^ Scroll to Top

Friday, September 4, 2009

Kepemimpinan suatu amanah berat

DALAM negara atau organisasi yang mengamalkan dasar demokrasi, pemimpin dipilih sendiri oleh rakyat atau ahli. Bakal pemimpin menawarkan diri untuk dipilih dan berkhidmat. Mana-mana calon yang mendapat undi majoriti, maka dialah yang dilantik menjadi pemimpin.

Untuk memilih pemimpin, perlulah dilakukan dengan cara betul supaya pemimpin yang dipilih itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik. Pemimpin yang baik sentiasa dikasihi rakyat kerana dia sentiasa mengambil berat soal kebajikan rakyat iaitu pemimpin yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

Kepemimpinan adalah amanah yang cukup berat dan sarat dengan tanggungjawab. Tanggungjawab dan kewajipan yang terpikul di bahu setiap pemimpin berbeza-beza bergantung kepada kedudukan atau kuasa yang diamanahkan kepadanya.

Sebenarnya, sebahagian besar kita adalah pemimpin. Suami menjadi pemimpin dalam keluarga. Malah dijelaskan bahawa jika dua orang melakukan urusan bersama, maka salah seorang perlu dilantik menjadi pemimpin.

Apa pun tahap kepemimpinan, kita tidak boleh memandang mudah dengan amanah yang diberikan itu. Sebaliknya jadilah seorang pemimpin yang sentiasa ingin melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.

Sebagai pemimpin, mereka mempunyai tanggungjawab yang amat berat, lalu sebahagian mereka tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik. Sesungguhnya hanya mereka yang bertakwa dan ikhlas saja yang dapat menjalankan tugas sebagai pemimpin yang baik. Hal ini kerana mereka yakin akan berdepan dengan persoalan Allah mengenai urusan yang diamanahkan kepadanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap kamu merupakan pemimpin yang kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu. Seorang pemerintah ialah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang suami ialah pemimpin kepada keluarganya dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya.

"Seorang isteri ialah pemimpin dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap orang di bawah tanggungannya. Soal khadam ialah penjaga harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap apa di bawah jagaannya. Jadi, setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap perkara yang dipimpinnya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebenarnya, pemimpin yang bertanggungjawab tidak meminta sebarang keistimewaan untuk dirinya. Malah dia tidak menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain. Apa yang lebih bagi seorang pemimpin adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Mereka perlu adil dalam melaksanakan setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya melaksanakan amanah terhadap ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum mereka dengan adil." (Surah an-Nisa, ayat 58)

Pemimpin yang benar-benar memegang amanah akan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan mengikut keutamaan. Apabila dia menyelesaikan masalah, diteliti fakta dan bukti yang benar.

Pada masa sama, individu yang bergelar pemimpin perlu menjauhkan diri daripada melakukan amalan menabur fitnah dan janji dusta. Perbuatan itu wajib dijauhi kerana amalan ini boleh melenyapkan kebenaran dan menyembunyikan unsur kebenaran.

Pemimpin yang melakukan pembohongan hanya akan mendapat kemuliaan selagi perkara sebenar tidak terdedah. Namun, perkara yang buruk lambat-laun akan terdedah juga. Pembohongan akan merendahkan martabat pemimpin di mata rakyat. Jadi, jika ini lama berkuasa dan dapat menjalankan amanah dengan sempurna, pemimpin perlu menjauhkan sikap berbohong.

Ada pepatah mengatakan, `bercakap benarlah kamu, walaupun benar itu pahit, kerana kepahitan itu adalah penawar mujarab.'

Perlu diingat, sesiapa yang dipilih menjadi pemimpin bukan bermakna dirinya semua tahu. Seseorang dipilih menjadi pemimpin pada zaman ini mungkin hanya kerana kelebihan tertentu saja. Jadi, mereka perlu tawaduk dan merendah diri dalam semua tindakan.

Maka, untuk melengkapkan kepemimpinannya, pemimpin itu perlu melantik pakar dalam pelbagai bidang untuk menasihatinya. Pembantu atau penasihat yang dilantik sudah tentu boleh memberi khidmat terbaik dalam bidangnya.

Penasihat yang dilantik itu hendaklah berdasarkan kelayakan, bukan kenalan atau pertalian saudara. Islam melarang seseorang pemimpin melantik penasihatnya atau pegawainya berdasarkan kenalan rapat atau saudara mara sedangkan mereka tidak berkelayakan.

Seseorang yang diberi jawatan kerana saudara atau kenalan jarang mengambil kira kemahiran yang diperlukan. Mereka dilantik kerana untuk menjaga kepentingan peribadi atau individu tertentu.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Tanpa sentuhan hidayah jiwa sentiasa celaru, mudah diperhamba syaitan

KESEIMBANGAN memegang prinsip agama dan dunia adalah tuntutan keimanan. Tekanan orang yang mengejar dunia dan melupakan akhirat, akan tidak tidur lena kerana syaitan sentiasa mengganggunya dan menakutkan mengenai bahaya kemiskinan, muflis, kehilangan harta benda dan kejatuhan kuasa.

Syaitan meracuni hati manusia dengan penyakit dengki, takbur, ego, su'uzzhan, riak, putus asa ketika dihimpit musibah dan ghurur yang memadamkan cahaya iman. Syaitan menjadikan hawa nafsu sebagai gula-gula yang menyedapkan deria insan lemah. Akhirnya mereka berada dalam penjaranya, menjadi tawanan dan patuh setia terhadap arahannya.

Orang mukmin berjaya berlainan dengan orang yang tertawan dengan sifat ini. Orang mukmin setia memegang prinsip keseimbangan dalam mengharungi kehidupan dunia demi mendapatkan habuan akhirat yang menjadi cita-cita teragung dalam kehidupannya.

Al-Quran dan al-sunnah, sentiasa teguh bersama keduanya dalam menghadapi cabaran dunia. Orang mukmin yang berjaya tidak pernah dilalaikan kuasa dan perniagaan kerana mampu menakluk kedua-duanya dengan iman teguh.

Rasulullah SAW pernah rasai kerinduan sebegini, apabila wahyu tidak turun seketika sehingga orang kafir mengejek Baginda ditinggalkan Tuhannya. Rasulullah diuji dengan keadaan ini, menanti Jibril di atas bukit mengharap turunnya ayat menenteramkan jiwa dan menghapuskan kesedihan.

Hakikatnya, Rasulullah bukan takut dan sedih kerana gangguan orang kafir tetapi Baginda takut dan sedih jika hidayah itu tidak turun bagi menenteramkan jiwanya lagi. Sehingga surah al-Dhuha dianugerahkan untuk menghibur jiwa kekasih Allah yang rindukan ayat rahmat-Nya. Firman Allah yang bermaksud;

"Demi waktu matahari sepenggalahan naik. Dan demi malam apabila sunyi (gelap). Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu. Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan). Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas. Bukankah dia mendapatimu sebagai seorang Yatim, lalu dia melindungimu? Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu dia memberikan petunjuk. Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu dia memberikan kecukupan." (Surah Al-Dhuha ayat: 1-8)

Ingat kepada akhirat mampu melepaskan tekanan dihadapi seseorang. Bukankah tabiat jiwa diciptakan untuk sentiasa memerlukan hidayah Allah? Jika jiwa tidak mendapatkan sentuhan hidayah sudah tentu dia akan menjadi tidak tentu hala tuju, bercelaru dan mudah dipermainkan syaitan. Jadi, amat penting menjadi seorang perindu kepada hidayah Allah.

Hidayah bukanlah jaminan kemudahan untuk menghalalkan perbuatan buruk seseorang. Apabila berbuat jahat dan mengaku belum mendapat hidayah Allah. Padahal dia menutup mata dan hatinya ketika hidayah Allah itu datang.

Hidayah perlu dicari, dipelajari dan dibuktikan dengan amalan. Hidayah bukan sekadar ilmu tanpa direalisasikan, bukan angan-angan. Untuk itu orang beriman perlu menghadirkan hatinya sentiasa bersedia menerima hidayah Allah. Petunjuk Allah berada di mana-mana, pada ayat tergambar di dalam al-Quran, pada keadaan manusia beraneka sifat dan tabiat, pada gambaran kehidupan alam semesta yang memantulkan kebesaran Allah.

Hidayah itu berada dekat dengan diri manusia, amat dekat tetapi tidak diendahkan. Hidayah itu yang berbisik di hatinya, suara hati yang suci. Bukankah Allah sentiasa berada dekat dengan hamba-Nya.

Seseorang perlu mengamalkan beberapa langkah untuk mendapat hidayah Allah, iaitu:

Mencari ilmu. Orang yang hatinya rindu kepada permainan, hiburan dan kelalaian dunia biasanya tiada masa untuk ilmu. Kadang-kadang mencuri masa yang sedikit untuk membaca al-Quran tanpa penghayatan. Terlepas peluang mengkaji hadis Rasulullah dan tidak terdetik di hati mempelajari sunnah dan mengamalkannya.

Kedudukan ilmu bukan untuk menghantarkan seseorang pada satu gelaran alim, ustaz atau tok guru. Tetapi, matlamat menghidupkan ilmu dalam diri adalah untuk menghantarkan kita berada dekat dengan Allah.

Ilmu membolehkan seorang hamba memahami bentuk ketaatan dan kesetiaan kepada Allah, mempelajari dan menghindari jalan yang dimurka-Nya. Ilmu juga membuka mata hati insan untuk mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam, di mana kekuatan dan kelemahan yang perlu diperbaiki. Ilmu diharapkan melahirkan Khalifatullah berpotensi memakmurkan bumi.

Mendampingi orang soleh. Seseorang yang istimewa kedudukannya di sisi Allah memiliki sesuatu tidak dimiliki manusia biasa. Tutur katanya mampu menghantarkan petunjuk, hidayah dan hikmah ke dalam hati yang mendengar, akhlaknya menjadi penyejuk mata orang memandang, jasa dan perjuangannya menjadi sebutan yang tidak lapuk ditelan zaman.

Beruntung sesiapa yang bersahabat dengan mereka disebabkan amal soleh dan teladan ikhlas mampu menggerak hati ke jalan Allah dengan memperingatkan hamba-Nya berwaspada memilih sahabat sehidup semati, dunia akhirat.

Mengikuti sunnah Rasul dan Salafus soleh. Setiap mukmin wajib beriman Rasulullah SAW berperanan menghantarkan petunjuk hidayah kepada umatnya hingga akhir zaman. Jadi, mengapa ada golongan yang mengaku Muslim mencari petunjuk lain yang bukan dibawa Rasulullah?

Fenomena mengada-adakan sesuatu urusan agama yang tidak pernah dilakukan baginda dan sahabatnya jika dibiarkan berlarutan boleh menimbulkan fahaman baru yang menyalahi sunnah Rasulullah. Rasulullah pernah menyentuh perkara ini kepada Huzaifah Ibn al-Yaman, kebaikan yang ada pada umat Islam menjadi pudar kerana timbulnya unsur dakhan di kalangan mereka.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Mengungkap rahsia urutan surah al-Quran

Pelbagai ilmu yang tersimpan di dalam kitab suci suburkan iman jika diamal setiap Muslim

PERNAHKAH anda terfikir mengapa al-Quran yang mengandungi 114 surah dimulakan dengan al-Fatihah diikuti surah al-Baqarah, Ali 'Imran dan diakhiri dengan surah al-Nas dengan sebelumnya adalah surah al-Falaq dan al-Ikhlas? Apakah rahsia di sebaliknya dan manfaat yang boleh kita ambil daripadanya?

Al-Quran ialah semulia kitab dan tidak diragukan ia Kalamullah mengatasi segala kalam. Mushaf yang ditulis Kalamullah wajib dihormati, dimuliakan dan tidak mendedahkannya kepada penghinaan serta pencemaran.

Al-Quran seperti disifatkan Baginda Rasulullah maksudnya: "(Berpegang) kepada kitab Allah yang sudah menceritakan orang sebelummu dan berita orang sesudahmu, dan sebagai penghukum apa yang terjadi antara sesamamu. Kitab Allah adalah firman yang memisahkan antara hak dan batil serta bukan senda gurau, orang yang meninggalkan kitab Allah daripada orang yang sombong, Allah akan membinasakannya, orang yang mencari petunjuk selain kitab Allah, maka Allah akan menyesatkannya, kitab Allah adalah (tali) Allah yang kuat, ia juga kitab yang penuh hikmah, jalan yang lurus, ia tidak condong pada hawa nafsu, tidak berat pada setiap lisan, alim ulama tidak akan kenyang padanya, ia tidak usang oleh banyak diulang (bacaannya), ia tidak habis keajaibannya, ia tidak hentinya, tatkala jin mendengarnya, mereka berkata: (Sesungguhnya kami sudah mendengar al-Quran menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan benar, lalu kami beriman kepadanya). Barang siapa berkata dengan al-Quran, maka benarlah dia, barang siapa yang mengamalnya, dia diberi pahala, orang yang menetapkan hukum dengannya maka dia adil dan barang siapa mengajak kepada al-Quran, ia mendapat petunjuk pada jalan yang lurus. Ambillah (kata yang baik) hai A'war." (Hadis riwayat Tirmizi)

Dalam hadis ada menyatakan 'ulama tidak kenyang padanya, ia tidak usang oleh banyaknya diulang (bacaannya), ia tidak habis keajaibannya.' Kita sudah menjumpai bukti kebenaran ucapan hadis ini. Kita dapati ulama menemukan perkara baru selepas merujuk kepadanya; kita dapati manusia tidak pernah bosan mendengarkannya dan kita dapati banyak keajaiban yang timbul daripadanya.

Ulama yang arif mengeluarkan banyak ilmu daripada al-Quran; ulama yang bijak pandai sudah banyak mengeluarkan hukum yang jitu daripada al-Quran; ulama yang ikhlas lagi setia banyak mengungkap rahsia al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan membuka tabir keagungan Allah Taala.

Tiada satu kitab pun di dunia ini yang boleh dibandingkan dengan al-Quran. Tidak ada satu kitab pun di dunia selain al-Quran yang sangat menarik perhatian manusia dari segi bahasa, tatabahasa, sastera, kandungan bahkan jumlah kata dan hurufnya sehingga ulama mengira bahawa lafaz 'Allah' dengan fathah (di atas) ialah 591, dengan kasrah (di bawah) 1,131 dan dengan dammah (di depan) berjumlah 974. (Al-Madisi, Fath al-Rahman, 489)

Melalui tadabbur al-Quran kita mendapati gaya bahasa dan metod persembahan dalam menyampaikan mesejnya sungguh bergaya. Tatabahasa tepat, penyampaian menarik, struktur ayat yang indah dan pilihan perkataan yang cantik hanya sebahagian daripada pesona memukau bagi menggamit insan bertadabbur terhadap wahyu Ilahi.

Satu cabang ilmu al-Quran yang diciptakan manusia adalah ilmu asrar tartib suwar al-Quran atau rahsia urutan surah-surah al-Quran. Ilmu ini tidak seberapa berbanding ilmu munasabah al-ayat atau ilmu hubung kait satu ayat kepada ayat yang lain yang selalu kita dapati dalam Tafsir Mafatih al-Ghaib (Kunci Alam Ghaib) karangan Imam al-Razi (w 1209M) kerana yang pertama disebut hanya membincangkan 114 surah sedangkan terakhir membincangkan seluruh ayat al-Quran berjumlah lebih 6,000 ayat.

Adalah Imam al-Suyuti (w 1505M), seorang ulama ensiklopedia kerana menulis di semua bidang ilmu keislaman pernah menulis kitab Asrar Tartib al-Quran.

Ketika membincangkan rahsia mengapa al-Quran dimulakan dengan al-Fatihah, beliau berkata pada halaman pertama: "Allah SWT memulakan kitab-Nya dengan surah ini (al-Fatihah) kerana di dalamnya terkumpul semua tujuan al-Quran, oleh itu ia juga dinamai umm al-Quran (induk al-Quran), umm al-kitab (induk al-kitab) dan al-asas (Asas), maka ia sesuai dengan namanya sebagai pembuka.

Berkata Hasan al-Basri: "Sesungguhnya Allah SWT menyimpan semua ilmu kitab terdahulu di dalam al-Quran; kemudian Dia menyimpan ilmu al-Quran dalam surah al-Mufassal; kemudian Dia menyimpan ilmu al-Mufassal dalam surah al-Fatihah. Siapa mengetahui tafsir al-Fatihah seolah-olah mengetahui tafsir semua kitab yang diturunkan (itu)." (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Ketika masuk membincangkan surah al-Baqarah, al-Suyuti menulis: Sebahagian imam berkata: "Surah al-Fatihah merangkumi pengakuan terhadap ketuhanan (rububiyyah) dan cara kembali kepada-Nya dalam Islam dan juga pemeliharaan daripada agama Yahudi dan Kristian.

Sedangkan surah al-Baqarah merangkumi kaedah asas agama dan surah Ali Imran sebagai penyempurna maksudnya. Surah al-Baqarah adalah dalil hukum sedangkan Ali 'Imran jawapan terhadap kekeliruan musuh (Islam)." (halaman. 2)

Akhirnya ketika membincangkan surah al-Nas, al-Suyuti menulis: "Selepas itu disebut pula surah al-Nas yang di dalamnya diberitakan mengenai martabat dan darjat jiwa manusia." (Halaman 43)

Perkara yang menarik ialah mengapa disebut dalam surah ini tiga perkataan berbeza untuk satu benda yang sama. Rab al-nas, malik al-nas dan ilah al-nas. Jika dalam tafsiran biasa diterjemah dengan 'Pemelihara sekalian manusia', 'Yang Menguasai sekalian manusia', dan 'Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia', secara berurutan. Al-Suyuti mengetengahkan pendapat Ibn al-Zamlkani dalam memahami rahsianya iaitu tiga kata 'al-nas' diertikan kanak-kanak, belia dan orang tua secara berurutan kerana sebab tertentu seperti dilihat Ibn al-Zamlkani.

Inilah rahsia ilmu al-Quran yang dijumpai ulama yang tidak pernah dilakukan terhadap kitab sebelumnya. Ia bertujuan menambah dan mempertingkatkan keimanan Muslim yang mencintai kita sucinya.

Al-Quran diturunkan oleh Allah bertujuan menyuntik semangat keimanan kepada manusia. Semangat yang sudah berputik menimbulkan minat untuk membaca dan beramal dengan tuntutannya penuh keyakinan tanpa dibatasi faktor masa, kaum, kepentingan dan tempatan.

Seseorang yang bermula dengan iman yakin dan percaya kesesuaian kitab ini pada semua zaman dan masa kerana diturunkan oleh Allah, Tuhan yang menciptakan makhluk manusia.

"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam)," seperti maksud firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 9. Maha Benar Allah!






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Taubat membersihkan dosa, tenangkan jiwa

SETIAP manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan, kecuali kalangan nabi dan rasul. Tetapi sebaik-baik manusia ialah mereka yang bertaubat, dengan menyesali atas kesilapannya dan tidak mengulanginya lagi.

Taubat adalah satu keistimewaan bagi umat Islam dan ia seharusnya dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan, bukannya disalah guna dengan alasan untuk melakukan seberapa banyak dosa.

"Dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Ia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (al-Muzammil:20)

Taubat bermaksud kembali daripada keburukan kepada kebaikan dengan beberapa syarat tertentu. Antara syaratnya ialah:

  • Meninggalkan maksiat atau perkara dosa yang dilakukan.

  • Menyesal atas segala perkara dosa yang dilakukan.

  • Berazam tidak akan mengulanginya lagi.

  • Mengembalikan hak makhluk yang dizalimi.

  • Mengerjakan ibadat fardu yang ditinggalkan selama melakukan dosa.

    Orang yang bertaubat sudah tentu mendapat beberapa kelebihan, berbanding mereka yang belum bertaubat. Antara kelebihan itu ialah:

  • Dekat diri kepada Allah.

  • Takwanya semakin meningkat.

  • Mendapat kemuliaan dan anugerah Allah di dalam kehidupan dunia dan akhirat.

  • Membersihkan kekotoran di dalam hati.

  • Menenangkan jiwa yang resah kerana dosa.

  • Menghapuskan tipu daya syaitan yang selama ini memerangkap manusia dengan melakukan perkara dosa.

  • Dapat mengekalkan hubungan yang baik sesama manusia.







  • "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Jujur Dalam Perniagaan

    AGAMA bagi Muslim bersangkutan dalam segenap aspek kehidupan, tidak seperti golongan bukan Islam, yang mempraktikkan etika agama dan urusan dunia secara berasingan, sekali gus mengizinkan mereka melakukan segala keinginan.
    AGAMA bagi Muslim bersangkutan dalam segenap aspek kehidupan, tidak seperti golongan bukan Islam, yang mempraktikkan etika agama dan urusan dunia secara berasingan, sekali gus mengizinkan mereka melakukan segala keinginan.

    Muslim tidak terlepas dengan etika digariskan agama dalam usaha untuk mencapai keselesaan, kesenangan dan kekayaan, termasuklah dalam bidang perniagaan.

    Ada yang mahu barang laris, keuntungan berganda dan cepat kaya sehingga sanggup mengadai prinsip agama dan menzalimi pihak lain.

    Senario yang berlaku hari ini memang mengecewakan. Mereka mengaburi pengguna dalam pelbagai sudut, bermula dengan janji manis ketika tawar menawar sehinggalah penetapan harga, kualiti dan kuantiti barang.

    Muslim sepatutnya mengamalkan etika dan nilai mengikut piawai ditetapkan dalam berurus niaga, tidak kiralah dia penjaja kecil, usahawan atau ahli perniagaan.

    Dalam hubungan ini, Presiden Majlis Fiqah Amerika Utara, Dr Muzammil Siddiqi menjelaskan kisah Nabi Syu'aib a.s yang diutuskan kepada penduduk Madyan pada zaman Nabi Ibrahim a.s wajar diteladani.

    "Baginda diutuskan terhadap golongan yang terbabit dalam perniagaan. Golongan ini sangat bangga dengan pengetahuan perniagaan dimiliki dan kejayaan dicapai. Tetapi mereka tidak jujur," katanya.

    Al-Quran menceritakan usaha Nabi Syu'aib menasihati mereka. Baginda menggesa mereka mematuhi etika dalam perniagaan seperti menyempurnakan sukatan dan timbangan dengan adil, tidak menzalimi orang lain dan membawa kerosakan.

    Mereka dengan angkuh tidak mahu menerima nasihat itu. Mereka marah dan menasihati baginda jangan mencampurkan agama dengan perniagaan. Tetapi kesudahannya mereka yang binasa, sedangkan Nabi Syu'aib terselamat.

    Dr Muzammil berkata, ini memberikan gambaran bahawa setiap orang mesti mengamalkan etika mengikut piawai dalam perniagaan.

    Menurutnya, perniagaan dan etika tidak berasingan, bahkan ia berhubungkait, sebagaimana yang ditunjukkan manusia yang paling ideal dalam segenap aspek, Nabi Muhammad s.a.w.

    "Baginda adalah guru, pembimbing, pemidato dan pemimpin terbaik, penggubal undang-undang, hakim dan diplomat, perunding dan jeneral tentera terbaik, ketua keluarga, suami, bapa dan datuk yang pengasih serta jiran dan sahabat yang baik."

    Rasulullah dipilih Tuhan menjadi nabi dan rasul terakhir pada usia 40 tahun. Sebelum itu baginda terkenal sebagai seorang ahli perniagaan yang sangat jujur dan berjaya.

    Makkah adalah tempat kelahiran baginda sangat popular dari dulu. Kafilah dari Syria di utara dan Yaman di selatan menjadikan kota itu sebagai laluan perniagaan.

    Baginda dilaporkan turut menyertai kafilah ini.

    Katanya, Rasulullah melalui perjalanan ke Syria, Yaman, Bahrain dan banyak lagi tempat di Arab Saudi melalui kafilah ini.

    "Bahkan, sesetengah ahli sejarah mengandaikan yang baginda juga meneruskan perjalanan ke Iraq dan Ethiopia," katanya.

    Sejak usia awal lagi baginda terbabit dalam perniagaan. Baginda mempunyai reputasi yang baik, sebagai ahli perniagaan bekerja kuat, jujur, benar dan sangat berjaya.

    Berasaskan reputasi ini Khadijah, ahli perniagaan yang kaya raya menggajikannya untuk melakukan perniagaannya. Sebelum itu ada pemuda lain yang berminat untuk bekerja dengan beliau, tetapi ditolak kerana tidak jujur.

    Dr Muzammil menegaskan, prinsip umum yang mesti dipatuhi antaranya, tiada penipuan, penjual mesti mengelakkan daripada melakukan banyak sumpah apabila menjual barang, adanya persetujuan, tepat terhadap timbangan dan ukuran.

    Menurutnya, peniaga dilarang melakukan monopoli (perdagangan dalam kawalan seorang), kerana Nabi s.a.w melarang amalan itu, malah tindakan itu dihukumkan berdosa.

    Kitab fiqah mengenai rukun jual beli, menjelaskan barang yang diniagakan itu mestilah suci, ada manfaat, dapat diserahkan kepada pembeli, kepunyaan penjual dan diketahui kedua-dua pihak mengenainya, termasuk bentuk, ukuran dan sifatnya.

    Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Zaharuddin Abd Rahman, dalam artikelnya, berkata di dalam Islam setiap penjual berhak menentukan harga barangan yang dimilikinya, namun ia masih terikat dengan harga pasaran.

    "Justeru, harga yang ditawarkan hendaklah diterima harga pasaran, jika ia mahu keluar dari harga pasaran, ia mesti mesti mempunyai sesuatu nilai tambah unik pada kualiti barangan itu.

    "Tidak dibuat dengan tujuan spekulasi (harga yang ditawar bukan bertujuan untuk jual beli sebenar tetapi hanya dibuat bagi memberi kesan kepada harga pasaran semasa) atau bagi menaikkan harga pasaran," katanya.

    Beliau berkata, jika ia ada tujuan tidak sihat seperti usaha untuk menaikkan harga melalui sorokan barangan hingga harganya meningkat, mengambil peluang atas kelemahan pembeli terhadap harga pasaran, harga yang tinggi tadi menjadi haram.

    Dalam disiplin perniagaan hari ini globalisasi sepatutnya difahami lebih positif yang menunjukkan semua orang boleh bertolak ansur dan sepakat seperti dalam satu keluarga, bukan mengambilnya sebagai loncatan untuk bersikap lebih rakus.

    Semua pihak sepatutnya dilayan dengan hormat, sama rata dan adil. Eksploitasi terhadap sesetengah pihak sepatutnya dihentikan dan tidak timbul perbezaan sesama manusia berdasarkan bangsa, warna kulit, warganegara, jantina atau agama.

    Ini kerana kemakmuran sumber bumi bukan hanya untuk segolongan dan terpakai bagi satu generasi saja, tetapi ia khazanah yang perlu dikongsi bersama. Siapa pun kita dan di dalam bidang apa kita usahakan, tetap terikat dengan etika.







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

     
    Dear Diary Blogger Template