^ Scroll to Top

Tuesday, March 24, 2009

Ayat Kursi hindari perbuatan pukau dan sihir

ALLAH, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tidak ada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu - Nya dan kekuasaan - Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya). (al-Baqarah: 255)
Keterangan ayat
Diriwayatkan dalam Sahih Muslim bahawa Nabi SAW pernah memberitahu kepada Ubai bin Ka'ab bahawa ayat yang paling agung dalam al-Quran adalah ayat al-Kursi.
Khasiat dan kaifiat beramal
Ayat al -Kursi juga mempunyai kelebihan untuk menghadapi gangguan syaitan seperti yang disebutkan dalam hadis sahih. Ayat ini patut menjadi amalan dengan membacanya pada setiap waktu terutama apabila berhadapan dengan kebarangkalian diganggu jin dan syaitan. Kisah ini masyhur tentang Abu Hurairah r.a. menangkap syaitan ada dalam kedua kitab hadis Sahih al- Bukhari dan Sahih Muslim.
Selain itu, Nabi SAW juga menganjurkan agar membaca ayat ini sebelum tidur supaya terpelihara daripada diganggu syaitan hingga ke waktu Subuh.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Islam memuliakan wanita

WAHAI orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (An-Nisa': 19)
Huraian
Islam mengharamkan perbuatan mewarisi perempuan seperti mewarisi barang-barang dan binatang-binatang, begitu juga Islam mengharamkan perbuatan menyusahkan dan menyakitkan perempuan untuk memudaratkan mereka, kecuali jika ia melakukan perbuatan yang keji.
Islam memberi kebebasan kepada perempuan di dalam memilih teman hidupnya dari awal, iaitu sama ada dara atau janda , sama ada yang ditalak atau yang kematian suaminya.
Islam juga menyeru kepada kaum lelaki supaya tidak mudah terburu-buru emosi mengambil keputusan bertindak memutuskan hubungan suami isteri sekiranya terjadi sesuatu perbalahan dan persengketaan suami isteri.
Apabila berlaku keadaan sedemikian, suami hendaklah berusaha mengawal kemarahan dan kebencian yang memuncak. Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu amat besar pahalanya di sisi Allah SWT.
Allah SWT memerintah setiap suami menjaga kebajikan isteri masing-masing dengan baik, melayan isteri-isteri dengan penuh kemesraan dan kasih sayang, mendidik isteri dengan penuh hikmah, seterusnya memperlakukan mereka sebagaimana selayaknya seorang insan.
Kesimpulan
Islam mengangkat martabat kaum wanita di tempat yang tinggi yang selayaknya mengikut fitrah kejadian dan penciptaan mereka oleh Allah SWT.
Golongan suami hendaklah menghormati isteri-isteri mereka dan melayan mereka dengan penuh kemesraan dan kasih sayang.
Sesungguhnya peranan seorang isteri amat penting dalam sesebuah rumah tangga , oleh itu muliakanlah dan hormatilah kaum hawa seperti sepatutnya







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Melanggari amanah bererti mengkhianati agama

AMANAH berasal daripada perkataan Arab, amana, bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Dalam konteks akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang atau badan yang diamanahkan dengan melaksanakan tuntutan yang ada dalam kepercayaan itu.

Amanah dengan kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oleh seseorang atau pihak yang dipercayai dapat melaksanakannya seperti dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan amanahnya itu dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakannya mendapati dirinya atau badan yang diamanahkan itu berada dalam tenteram, aman, selamat dan harmoni serta diberkati atas Allah SWT dalam urusan yang bersahamkan agama.

Pecah amanah atau mengabaikan amanah yang diberikan adalah suatu kesalahan yang amat berat di sisi Islam, sehinggakan ia tidak dapat ditebus sekalipun dengan pengorbanan seseorang yang berjuang pada jalan Allah SWT.

Dalam hal ini Rasulullah SAW menjelaskan kedudukan amanah dan tanggungjawab mereka yang memikul amanah itu seperti sabdanya yang bermaksud ‘Menyertai perang fisabilillah akan menghapuskan segala dosa kecuali amanah. Amanah itu ada dalam solat. Amanah juga ada dalam percakapan. Maka amanah yang paling berat adalah menyimpan sesuatu yang diamanahkan.’ (Riwayat Abdullah Mas’ud).

Secara umumnya, terlalu banyak amanah yang perlu dilaksanakan dalam kehidupan kita. Sama ada sebagai pekerja, pengurus mahupun majikan. Kita hendaklah sentiasa ingat mengingati di antara kita bahawa apa juga bentuk amanah dipikul oleh kita, nescaya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar nanti.

Memusnahkan amanah atau tidak berlaku amanah pastinya akan mengundang musibah, bukan saja terhadap diri pelakunya, bahkan terhadap masyarakat dan negara umumnya.
Mereka yang diamanahkan untuk menjadi pengurus hendaklah membuat perancangan secara lebih strategik dengan daya fikiran lateral, jelas dan misi yang jitu. Pelaksanaannya pula hendaklah secara optimistik dengan menerap nilai yang murni di atas teras akauntabiliti, kualiti dan amanah.

Pengurusan kewangan yang bijaksana, cekap, fleksibel dan amanah adalah prasyarat bagi menjamin kedudukan kewangan yang kukuh. Islam mempunyai falsafah dan pendekatan sebagai garis panduan dalam melahirkan insan yang mempunyai sifat akauntabiliti, berkualiti dan amanah.

Mereka yang bertanggungjawab dalam menguruskan amanah, terutama berkaitan dengan aspek kewangan jangan mengambil mudah berhubung dengan amaran Rasulullah SAW agar amanah yang diberi tidak dikhianati. Mereka yang diamanahkan mesti bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan tanpa rasa angkuh, sombong dan riak dengan perjawatan itu.

Mereka juga tidak boleh semata-mata mengejar keuntungan di dunia berselindung di sebalik perjawatan dan kuasa mereka. Mereka yang mempunyai sahsiah itu mesti ingat bahawa segala urusan di dunia akan dihisab di akhirat seperti mereka menghitung keuntungan yang diperoleh di dunia melalui mainan catur kepintaran dan kecekapan mereka.
Laporan, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan juga adalah amanah dan perlu diucapkan atau direkodkan secara betul tanpa dipengaruhi emosi atau kepentingan diri. Antara lain perkataan laporan hendaklah bersih dan telus. Perbuatan menyembunyikan fakta dan rekod tertentu juga pengabaian terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada pengurusan dan pekerjanya.

Menyembunyikan fakta sebenar bertujuan mempertahankan imej dan personaliti majikan amat dilarang kerana kadang-kalanya ia boleh ‘membunuh’ terutama apabila rahsia tidak dapat disembunyikan lagi.

Justeru, jangan sekali-kali mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya kerana amanah adalah suruhan dan larangan bagi agama dan melanggarnya bererti mengkhianati agama.. Sesungguhnya orang yang mengkhianati amanah akan dituntut oleh Allah SWT pada hari kiamat kelak, supaya memulangkan hak kepada ahlinya.

Soal menjaga kewangan, terutama berkaitan pengurusannya amat diberi perhatian dalam Islam. Sejarah ada menceritakan bagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz begitu sensitif terhadap perkara itu.

Beliau, yakni khalifah cukup terkenal dengan sikapnya yang berhati-hati menguruskan amanah dan menjaga amanah yang diberikan. Salah satu contoh yang dapat dijadikan pengajaran ialah kisah yang diceritakan oleh Amru Bin Muhajir. Pada suatu malam, ketika beliau didatangi oleh anaknya sendiri di pejabat khalifah, Umar terlebih dulu berkata: “Adakah kamu datang untuk urusan Muslimin atau urusan keluarga?”

Selepas anaknya menjawab untuk urusan keluarga, lantas Umar memadamkan lampu pejabatnya. Bila anaknya bertanya tindakannya itu, Umar menjawab: “Lampu ini adalah milik negara, sedangkan kamu datang untuk urusan keluarga”. Lalu Umar pun menyalakan lampu miliknya sendiri. Inilah ketinggian amanah pada diri khalifah Umar Bin Abdul Aziz dalam menjaga dan menguruskan harta kaum Muslimin.

Sebahagian daripada mereka yang diberi peluang untuk mentadbir dan mengurus amanah beranggapan bahawa mereka boleh melakukan apa saja kerana kuasa yang ada di tangan mereka. Mereka bebas bertindak, berbelanja atau bebas menentukan gaji yang berhak diterima sedangkan apa yang diperoleh tidak setimpal dengan khidmat dan kebolehupayaan dalam pengurusan, melainkan mengambil peluang daripada jawatan itu.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Al-Hadith : Doa yang tidak makbul

Daripada Abu Hurairah r.a katanya,:Rasulullah SAW bersabda:Hai
manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu
melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan
kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para
Rasul. Firman-Nya:" Wahai para rasul, Makanlah makanan yang baik-baik
(halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui
apa yang kamu kerjakan." (al-Mukminun:51) "Wahai orang-orang yang
beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan
kepadamu..."(al-Baqarah:172) Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang
seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan
yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang
itu menadah tangannya ke langit dan berdoa:"Wahai Tuhanku! Wahai
Tuhanku! ". Padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya
dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diasuh dengan
makanan yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan
doanya."

(Riwayat Muslim)






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kesempurnaan iman diukur dengan tiga sifat dimiliki individu

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain." (Hadis riwayat Ahmad).

Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya.

Oleh itu, manusia yang suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan yang hak seperti berzakat serta membelanjakan ke jalan yang bermanfaat pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat melimpah ruah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa juga yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-Nya.” (Surah al-Israk, ayat 30)

Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) dan fizikal (material, intelektual dan lain-lain) di mana semua komponen ini saling berkait rapat serta penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai.

Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwah yang dituntut oleh Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap Muslim dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.
Ia bagi memastikan masyarakat yang dihuni itu berkeadaan saling hormat menghormati, di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang tanpa berlakunya cara hidup bersifat individualistik, menyombong diri, mementingkan diri tanpa menghiraukan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggillah ia dengan nama yang paling disenanginya.” (Hadis riwayat al-Tabrani).






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template