^ Scroll to Top

Monday, September 22, 2008

Menjelang fasa akhir Ramadan

SEDAR tidak sedar kita sudah melangkah masuk ke 10 hari terakhir Ramadan. Sebagai umat Islam yang benar-benar menjiwai dan menghayati makna ibadah, kita seharusnya dukacita kerana Ramadan sudah sampai ke penghujungnya. Bulan-bulan yang mendatang pastinya tidak sama sebagaimana keberkatan yang tersedia untuk beribadah dengan ganjaran berganda seperti Ramadan
Apatah lagi kalau kita menginsafi hakikat, tiada jaminan kita masih bernyawa untuk merasai nikmat Ramadan pada tahun mendatang. Sebab itulah manusia yang berfikiran rasional seharusnya menggunakan setiap detik yang tersisa untuk menggandakan amalan dan ibadah seutuhnya kepada Allah terutamanya pada hari-hari terakhir bagi meraih peluang dan ruang keberkatan yang ada.
Namun apa yang mendukacitakan, budaya masyarakat Islam di Malaysia tampak semakin menyimpang daripada makna sebenar beribadah pada bulan ini. Semacam wujud kecelaruan keutamaan yang serius dalam pertimbangan umat Islam ketika ini. Semakin hampir Ramadan ke penghujungnya, masyarakat semakin galak berpesta raya.
Akhirnya malam-malam yang seharusnya dihabiskan untuk beribadah sering kali berlalu tanpa dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengejar keberkatan malam lailatulqadar. Lebih mendukacitakan, apabila umat bagaikan tidak mengerti hakikat beribadah pada 10 malam terakhir lantaran disibukkan dengan persiapan menyambut Hari Raya. Lagu-lagu raya yang semakin rancak berkumandang memuncakkan nafsu untuk berpesta bagaikan Aidilfitiri di depan mata.
Budaya dan tradisi mengutamakan Aidilfitri tentu sekali tidak secocok dengan nilai dan ajaran yang dianjurkan Islam. Ini kerana ganjaran berganda yang Allah tawarkan kepada hamba-Nya hanya diberikan pada bulan Ramadan. Justeru orang yang berfikir secara waras dan rasional tentu memilih sesuatu yang memberi ganjaran yang lebih berbanding yang sedikit. Ini tidak, makin dekat dengan Aidilfitri makin hebat nafsu berpesta dan beraya. Jemaah di masjid-masjid juga semakin berkurangan, sebaliknya 'jemaah' di pusat-pusat membeli-belah bertambah.
Memang fenomena membeli-belah selalunya akan bertambah hebat terutamanya ketika melalui fasa Ramadan 10 hari terakhir. Fasa yang seharusnya menjadikan umat bertambah kuat beribadah bagi mengejar ganjaran besar termasuk malam lailatulqadar, sebaliknya disibukkan dengan pelbagai gerak kerja persiapan menjelang Aidilfitri.
Budaya berbelanja dan membeli pelbagai perhiasan, pakaian dan peralatan rumah yang serba baru sudah menjadi amalan. Walaupun Islam tidak menghalang umatnya membeli- belah untuk apa jua tujuan, namun perbelanjaan yang kadangkala menjurus kepada pembaziran pastinya tidak seiring dengan prinsip dan nilai muamalah Islam sejati yang sentiasa menganjurkan agar umat membudayakan kesederhanaan dalam berbelanja.
Demikianlah penyimpangan budaya dan pemikiran yang masih menebal dalam masyarakat Malaysia khususnya dalam memahami keutamaan di antara Ramadan dan Aidilfitri. Suasana sebegini tidak berlaku di negara-negara Timur Tengah. Di negara-negara Arab biasanya akan lebih hebat terutamanya menjelang 10 malam terakhir. Di Mekah, umat yang hadir ke Masjidil Haram pada 10 malam terakhir lebih kurang sama ramai dengan jemaah pada musim Haji.
Ini amat bertepatan dengan amalan dan sunah yang diajarkan Nabi Muhammad SAW. Rasulullah sentiasa mengajar umatnya agar melipatgandakan ibadah pada 10 malam terakhir melebihi malam lain. Dalam riwayat hadis ada menukilkan: Adalah Nabi SAW beribadah dengan lebih bersungguh-sungguh dan kuat pada 10 malam terakhir Ramadan, tidak sebagaimana baginda beribadah di malam-malam yang lain. (Riwayat Muslim, Hadis No.1175).
Hakikat yang sudah sedia termaklum, pada malam-malam terakhir terkandung malam yang dipanggil lailatulqadar atau Malam al-Qadar yang cukup istimewa bagaikan hadiah tidak ternilai Allah buat umat Islam. Ini disebut dalam al-Quran:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al- Quran) pada Malam al-Qadar. Dan bagaimana engkau dapat mengetahui kebesaran Malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (Al-Qadr: 1-5).
Begitulah penegasan Allah mengenai kemuliaan dan keberkatan malam al-Qadar yang begitu difahami Rasulullah yang bersungguh-sungguh melakukan ibadah untuk mengejar lailatulqadar. Disebut dalam hadis lain: "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-Qadar darinya (malam-malam Ramadan)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kesungguhan Nabi beribadah turut ternukil dalam hadis lain: "Apabila telah masuk bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)." ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Begitulah budaya dan amalan yang diajarkan Nabi pada 10 malam terakhir sebagai panduan buat umatnya. Bayangkanlah sekiranya Nabi yang maksum (terpelihara daripada sebarang dosa) itu begitu hebat beribadah pada malam-malam terakhir, pastilah kita sebagai umat yang berterusan bergelumang dengan pelbagai dosa dan noda sewajarnya lebih gigih berusaha mendapatkan malam al-Qadar.
Apa yang pasti, matlamat utama mengejar malam al-Qadar bukanlah sekadar mengharapkan doa kita yang bersifat kebendaan semata-mata dimakbulkan Allah. Sebaliknya, matlamat mengejar malam al-Qadar adalah bagi mendapatkan kerahmatan dan keampunan Allah di atas keterlanjuran kita di muka bumi.
Ini jugalah amalan yang diajar Nabi tatkala ditanya isterinya Aisyah mengenai amalan terbaik jika memperoleh malam al-Qadar: "Berkatalah Aisyah, wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa)? Nabi bersabda: Sebutlah doa: Ya Allah sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan".
Demikianlah amalan dan sunnah Rasulullah SAW yang seharusnya diikuti. Kegagalan menghayati dan mengamalkan sunnah inilah yang akhirnya menyebabkan umat seringkali terjerumus ke dalam kancah kecelakaan dan masalah yang tidak berkesudahan. Mungkin pelbagai polemik yang melanda umat Islam khususnya di Malaysia kebelakangan ini juga berkait-rapat dengan penyimpangan budaya beribadah yang berakar-umbi dalam masyarakat.
Justeru tiba masanya agar usaha penjernihan dilakukan ke atas amalan tradisi masyarakat yang tampak begitu menyimpang daripada landasan sunnah. Umat harus disedarkan agar dalam kesibukan mempersiap tetangga untuk berhari raya, jangan terlepas peluang mengecap keberkatan lailatulqadar. Umat juga harus dipasakkan dalam jiwa dan pemikiran bahawa 10 malam terakhir bukan masa untuk berpesta sebaliknya meningkatkan amalan ibadah agar hidup lebih bermakna di dunia dan akhirat.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Saturday, September 20, 2008

Kalimah Syahadah

Kesempurnaan Aqidah seorang muslim bergantung kepada sejauhmana ia dapat menyempurnakan rukun dan syarat-syarat Syahadah. Begitu juga aqidah yang telah sempurna itu boleh rosak apabila rukun dan syaratnya dilanggar.

Lafaz syahadah ialah :

Ertinya :
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah

Syahadah ini hendaklah dilafazkan dengan lidah dan ditasdiqkan (ingatkan dengan tetap) di dalam hati.

RUKUN SYAHADAH

Berikut adalah huraian mengenai rukun, syarat dan perkara-perkara yang boleh merosakkan aqidah.Menurut Ulama’ Usuluddin Rukun Syahadah ada 4, iaitu :

Menetapkan zat Allah.
Mengakui zat Allah iaitu sifat Allah adalah paling sempurna.
Menetapkan perbuatan Allah sebagai perbuatan Dia sahaja dan tidak sama dengan perbuatan makhluk.
Menetapkan dan meyakini bahawa agama yang dibawa Rasulullah sahaja yang benar.

SYARAT SYAHADAH

Mampu menyebut dan membacakan kalimah Shahadah ( diucapkan dengan lidah ).
Hendaklah meyakini dalam hati maksud syahadah iaitu meyakini hak-hak Allah dan Rasul.
Jangan ada di dalamnya syak ( 70 – percaya, 30 – tidak percaya )
Jangan ada di dalamnya zan ( 50 - percaya dan 50 tidak percaya )
Jangan ada waham ( 30 – percaya dan 70 lagi tidak percaya ).
Beramal dengan apa yang diyakini, dan menolak segala sesuatu yang merosakkan syahadah.

IMPLIKASI SYAHADAH YANG SEBENAR

Kesan Dunia – Memberi kebahagiaan sepanjang hidup dan tidak akan tersesat.
Kesan Akhirat – bawa syahadah bila bertemu Allah dan Allah akan bertanya kalimah tersebut di alam barzakh sehingga ke padang Mahsyar. Menentukan kebahagiaan kehidupan di akhirat.

10 PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH

Menyekutukan Allah
Bertawakal kepada makhluk (gantung nasib pada makhluk), Konsep sebenarnya kepada Allah taala sahaja.
Mengkafirkan orang Islam yang telah nyata Islamnya. Dan tidak mengkufurkan orang kafir yang telah nyata kufurnya.
Yakin dan percaya ideologi yang dibawa oleh manusia lebih baik daripada sistem Islam.
Mencaci Nabi dan Sunnahnya.
Hukum Allah menjadi sendaan dan gurauan.
Menenung nasib dan bermain sihir.
Membantu orang kafir untuk merosakkan Islam
Beranggapan bahawa keluar daripada Islam tidak apa-apa
Menolak sebahagian daripada Al-Quran dan menerima sebahagian Al-Quran.

Sumber :- http://mohdharrisjaalblog.blogspot.com






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

AMALAN SUNAT DALAM BULAN-BULAN ISLAM

BULAN MUHARRAM
  • Tanggal 1-9hb disunatkan berpuasa (puasa Tasua')
  • Tanggal 10hb disunatkan berpuasa (puasa Asyura)
  • Dalam bulan ini disunatkan agar memperbanyakkan amalan bersedekah kepada fakir miskin
  • Disunatkan supaya melebihkan perbelanjaan dalam keluarga
  • Mengusap kepada anak yatim dan menaruh perasaan belas kasihan terhadap mereka
  • Memperbanyakkan bacaan zikir dan selawat
  • Sesiapa yang berbuat baik kepada anak yatim seolah-olah ia telah berbuat baik kepada semua anak-anak yatim.
  • Sesiapa yang bersedekah pada hari itu maka seolah-olah ia tidak pernah menolak permintaan orang yang meminta-minta selama hidupnya
BULAN SAFAR
BULAN RABIUL AWWAL
BULAN RABIUL AKHIR
BULAN JAMADIL AWWAL
BULAN JAMADIL AKHIR

Tiada amalan sunat yang khusus atau istimewa dalam bulan ini melainkan amalan sunat dan fardhu seperti biasa.

REJAB

Bersabda Rasulullah saw maksudnya " Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku." Sesiapa yang berpuasa dalam bulan ini dengan penuh ikhlas semata-mata mengharapkan rahmat dari Allah maka ia layak mendapat ganjaran dari Allah seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw maksudnya,
  • Sesiapa yang berpuasa sehari maka ia akan mendapat keredhaan Allah
  • Sesiapa yang berpuasa 2 hari maka ia akan mendapat kemuliaan yang besar dari Allah
  • Sesiapa yang berpuasa 3 hari maka ia akan dijauhkan dari Allaj dari dugaan dunia, deselamatkan dari penyakit yang berbahaya dan diselamatkan dari disiksa diakhirat dan fitnah dajjal
  • Sesiapa yang berpuasa 7 hari maka akan dikunci oleh Allah 7 pintu neraka jahannam baginya
  • Sesiapa yang berpuasa 8 hari maka akan dibuka oleh Allah 8 pintu syurga baginya
  • Sesiapa yang berpuasa 10 hari maka akan dieprkenankan oleh Allah hayat dan permintaannya
  • Sesiapa yang berpuasa 15 hari maka Allah akan menambahkan pula pahala amalannya berlipat kali ganda
  • Orang yang berpuasa di bulan Rejab kelak di Syurga diberi minum air sungai yang bernama Rejab yang airnya lebih putih dari susu, lebih manis dari manisan dan lebih dingin dari salji
  • Dalam bulan lain setiap amalan akan digandakan Allah 10 kebajikan, tetapi pada bulan Rejab akan digandakan sebanyak 70 kebajikan.
  • Digalakkan mendengar kisah dan peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab seperti Isra' Mikraj Rasulullah saw.

BULAN SYAABAN

Syaaban adalah bulan Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya " Dinamakan dengan syaaban (berserak-serak) itu adalah kerana di dalamnya terdapat banyak kebajikan yang berserak-serak.
  • Setiap amalam kebajikan akan digandakan oleh Allah dengan 700 kali ganda
  • Allah akan menurunkan rahmatNya serta memberikan pengampunan umum kepada hambanya.
  • Sesiapa yang berpuasa 3 hari di awal, pertengahan dan di akhirnya maka Allah akan menuliskan baginya pahala 70 orang nabi, pahala beribadat selama 70 tahun.
  • Kelebihan malam nisfu Syaaban pula ialah sesiapa yang mendirikan solat sunat sunat dan menghidupkan malam itu dengan banyak berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, membaca al Quran dan sebagainya maka Allah akan membukakan untuknya 300 pintu rahmat disamping doanya tidak akan ditolak.
  • Orang-orang yang tidak diampunkan oleh Allah pada malam nisfu syaaban ialah mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu, tukang sihir, tukang nujum, mereka yang suka bermusuhan, peminum arak, penzina, pemakan riba, derhaka terhadap kedua ibu bapa, pembuat fitnah dan mereka yang memutuskan tali silaturrahim.

BULAN RAMADHAN

Ramadhan adalah bulan umat Muhammad saw. Bersabda baginda yang bermaksud " Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan."

Sabda baginda dalam hadis yang lain, " Jika umat manusia itu mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam bulan ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu Ramadhan"
  • Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda
  • Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardhu
  • Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebasan dari api neraka
  • Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawikh, witir dan solat sunat yang lain.
  • Banyakkan berdoa, berzikirz selawat, membaca Al Quran, bertaubat dan lain-lain
  • Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada di dalam kesusahan dan ditimpa kemalangan.
  • Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.
  • Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam Lailatul Qadar seperti beriktikaf di masjid, qiamullail dan sebagainya

BULAN SYAWAL

Amalan sunat di bulan Syawal :

Amalan sunat pada 1 Syawal seperti :

a) Membayar zakat fitrah sebelum menunaikan Solat Aidil Fitri
b) Menghias diri dan tempat tinggal supaya kelihatan bersih dan cantik
c) Mandi Sunat Aidilfitri pada pagi harinya
d) Menjamah sedikit makanan sebelum keluar menuju masjid
e) Keluar menuju ke masjid dengan satu jalan dan bila pulang menggunakan jalan yang lain
f) Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid
g) Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula malam 1 Syawal hinggalah tersenam matahari pada hari raya tersebut.

Berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal (Sunat Syawal)
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya " Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan kemudian diikuti dengan 6 hari dibulan Syawal maka perumpamaannya seperti ia berpuasa sepanjang tahun."

BULAN ZULKAEDAH

Tiada amalan sunat yang khusus atau istimewa dalam bulan ini melainkan amalan sunat dan fardhu seperti biasa.

BULAN ZULHIJJAH

Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a, Rasullullah s.a.w telah menerangkan tentang fadilat di bulan Zulhijjah iaitu :

Tanggal 1 Zulhijjah kesalahan Nabi Adam as telah diampunkan Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu dosanya akan diampunkan oleh Allah

Tanggal 2 Zulhijjah doa nabi Yunus as diperkenankan Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu seperti berpuasa setahun dan dicatitkan baginya seperti tidak pernah melakukan maksiat.

Tanggal 3 Zulhijjah doa nabi Zakaria telah diperkenankan oleh Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu doanya juga akan diperkenankan oleh Allah

Tanggal 4 Zulhijjah Nabi Isa dilahirkan. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan terhindar dari kefakiran dan kemelaratan.

Tanggal 5 Zulhijjah Nabi Musa as dilahirkan. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan terlepas ia dari sifat munafik dan siksa kubur

Tanggal 6 Zulhijjah allah telah membukakan pintu-pintu kebajikan kepada nabi-nabiNya. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan dipandang oleh Allah dengan pandangan rahmat

Tanggal 7 Zulhijjah pintu neraka Jahannam akan dikunci. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan dibukakan 30 pintu kemudahan dan dikunci 30 pintu kesulitannya

Tanggal 8 Zulhijjah Nabi Ibrahim telah mendapat perintah supaya menyembelih anaknya Ismail. Seharian ia berfikir sama ada perintah itu daripada Allah atau dari Syaitan.Hari itu dinamakan hari Tarwiyah (hari berfikir). Sesiapa yang berpuasa hari tersebut akan diberikan pahala yang banyak oleh Allah

Tanggal 9 Zulhijjah Allah telah memberitahu kepada Nabi Ibrahim bahawa mimpinya itu adalah benar dari Allah, bukan dari syaitan. Oleh itu, hari tersebut terlah dikenali sebagai 'Arafah' (Hari ketahui).

Sunat bersedekah kepada fakir miskin. Sesiapa yang bersedekah pada hari tersebut akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat nanti dalam keadaan aman dan sentosa.
Amalan sunat pada 10 Zulhijjah seperti :

a) Mandi sunat Aidil Adha pada pagi harinya.
b) Sunat tidak menjamah makanan atau minuman sehinggalah selesai menunaikan solat Adha
c) Keluar menuju ke masjid dengan satu jalan dan bila pulang menggunakan jalan yang lain
d) Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid
e) Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula malam 10 Zulhijjah hinggalah tersenam matahari pada tanggal 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad)

Sunat membaca doa akhir tahun pada tanggal 29 atau 30 Zulhijjah selepas solat Asar dan membaca doa awal tahun selepas solat Magrib pada malam pertama awal Muharram.

Sumber:- http://mohdharrisjaalblog.blogspot.com






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Bani Israel ingkari nikmat Ilahi dilaknat jadi monyet, khinzir

KEHIDUPAN di padang pasir yang kering kontang menyebabkan sumber
makanan berkurangan dan keadaan itu membangkitkan kemarahan bani
Israel yang mula menyalahkan Nabi Musa serta Harun yang mengajak
mereka keluar dari Mesir.

Mereka sudah mula nampak kematian. Di padang pasir yang tandus itu
mereka bagaikan hilang kepercayaan kepada Maha Kuasa yang berupaya
menurunkan makanan kepada hamba-Nya.

Allah memberitahu Nabi Musa bahawa Ia mendengar segala rintihan bani
Israel. Pada petangnya, angin bertiup membawa bersama burung salwa
sehingga menutupi bumi yang kering kontang itu. Burung itu ditangkap
dan dimasak oleh bani Israel.

Keesokan paginya, turun pula manna, tepung berwarna putih bagaikan
tepung gandum atau jagung. Rasanya menyerupai tepung apabila dicampur
dengan madu. Manna turun bagai embun pagi dan perlu dipungut segera
sebelum cair terkena sinaran matahari.

Nabi Musa memberitahu kaumnya bahawa itulah tepung untuk membuat roti
yang Allah turunkan kepada mereka. Setiap orang hanya dibenar
mengambil kira-kira satu umir atau 8.5 liter setiap hari.

Manna dan salwa diturunkan Allah kepada bani Israel setiap hari
kecuali Sabtu. Mereka harus mengumpul makanan itu pada Jumaat untuk
kegunaan Sabtu kerana Allah menurunkannya sekali ganda pada Jumaat.

Ada juga yang mengumpulnya pada hari lain, namun pada hari berikutnya
ia rosak dan berulat. Bagaimanapun makanan yang mereka kumpul pada
Jumaat tidak rosak dan boleh digunakan keesokan hari.

Begitulah nikmat yang Allah turunkan kepada bani Israel. Pada cuaca
yang panas Allah menaungi mereka dengan awan dan ketika ketiadaan
makanan Allah turunkan manna serta salwa. Namun, mereka tetap tidak
mensyukuri nikmat Allah.

Allah memerintah bani Israel menghormati Sabtu kerana hari itu
kelepasan untuk mengabdikan diri kepada Allah dan beribadah. Wasiat
keempat daripada 10 wasiat Nabi Musa kepada umatnya melarang mereka
bekerja pada Sabtu.

Mereka menangkap ikan sepanjang minggu kecuali Sabtu, namun mencukupi
untuk menyara mereka seminggu. Allah menguji keimanan bani Israel
pada Sabtu apabila banyak ikan timbul dan bermain di permukaan air.

Sekumpulan daripada mereka menjadi tamak dan mencari helah lalu
mengepung ikan itu pada Sabtu dan menangkapnya pada hari berikut.
Pada mereka, larangan Allah ialah menangkap ikan dan mereka hanya
mengepung tetapi tidak menangkapnya.

Nasihat dan teguran ahli agama mereka abaikan lalu Allah menukar
mereka kepada monyet dan khinzir. Selepas beberapa hari tidak
kelihatan, rakan menjengok mereka di rumah dan terperanjat melihat
apa yang berlaku. Monyet dan khinzir itu mati akhirnya.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kalam Allah beri hidayah, petunjuk manusia tinggalkan hidup jahiliah penuh kesesatan

PERISTIWA Nuzul al-Quran antara perkara penting yang harus diingat dan direnung Muslim kerana bermula dengan peristiwa itu zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah Yang Esa.

Peristiwa Nuzul al-Quran menjana perubahan dan membina peradaban umat. Allah berfirman bermaksud: "Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata "al-Quran mukjizat akhir zaman" atau "al-Quran yang mempunyai mukjizat". Disebabkan keutamaan inilah, al-Quran berbeza daripada kitab lain yang diturunkan kepada nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat terbesar dianugerahkan Allah kepada Rasulullah SAW dalam menghadapi cabaran menegakkan syiar Islam. Ketabahan Baginda berjaya mengubah bangsa Arab yang hidup tanpa pedoman, jauh daripada hak dan kebenaran dengan meniupkan roh semangat al-Quran.
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam. Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan terakhir daripada Allah, diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun kepada Rasul-Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.

Penurunan ayat al-Quran secara beransur-ansur mempunyai hikmah, antaranya tidak membebankan pesuruh-Nya dan umat Islam pada zaman awal Islam, malah sesetengah ayat diturunkan bagi menerangkan kedudukan sesuatu kes dalam masyarakat. Contohnya, dalam kes Umar terhadap Rasulullah SAW yang mengingatkan kemungkinan ada antara mereka yang menemui isteri Baginda bersikap tidak jujur. Sejurus kemudian, turun wahyu Allah menjelaskan perkara itu, iaitu firman Allah yang bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isterimu, anak perempuanmu dan isteri orang Mukminin hendaklah memakai jilbab. Dengan demikian akan mudah dikenali dan tidak diganggu. Allah Maha Pengampun dan Penyayang." (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Waktu penurunan al-Quran mengikut perancangan dan ketentuan Ilahi. Sesuai dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadan untuk menurunkannya. Firman Allah bermaksud: "Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada pembeza (antara yang hak dan batil)." (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Nabi menerima wahyu dalam pelbagai cara dan keadaan antaranya:

l Malaikat memasukkan wahyu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia sudah berada dalam kalbunya.

l Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW berupa lelaki yang berkata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal kata-kata itu.

l Wahyu datang seperti gemerincingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadangkala pada keningnya keluar peluh walaupun ketika itu musim sejuk. Ada kalanya, unta yang Baginda tunggangi terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun.
l Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW dalam rupanya yang asli.

Hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu ialah:

  • Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan jika diturunkan sekali gus dengan banyak.

  • Antara ayat itu ada yang nasikh dan mansukh, sesuai dengan permasalahan waktu itu. Ini tidak dilakukan jika al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan ada nasikh dan mansukh)

  • Turun ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku lebih mengesankan dan berpengaruh di hati.

  • Memudahkan penghafalan. Orang Musyrik bertanya mengapakah al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus? Dijawab dalam ayat itu sendiri: Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu." (Surah al-Furqan, ayat 32)

  • Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan seperti dikatakan Ibnu Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana jika al-Quran diturunkan sekali gus.

    Al-Quran mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan dalam segenap aspek, bukan saja suruhan dan larangan, malah merangkumi cerita alam ghaib, teladan dan ilmu pengetahuan.

    Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat kerana al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia.

    Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredai di sisi Allah. (Buku Peristiwa Bersejarah Bulan Ramadan)







  • "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

     
    Dear Diary Blogger Template