadan.
    Selalunya orang mengatakan bahawa bulan Ramadan adalah bulan untuk berhenti merokok, bagaimana pula tabiat buruk kaum wanita yang boleh diperbaiki menerusi Ramadan?
    NIK SALIDA: Kalau wanita juga merokok, tentulah mereka cuba berhenti merokok, kerana puasa ialah menahan diri dari sesuatu, termasuklah hawa nafsu untuk merokok. Tabiat buruk lain kaum wanita yang boleh diperbaiki menerusi Ramadan ialah bangun di awal pagi, kerana lumrahnya kaum wanita perlu menguruskan rumah tangga, kalau mereka tidak berdisiplin dalam urusan pengurusan rumah tangga, sudah tentulah mereka akan menghadapi masalah kelak.
    Disebabkan puasa ialah menahan diri daripada sesuatu, ia termasuklah menahan diri daripada mengumpat dan mengeji serta mengeluarkan perkataan-perkataan yang buruk apabila berbicara, tidak berbohong, berbicara kotor, curang, tidak jujur, menyakitkan hati dan sebagainya. Dari Abu Hurairah, berkata: Nabi SAW bersabda: Barang siapa tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan curang, maka Allah sama sekali tidak memerlukan perbuatannya meninggalkan makan dan minum. (riwayat Bukhari)
    Wanita juga perlu menjauhi perbuatan suka bertengkar, mencerca, memaki, mencuri, meninggalkan sembahyang, tidak menutup aurat dan sebagainya. Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah dikatakan berpuasa kerana tidak makan dan minum. Akan tetapi yang dinamakan puasa ialah kerana meninggalkan ucapan yang sia-sia dan perbuatan yang buruk. Kerana itu, jika ada orang yang memakimu, katakanlah kepadanya, Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa.”
    Hadis riwayat Muslim pula mengatakan bahawa beza orang yang kufur dan orang Islam ialah solat, iaitu: Di antara hamba dan kekufuran itu ialah meninggalkan sembahyang.
    Justeru, amatlah penting wanita menganggap dirinya sentiasa berpuasa daripada mencaci, berbohong, bercakap perkara yang sia-sia, mengumpat dan sebagainya walaupun setelah usai Ramadan kerana Ramadan boleh melatih wanita melakukan semua itu jika mereka nekad.







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Menghulur bantuan sekalipun kecil nilainya

    DARIPADA Ummu Bujaid r.ha., beliau berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang miskin sering datang ke pintu rumahku, tetapi aku tidak mempunyai sesuatu yang boleh diberikan kepadanya.”
    Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya engkau tidak mempunyai sesuatu untuk diberikan kepadanya melainkan kuku kuda yang telah terbakar maka hulurkanlah ke tangannya.” (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
    Keterangan
    Rasulullah menggesa agar menghulurkan sedekah dengan apa sahaja benda yang dimiliki, sekalipun kuku kuda atau seumpamanya. Ia merupakan benda yang paling rendah nilainya. Kebanyakan fakir miskin tidak mahu menerimanya kerana ia tidak bermanfaat melainkan semasa kebuluran.
    Maka janganlah menolak permintaan orang yang memerlukan dalam keadaan merugikannya. (Al-Muntaqo Syarah Muwatto’).








    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Ramadan pesta kurma

    RAMADAN terkenal juga sebagai bulan pesta kurma, dengan ketibaan puasa, bermakna buah yang berzat ini melimpah-ruah di pasaran.

    Kurma atau tamar adalah antara makanan utama Nabi Muhammad s.a.w dan diteladani umat Islam zaman berzaman, malah makanan utama di Timur Tengah.

    Ensiklopedia Wikipedia menyatakan, kurma dipercayai berasal di sekitar Teluk Parsi dan ditanam sejak zaman kuno dari Mesopotamia hingga prasejarah Mesir.

    Bukti arkeologi menunjukkan penanaman kurma di bahagian timur Arab pada 6000 Sebelum Masihi.

    Kemudian, masyarakat Arab membawa kurma ke Asia Selatan, Asia Tenggara, utara Afrika dan Sepanyol. Ia juga diperkenalkan ke Mexico dan California oleh orang Sepanyol pada 1765.

    Kurma mengandungi biji tunggal berukuran dua hingga dua setengah sentimeter dengan ketebalan enam hingga lapan milimeter.

    Tiga jenis utama kurma, iaitu jenis lembut seperti Barhee, Halawy, Khadrawy, Medjool; separuh kering contohnya Dayri, Deglet Noor, Zahidi dan kering seperti Thoory. Jenis buah bergantung kepada kandungan glukosa, fruktosa dan sukrosa.

    Kurma antara buah yang disebut di dalam al-Quran, contohnya pada surah Maryam, ayat 23 hingga 25, maksudnya:

    “(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pokok tamar (kurma), ia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!

    “Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya: Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.

    “Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.”

    Umat Islam dianjurkan berbuka puasa dengan buah kurma sebaik terbenamnya matahari kerana ia sunat. Ini dinyatakan dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w, antaranya:

    Daripada Salman bin Amir al-Dabiy r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w, sabdanya bermaksud: “Apabila seorang daripada kamu berbuka puasa, hendaklah ia berbuka dengan kurma, kerana buah kurma itu ada berkatnya (banyak khasiatnya). Kalau orang itu tidak dapat buah kurma maka memadai juga dengan air sejuk, kerana air itu bersih lagi membersihkan". (Hadis hasan sahih, riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

    Perintah baginda supaya umatnya berbuka puasa dengan kurma adalah sunat, malah baginda sendiri mengamalkannya seperti diterangkan dalam hadis berikut, (maksudnya): “Biasanya Rasulullah s.a.w berbuka puasa, sebelum solat dengan beberapa biji buah kurma yang masih basah dan ranum (rutab), kalau tidak dapat, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma yang sudah kering (tamar), kalau tidak dapat juga, Baginda berbuka dengan beberapa teguk air sejuk.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi dan Anas r.a)

    Kurma banyak khasiatnya kerana dikatakan mempunyai kandungan zat yang dapat digunakan dalam perubatan (mempunyai tenaga pembersihan) dan astringen pada masalah usus.

    Ia juga dapat digunakan dalam masalah sakit kerongkong, selesema dan demam. Tepung biji benih juga digunakan pada sesetengah ubat tradisional.

    Sebagai buah manis lagi lazat, ia sangat sesuai untuk perut yang kosong, memberikan tenaga dan menyegarkan kisaran penghadaman.







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Kehebatan Al-Quran

    FIRMAN Allah, maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah)...” (al-Baqarah: 185)

    Penurunan al-Quran atau masyhur disebut nuzul al-Quran pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad s.a.w peristiwa yang sangat besar dan tidak dilupakan generasi umat Islam.

    Nuzul bererti penurunan atau perpindahan dari atas ke bawah (turun) manakala al-Quran bererti bacaan atau himpunan.

    Ulama meletakkan takrif al-Quran sebagai kalam Allah yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad s..a.w dengan perantaraan Jibril a.s serta menjadi ibadat dengan membacanya.

    Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara membabitkan persoalan tauhid (ketuhanan), ibadat, jenayah, muamalat dan kemasyarakatan, sains teknologi dan banyak lagi.

    Al-Quran suatu mukjizat terbesar kepada Nabi Muhammad s.a.w yang abadi hingga hingga hari kiamat dan ia kitab yang sangat sempurna diturunkan sebagai manual kehidupan manusia di dunia, dengan tiada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal darinya.

    “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka.” (al-An’am: 38)

    Istilah penurunan ini dipanggil sebagai nuzul al-Quran yang membawa maksud amat mendalam, kerana al-Quran diturunkan dari tempat yang tinggi dan mulia iaitu Luh Mahfuz, kemudian diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w secara berperingkat mengikut keadaan dan keperluan semasa.

    Perantara bagi penurunan al-Quran kepada Nabi s.a.w ialah Jibril. Jangka masa penurunan itu selama 23 tahun, iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah.

    “Dan sesungguhnya al-Quran (yang di antara isinya kisah tersebut) diturunkan Allah Tuhan sekalian alam.

    “Ia dibawa turun malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang daripada pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.” (asy-Syuarak:192-195)

    Ayat al-Quran yang mula diturunkan Allah kepada baginda melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah al-‘Alaq.

    Nabi s.a.w sentiasa dikunjungi Jibril pada Ramadan, seperti dijelaskan dalam hadis di bawah:

    “Daripada Ibnu Abbas r.a katanya, Rasulullah s.a.w seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ketika baginda didatangi Jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada baginda. Sesungguhnya baginda bersifat pemurah dengan segera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Al-Quran sebenar-benar wahyu yang diturunkan Allah dan ia bukan suatu rekaan Nabi Muhammad s.a.w seperti didakwa musuh yang sentiasa mencemburui Islam dan umatnya dari dulu hingga kini.

    Dakwaan itu nyata tidak benar sama sekali kerana gaya dan seni keindahan al-Quran tidak mampu direka atau ditandingi daya intelektual manusia.

    Allah ada mencabar manusia, malah jin menandingi kehebatan al-Quran, sekiranya mereka mampu berbuat demikian, tetapi mereka tidak mampu.

    “Katakanlah: Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka saling bantu-membantu.” (al-Isra:88)

    Al-Quran bukan hanya sebuah kitab, tetapi menjadi petunjuk (hidayah) kepada manusia, memberikan rahmat, syifa (penyembuh kepada penyakit), nur (cahaya yang menerangi), furqan (pembeza di antara hak dan batil), az-zikr (memberi peringatan) dan memberi penjelasan bagi manusia.

    Ia wajar dibaca dan ditatap lebih kerap, malah diperhalusi dan dikaji bagi mendapatkan sari pati kandungannya untuk manfaat seisi alam.

    Pada Ramadan, umat Islam sangat digalakkan membaca al-Quran kerana ganjaran pahala yang berganda. Nabi s.a.w sendiri gemar membaca al-Quran pada Ramadan.

    Daripada Aisyah r.a katanya: “Rasulullah (saw) memperbanyakkan amalan apabila sampai hari ke-10 terakhir daripada bulan Ramadan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya). Baginda menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Kitab suci ini amat penting bagi memandu kehidupan manusia. Walaupun manusia dilengkapi akal dan pancaindera yang lima, tetapi manusia tidak dapat memikirkan kebenaran tauhid, perkara ghaib dan hakikat di luar daerah kemampuannya.

    Imam al-Ghazali menegaskan, sesungguhnya akal itu tidak dapat memberi hukum ke atas sesuatu perkara melainkan perkara itu mempunyai dua sifat, masa dan tempat. Akal akan bertanya ‘bila’ dan ‘di mana’. Selagi dua soalan itu tidak terjawab, akal tidak mengakui kewujudannya.

    Oleh itu, akal semata-mata dengan capaian yang cukup terbatas tidak dapat menerima kewujudan Allah, tidak mempercayai sifat Allah serta tidak mengakui qada dan qadar kerana akal itu terhad sifatnya dan kewujudan Allah itu tidak bersifat tempat dan masa.

    Justeru, ada manusia mengambil jalan falsafah mencari tuhan, sehingga mencipta teori sendiri dalam soal ketuhanan, namun pegangan ini tidak sama antara satu sama lain.

    Di sini sudah nampak manusia memerlukan satu petunjuk yang boleh menunjukkan jalan kepada manusia mengenai hakikat ketuhanan sebenarnya.

    Petunjuk itu ialah agama Islam sebagai agama benar lagi lurus. Agama Kristian dan Yahudi tidak boleh menjadi petunjuk kepada manusia kerana kedua-duanya diselewengkan penganutnya.

    Dalam persoalan ketuhanan, Islam yang unggul dan ajaran Islam datangnya dari al-Quran. Al-Quran yang memberi petunjuk kepada manusia untuk menunjuk jalan kebenaran.

    “Kitab al-Quran ini, tiada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (Ini sebagaimana ditegaskan pada ayat 2, surah al-Baqarah.







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

     
    Dear Diary Blogger Template