^ Scroll to Top

Sunday, February 1, 2009

Prinsip Menyalahi Syaitan

Syaitan adalah merupakan makhluk yang membawa kerosakan, kejahatan, kehancuran dan sebagainya. Perhambaan diri kepada syaitan adalah merupakan punca kerosakan dan kejahatan seseorang. Kerana itu ia merupakan makhluk yang dimusuhi oleh mana-mana agama. Lebih-lebih lagi Islam yang sentiasa mengingatkan umatnya bahawa syaitan adalah makhluk yang mesti dijauhi serta dimusuhi.

Allah ta’ala berfirman:



"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya dia musuh yang nyata terhadap kamu!" (Surah Yaasin ayat 60)



Allah taala berfirman lagi:



"Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk Neraka." (Surah al-fathir ayat 6)



Ini adalah dua contoh daripada beberapa ayat al-quran yang menyebutkan perintah supaya menjadikan syaitan sebagai musuh. Di dalam hadis juga terdapat larangan dari Nabi s.a.w. supaya jangan menampakkan perhambaan kepada syaitan walaupun secara tidak langsung sebagaimana sabdaNya:



Daripada ‘Alaa bin Abdul Rahman bahawa ia masuk menemui Anas bin Malik r.a. di rumahnya di Basrah ketika ia (‘Alaa) selesai sembahyang zohor dan rumahnya hampir dengan masjid. Bilamana kami masuk menemuinya Dia berkata, “Adakah kamu telah sembahyang asar”? Kami menjawab, “Kami baru sahaja selesai dari sembahyang zohor”. Dia berkata, “Sembahyanglah asar”. Kami pun bangun lalu bersembahyang asar, setelah kami selesai Dia berkata,



“Aku mendengar Rasulullah s.a.w. berkata, “Itu adalah sembahyang orang munafik, dia duduk menanti-nanti matahari sehingga bila ia berada di antara dua tanduk syaitan maka ia bangun lalu mematuk sebanyak empat kali (sembahyang dengan cepat sebanyak empat rakaat seperti binatang mematuk makanan) hanya sedikit sahaja ia mengingati Allah". (Hadis riwayat Muslim)



Begitu juga kalau diperhatikan kepada hadis-hadis Rasulullah s.a.w. kita akan dapati banyak hadis yang memerintahkan umat Islam supaya sentiasa menyalahi perbuatan yang dilakukan oleh syaitan.

Antaranya, Nabi s.a.w. memerintahkan umatnya supaya menjawab seruan azan yang dilaungkan oleh muazzin sebagaimana sabdanya yang berbunyi:



Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bila kamu mendengar seruan (azan) maka katakanlah sebagaimana yang dikatakan oleh muazzin”.(Riwayat al-Bukhari)



Perintah menjawab seruan azan ini yang memestikan seseorang itu mendengar seruan tersebut adalah sebagai menyalahi perbuatan syaitan yang tidak boleh mendengar azan lalu lari lintang pukang sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:



“Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bilamana diseru untuk sembahyang (azan) syaitan akan berundur (lari) dalam keadaan terkentut-kentut sehingga dia tidak lagi mendengar seruan tersebut. Bila azan telah selesai dia datang sehigga diiqamat untuk sembahyang dia akan berundur lagi sehingga bila selesai iqamat dia akan datang sehingga ia membisikkan kepada seseorang dengan berkata, “ingatlah ini, ingatlah ini” kepada sesuatu perkara yang ia tidak ingat sebelumnya sehingga seseorang itu tidak tahu berapa (rakaatkah) ia telah sembahyang”. (Hadis riwayat Bukhari)



Di antara hadis-hadis yang mengandungi perintah supaya menyalahi syaitan adalah hadis yang berkaitan dengan sifat sembahyang Nabi s.a.w. Antaranya:



Daripada A’isyah r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w. memulakan sembahyangnya dengan takbir dan membaca surah al-Fatihah, baginda bila ruku’ tidak meninggikan kepalanya dan tidak menundukkannya tetapi antara keduanya, bila Baginda mengangkat kepalanya dari ruku’ Baginda tidak sujud sehinggalah Baginda telah berdiri tegak. Baginda bila mengangkat kepalanya daripada sujud Baginda tidak sujud sehingga telah duduk dengan tegak. Baginda membaca dalam setiap dua rakaat tahiyyat (tasyahhud). Baginda menghamparkan kaki kirinya dan menegakkan kaki kanannya dan Baginda menegah daripada cara duduk syaitan dan menegah juga seseorang menghamparkan dua lengannya sebagaimana binatang buas. Baginda menyudahkan sembahyangnya dengan salam". (Hadis riwayat Muslim)



Daripada hadis ini bukan hanya terdapat prinsip menyalahi syaitan bahkan terdapat juga prinsip menyalahi sifat-sifat kebinatangan. Kita juga diajar supaya mempraktikkan segala amalan yang terdapat di dalam sembahyang ke dalam kehidupan seharian seperti contohnya di dalam sembahyang kita diajar supaya menjaga lidah dengan hanya menyebut perkataan-perkataan yang mulia, menjaga penglilhatan dengan hanya melihat tempat yang diperlukan sahaja, menjaga hati, pendengaran dan sebagainya. Begitulah sepatutnya di luar sembahyang juga kita menjaga anggota-anggota tersebut sebagaimana yang dilakukan dalam sembahyang. Antara pengajaran yang dapat diperolehi daripada sifat sembahyang yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis ini ialah supaya menghindari sifat-sifat kebinatangan dan sifat syaitan. Pengajarannya adalah supaya dipraktikkan di luar sembahyang iaitu berusaha untuk menghindari sifat-sifat tersebut dan juga sifat kebinatangan serta syaitan keseluruhannya yang jika dibiarkan ianya menguasai seseorang pasti akan membawa ia kepada kehinaan dan kebinasaan dalam kehidupan dunia dan akhirat.



Di samping Rasulullah s.a.w. menyuruh umatnya menyalahi syaitan, baginda juga ketika mana memberikan sesuatu larangan atau perintah kepada umatnya, terdapat isyarat sebagai peringatan kepada umatnya supaya sentiasa berwaspada terhadap syaitan dan jangan sesekali memberi peluang serta ruang kepada syaitan untuk menghampiri, berkongsi di dalam sesuatu amalan dan seterusnya membenarkan mereka menguasai kita.



Rasulullah s.a.w. bersabda:



"Daripada Aisyah r.a. katanya, aku bertanya Rasulullah s.a.w. tentang berpaling dalam sembahyang lalu Baginda menjawab, “Ia adalah rampasan yang dirampas oleh syaitan dari sembahyang seseorang hamba”.(Riwayat Bukhari dan Muslim)



Di dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. memberi peringatan kepada kita supaya jangan memberikan peluang kepada syaitan mengambil sebahagian daripada ganjaran sembahyang kita ataupun jangan membiarkan syaitan mencuri penumpuan kita dalam bermunajat dengan Allah taala. Di samping itu Rasulullah s..a.w. mahu mengingatkan umatnya supaya tidak membiarkan diri dikuasai oleh syaitan di luar sembahyang juga.



Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda,



Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda. “Bila seseorang kamu menguap hendaklah ia menutup mulutnya sekadar yang ia mampu kerana sesungguhnya syaitan akan masuk”. (Hadis riwayat Muslim)



Rasulullah s.a.w. bersabda lagi,



Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bila seorang kamu bangun dari tidurnya hendaklah ia memasukkan air ke dalam hidung lalu menghembuskannya sebanyak tiga kali kerana sesungguhnya syaitan bermalam di dalam batang hidungnya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Di sini Rasulullah s.a.w. memberitahu kepada umatnya tentang salah satu rahsia mengapa bilamana seseorang bila bangun dari tidurnya, ia malas untuk melakukan ibadat kepada Allah taala iaitu kerana syaitan bermalam di dalam batang hidung seseorang itu. Ini bermakna sepanjang malam dia dapat menguasainya dan andaikata tidak dihilangkan kesan-kesan yang ditinggalkan oleh syaitan dalam batang hidungnya maka ia akan meninggalkan kesan penguasaan syaitan terhadapnya semasa tidur sehingga ke pagi. Kerana itulah ia akan malas atau tidak bersemangat untuk melakukan ibadat kepada Allah. Jadi dengan memasukkan air ke dalam hidung InsyaAllah ia akan menghilangkan kesan penguasaan syaitan terhadap seseorang itu.


Oleh : Muhammad Nazir


"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template