^ Scroll to Top

Wednesday, November 26, 2008

Berhutang Untuk Naik Haji?

HAJI satu ibadat penting dalam Islam. Ulama secara ijmak mengatakan ia adalah fardu ke atas setiap orang Islam yang berupaya mengerjakannya dan satu daripada rukun Islam yang lima.

Ayat 97 Surah Ali Imran antara lain bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk."

Kewajipan melaksanakan haji itu hanya sekali seumur hidup sebagaimana dijelaskan Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a bermaksud: "Rasulullah s.a.w pernah berkhutbah kepada kami. Sabdanya: Wahai manusia, sesungguhnya Allah sudah mewajibkan haji ke atas kamu, oleh itu kerjakanlah haji itu."

Seorang lelaki bertanya: Adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah? Rasulullah SAW diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang pertanyaannya sebanyak tiga kali. Selepas itu barulah Rasulullah s.a.w menjawab: Jika aku jawab ya, nescaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berupaya melakukannya."

Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Biarkanlah aku (jangan kamu tanya) mengenai apa yang aku tinggalkan (yang tidak aku sebutkan) kepada kamu. Sesungguhnya sudah binasa orang sebelum kamu dengan sebab banyaknya pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi mereka. Maka aku menyuruh kamu dari (mengerjakan) sesuatu, kamu tinggalkan ia." (Hadis riwayat Muslim)

Dalam melaksanakan kefarduan haji dan umrah, ada beberapa syarat yang mewajibkannya, antaranya berkuasa.

Berkuasa melaksanakan haji dan umrah boleh dilihat pada dua aspek, iaitu berkuasa melaksanakannya dengan sendiri dan berkuasa menunaikan dengan pertolongan orang lain.

Setiap aspek itu ada syarat tertentu, contohnya berkuasa melaksanakan haji oleh dirinya sendiri antara syaratnya, ada perbelanjaan yang cukup untuk dirinya dalam perjalanan pergi dan balik serta sepanjang melaksanakan haji serta untuk sara hidup orang yang wajib ditanggungnya serta perbelanjaannya itu melebihi hutangnya.

Di samping itu, ada kenderaan untuk menyampaikannya ke Makkah seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya sama ada milik sendiri atau mampu menyewanya.

Syarat bekalan dan kenderaan itu ada disebut dalam hadis diriwayat Ibnu Umar dengan katanya: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w, dia berkata: Wahai Rasulullah apakah yang mewajibkan haji itu? Maka sabda baginda: Bekalan dan kenderaan."

Bagaimanapun, kewajipan menunaikan haji tidak akan gugur bagi orang yang terlalu tua, orang menghidap penyakit yang tidak ada harapan sembuh dan penyakit teruk, seperti dinyatakan Datuk Md Daud Che Ngah dalam buku Kursus Kesempurnaan Ibadat Haji & Umrah.

Bagaimanapun, dalam kes berkaitan hutang, apa pula justifikasinya? Apakah orang yang berhutang wajib atau tidak mengerjakan haji?

Presiden Majlis Fekah Amerika Utara, Dr Muzammil Siddiqi, berkata haji tidak menjadi kefarduan terhadap seseorang yang berhutang.

"Bagaimanapun, jika seseorang itu mempunyai pinjaman jangka panjang dan beliau dikehendaki membayar hanya jumlah tertentu setiap bulan, hutangnya itu tertakluk melalui bayaran setiap bulan.

"Sekiranya beliau membayar semua hutangnya dan kemudian tiada baki padanya untuk melaksanakan haji, ibadat haji tidak diwajibkan ke atasnya.

"Tetapi jika beliau hanya membayar secara ansuran bulanan dan kemudian mempunyai wang secukupnya untuk melaksanakan haji, dia sepatutnya mengerjakan haji kerana ia menjadi kewajipan ke atasnya.

"Jika seseorang itu berhutang dan pemberi hutang membenarkannya untuk pergi haji, dia boleh melaksanakan haji," katanya.

Bertitik-tolak dari situ juga timbul kekeliruan mengenai pelaksanaan ibadat haji dengan kaedah pinjaman (hutang), yang dibayar kemudian seperti dengan cara ansuran, ditambah dengan keadaan mutakhir ini, ketika orang ramai mudah mendapatkan pembiayaan atau pinjaman.

Ini kerana ada pihak mengatakan cara itu dibolehkan manakala setengah yang lain pula berdasarkan hujah masing-masing mendakwa kaedah seperti itu tidak dibenarkan.

Dr Muzammil berkata, jika seseorang mengambil pinjaman (tanpa faedah) untuk melaksanakan haji dan dia melaksanakan haji, ibadat hajinya itu sah, walaupun tidak dikehendaki berbuat demikian dan haji tidak menjadi kewajipan ke atasnya.

Ulama kontemporari lain menyatakan, adalah dibenarkan untuk melaksanakan haji dengan cara pinjaman yang dibayar ansuran jika seseorang itu tidak mampu mengadakan belanja sekali gus.

Mufti Mesir, Dr Ali Jum'ah, berkata: "Adalah sah bagi seseorang untuk melaksanakan ibadat haji atau umrah dengan cara ansuran; ia tidak melanggar mana-mana upacara atau syarat berkaitan haji atau umrah.

Rektor Universiti Al-Azhar, Dr Ahmad At-Tayyeb berkata: "Secara umum, tidak sah menegah untuk membayar bagi sesuatu secara ansuran, selagi ia tidak membabitkan bayaran faedah.

"Dengan itu, tiada kesalahan jika institusi kewangan membayar perbelanjaan haji bagi pihak ahlinya sebagai pinjaman tanpa faedah dalam keadaan itu dan ahlinya akan membuat bayaran balik secara ansuran."

Seorang ulama, Dr Abdel-Fattah Idrees, yang juga Profesor Undang-undang Perbandingan di Universiti Al-Azhar menyatakan:

"Melaksanakan haji dengan bayaran ansuran, atau dalam perkataan lain melalui institusi kewangan (yang memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk melaksanakan tanggungjawab agama) adalah dibenarkan kerana tiada nas yang melarang daripada melaksanakan ibadat haji seperti itu.

Tambahan lagi, jemaah haji dalam kes terbabit akan membayar balik wang yang dipinjam (dihutang). Pandangan ini mengikut aliran perundangan, seperti Syafie dan Zhahiri, yang mengatakan mana-mana cara yang menurut hukum membenarkan seseorang untuk melaksanakan haji adalah dipertimbangkan dalam perkara terbabit walaupun jika ia melalui pinjaman wang.

Dengan itu, melaksanakan ibadat haji dengan cara ansuran adalah dibenarkan dan mendapat ganjaran sebagai ibadat haji apabila semuanya dijelaskan."

Berdasarkan huraian ulama terbabit, secara ringkas dan umum dapat difahami ibadat haji dengan cara pinjaman tanpa faedah dibenarkan dan sah.

Fatwa Jabatan Mufti Kerajaan Brunei juga ada menghuraikan perkara ini, cuma ia cenderung memperkatakan mengenai permasalahan hutang dan kedudukan seseorang individu yang tiada kemampuan kewangan untuk mengerjakan haji.

Antara lain ia menjelaskan: "Dalam Islam berhutang dibolehkan, tetapi tidak dibolehkan kerana mengambil risiko yang boleh menyusahkan di dunia dan akhirat.

Banyak hadis yang memperkatakan masalah hutang dan orang yang berhutang, antaranya, bermaksud: "Dan jauhilah diri kamu daripada hutang, kerana sesungguhnya awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula adalah mengambil harta orang dengan tiada mengembalikannya." (Hadis riwayat Imam Malik)

Pada zaman Nabi s.a.w ada yang bertanya kepada baginda mengenai orang tidak berupaya mengerjakan haji. Adakah dia perlu berhutang kepada orang lain supaya dapat pergi haji, akan tetapi Nabi s.a.w tidak membenarkannya.

Perkara ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Auf, katanya: "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w berkenaan dengan seorang lelaki yang tidak (dapat) pergi haji: "Adakah dia boleh berhutang untuk pergi haji? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak. (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Agama Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Dalam hal mengerjakan haji dan umrah, ulama membuat syarat tertentu yang kemas berdasarkan al-Quran, hadis dan ijmak.

Jika syarat itu tidak dapat dipenuhi seseorang, tidaklah wajib baginya mengerjakan haji, walaupun ia satu daripada rukun Islam.

Ini membuktikan Islam itu adalah rahmat dan tidak menyusahkan umatnya. Oleh yang demikian, bagi orang yang ingin mengerjakan fardu haji dan umrah yang wajib ke atasnya, tidaklah perlu dia sampai menyusahkan dirinya dengan berhutang.

Apatah lagi bagi orang yang pernah pergi mengerjakan haji dan umrah. Lebih-lebih lagi jika umrah yang dilakukan itu, hanya berbentuk sunat semata-mata, jadi berhutang bagi tujuan ini suatu perkara yang tidak dituntut agama kerana ia akan menjadi beban dan akan menyusahkannya."







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Alam Nusantara terus jadi tumpuan gerakan Kristianisasi sejak penjajahan abad ke-15

HAKIKAT manusia adalah berbilang bangsa dan bersuku puak ditetapkan Yang Maha Pencipta, al-Khaliq menerusi firman-Nya bermaksud: "Wahai manusia! Sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal." (Surah al-Hujarat: 13)

Ketetapan ini ditegaskan Nabi Muhammad SAW menerusi beberapa hadis Baginda yang diucapkan dalam pelbagai kesempatan termasuk hadis yang menyatakan bahawa Baginda diutus Allah kepada manusia dan jin, bangsa merah dan hitam. 'Bangsa' yang dalam konteks al-Quran disebut 'syu'ub' dan hanya disebut dalam satu ayatnya saja, yakni ayat 13 Surah al-Hujarat di atas berbeza dengan perkataan 'umat'. Yang pertama disebut lebih khusus daripada yang kedua disebut sehingga dikatakan bahawa tidak semua umat adalah bangsa, tetapi setiap bangsa adalah umat.
Kita, sebagai contoh, tidak mengatakan bangsa Islam, tapi umat Islam dan kita mengatakan bangsa Yahudi dan juga umat Yahudi disebabkan oleh perbezaan ideologi antara kedua-duanya. Jika kita mengkaji lebih mendalam perbezaan 'syu'ub' dan 'ummah' dalam al-Quran sudah tentu kita akan mengumpulkan data dan kemudian kita akan mempunyai konsep bangsa dan umat yang sangat komprehensif seperti diinginkan oleh al-Quran, kitab petunjuk seluruh manusia yang berbangsa dan berumat. Di sini penulis hanya menyoroti satu titik daripada sebuah aspek yang ada dalam satu konsep mengenai bangsa dalam al-Quran, iaitu bangsa dan umat Melayu.

Allahyarham Ismail Faruqi pernah menyifatkan bangsa dan umat Melayu seperti katanya: "One of the oldest and bloodiest struggle the Muslims have waged against Christian-Colonialist aggression." atau "Salah satu perjuangan umat Islam yang paling lama dan sengit ialah dalam menentang pencerobohan penjajahan Kristian." (Rujuk Hilmy Bakar (1994), Ummah Melayu Kuasa Baru Dunia Abad ke-21)

Penulis tertarik dengan apa yang dibincangkan dalam buku Ahlul Bait dan Kesultanan Melayu yang disusun Tun Suzana ketika mengulas tajuk kecil 'Pembentukan fitrah kekuatan dan ketahanan dalaman agama yang tinggi dalam jati diri umat Melayu' iaitu ditulis: "Sepanjang penguasaan Portugis di Melaka contohnya, ia tidak pernah tenteram daripada diganggu gugat oleh gerakan jihad kesultanan-kesultanan seperti Demak, Jepara, Aceh dan Johor.
Kesultanan Acheh melancarkan tujuh kali jihad untuk membantu bumi Melaka bebas daripada penaklukan Portugis. Walaupun gagal dalam semua serangan ini, ia cukup untuk menggerunkan Portugis. Di Melaka, Bendahara Johor yang bernama Tun Jenal berserta pengikutnya memanjat benteng La Farmosa untuk masuk ke kawasan Portugis. Banyak pahlawan Melayu yang gugur kerana dibedik dengan pengganda yang berduri seperti durian, dengan pahat dan beliung, namun yang lain terus naik memanjat benteng kubu sehingga berjaya.

Diriwayatkan pahlawan-pahlawan Melayu Johor beramuk-amukan menyerang orang Portugis, sehingga rebahlah benteng La Farmosa yang menjadi kemegahan mereka selama 130 tahun. Portugis juga tidak dapat bertahan dalam taklukannya di Pasai apabila dihambat oleh Kesultanan Aceh dan disingkirkan dari bumi Ternate oleh Sultan Babullah (muka surat, 267-8).

Hakikat sejarah umat Melayu yang panjang, iaitu lebih 600 tahun lamanya membuktikan bahawa agenda terus-menerus untuk membinasakan Islam di alam Melayu oleh cubaan penjajah Barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris semuanya menemui kegagalan, berbeza dengan kejayaan yang dikecapi untuk merosakkan akidah serta menyelewengkan umat Islam seperti di utara Filipina, Turki, Eropah, malah sesetengah wilayah Arab sendiri. Mengenai jati diri Islam yang menambat hati umat Melayu dan memalingkan mereka daripada pegangan sebelumnya.

Prof Sayyid Muhammad Naquib al-Attas menulis: "Pengaruh Hindu itu tidaklah sampai merubah pandangan hidup umat Nusantara yang berdasarkan seni, yang tiada berdasarkan falsafah." Selepas bangsa Melayu memeluk Islam kemudian menjadi sebuah umat, pendakyah Kristian dari semua mazhab berputus asa ke atas bangsa Melayu (yakni untuk memurtadkan mereka kepada agama Kristian) seperti dikatakan Frank Sweetenham, seorang Gabenor British dalam era penjajahan. Dalam lawatan Pope John Paul ke India pada Oktober 1994, seperti ditulis Tun Suzana, beliau secara halus mengisyaratkan kekecewaannya mengenai hakikat bahawa walaupun banyak negara di dunia dapat dikristiankan, terutama dalam abad-abad mutakhir ini, beberapa ratus tahun selepas peristiwa percubaan bangsa Sepanyol dan Portugis untuk mengkristiankan dunia Asia Tenggara, ia masih gagal ditembusi oleh mereka. Pope John Paul lalu secara halusnya mengisytihar dan menggalakkan petugas-petugas Kristian memberikan penumpuan khusus kepada bumi Melayu ini menjelang alaf baru supaya umatnya dapat menikmati 'cahaya yang benar' dan dapat 'diselamatkan' daripada kesesatan. (muka surat 264-5).
Perbuatan mereka adalah satu bukti kebenaran al-Quran di mana Allah berfirman maksudnya: "Berkata mereka itu: 'Beragama Yahudilah kamu atau beragama Nasrani supaya kamu mendapat petunjuk. Katakanlah: Bahkan agama Ibrahim yang lurus (kami ikuti) dan bukanlah dia termasuk orang yang musyrik." (Surah al-Baqarah: 135)

Mereka tidak sedar akan hakikat Qurani yang menyatakan maksudnya: "Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka sedangkan Allah tetap akan menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang kafir enggan menerimanya." (Surah al-Saf: 8)

Dalam ringkasannya mengulas kelemahan bangsa Melayu hari ini, Tun Suzana mengatakan: "Kesimpulannya, kekuatan bangsa Melayu sebenarnya terletak pada perisian hakikat, iaitu ketahanan dalaman agamanya yang tinggi...Sistem sekular telah berjaya merubah pegangan kita daripada nilai, neraca dan tafsiran Islam kepada nilai, neraca dan tafsiran Barat. Akibatnya berlakulah penyelewengan tafsiran istilah contohnya istilah kekuatan. Dari perspektif sekular, kekuatan sesuatu bangsa dirujuk hanya kepada unsur zahiriyyahnya semata-mata seperti tahap ekonomi dan ketenteraan. Sedangkan istilah kekuatan jika ditafsir mengikut kaca mata Islam ialah perisian hakikat, contoh, ketahanan agama yang tinggi." (muka surat 268).

Kesetiaan dan ketulusan Melayu terhadap Islam terbukti kerana seperti diamati pendeta Za'ba, "Sejak orang Melayu memeluk agama Islam sehingga ke hari ini, mereka amat setia dan amat keras pegangannya pada agama yang mereka anuti ini (Islam). Walaupun mereka jahil banyak dari segi pengamalan dan kefahaman agama, mereka tetap menganggap bahawa itulah satu-satunya agama yang terbaik dan benar, dan tidak ada apapun hujah atau pujukan daripada orang kafir yang boleh mengubah sikap mereka yang demikian itu."

Pandangan Za'ba beberapa dekad lalu yang mana sifat umat Melayu adalah jahil terhadap agamanya, tetapi mereka memiliki kekuatan perpaduan, bagaimana halnya sepatutnya mereka pada hari ini dalam keadaan mereka yang sudah terdedah dengan ledakan 'worldview' Melayu sebagai salah satu tiang umat Islam dunia? Wallahu a'lam.

INTI PATI:
  • Konsep bangsa dan umat yang sangat komprehensif seperti diinginkan oleh al-Quran, kitab petunjuk seluruh manusia yang berbangsa dan berumat.
  • Lebih 600 tahun lamanya membuktikan bahawa agenda terus-menerus untuk membinasakan Islam di alam Melayu oleh cubaan penjajah Barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris semuanya menemui kegagalan.
  • Mengenai jati diri Islam yang menambat hati umat Melayu dan memalingkan mereka daripada pegangan sebelumnya.
  • Menurut pendeta Za'ba, sejak orang Melayu memeluk agama Islam sehingga ke hari ini, mereka amat setia dan amat keras pegangannya pada agama yang mereka anuti ini (Islam). Walaupun mereka jahil banyak dari segi pengamalan dan kefahaman agama, mereka tetap menganggap bahawa itulah satu-satunya agama yang terbaik dan benar.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Haram guna atau warisi saka

Mungkin membicarakan persoalan mengenai saka adalah satu perkara sensitif. Perkara yang berkaitan dengan makhluk yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar atau suatu yang tidak dapat disentuh adalah suatu yang tidak mudah..
Bagi mereka yang hidup dalam dunia teknologi dan ledakan maklumat adalah sukar untuk menerima hakikat kewujudan sihir dan makhluk halus, lebih-lebih lagi apabila dikaitkan manusia mendapat bantuan daripada makhluk halus.
Seperti yang dibincangkan sebelum ini bahawa meminta bantuan dan mengharapkan pertolongan daripada makhluk halus adalah syirik, lebih-lebih lagi meminta bantuan jin atau syaitan untuk mengganggu dan memudaratkan orang lain.
Masyarakat Melayu memahami saka sebagai ilmu yang diperturunkan atau dipusakai daripada waris teratas kepada waris di bawahnya, daripada ibu ataupun bapa kepada anak, daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucu atau cicitnya, ataupun ilmu yang dipusakai daripada seorang bapa saudara kepada anak saudara atau kepada seseorang yang berada dalam lingkungan keluarga.
Yang dimaksudkan dengan ‘ilmu yang dipusakai’ itu ialah ilmu yang ada kaitan dengan jin-jin, sama ada jin berkenaan dibela, dibuat sahabat ataupun dibuat saudara, disedari atau tidak disedari.
Tujuan makhluk-makhluk ini dibela adalah untuk perantaraan makhluk tadi, waris berkenaan berupaya melakukan rawatan penyakit, menilik dan sebagainya dalam keadaan menurun atau tidak menurun.
Hasil daripada penglibatan makhluk ini juga waris ada kalanya melibatkan diri dengan ilmu kebatinan mempertahankan diri, seperti ilmu amalan wali suci, budi suci dan lain-lainnya atau ilmu kebatinan yang dinamakan amalan al-Fatihah, silat sheikh, amalan sinar Islam dan sebagainya.
Amalan kebatinan mempertahankan diri ini juga melibatkan ilmu kebal, ilmu penggerun, ataupun amalan yang lebih bersifat peribadi, seperti ilmu seri muka, ilmu kebidanan tradisional atau ilmu andaman tradisional.
Makhluk yang berdampingan itu dalam proses masa tertentu menjadi sebahagian daripada dampingan manusia menyebabkan orang yang seumpama ini berupaya melakukan sesuatu yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa.
Penurunan saka boleh berlaku dengan sengaja atau tidak sengaja. Dilakukan dengan sengaja apabila seseorang itu secara berterangan menyatakan pada waris tertentu, seperti anaknya yang dia adalah orang yang paling sesuai atau berkelayakan mewarisi ilmu pemiliknya, yang dimiliki selama ini.
Apabila orang yang berkenaan menyatakan kesanggupannya menerima, maka bermula dari tarikh itu, dia telah mewarisi saka tadi.
Seksaan
Antara kesan buruk ialah pewaris akan menghadapi seksaan amat perit ketika hendak mati kerana roh sukar keluar. Situasi yang lebih dahsyat berlaku apabila pemilik saka sudah meninggal dunia tetapi saka yang dimilikinya masih enggan meninggalkan tuannya.
Pada mulanya memang saka ini kelihatan seperti memberi pelbagai kelebihan kepada tuannya contohnya untuk melindungi diri, keluarga serta harta benda dan sebagainya tetapi itu semua hanyalah tipu helah saka bagi menyesatkan manusia.
Pelbagai kesan buruk dan masalah akan timbul pada masa panjang dan kemuncaknya menyebabkan manusia itu melakukan dosa besar iaitu syirik kepada Allah SWT.
Adapun hukum mengguna atau mewarisi saka adalah haram dalam Islam seperti firman-Nya: Dan hari (kiamat) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): ‘Wahai golongan jin (syaitan), sesungguhnya kamu banyak (menyesatkan) manusia’, lalu berkatalah sahabat mereka dari golongan manusia: ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian kami sudah mendapat kesenangan dari sebahagian yang lain (jin) dan kami sampai kepada masa yang Engkau tentukan bagi kami (hari pengadilan). (Allah berfirman): Neraka itulah tempat diam kamu sedang kamu kekal didalamnya, kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain)’ .Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
(al-An’aam: 128).
Untuk melindungi diri gangguan pengamal saka ini eloklah kalau dapat diamalkan beberapa potong ayat al-Quran dan wirid yang ma’thur yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.
Yakinlah jika diri seseorang itu sudah ada pendindingnya, pasti makhluk yang jahat tidak dapat menembusinya.
Banyakkan membaca ayat-ayat suci al-Quran terutamanya ayat 97 dan 98 dari surah al-Mukminun.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Rosak amal kerana hasad

Hasad itu berpunca dari perasaan dendam sedangkan dendam berpunca dari kemarahan yang timbul dari hati seseorang. Hasad akan mendatangkan berbagai-bagai penyakit dan boleh menghilangkan pahala amalan seseorang. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud: Penyakit hasad boleh memakan (pahala amal) kebaikan seperti api memakan kayu api (Riwayat Abu Daud & Ibnu Majah). Dalam satu hadis, Baginda ada menyatakan semua penyakit yang berpunca dari hasad iaitu sabdanya bermaksud: Janganlah kamu berdengki dan jangan berputus hubungan rahim dan jangan kamu bermusuhan dan bercerai atau berpecah belah. Hasad itu akan lahir terhadap sesuatu nikmat sekiranya perasaan tersebut ingin menghilangkannya (nikmat itu) dari saudaranya maka itulah yang dinamakan hasad dengki. Tetapi sekiranya perasaan itu tidak ingin hilangkan nikmat tersebut dari saudaranya tetapi ingin mendapat sama sepertinya sahaja maka itu yang dinamakan ghibtah (bersaingan) dan keadaan ini tidak dilarang atau dicela malah disuruh agama sebagaimana sabdanya bermaksud: tidak harus hasad (bersaing) melainkan pada dua orang, satu mereka yang dikurniakan ilmu Quran lalu dia beramal dan mengajar dengannya dan satu lagi mereka yang dikurniakan harta kekayan lalu berinfaq untuk jalan kebaikan dengannya (Riwayat Syaikhan).
Di mana yang pertama (hasad) jelas haram dan tidak dibenarkan, dan yang kedua disuruh dan dibenarkan. Bagi menghilangkan perasaan hasad dengki, maka perlulah seseorang itu memahami agamanya kerana hasad itu boleh membahayakan dirinya bukan saudara yang dibencinya. Malah dengan hasad tersebut kita akan bertambah hina di sisi Allah sedangkan saudara yang kita benci dan dengki itu akan bertambah darjat dan pahalanya. Ini kerana kebaikan kita selama ini akan dihadiahkan kepadanya mengikut kadar perasaan dengki tersebut. Dan biasanya hasad dengki ini didorong oleh sifat takbur dan ingin mengatasi saudara kita. Sesungguhnya orang yang takbur itu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah sebagai mana sabda nabi bermaksud: tidak akan masuk syurga siapa yang ada dalam hatinya sifat takbur ini (Riwayat Bukhari dan lain-lain).
Daripada Anas ra. katanya: satu hari kami berada bersama Rasulullah saw lalu Baginda bersabda katanya: sekejap lagi akan muncul ikut jalan ini seorang dari ahli syurga kata Anas ra. Sekejap muncullah seorang lelaki dari kaum Ansor yang masih basah janggutnya dari kesan wuduknya dan bila besok hari Baginda ulangi sabdanya lagi maka muncul orang yang sama. Dan pada hari ketiga Baginda ulangi lagi perkataannya itu dan muncullah lelaki yang sama. Dan bila nabi berlalu pergi, Abdullah bin Amru ra. mengikuti lelaki tersebut dan mohon untuk bermalam di sisinya lalu dibenarkan, Abdullah pun bermalamlah di rumah lelaki tersebut selama tiga malam dan didapatinya lelaki tersebut tidak pernah bangun berjaga dan beribadat pada malam tersebut selain bila dia beralih dari tempat tidurnya dia berzikir kepada Allah dan tak ada bangun untuk solat fajar dan tidak berkata-kata selain kebaikan sahaja. Dan bila selesai tiga malam itu, lalu Abdullah menceritakan sabda Rasul mengenai lelaki tersebut. Dan katanya aku lihat kamu biasa sahaja dan tidak melakukan amal atau apa-apa keistiwewaan pun. Aku ingin tahu apakah sebabnya kamu mendapat kelebihan tersebut. Maka jawab lelaki tadi: itulah apa yang kamu lihat dan tidak ada yang lain cuma aku tidak menaruh sebarang perasaan hasad dengki kepada seorang dari saudara islam, yang mendapat sebarang nikmat yang dikurniakan kepadanya (Riwayat al-Bazzar dan dikatakan sahih atas syarat Bukhari dan Muslim).
Ertinya kebersihan hati dari sebarang penyakit hati itu merupakan satu keistimewaan pada pandangan agama yang menyebabkan seseorang itu akan dimasukkan kesyurga. Wallahualam







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

SEJARAH AYAT KURSI

Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia
telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan
kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu
perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah s. a. w. dengan segera
memerintahkan Zaid bt sabit menulis serta menyebarkannya.


Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali
selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar
masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya
dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan
memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga
akan terpelihara dengan izin Allah s. w. t.

Mengikut keterangan dari kitab"Asraarul Mufidah" sesiapa mengamalkan membacanya

setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah,
dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua
orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah.
Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu
ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah Allah akan mencerdaskan
akal fikirannya serta Fadhilat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-Hadis Rasullullah
s. a. w. bersabda bermaksud:

"Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah
hilangkan segala kefakiran di depan matanya."

Sabda baginda lagi;

"Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat,
kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya
daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar."

Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara
Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad. Mereka yang beramal
dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan
Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan. Pengamal ayat Kursi juga,
dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat
Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki
rumah. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan
ketika dalam perjalanannya. Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk,
Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar. Jika anda
berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu

eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda
sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin. Barang siapa
membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah
mewakilkan 2 orang Mala ikat memeliharanya hingga subuh.


Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang
Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang
lain. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak
menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa
membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas
rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya. Barang siapa
membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah
menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan2 orang yang
benar, pahala nabi2 juga Allah melimpahkan padanya rahmat. Barang siapa
membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan
70,000 Mala ikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wajalla akan mengendalikan
pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.
Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi
pertolongan kepadanya Dari Abdullah bin 'Amr r. a. , Rasullullah s. a. w. bersabda,

" SAMPAIKANLAH PESANKU BIARPUN SATU AYAT...."








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template