^ Scroll to Top

Sunday, June 29, 2008

Awasi dakyah ‘kelompok pinggiran’

DI dalam Islam, kemunculan ekstremis agama bermula apabila berlaku fitnah yang menyebabkan kematian khalifah ketiga, iaitu Sayidina Uthman Ibn Affan r.a. Pendorong ke arah kegiatan tersebut adalah percampuran api fitnah politik dengan pelampau agama.

Sekalipun Khalifah Uthman cuba menyangkal kebanyakan fitnah itu serta kesilapan yang dilakukan dalam pemerintahannya, namun puak pelampau berusaha menyalakan api fitnah untuk menghukum khalifah dan menghasut supaya membunuhnya.

Ali bin Abi Talib yang menggantikan tempatnya menyebut peristiwa itu sebagai fitnah dan huru-hara besar, manakala orang ramai yang terlibat di dalam kancah rusuhan itu dikenali sebagai ‘al-ghaugha’ (kelompok pinggiran yang melakukan kerosakan atau menimbulkan kacau-bilau dalam masyarakat)’ yang berusaha mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat.

Kelompok pinggiran yang dimaksudkan itu adalah gerakan massa yang melampau dan tidak diketahui pemimpinnya. Mereka berkumpul kerana disatukan oleh rasa kemarahan yang sama. Biasanya sasaran kemarahan itu ialah ‘kuasa yang diwujudkan’. Namun, setelah ia berhasil melaksanakan apa yang diinginkan, ia kemudiannya perlahan- lahan menghilang dan kembali ke tempat masing-masing secara normal.

Mereka menampilkan keperibadian seorang insan yang normal. Kemungkinan juga di dalam kelompok pinggiran itu wujud pakatan jahat yang diterajui oleh kekuatan yang tidak diketahui dengan tujuan menghancurkan Islam. Mereka mungkin didalangi oleh golongan munafik moden.

Mengenai kelompok pinggiran ini, Sayidina Ali menjelaskan perwatakan golongan ini secara berkias: ‘‘Mereka adalah kelompok orang yang apabila berkumpul amat membahayakan, dan apabila berpisah mereka sangat menguntungkan.” Orang bertanya, ‘‘Kami mengerti akan bahaya kumpulan mereka, tetapi apa manfaat perpisahan mereka?” Ali menjelaskan, ‘‘Orang yang bekerja kembali kepada pekerjaan asalnya sehingga memberi manfaat kepada masyarakat, iaitu pembina bangunan ke tempat bangunan, tukang tenun ke tempat pertenunan dan pembuat roti kembali ke dapur membuat roti.”

Jadi, kelompok pinggiran adalah kumpulan manusia biasa, iaitu perkumpulan orang normal. Bagaimanapun, kekuatan ‘luar biasa’ yang telah mengumpulkan mereka dan menjadikan mereka ‘ganas’.

Sebelum menjadi kelompok pinggiran, mereka adalah anggota masyarakat yang memberikan sumbangan masing-masing kepada masyarakat. Setelah menjadi kelompok pinggiran, mereka kehilangan arah, tunduk kepada kemahuan massa dan seakan-akan mereka telah dirasuk. Sikap seumpama ini menjatuhkan martabat mereka sebagai manusia dan secara tidak langsung ‘menurunkan beberapa anak tangga peradaban’ yang telah terbina dan ampuh selama ini.

Mengenai kelompok pinggiran ini, Khalifah Al-Ma‘mun berkata, ‘‘Setiap kejahatan dan kezaliman di dunia ini berasal daripada ‘al-ghaugha’. Merekalah pembunuh para Nabi, bahkan sesiapa sahaja yang dianggap musuh. Mereka memecahbelahkan para ulama dan merosakkan orang-orang yang saling bercinta. Di kalangan mereka ada pencuri, perompak, dan orang sombong yang membawa fitnah kepada pemerintah.”

Keterlaluan

Khalifah Al-Mamun yang tersohor itu mungkin agak keterlaluan mendefinisikan kelompok pinggiran itu kerana situasi pemerintahannya yang agak keras, khususnya dalam menghadapi musuh-musuh politik.

Golongan di dalam kelompok pinggiran itu bertindak di atas tujuan dan niat yang sama, yang akhirnya menimbulkan suasana yang boleh memecahbelahkan sesiapa sahaja, pemerintah mahupun individu tertentu. Sesiapa sahaja mungkin akan bertindak sedemikian rupa sekiranya berhadapan dengan apa yang dihadapi kelompok pinggiran itu.

Mungkin sesuatu itu adalah perasaan tidak berdaya seseorang individu ketika berhadapan dengan sistem yang menindasnya. Kadang-

kadang, kelompok pinggiran ini termasuk juga golongan atasan yang mempunyai kepentingan politik, lantas menciptakan kelompok pinggiran untuk menangguk di air keruh.

Justeru, Sayidina Ali menjelaskan segala sebab dan akibat terjadinya rusuhan sosial adalah dicetuskan oleh kelompok pinggiran. Dan kelompok pinggiran itu itu disebutkannya sebagai fitnah dan dianjurkan agar kita berhati-hati dengannya.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab seksa-Nya.” (An-Anfal: 25)

Fitnah-fitnah yang dicetuskan kelompok pinggiran dicatatkan bahawa ketuanya ialah Abdullah bin Saba’ yang mencetuskan perang antara Aishah dengan Ali, Muawiyah dengan Ali (Perang Siffin), lahirnya gerakan Khawarij dan tumbangnya Bani Umaiyah oleh kekuatan Bani Abbasiyah.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatkah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.” (A-Baqarah: 191)

Dalam apa jua tindakan, janganlah kita menjadi seperti kelompok pinggiran kerana akibat dan kemudaratannya berupaya menghancurkan sebuah peradaban





...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

Hormati ibubapa

JIKA Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat tetapi apa caranya jika orang tua sudah meninggal dunia sedangkan ketika hidupnya kita menderhaka dan melawan mereka?

Apabila insaf, selalulah menziarahi pusara ibu bapa dan bacakan ayat suci untuknya. Jumpa kembali kawan baik ibu bapa atau jiran yang masih ada dan berbuat baik kepada mereka.

Sedekahkan kepada masjid atas nama ibu bapa. Walaupun ibu bapa sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga mereka berdua reda dan Allah mengampunkan dosa.

Allah Maha Pengampun dan luas rahmat-Nya tetapi jangan pula mengambil kesempatan untuk berbuat jahat, kemudian baru hendak bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala akan diterima.

Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Contohnya, tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, tetapi cuba selidiki kesalahan yang kita lakukan hari ini.

Pertama, bagaimana hubungan kita dengan Tuhan? Jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan kita dengan ibu bapa?

Seboleh-bolehnya pastikan hubungan kita dengan ibu bapa sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalin hubungan baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita.

Lazimnya dalam hubungan ini, ibu yang dilebihkan se dangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak.

Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, Nabi s.a.w meminta ibu didahulukan. Tiga kali ibu memanggil, barulah sekali kepada bapa.

Bagaimanapun, sebaik-baiknya kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati.

Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka.

Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak mengambil kira kata-kata mereka, kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.

Mentua juga mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Jika mereka berkecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati ibu bapa kita.

Kita sayang anaknya, jadi mengapa tidak turut menyayangi orang yang melahirkannya?

Saya tahu, ada menantu berkecil hati dan memendam rasa terhadap mentua yang terlalu mengambil berat terhadap anaknya.

Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung.

Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua kepada Rasul dan ketiga kepada ibu dan ibu mentua manakala keempat bapa dan bapa mentua. Kelima barulah isteri.

Jadi, isteri kena faham jika suami sayang dan melebihkan ibu bapa, kerana itu memang wajar.

Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua Rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak selain Allah ialah ibu bapanya.

Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail a.s.

Suatu hari Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah. Isterinya pun tidak mengenali mentuanya.

Menantunya berkasar, menyebabkan Nabi Ibrahim berkecil hati tetapi sebelum pulang Nabi Ibrahim berpesan kepada menantunya itu, meminta suaminya menukar alang rumah kepada yang baru.

Apabila Nabi Ismail pulang ke rumah, isterinya meng gambarkan rupa lelaki berkenaan yang menyampaikan pe sanan. Nabi Ismail sedar, itu adalah bapanya.

Nabi Ismail insaf di sebalik simbolik kata-kata bapanya bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan.

Kemudian Nabi Ismail berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa Baginda.

Nabi Ibrahim tertarik dan sebelum pulang, baginda ber pesan lagi, dengan mengatakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.





...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

Saturday, June 28, 2008

Duduk Lama Depan Komputer Boleh Bawa Maut

Sejak akhir-akhir terdengar beberapa webmaster diserang dengan pelbagai jenis penyakit sehingga ada diantaranya begitu kritikal sehingga terpaksa dimasukkan ke wad hospital untuk pemantauan kesihatannya. Malah ada diantaranya telah sampai ke tahap kritikal sehingga diserang penyakit angin ahmar.

Ramai yang masih tidak sedar bahawa duduk terlalu lama di depan komputer atau bekerja selama berjam-jam secara pasif di atas kerusi akan membuat otot - otot tubuh kita terasa kaku, keras dan mata menjadi pedih. Malah selain keluhan ringan tersebut tersembunyi juga ancaman lain yang berisiko bagi kesihatan.



New Zealand Medical Journal dalam edisi terbaru, melaporkan kajian dari Institut Penyelidikan Perubatan New Zealand menunjukkan bahawa pekerja pejabat yang menghabiskan masa terlalu lama duduk di meja masing-masing berisiko tinggi menghadapi masalah darah beku. Penyelidik mendapati, satu pertiga daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana mengidap -trombosis pembuluh darah vena (DVT) atau darah beku, adalah mereka yang menghabiskan masa berjam-jam mengadap komputer.

Penyakit Deep Vein Thrombosis (DVT) ini adalah disebabkan darah beku yang menyebabkan salur pembuluh darah terutamanya di bahagian peha danb betis tersumbat. Keadaan ini berlaku kerana aliran darah yang tidak baik hasil dari aktiviti yang pasif dan rehat yang berlebihan.

Hal ini akan diperburukkan apabila bilik yang diduduki berhawa dingin di mana udara yang sejuk itu mempercepatkan kadar pembekuan darah terutama di bahagian kaki.

Ketua penyelidik, Profesor Richard Beasley berkata sebahagian pekerja pejabat yang mengidap masalah itu duduk di depan skrin komputer selama lebih 10 jam sehari. Masalah ini biasanya dihadapi oleh pekerja dalam industri teknologi maklumat dan pusat panggilan.

Sekitar 34 peratus dari 62 sampel yang mengalami gumpalan darah adalah mereka yang dalam jangka waktu lama bekerja dengan duduk di kerusi, sementara 21 peratus penderita lainnya adalah terdiri dari mereka yang melakukan perjalanan jarak jauh menaiki kapalterbang, seperti disiarkan oleh AFP.



DVT itu sendiri merupakan menurut pakar kesihatan adalah pembentukan gumpalan darah nadi bahagian dalam, paling sering dijumpai di kaki. Gumpalan tersebut boleh pindah ke jantung, paru-paru atau otak dan bisa menyebabkan rasa sakit di dada, sesak nafas atau bahkan kematian akibat serangan jantung atau angin ahmar.

Pakar Perunding Paru-Paru, Institut Perubatan Respiratori, Dr Ashari Yunus berkata darah beku ini datang dari kaki, tetapi juga boleh berpunca daripada pembuluh darah di lengan, bahagian kanan jantung malah hujung kateter yang ditempatkan dalam pembuluh darah. Dalam kes yang sangat jarang berlaku, lemak atau tisu dari tumor atau kelompok bakteria mungkin boleh berkumpul di arteri paru-paru.

Mengapa pulmonari embolisme terjadi?

Manusia memiliki sepasang paru-paru. Darah secara konsisten dipam dari kanan jantung ke paru-paru dan kembali ke sebelah kiri jantung. Dalam paru-paru, darah mengambil oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida, sisa metabolisme.

Arteri membawa darah yang kaya oksigen ke seluruh tubuh. Pembuluh darah pula membawa darah kurang oksigen kembali ke jantung. Darah beku yang terjadi dalam pembuluh darah boleh mengalir ke salur darah di kanan jantung sebelum masuk ke arteri paru-paru, di situ sekatan mungkin boleh berlaku.

Sekatan itu boleh terjadi pada arteri yang kecil tetapi paru-paru sangat ¡rapuh¢ kerana semua darah dalam tubuh melalui paru-paru setiap kali diedarkan. Kerap kali, darah beku berisiko untuk terbentuk dan tersebar ke seluruh bahagian paru-paru.


Simptom
Cepat penat
Mengah
Sakit dada
Denyutan nadi laju
Lemah di bahagian kaki
Kurang selera makan
Batuk
Nafas pendek sama ada dalam keadaan rehat atau aktif.


Cegahan
1. Stokin untuk mengelakkan berlakunya darah beku dalam saluran darah (deep vein thrombosis). Ia berfungsi untuk mencengkam kulit dan mengempiskan vena supaya darah tidak bertakung
2. Perbanyakkan gerakan terutama di bahagian kaki
3. Elakkan meminum airbatu
4. ELakkan membuka hawa dingin terlalu sejuk
5. Sentiasa meminum air panas
6. Amalkan bersenam

Rawatan
Biasanya pesakit dirawat dengan ubat yang menghentikan dan memperlahankan darah beku seperti heparin dan warfarin. Kedua-duanya membantu mencegah darah beku sedia ada daripada menjadi besar dan menghentikan pembentukan darah beku yang baru.

Jika pulmonari embolisme yang dialami mengancam nyawa, biasanya doktor akan menyarankan terapi thrombolitik (mengeluarkan darah beku dari sistem tubuh dengan enzim yang bertindak memecahkannya)




...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

Friday, June 27, 2008

Keajaiban Baitulmuqadis


Imej Dalaman "Dome Of Rock"

Masjidil-Aqsa

Imej Luaran "Dome Of Rock"









...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

Thursday, June 26, 2008

Diriwayatkan bahawa Kaabah dibina lima kali

1. Dibina oleh malaikat sebelum Nabi Adam as, iaitu daripada permata yaquut merah. Kemudian diangkat ke langit pada banjir besar yang melanda Makkah. Kata-kata ini disokong oleh firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah) tatkala Ibrahim meninggikan (membina) dasar Baitullah berserta Ismail (seraya berdoa): Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya engkaulah yang maha mendengar lagi maha mengetahui," – surah al-Baqarah, ayat 127.

Sendi itu diangkat menunjukkan bahawa sendi, iaitu asasnya sudah pun ada (dibina), jadi Baitulllah al-haram sudah pun ada sebelum Ibrahim as dan Ibrahim membinanya semula di atas asas itu.

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Adam telah mengerjakan haji sebanyak 40 kali dari India ke Makkah berjalan kaki, kekallah ia tawaf Kaabah itu, begitu juga diikuti oleh anaknya hingga pada hari berlakunya banjir, lalu Allah angkatkan ke langit keempat.

Diriwayatkan bahawa Allah membina di langit sebuah rumah yang dikenali sebagai Baitul Makmur. Dia menyuruh malaikat supaya tawaf sekelilingnya, kemudian Dia menyuruh malaikat di bumi supaya membina sebuah rumah di bumi mengikut ukurannya dan bentuknya, dan mereka hendaklah tawaf sebagaimana ahli langit tawaf Baitul Makmur.

2. Sebenarnya Nabi Ibrahim tidak tahu di mana ia harus membinanya, lalu Allah memberitahu kepadanya tempatnya dengan angin yang bertiup. Angin tadi menyapu sekeliling rumah itu, lalu Ibrahim membinanya di tapak asal.

Dalam doa Ibrahim as, ada dalil yang menunjukkan bahawa dia membina binaan itu di atas asas yang terdahulu sebagaimana firman Allah: "Rabbanaa taqabbal minna – surah al-Baqarah, ayat 127. 'Taqabbal minna' bermaksud "terimalah daripada kami (amalan kami)."

Ada perbezaan di antara lafaz 'qabul' dan 'taqabbul' dalam bahasa Arab. Lafaz 'taqabbul' dibina atas takalluf atau susah payah; digunakan apabila sesuatu perkara yang dibuat itu ada kekurangan yang mana tidak layak diterima amalan itu melainkan melalui jalan kemurahan Allah.

Berbeza dengan lafaz 'qabul'. Lafaz ini tidak ada makna seperti lafaz 'taqabbul'. Seandainya Ibrahim as membina asasnya sebagaimana binaannya, nescaya kerjanya menjadi lengkap dan sempurna, tiada lagi kekurangan, dan dia tidak berdoa dengan lafaz 'taqabbul', sebaliknya dengan lafaz 'qabul'.

Pemilihan lafaz 'taqabbul' ini sebagai pengiktirafan daripada Ibrahim as sendiri dan juga anaknya Ismail as mengenai kekurangan dalam pekerjaan itu. Dia tahu bahawa bukan dia atau Ismail yang membina binaan Kaabah itu dari awal, dia hanya mengangkat sendi-sendinya.

3. Dibina oleh Quraisy sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw dan Rasul sendiri hadir bersama mereka ketika pembinaan berkenaan. Tatkala mereka ingin meletakkan Hajarul Aswad, mereka berbalah-balahan di antara satu sama lain, siapa atau puak mana yang diberikan kemuliaan untuk meletakkan batu berkenaan ke tempat asalnya.

Mereka kemudian bersetuju untuk melantik orang yang mula-mula sekali ke Masjidil Haram. Kebetulan Nabi Muhammad saw adalah orang yang pertama masuk.

Dengan kepintaran Baginda saw, disuruhnya puak yang bertelagah itu menyediakan satu bentangan kain, kemudian meletakkan batu itu di tengah-tengahnya.

Masing-masing ketua setiap suku kaum memegang bucu kain itu dan dibawa ke tempat letaknya, kemudian Nabi Muhammad saw sendiri mengambil Hajarul Aswad dan meletakkan di tempatnya.

4. Dibina oleh Abdullah bin Az-Zubair ra.

5. Dibina oleh jemaah haji, iaitu binaan yang kekal sampai ke hari ini.

Selepas Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail, membina Rumah itu, Allah mengarahkannya supaya menyeru manusia datang bersembahyang di situ, lalu Nabi Ibrahim berkata: "Wahai Tuhanku, suaraku tidak sampai (untuk menyeru semua manusia)." Allah berfirman: "Hendaklah kau azan dan Aku menyampaikannya."

Nabi Ibrahim terus naik ke Bukit Safa dan menyeru: "Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa sesungguhnya Tuhanmu telah membina sebuah rumah dan mewajibkan ke atas kamu haji ke Baitul 'Atiq, maka hendaklah kamu menyahut seruan Tuhan kamu itu, dan kerjakanlah haji di Baitullah al-haram supaya dengannya Dia akan memberikan kamu pahala dan menjauhkan kamu daripada api neraka. Lalu ia berkata: Labbaikallahumma labbaik'. Golongan pertama yang menyahut seruan itu ialah ahli Yaman (penduduk Yaman), merekalah yang paling banyak mengerjakan haji.

Setiap yang mempunyai niat buruk terhadap rumah itu, pasti Allah akan membinasakannya. Lihatlah kepada tentera bergajah Abrahah yang ingin meruntuhkan Kaabah, Allah menghantar ke atas mereka burung ababil yang melontari mereka dengan batu daripada neraka lalu hancurlah mereka seumpama daun yang dimakan ulat.

Sesungguhnya Nabi Ibrahim mengangkat sendi rumah itu bersama Ismail. Adapun sendinya memang sudah pun ada. Faktor alam sekelilinglah yang menutup atau melitupi sendi ini, lalu Allah zahirkan pada Ibrahim ketika awalnya ketika Ismail masih bayi.

Selepas Ismail meningkat usianya sehingga boleh membantu ayahnya, Allah memerintahkan Ibrahim mengangkat sendi-sendi tadi. Sesungguhnya Ibrahim telah mengetahui (dengan petunjuk Allah) tanah wadia atau lembah yang khusus padanya ada Baitullah.

Seandainya ia tidak mengetahui dengan tepat kedudukan Rumah Allah di tanah itu, kenapa pula Nabi Ibrahim datang bersama Hajar dan anaknya lalu meninggalkan mereka di situ, sambil berdoa sebagaimana dalam firman-Nya: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman dekat Rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati," – surah Ibrahim, ayat 37.

Kata Nabi Ibrahim itu menunjukkan bahawa kewujudan Rumah Allah itu sudah pun diketahui ketika ia hendak menempatkan isteri dan anaknya di situ. Akan tetapi tempat kedudukan Rumah itu tidak diketahui oleh Ibrahim. Ini adalah peringkat pertama bagi hubungan Ibrahim dengan Rumah berkenaan.

Kemudian datang peringkat kedua, iaitu Allah menerangkan kepada Ibrahim kedudukan rumah itu. Firman Allah bermaksud: "Dan (ingatlah), ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan): Janganlah kamu mempersekutukan sesuatu pun dengan Aku." (Surah al-Hajj, ayat 26)

Kemudian Allah berfirman selepas daripada itu: "Sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang yang tawaf, dan orang yang beribadat dan orang yang ruku' dan sujud," – surat al-Hajj, 26.

Kerja ini tidaklah terlalu rumit bagi Ibrahim melakukannya seorang diri kerana hanya menyapu pasir dan batu kecil yang menutupi asas binaannya.

Sebab itulah Ismail tidak mengambil peranan menolongnya pada peringkat ini. Lagipun, Baginda masih kecil ketika itu. Kemudian datang marhalah ketiga yang mana perlu kepada bantuan. Ketika ini Ismail sudah membesar yang mencapai peringkat boleh menolong bapanya.

Pada marhalah ini, Ismail muncul sebagai pembantu Nabi Ibrahim dalam mengangkat sendi binaan. Maka turunlah ayat yang bermaksud: "Dan (ingatlah) tatkala Ibrahim meninggikan (membina) dasar Baitullah berserta Ismail (seraya berdoa): Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya engkaulah yang maha mendengar lagi maha mengetahui" – surah al-Baqarah, ayat 127.

Ayat ini menunjukkan penyertaan Ismail dalam doa itu menandakan bahawa Ismail sudah pun dalam usia yang ia tahu ia turut serta dalam beribadat kepada Tuhan yang ia minta perkenan.

Rumah Allah yang pertama dibina di atas muka bumi ini ialah rumah yang disambung binaannya oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk (tempat beribadat) manusia ialah Baitullah yang di Bakkah (Makkah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia," – surah Ali Imran, ayat 96.

Selagi rumah itu dijadikan untuk manusia, maka secara automatik yang meletakkannya (yang membinanya) adalah bukan daripada golongan manusia. Sesungguhnya Rumah Allah itu dibangunkan untuk tujuan ibadat kepada Allah.

Allah yang memilih tempatnya dan mengkhabarkan kepada malaikat akan batas-batasnya. Sebab itulah ayat ini datang dengan ayat pasif, tidak disebutkan siapa pembinanya (faa-'il dalam bahasa Arabnya). Pembuatnya tidak disebutkan sebagai lambang pembinanya adalah ghaib, iaitu Allah, yang melaksanakannya juga di alam ghaib, iaitu malaikat.

Apabila kita melihat kepada perkataan 'An-Naas' dalam ayat itu, kita akan dapati bahawa ia mencakupi semua individu manusia, dari Adam hinggalah ke hari kiamat.

Tetapi, mungkin dipersoalkan, kenapakah permulaan itu bermula dari zaman Ibrahim, bukan daripada Adam lagi? Bukankah Adam juga manusia dan termasuk dalam perkataan 'An-Naas' seperti dalam ayat itu.

Sebagaimana yang disebutkan di atas bahawa sesungguhnya Kaabah dibina oleh malaikat sebelum Nabi Adam as. Ibnu Kathir dalam tafsirnya memetik hadis daripada sahih Muslim, daripada Abu Dzar berkata: "Aku telah bertanya Rasulullah saw mengenai masjid yang pertama sekali dibina di bumi, lalu Baginda menjawab: Masjidil-haram. Aku berkata: Kemudian apa? Masjidil-Aqsa, kata Baginda. Aku bertanya lagi: Berapa jarak masa antara kedua-duanya? Rasulullah menjawab: 40 tahun, kemudian tanah/bumi ini dijadikan untukmu sebagai masjid, maka di mana saja kamu berada, hendaklah kamu solat."

Mujahid berkata: Saling berbangga-bangga antara orang Islam dan orang Yahudi. Yahudi berkata: Baitulmaqdis lebih agung dan lebih mulia daripada Kaabah kerana ia tempat yang pernah didatangi oleh nabi-nabi dan ia terletak di tempat yang suci.

Orang Islam berkata: Bahkan Kaabah lebih afdhal, lalu turunlah ayat daripada surah Ali Imran ini. Kata Mujahid lagi, Allah telah mencipta tempat asas rumah itu 2,000 tahun sebelum diciptakan mana-mana makhluk di atas muka bumi ini dan sendinya sudah pun ada di lapisan bawah bumi yang ketujuh.

Ada pun Masjidil Aqsa dibina oleh Nabi Sulaiman as sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh An-Nasaei dengan isnad yang sahih daripada Abdullah bin Amru.

Timbul kemusykilan di sini kerana jarak masa di antara Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman agak panjang. Ada yang mengatakan lebih daripada 1,000 tahun. Sudah tentu ini ada percanggahan di antara dua hadis tadi.

Bagi menjawab persoalan ini, kita ambil satu riwayat yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman hanya memperbaharui saja asas yang dibina oleh orang lain sebagaimana ada riwayat yang mengatakan bahawa orang pertama membina Rumah Allah itu ialah Adam.

Maka tidak mustahil ada daripada anaknya yang membina Baitulmaqdis selepas 40 tahun Kaabah dibina. Kemungkinan juga ia dibina oleh malaikat selepas ia membina Kaabah di Makkah dengan izin Allah. Semua itu adalah mungkin, hanya Allah yang lebih mengetahui.

Baitullah terletak di Makkah seperti yang disebut dalam ayat daripada surah Ali Imran bahawa Rumah itu di Bakkah. Bakkah mengikut Al-Qurthubi ialah kawasan letaknya asas Baitullah itu manakala Makkah ialah negeri Makkah seluruhnya.

Jadilah Kaabah sekarang kiblat umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah salah satu lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia. Bahkan, umat sebelum Nabi Muhammad saw juga berjalan bersama nabi mereka ke arah mentauhidkan Allah yang Esa.

Lihatlah peristiwa Nabi Ibrahim ketika saat akhir Baginda sebelum meninggal dunia. Dipanggil semua anak cucunya (Ismail, Ishak, Yaakub dan lain-lain) dan diberikan wasiat untuk mereka.

Bukannya harta dan wang ringgit tetapi dengan pesanan: "Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam," – surah al-Baqarah, ayat 132.

Begitu juga tatkala Yaakub hendak meninggal dunia, Baginda bertanya kepada anaknya apa yang akan disembah mereka selepas Baginda meninggal dunia. Lalu mereka semua menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail, Yaakub, Ishak, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya," – surat al-Baqarah, ayat 133.

Akan tetapi, daripada keturunan inilah juga munculnya Yahuda (anak Yaakub) yang akhirnya namanya diambil sebagai satu agama, iaitu Yahudi. Dari keturunan ini jugalah lahirnya agama Nasrani yang menyeleweng lagi sesat. Alangkah baiknya andainya mereka semua kembali kepada agama asal nenek moyang mereka sebagaimana pengakuan mereka dulu.





...dalam DADA..ada rasa CINTA yang MEMBARA..dalam CINTA ada KITA berdua..."Cinta agung itu hanyalah cinta kepada Maha Pencipta.."

 
Dear Diary Blogger Template