^ Scroll to Top

Thursday, February 5, 2009

Umat sejati sanggup berkorban tegakkan kebenaran

Dugaan hidup wajar dihadapi dengan tenang dan sabar supaya tidak hilang pedoman

HIDUP memerlukan keberanian serta kesanggupan untuk menghadapi apa juga keadaan atau dugaan yang datang. Kita perlu menghadapinya dengan tenang serta menanganinya secara bijak bukan dengan perasaan.

Setiap saat kehidupan ini sebenarnya perjuangan, sama ada dalam hal mencari rezeki, menguruskan keluarga atau memimpin negara. Malah, perbuatan kecil memberi kemaafan itu juga perjuangan melawan sifat ego atau riak.

Justeru, sifat berani perlu ada untuk mempertahankan diri supaya tidak mudah goyah serta hilang pedoman apabila berhadapan dengan dugaan. Semangat keperwiraan pada jiwa dapat menjadikan seorang itu memiliki semangat serta keberanian.
Prof Dr Hamka pernah berkata: "Barang siapa tidak sanggup atau tidak berani menguasai diri, jangan harap dia akan sanggup menguasai orang lain. Bukan keberanian kalau hanya sanggup berkelahi, tetapi keberanian ialah kesanggupan melawan hawa nafsu. Tanda berani ialah sikap tenang walau bagaimana hebatnya dugaan yang datang."

Keberanian bukan saja dalam menegak kebenaran malah berani menerima penghinaan atau cercaan selagi berpijak pada kebenaran. Orang yang berani akan bersedia membuat keputusan dan melaksanakannya. Dia berpegang teguh pada keputusan dibuat tanpa ragu. Jiwanya tenang, tidak mudah cemas dan panik apabila berhadapan musibah serta dugaan.
Orang berani biasanya meluncur maju ke depan sementara si penakut masih merangkak di belakang. Masyarakat daripada orang yang penakut akan mudah ditindas dan dihina. Sebaliknya keberanian akan menjadikan masyarakat itu dihormati.
Lihat sejarah keberanian Rasulullah SAW dan sahabat ketika memerangi tentera musuh, walaupun dengan jumlah yang kecil namun memiliki keberanian besar serta didorong keimanan mampu membuahkan kemenangan besar yang membanggakan.

Firman Allah yang bermaksud: "Iaitu orang yang menyampaikan perintah Allah dan takut kepada-Nya dan mereka tidak takut kepada sesuatu apa pun kecuali terhadap Allah. Cukuplah Allah sebagai penghitung." (Surah al-Ahzab, ayat 39)

Kita perlu berani dan sanggup menerima apa juga keadaan meskipun betapa hebat dugaan atau musibah yang datang walau hanya sebuah teguran dan kritikan. Kebanyakan kita tidak suka menerima teguran dan kritikan walaupun benar. Mereka takut dan malu untuk menerima kenyataan.

Sebenarnya, untuk berani mengakui kesilapan dan bertanggungjawab atas setiap kesalahan itu bukannya mudah kerana ia perlu menunduk ego yang bersarang di dada. Ego itu bukan hanya sekadar ditundukkan tetapi perlu dibentuk dan ini memerlukan perjuangan serta keberanian.
Keberanian yang boleh dijadikan teladan pernah berlaku pada zaman khalifah Umar al-Khatab iaitu di mana suatu hari seorang pemuda bernama Hasan berhenti berteduh di sebatang pokok untuk melepas lelah selepas penat berjalan dengan menggenderai seekor unta.

Kerana terlalu penat, dia tertidur tanpa sempat untuk menambat untanya. Apabila terjaga, didapati untanya sudah hilang. Lalu dia mencari namun tidak berjumpa. Selepas puas mencari, tiba-tiba dia terserempak dengan seorang tua dan untanya yang sudah mati.

"Ini unta saya! Pakcikkah yang membunuhnya?", soal Hasan dengan nada agak marah. Jawab orang tua itu berterus terang: "Pakcik tidak sengaja. Pakcik tidak sengaja hendak membunuhnya. Untamu memakan tanaman pakcik. Pakcik cuba menghalaunya dengan melontar batu-batu kecil. Dan salah satu batu itu terkena kepala untamu. Kemudian ia berpusing-pusing lalu rebah ke bumi. Pakcik dapati rupa-rupanya ia sudah mati."

Sebaik saja mendengarnya, Hasan tidak dapat mengawal perasaan marah lalu mengeluarkan pedangnya dan memenggal kepala orang tua itu. Selepas amarahnya hilang, Hasan mulai sedar perkara dilakukan dan menginsafi kesalahannya.

Tanpa berlengah lagi, beliau terus mencari keluarga si mati dan menceritakan segala yang berlaku.

Sebaik saja mendengar cerita Hasan, dua orang anak orang tua yang mati itu membawa Hasan mengadap Amirul Mukminin untuk diadili. Hasan didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman bunuh.

"Demi Allah saya lebih rela dibunuh di dunia daripada mendapat hukuman di akhirat. Tetapi sebelum itu, izinkan saya menemui keluarga untuk kali terakhir agar mereka mengetahui apa yang terjadi ke atas saya." pinta Hasan.

Amirul Mukminin bertanya kembali, "Apakah jaminannya yang engkau akan datang lagi untuk menjalani hukuman ini?" Ramai yang hadir terdiam, kemudian berdiri seorang lelaki iaitu Abu Dzar lalu berkata: "Walau pun saya tidak mengenali Hasan, namun atas nama sahabat Rasulullah SAW maka saya minta Amirul Mukminin memperkenankan rayuannya. Jika beliau tidak hadir pada hari hukuman dijalankan biarlah saya jadi galang-gantinya."

Akhirnya Hasan dibenarkan pulang sehingga tiba pada tarikh ditetapkan. Sekembalinya Hasan daripada berjumpa keluarganya dan di saat untuk menuju ke tempat hukuman, tiba-tiba tali pacu kudanya terputus. Beliau jadi resah cemas dan bimbang jika terlewat tiba di tempat hukuman.

Sementara di tempat hukuman pula, kecemasan juga turut dirasai oleh saksi kerana bimbang Abu Dzar pula yang akan dihukum. Akhirnya dalam keresahan menunggu itu tiba-tiba terdengar larian kuda yang ditunggangi oleh Hasan, lalu sekalian yang hadir bertakbir.

Suasana di situ amat sedih dan mengharukan. Orang ramai yang hadir kagum dengan kejujuran Hasan menepati janji serta sanggup dan berani menghadapi hukuman pancung. Selepas menjelaskan sebab kelewatannya, Hasan berkata: "Ya Amirul Mukminin, izinkan saya bersembahyang dua rakaat sebelum leher saya dipancung."

Saidina Umar membenarkan. Selepas selesai bersembahyang, Hasan tampil ke depan pengadilan untuk menjalani hukuman. Di saat itulah kedua-dua anak lelaki orang tua yang dibunuhnya datang mengadap Amirul Mukminin lalu berkata: "Kami sudah saksikan kejujuran dan keberanian Hasan. Begitu juga dengan keberanian dan kasih sayang Abu Dzar ke atas saudaranya seagama serta ketegasan dan keadilan Amirul Mukminin menjalankan hukuman. Hasilnya kami memperoleh kekuatan untuk meredakan kematian orang tua kami." Sekali lagi orang ramai bertempik dengan laungan takbir.

Demikian petikan sejarah buat iktibar. Itulah kesan daripada hati yang takutkan Allah dan balasan akhirat. Mereka sanggup berkata benar dan berani menanggung risiko walau bagaimana dan apa keadaannya. Bukan sikap bermuka-muka untuk menyorot kesilapan atau sekadar hanya tahu menyalahkan pihak lain.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Rai Dengan Berpuasa

APABILA membicarakan mengenai Hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharam setiap tahun, kita tidak dapat menghindarkan daripada memperkatakan peristiwa Karbala yang begitu menyayat hati.

Peristiwa itu adalah kisah Saidina Hussain yang dibunuh kejam di Karbala, Iraq. Rentetan dari peristiwa itu ada upacara khas yang dianjurkan pada Hari Asyura dengan cara yang amat bertentangan dengan syarak.

Malah, ada golongan Syiah mempergunakan peristiwa Karbala untuk meraih simpati umat Islam kepada kelompok mereka seolah-olah mereka ingin menggambarkan yang merekalah satu-satunya pembela Ahlul Bait, iaitu keluarga Rasulullah.

Rentetan dari peristiwa Karbala timbul dua golongan yang menyambut hari Asyura secara ekstrem, iaitu golongan Syiah ar-Rafidhah dan mereka yang memusuhi Syiah ar-Rafidhah, digelar Nawashib.

Golongan Syiah ar-Rafidhah menjadikan 10 Muharam sebagai hari berkabung dan menunjukkan kesedihan memperingati kematian Saidina Hussain.

Ketika menyambut Hari Asyura mereka memperlihatkan perbuatan jahiliah, dengan memukul wajah dan badan sehingga berdarah, menyeksa diri, berteriak serta menangis menunjukkan kesedihan dan merobek-robek pakaian, seperti di sesetengah tempat di Iran, Iraq dan Pakistan.

Tindakan itu bertentangan dengan hukum syarak kerana yang diperintahkan Allah apabila ditimpa musibah ialah bersabar, sebagaimana dijelaskan dalam ayat 155 hingga 157 surah al-Baqarah.

Meratap dan menyeksa diri apabila ditimpa musibah dicela syarak.

Rasulullah bersabda, maksudnya: "Bukan golongan kami orang yang memukul pipi, merobek pakaian dan berdoa dengan doa-doa jahiliah." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Golongan itu memperhebatkan lagi celaan mereka kepterhadap sahabat Nabi ketika sambutan Hari Asyura. Mereka juga membacakan syair serta hikayat palsu menceritakan peristiwa Karbala.

Sementara golongan kedua, menyambut hari Asyura sebagai satu perayaan yang penuh kebahagiaan. Mereka terdiri kumpulan yang memusuhi Syiah ar-Rafidhah, digelar Nawashib.

Golongan terbabit dari kalangan Ahlu Sunnah yang jahil, yang memusuhi Saidina Ali dan keluarganya, pengampu kerajaan Bani Umaiyah dan benci golongan Syiah ar-Rafidhah. Mereka menterjemahkan kebencian dengan melakukan sesuatu bertentangan dengan golongan Syiah.

Mereka menunjukkan kegembiraan pada Hari Asyura, menyambut hari bersejarah itu bagaikan pesta, menghias bandar dengan indah, memasak makanan tertentu, lalu bersedekah kepada orang ramai.

Tindakan golongan kedua itu juga bertentangan dengan syarak, apatah lagi dilakukan bersempena dengan hari terbunuhnya Saidina Hussain, cucu Rasulullah iaitu seorang pemimpin pemuda yang menghuni syurga.

Wajarkah suasana yang gembira dihubungkaitkan dengan satu peristiwa hitam dalam sejarah umat Islam, mengakibatkan syahidnya seorang yang memiliki keutamaan serta kedudukan tinggi bagi masyarakat Islam?

Apatah lagi tiada contohnya dari Rasulullah untuk menyambut Hari Asyura seperti hari perayaan yang besar malah kalangan sahabat, generasi soleh yang lampau (salafussoleh) serta imam mazhab yang empat juga tidak pernah menganjurkan sambutan sedemikian rupa.

Oleh itu, sambutan sedemikian rupa adalah suatu amalan bidaah yang sesat dan boleh mengakibatkan pelakunya dihumban ke neraka.

"Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah, mendengar nasihat dan mentaatinya. Sesungguhnya manusia itu berkelompok-kelompok, siapa yang akan hidup di antara kalian kelak akan melihat adanya banyak perbezaan pendapat. Maka hendaklah kalian berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah kalangan Khulafa al-Rasyidin. Berpegang teguhlah kepadanya dan peganglah ia erat-erat. Jauhilah segala perkara yang baru kerana setiap perkara yang baru itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Jika kedua-dua cara seperti dua golongan terbabit menyambut Hari Asyura adalah suatu bentuk kesesatan dalam agama, jadi apakah yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada hari terbabit?

Apabila diperhatikan lagi, ada banyak kisah yang dihubungkaitkan dengan Hari Asyura, misalnya Nabi Adam bertaubat kepada Allah, Nabi Idris diangkat ke langit, Nabi Nuh diselamatkan dari banjir besar dan Nabi Ibrahim diselamatkan dari dibakar Raja Namrud.

Bahkan, ada pihak mendakwa Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa dan Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara pada hari berkenaan.

Pelbagai kisah dihubungkan dengan 10 Muharam, tetapi sukar bagi kita untuk mendapatkan kepastian mengenai kebenarannya.

Cuma yang nyata dan sah berkaitan dengan Hari Asyura hanyalah peristiwa Nabi Musa diselamatkan dari tentera Firaun.

Kisah itu berlaku pada Hari Asyura diperakui oleh Rasulullah.

Nabi s.a.w datang ke Madinah dan dilihatnya orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Menurut mereka: Ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa dari Firaun. Maka sabda Rasulullah: Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah." (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Oleh itu, bagi mengelak kekeliruan, sewajarnya kita tidak menghubungkaitkan apa-apa peristiwa berkaitan Hari Asyura sewenang-wenangnya, melainkan terdapat dalil yang diperakui kebenarannya.

Melalui hadis di atas juga dapat kita fahami, ibadat khusus sempena Hari Asyura yang diiktiraf Rasulullah adalah puasa. Berpuasa pada hari Asyura juga dapat menghapuskan dosa kita pada tahun sebelumnya.

Sebagaimana sabda Rasulullah: "Puasa tiga hari dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah mengurniakan taufik kepada mereka yang berpuasa pada hari itu. Dari Ibnu Umar r.a, dia berkata: "Tidaklah seorang hamba Allah berpuasa di dalamnya [Hari Asyura] kecuali puasanya akan memberikan taufik kepadanya." (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Disunatkan juga untuk menambahkan puasa pada Hari Asyura dengan berpuasa sehari sebelum atau sehari sesudahnya. Rasulullah memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi amalan orang Yahudi.

Baginda bersabda, maksudnya: "Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam Zaad al-Ma'ad, dinukilkan dari kitab al-Bida' al-Hauliyyah, edisi terjemahan bertajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, menyatakan: "Susunan (kelebihan) puasanya ada tiga, yang paling sempurna ialah puasa (dimulakan) sehari sebelumnya dan sehari selepasnya, berikutnya (boleh juga) puasa pada hari kesembilan (Tasu'aa) dan kesepuluh (Asyura), terdapat banyak hadis dalam perkara ini, berikutnya pula (boleh juga) puasa pada sepuluh Muharram sahaja."






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Semangat perjuangan Salahuddin al-Ayyubi, Talut patut jadi iktibar capai kemenangan

NAMPAKNYA nama kota Gaza di Palestin perlu diganti agar tidak lagi terjadi peperangan. Gaza - tempat lahir Imam Shafie pada 150H - dalam bahasa Arab mungkin berasal daripada kata dasar 'ghazwu' atau peperangan. Oleh itu, kita dapati banyak terjadi peperangan sepanjang sejarah manusia di sana.

Ketika Nabi Musa AS membawa keluar kaumnya bani Israel dari Mesir, Baginda membawa mereka ke Palestin. Malangnya bani Israel menolak memasuki Palestin sehingga mereka mendapat hukuman untuk hidup mengembara di sekitarnya selama 40 tahun.
Kisah ini direkod al-Quran dalam ayatnya bermaksud: "(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang yang rugi (di dunia dan di akhirat). Mereka menjawab: "Wahai Musa, bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)." (Surah al-Maidah: 21-22).

Selama 40 tahun berlalu dan di bawah pimpinan Yusha Nun mereka dapat mengalahkan tentera Amaliq di Palestin.

Sejarah berulang selepas kaum Yahudi hidup tak tentu arah kerana dosa mereka termasuk membunuh nabi sehingga mereka bak kelompok kambing yang tidak mempunyai pengembalanya. Dalam krisis kepemimpinan itu, muncul tokoh pemimpin Talut Qaisy atas petunjuk Nabi Syamuel AS.
Al-Suddi menceritakan selepas Amaliq yang menguasai wilayah Gaza dan Asqalan memperoleh kemenangan ke atas bani Israel sehingga ramai mereka terbunuh, ditahan dan terputus juga kenabian daripada nasab Lawi serta tidak ada yang tersisa daripada mereka melainkan seorang wanita yang sedang hamil. (Lihat Ibn Kathir, terjemahan Qisasul Anbiya', 527)

Pada masa pemerintahan Talut juga terjadi peperangan di sekitar Gaza merebut Palestin di antara tentera Talut dan Jalut (Goliath). Akhirnya bani Israel berhasil merebut kembali Palestin selepas tentera Talut bernama Daud berhasil membunuh Jalut.

Al-Quran menyebutkan maksudnya: "Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami, serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir." Oleh itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut." (Surah al-Baqarah: 250-51)

Dalam ayat sebelumnya, tentera Talut yang beriman hanya sedikit berbanding antara 310 hingga 319 tenteranya seperti jumlah tentera Muslim ketika perang Badar pada 2 Hijrah seperti diriwayatkan Imam al-Bukhari.
Walaupun sedikit, mereka mengimani maksud ayat ini: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama orang yang sabar." (Surah al-Baqarah: 249)

Selepas perjanjian dimeterai Khalifah Umar Khattab dan Bishop Sophronius sejurus jatuhnya Antioch, Damsyik dan Baitulmaqdis pada 636 M, orang Islam, Yahudi dan Kristian hidup rukun dan damai di Baitulmaqdis. Mereka bebas dan aman menjalankan ajaran agama masing-masing di kota suci itu.

Bagaimanapun, kerukunan yang berlangsung lebih 460 tahun itu kemudian porak-peranda akibat pelbagai hasutan dan fitnah yang diuar-uarkan oleh patriark bernama Ermite. Provokator ini berhasil mengobarkan semangat Pope Urbanus yang kemudian mengirim ratusan ribu tentera ke Baitulmaqdis untuk Perang Salib Pertama. Kota suci ini berhasil mereka rebut pada 1099. Ratusan ribu orang Islam dibunuh dengan kejam dan biadab seperti mereka akui sendiri: "In Solomon's Porch and in his temple, our men rode in the blood of the Saracens up to the knees of their horses."

Tapi seorang tokoh penyelamat muncul dan berhasil menghalau mereka selepas 88 tahun Kristian bertapak menguasai Gaza dan sekitarnya. Tokoh yang dimaksudkan adalah Salahuddin al-Ayyubi yang berhasil menguasai kembali Baitulmaqdis dan semua tanah Palestin pada 1192.

Perjuangan Salahuddin dalam membebaskan Palestin tidak datang begitu saja tapi dengan perancangan bertahun lamanya. Apabila dilantik menjadi Gabenor Mesir pada 1169 beliau menyusun strategi membebaskan Baitulmaqdis daripada cengkaman tentera Salib. Pada September 1174, beliau menekan penguasa Dinasti Fatimiyyah supaya tunduk kepada Khalifah Daulat Abbasiyyah di Baghdad. Tiga tahun kemudian, sesudah kematian Sultan Nuruddin, beliau melebarkan sayap kekuasaannya ke Syria dan utara Mesopotamia. Satu persatu wilayah penting berjaya dikuasainya; Damsyik pada 1174, Aleppo atau Halb pada 1138 dan Mosul pada 1186. Selepas disatukan negeri ini di bawah kekuasaannya, baru perebutan Baitulmaqdis dilancarkan dan membawa kejayaannya pada 1192 dengan termeterainya perjanjian antara beliau dan Raja Richard The Lion Heart.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia biasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada suatu ketika berada di Jerusalem dan tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian, dia berdoa: "Ya Tuhanku, aku sudah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini."

Dengan doa ini perbalahan berlaku di antara musuh yang menatijahkan berita baik bagi tentera Islam beberapa hari kemudian.

Pada 1987 intifadah, perlawanan dengan batu oleh orang Palestin yang tinggal di kawasan pendudukan terhadap tentera Israel mulai bergejolak. Intifadah ini dianjurkan oleh Hamas, gerakan Islam yang memulai aktivitinya dengan pendidikan dan sosial.

Selepas Hamas berjaya memimpin Kerajaan Palestin di Gaza dua tahun lalu episod perjuangan perlawanan Palestin mengalami corak baru walaupun mendapat tentangan semua pihak dengan corak lama musuh gerakan pembebasan Palestin.

Terakhir ialah serangan Gaza oleh tentera Israel atas sokongan Amerika Syarikat dan kebisuan masyarakat antarabangsa serta ketidakpedulian bangsa Arab dan ketidakberdayaan umat Islam.

Kerana Hamas dan hati kita masih dalam peperangan melawan keganasan Yahudi Israel, maka ada baiknya kita juga melafazkan doa yang dipanjatkan tentera Talut dan Salahuddin seperti di atas. Hanya itulah yang boleh kita lakukan setakat ini. Anta Maulana fansurna 'alal qaumil kafirin







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Muafakat wujud masyarakat berkasih sayang, menghormati

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Namun, bagi manusia, perubahan itu biarlah ke suatu arah yang lebih baik dan terbaik. Jadilah pantai terhakis daripada riak dan sombong menjadi pantai tenang serta nyaman biarpun ombak datang menghempas.

Hidup bukan untuk berbangga dengan ilmu, harta, pangkat serta kedudukan yang kerap menimbulkan permusuhan dan pertelingkahan. Benarlah dunia sudah banyak berubah, ikatan keluarga, persaudaraan, jiran, sahabat dan taulan semakin renggang kerana menjadi ukuran.

Apabila wujud perselisihan, pelbagai perkara diluahkan dalam emosi dan alangkah manisnya jika hati dapat menahan sabar, setiap permasalahan dileraikan secara baik bagi mengelak permusuhan.

Muafakat itu melahirkan kasih sayang, hormat menghormati. Ia mampu melahirkan sebuah masyarakat yang sedia dan sanggup bersama menanggung susah senang dalam sesuatu urusan kehidupan.

Seumpama muafakat pemimpin dan rakyat, majikan dan pekerja atau suami dan isteri. Persefahaman serta kasih sayang yang terjalin membolehkan hubungan itu menghasilkan keputusan terbaik untuk kedua-dua pihak serta mereka di sekeliling.

Sebenarnya setiap di antara kita tidak mampu melaksanakan sesuatu urusan bersendirian tanpa bergantung kepada masyarakat sekeliling. Semua urusan akan menjadi mudah jika saling membantu dan bermuafakat melaksanakannya.
Prof Dr Hamka berkata: “Sekiranya tabiat mementing diri itu mengalahkan akalnya, maka dia pun menjadi penipu. Cerdik buruk, penjual si bodoh, penindas si lemah, menjadi syaitan yang bertubuh manusia.”

Sikap mementing diri hanya membiak dalam masyarakat buruk perilaku. Hidup tidak membawa makna apalagi untuk memberi kesempurnaan sebagai insan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan menjadikan makhluk untuk memenuhi keperluan manusia, tidak mementing diri supaya Tuhan tidak menyeksa mereka di neraka. Ketika kiamat diletakkan untuk mereka mimbar daripada nur. Mereka berbincang kepada Tuhan mengenai orang yang masih dalam hisab.”

Namun walau apa pun sikap manusia, sebenarnya sikap mementing diri itu tidak memberi kebahagiaan kepada seseorang. Mungkin juga seseorang itu dilihat senang, tetapi cuma untuk beberapa waktu saja lambat laun dia akan menerima padahnya juga.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Palestin bukan milik nenek moyang Yahudi

MEMANDANG wajah bayi dan kanak-kanak yang terkorban di Gaza menimbulkan perasaan amat bersalah dalam hati kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan saudara yang ditindas.

Soalan datang menerjah nurani keimanan, apakah bentuk bantuan paling relevan disumbangkan kepada mereka supaya kita terlepas daripada tanggungjawab sebagai Muslim di hadapan Allah SWT nanti?

Mengapa kamu membiarkan agamamu diperangi? Mengapa kamu berdiam diri menonton keganasan dan kekejaman menumpahkan darah Muslimin di atas tanah suci yang melahirkan para nabi? Apakah sumbanganmu untuk agama Allah SWT, apakah perananmu memastikan kalimah Allah SWT tertegak di atas bumi tanpa penghinaan?

Tidak mampu rasanya menjawab soalan tajam umpama peluru yang mengoyak jantung hati kita. Betapa selama ini keselesaan hidup sudah melayukan semangat Islam dalam diri yang lena. Seluruh bumi Allah SWT ini adalah tanggungjawab kita, di mana seorang Muslim lahir di situlah tanah air kita.

Amat menyedihkan, ramai di kalangan umat Islam yang jahil terhadap isu Palestin. Padahal, mereka cukup bijak dalam menempa kejayaan peribadi, kerjaya dan kedudukan selesa yang seharusnya mencelikkan hati nurani untuk memandang dengan serius isu kemanusiaan sejagat.

Bermula daripada kesedaran memahami bahawa peperangan di Palestin adalah isu agama dan keimanan. Walaupun media sentiasa memaparkan perbalahan yang terjadi antara dua kubu Fatah dan Hamas yang seolah-olah mahu menunjukkan perebutan kuasa politik, ketamakan dan kotornya peperangan sesama umat Islam sendiri.
Tujuan media Barat memaparkan isu itu supaya umat Islam yang melihat daripada kaca televisyen berputus asa terhadap masa depan Palestin dan tidak mahu lagi campur tangan kerana letih melihat pertumpahan darah sesama Muslim yang mencalarkan imej perjuangan mereka.

Padahal, isu perebutan kuasa di Gaza sebenarnya sudah selesai dengan keputusan pilihan raya yang dimenangi Hamas. Yang membangkitkan peperangan lagi adalah Israel dan sekutu kuatnya Amerika yang mahu Fatah memerintah supaya terjadi konflik berlanjutan.

Sengketa Fatah dan Hamas adalah tipu daya dan rancangan busuk Israel serta sekutunya untuk menciptakan ketidakstabilan politik dalam Palestin. Juga, menipu dunia Islam supaya mereka mempersoalkan keikhlasan pejuang Palestin itu.

Akhirnya, umat Islam seluruh dunia melupakan Palestin. Jika seorang Muslim yang mengikuti dari jauh kisah perjuangan Palestin sudah rasa bosan, tidak terdetik hati untuk berniat memberi sokongan dan pertolongan, maka dikhuatiri keadaan itu akan mencabut keimanan dalam hatinya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga menyuruh umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan membela saudara muslimnya dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim yang membiarkan saudara muslimnya ketika maruahnya dicerobohi dan kehormatannya dicela melainkan Allah SWT akan membiarkannya (tidak menolong) ketika dia memerlukan pertolongan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud)

Kelemahan umat Islam dalam menyampaikan maklumat sahih mengenai isu Palestin dimanfaatkan Zionis yang mampu memutarbelitkan fakta dalam berita yang mereka sebar luaskan melalui media masa. Mereka menyatakan tanah Palestin adalah milik nenek moyang mereka, sedangkan jika diteliti, sejarah dunia sudah mencatatkan pembohongan mereka itu.

Asal bangsa Palestin dikenali sebagai bangsa Kan’an dan keturunannya sudah mendiami tanah itu sejak 1500 tahun sebelum bani Israel menetap di sana. Islam pula datang dan memerdekakan Palestin daripada cengkaman penjajahan dan berkuasa selama 1200 tahun..

Sejarah tamadun Islam merekodkan pembebasan Palestin daripada cengkaman Rom pada zaman Umar bin al-Khattab. Islam memberi kedamaian selama 500 tahun di mana Kristian dan Yahudi dilindungi status kerakyatan mereka sebagai kafir Zimmi yang diberi hak sebagai warga negara.

Berdasarkan fakta penyelidikan seorang ahli akademik Yahudi sendiri bernama Arthur Koestler, lebih daripada 80 peratus Yahudi hari ini langsung tidak mempunyai kaitan sejarah dengan Palestin. Majoriti Yahudi sekarang sebenarnya berketurunan Yahudi Khazar iaitu puak Tartar-Turki kuno yang asalnya bukanlah Yahudi. Mereka mendiami bahagian utara Kaukaz (kawasan bekas Soviet) yang sudah memeluk agama Yahudi pada kurun ke-8 Masihi, mereka sepatutnya pulang ke selatan Russia bukannya Palestin.

Jadi, mengapa Zionis amat berminat dengan bumi Palestin? Zionis Antarabangsa sudah merangka dengan teliti tanah jajahan yang paling strategik dan berharga dengan menciptakan negara Yahudi. Suatu ketika mereka pernah merancang memilih Uganda sebagai jajahannya tetapi di situ tidak ada nilai sentimental seperti di Baitulmaqdis yang menyimpan sejarah Bani Israel bertapak suatu ketika dulu.

Mereka juga beriman bahawa di Al-Quds akan muncul Messiah (penyelamat) dan akan mengasaskan kerajaan Yahudi yang besar seperti yang dibina oleh Sulaiman, menurut dakwaan dongeng mereka.

Sikap umat Islam terhadap penjajahan Israel ke atas Palestin tidak akan berubah sehingga hari kiamat. Kita wajib menentang sekeras-kerasnya serangan dan pencerobohan ke atas kaum Muslimin. Ulama sedunia sudah memfatwakan haram mengakui kedaulatan Israel di bumi Palestin yang terjajah.

Pada 1947, fatwa Al-Azhar menyatakan haram membahagikan tanah antara Arab dan Yahudi di Palestin dan haram mengiktiraf kewujudan negara Israel di Palestin. Pada 1956 fatwa Syaikhul Azhar dan Mufti Mesir ketika itu, al-Imam al-Akbar al-Syaikh Hassan Makmum menyatakan menjadi fardu ain ke atas Muslimin semua untuk membebaskan bumi Palestin kerana Islam tidak mengenal persempadanan antara negara.

Perdamaian dengan Israel untuk merelakan mereka menindas dan membunuh kaum muslimin, perdamaian sebegini adalah haram. Fatwa Syaikhul Azhar terkini, Syaikh Muhammad Tantawi, ulama ulung sedunia, al-Syaikh Yusuf al-Qaradawi, Mufti Mesir Syaikh Nasr Farid Wasil pula menyatakan aksi serangan berani mati ke atas Yahudi penjajah adalah satu aksi jihad dan pelakunya adalah mati syahid.

Antara tindakan minimum yang wajib dilakukan umat Islam di seluruh dunia adalah memboikot barangan Israel dan sekutu. Mereka juga haram menjalankan hubungan dagang dan memberi apa-apa bekalan musuh, termasuk memboikot Amerika yang juga sekutu utama Israel.

Dr Yusuf Al-Qaradawi menyatakan: “Satu riyal yang digunakan untuk membeli barangan Amerika bersamaan dengan sebutir peluru yang akan digunakan oleh tentera Zionis untuk membunuh anak kecil di Palestin.” Inilah jihad minimum yang wajib dilakukan.

Apakah fatwa itu mampu menggerakkan umat Islam untuk menyokong perjuangan Palestin? Setiap kali kita membaca surah al-Isra dan mengingati peristiwa Israk dan Mikraj, muncul satu pertanyaan mengenai pembabitan kita dalam isu Baitulmaqdis, adakah cukup sokongan yang diberi untuk melayakkan kita sebaris dengan mereka yang berjihad di sana?

Terdetik ketakutan atas kelalaian, memandangkan Palestin adalah tanah air kita juga kerana Rasulullah SAW sudah memberi amaran dalam hadis Baginda yang bermaksud: “Barang siapa yang tidak peduli akan nasib saudara muslimnya maka dia bukan daripada golongan mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Palestin adalah sejarah kita, perjuangan dan impian umat Islam seluruh dunia. Sudahkah kita memastikan generasi selepas kita nanti masih menjaga nilai sejarah dan kedaulatan Islam di sana? Atau anak kita akan menjadi pemuda-pemudi yang buta maklumat mengenainya? Bahkan akan melupakan cita-cita tertinggi dalam kehidupan seorang Muslim iaitu berjihad di jalan Allah SWT.

Apabila sudah terhakis semangat menegakkan agama Allah SWT dalam diri generasi Islam, tidak mustahil mereka akan mengikut jejak tali barut kuffar memerangi umat Islam sendiri. Tidak peduli dengan agama, mencampakkan al-Quran dari dada mereka dan mengejek kemuliaan hadis Rasulullah SAW kerana terlalu taksub dengan kitab dari Amerika, Eropah dan bangsa lain.

Dan menjadi kewajipan umat Islam untuk menyokong Palestin dengan harta, jiwa, ilmu dan kepakaran yang diperlukan bagi sebuah negara Islam merdeka. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak ragu-ragu berjihad dengan harta dan nyawa mereka. Mereka itulah golongan mukmin yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15)






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template