^ Scroll to Top

Thursday, February 5, 2009

Semangat perjuangan Salahuddin al-Ayyubi, Talut patut jadi iktibar capai kemenangan

NAMPAKNYA nama kota Gaza di Palestin perlu diganti agar tidak lagi terjadi peperangan. Gaza - tempat lahir Imam Shafie pada 150H - dalam bahasa Arab mungkin berasal daripada kata dasar 'ghazwu' atau peperangan. Oleh itu, kita dapati banyak terjadi peperangan sepanjang sejarah manusia di sana.

Ketika Nabi Musa AS membawa keluar kaumnya bani Israel dari Mesir, Baginda membawa mereka ke Palestin. Malangnya bani Israel menolak memasuki Palestin sehingga mereka mendapat hukuman untuk hidup mengembara di sekitarnya selama 40 tahun.
Kisah ini direkod al-Quran dalam ayatnya bermaksud: "(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang yang rugi (di dunia dan di akhirat). Mereka menjawab: "Wahai Musa, bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)." (Surah al-Maidah: 21-22).

Selama 40 tahun berlalu dan di bawah pimpinan Yusha Nun mereka dapat mengalahkan tentera Amaliq di Palestin.

Sejarah berulang selepas kaum Yahudi hidup tak tentu arah kerana dosa mereka termasuk membunuh nabi sehingga mereka bak kelompok kambing yang tidak mempunyai pengembalanya. Dalam krisis kepemimpinan itu, muncul tokoh pemimpin Talut Qaisy atas petunjuk Nabi Syamuel AS.
Al-Suddi menceritakan selepas Amaliq yang menguasai wilayah Gaza dan Asqalan memperoleh kemenangan ke atas bani Israel sehingga ramai mereka terbunuh, ditahan dan terputus juga kenabian daripada nasab Lawi serta tidak ada yang tersisa daripada mereka melainkan seorang wanita yang sedang hamil. (Lihat Ibn Kathir, terjemahan Qisasul Anbiya', 527)

Pada masa pemerintahan Talut juga terjadi peperangan di sekitar Gaza merebut Palestin di antara tentera Talut dan Jalut (Goliath). Akhirnya bani Israel berhasil merebut kembali Palestin selepas tentera Talut bernama Daud berhasil membunuh Jalut.

Al-Quran menyebutkan maksudnya: "Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami, serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir." Oleh itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut." (Surah al-Baqarah: 250-51)

Dalam ayat sebelumnya, tentera Talut yang beriman hanya sedikit berbanding antara 310 hingga 319 tenteranya seperti jumlah tentera Muslim ketika perang Badar pada 2 Hijrah seperti diriwayatkan Imam al-Bukhari.
Walaupun sedikit, mereka mengimani maksud ayat ini: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama orang yang sabar." (Surah al-Baqarah: 249)

Selepas perjanjian dimeterai Khalifah Umar Khattab dan Bishop Sophronius sejurus jatuhnya Antioch, Damsyik dan Baitulmaqdis pada 636 M, orang Islam, Yahudi dan Kristian hidup rukun dan damai di Baitulmaqdis. Mereka bebas dan aman menjalankan ajaran agama masing-masing di kota suci itu.

Bagaimanapun, kerukunan yang berlangsung lebih 460 tahun itu kemudian porak-peranda akibat pelbagai hasutan dan fitnah yang diuar-uarkan oleh patriark bernama Ermite. Provokator ini berhasil mengobarkan semangat Pope Urbanus yang kemudian mengirim ratusan ribu tentera ke Baitulmaqdis untuk Perang Salib Pertama. Kota suci ini berhasil mereka rebut pada 1099. Ratusan ribu orang Islam dibunuh dengan kejam dan biadab seperti mereka akui sendiri: "In Solomon's Porch and in his temple, our men rode in the blood of the Saracens up to the knees of their horses."

Tapi seorang tokoh penyelamat muncul dan berhasil menghalau mereka selepas 88 tahun Kristian bertapak menguasai Gaza dan sekitarnya. Tokoh yang dimaksudkan adalah Salahuddin al-Ayyubi yang berhasil menguasai kembali Baitulmaqdis dan semua tanah Palestin pada 1192.

Perjuangan Salahuddin dalam membebaskan Palestin tidak datang begitu saja tapi dengan perancangan bertahun lamanya. Apabila dilantik menjadi Gabenor Mesir pada 1169 beliau menyusun strategi membebaskan Baitulmaqdis daripada cengkaman tentera Salib. Pada September 1174, beliau menekan penguasa Dinasti Fatimiyyah supaya tunduk kepada Khalifah Daulat Abbasiyyah di Baghdad. Tiga tahun kemudian, sesudah kematian Sultan Nuruddin, beliau melebarkan sayap kekuasaannya ke Syria dan utara Mesopotamia. Satu persatu wilayah penting berjaya dikuasainya; Damsyik pada 1174, Aleppo atau Halb pada 1138 dan Mosul pada 1186. Selepas disatukan negeri ini di bawah kekuasaannya, baru perebutan Baitulmaqdis dilancarkan dan membawa kejayaannya pada 1192 dengan termeterainya perjanjian antara beliau dan Raja Richard The Lion Heart.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia biasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada suatu ketika berada di Jerusalem dan tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian, dia berdoa: "Ya Tuhanku, aku sudah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini."

Dengan doa ini perbalahan berlaku di antara musuh yang menatijahkan berita baik bagi tentera Islam beberapa hari kemudian.

Pada 1987 intifadah, perlawanan dengan batu oleh orang Palestin yang tinggal di kawasan pendudukan terhadap tentera Israel mulai bergejolak. Intifadah ini dianjurkan oleh Hamas, gerakan Islam yang memulai aktivitinya dengan pendidikan dan sosial.

Selepas Hamas berjaya memimpin Kerajaan Palestin di Gaza dua tahun lalu episod perjuangan perlawanan Palestin mengalami corak baru walaupun mendapat tentangan semua pihak dengan corak lama musuh gerakan pembebasan Palestin.

Terakhir ialah serangan Gaza oleh tentera Israel atas sokongan Amerika Syarikat dan kebisuan masyarakat antarabangsa serta ketidakpedulian bangsa Arab dan ketidakberdayaan umat Islam.

Kerana Hamas dan hati kita masih dalam peperangan melawan keganasan Yahudi Israel, maka ada baiknya kita juga melafazkan doa yang dipanjatkan tentera Talut dan Salahuddin seperti di atas. Hanya itulah yang boleh kita lakukan setakat ini. Anta Maulana fansurna 'alal qaumil kafirin







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Muafakat wujud masyarakat berkasih sayang, menghormati

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Namun, bagi manusia, perubahan itu biarlah ke suatu arah yang lebih baik dan terbaik. Jadilah pantai terhakis daripada riak dan sombong menjadi pantai tenang serta nyaman biarpun ombak datang menghempas.

Hidup bukan untuk berbangga dengan ilmu, harta, pangkat serta kedudukan yang kerap menimbulkan permusuhan dan pertelingkahan. Benarlah dunia sudah banyak berubah, ikatan keluarga, persaudaraan, jiran, sahabat dan taulan semakin renggang kerana menjadi ukuran.

Apabila wujud perselisihan, pelbagai perkara diluahkan dalam emosi dan alangkah manisnya jika hati dapat menahan sabar, setiap permasalahan dileraikan secara baik bagi mengelak permusuhan.

Muafakat itu melahirkan kasih sayang, hormat menghormati. Ia mampu melahirkan sebuah masyarakat yang sedia dan sanggup bersama menanggung susah senang dalam sesuatu urusan kehidupan.

Seumpama muafakat pemimpin dan rakyat, majikan dan pekerja atau suami dan isteri. Persefahaman serta kasih sayang yang terjalin membolehkan hubungan itu menghasilkan keputusan terbaik untuk kedua-dua pihak serta mereka di sekeliling.

Sebenarnya setiap di antara kita tidak mampu melaksanakan sesuatu urusan bersendirian tanpa bergantung kepada masyarakat sekeliling. Semua urusan akan menjadi mudah jika saling membantu dan bermuafakat melaksanakannya.
Prof Dr Hamka berkata: “Sekiranya tabiat mementing diri itu mengalahkan akalnya, maka dia pun menjadi penipu. Cerdik buruk, penjual si bodoh, penindas si lemah, menjadi syaitan yang bertubuh manusia.”

Sikap mementing diri hanya membiak dalam masyarakat buruk perilaku. Hidup tidak membawa makna apalagi untuk memberi kesempurnaan sebagai insan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan menjadikan makhluk untuk memenuhi keperluan manusia, tidak mementing diri supaya Tuhan tidak menyeksa mereka di neraka. Ketika kiamat diletakkan untuk mereka mimbar daripada nur. Mereka berbincang kepada Tuhan mengenai orang yang masih dalam hisab.”

Namun walau apa pun sikap manusia, sebenarnya sikap mementing diri itu tidak memberi kebahagiaan kepada seseorang. Mungkin juga seseorang itu dilihat senang, tetapi cuma untuk beberapa waktu saja lambat laun dia akan menerima padahnya juga.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Palestin bukan milik nenek moyang Yahudi

MEMANDANG wajah bayi dan kanak-kanak yang terkorban di Gaza menimbulkan perasaan amat bersalah dalam hati kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan saudara yang ditindas.

Soalan datang menerjah nurani keimanan, apakah bentuk bantuan paling relevan disumbangkan kepada mereka supaya kita terlepas daripada tanggungjawab sebagai Muslim di hadapan Allah SWT nanti?

Mengapa kamu membiarkan agamamu diperangi? Mengapa kamu berdiam diri menonton keganasan dan kekejaman menumpahkan darah Muslimin di atas tanah suci yang melahirkan para nabi? Apakah sumbanganmu untuk agama Allah SWT, apakah perananmu memastikan kalimah Allah SWT tertegak di atas bumi tanpa penghinaan?

Tidak mampu rasanya menjawab soalan tajam umpama peluru yang mengoyak jantung hati kita. Betapa selama ini keselesaan hidup sudah melayukan semangat Islam dalam diri yang lena. Seluruh bumi Allah SWT ini adalah tanggungjawab kita, di mana seorang Muslim lahir di situlah tanah air kita.

Amat menyedihkan, ramai di kalangan umat Islam yang jahil terhadap isu Palestin. Padahal, mereka cukup bijak dalam menempa kejayaan peribadi, kerjaya dan kedudukan selesa yang seharusnya mencelikkan hati nurani untuk memandang dengan serius isu kemanusiaan sejagat.

Bermula daripada kesedaran memahami bahawa peperangan di Palestin adalah isu agama dan keimanan. Walaupun media sentiasa memaparkan perbalahan yang terjadi antara dua kubu Fatah dan Hamas yang seolah-olah mahu menunjukkan perebutan kuasa politik, ketamakan dan kotornya peperangan sesama umat Islam sendiri.
Tujuan media Barat memaparkan isu itu supaya umat Islam yang melihat daripada kaca televisyen berputus asa terhadap masa depan Palestin dan tidak mahu lagi campur tangan kerana letih melihat pertumpahan darah sesama Muslim yang mencalarkan imej perjuangan mereka.

Padahal, isu perebutan kuasa di Gaza sebenarnya sudah selesai dengan keputusan pilihan raya yang dimenangi Hamas. Yang membangkitkan peperangan lagi adalah Israel dan sekutu kuatnya Amerika yang mahu Fatah memerintah supaya terjadi konflik berlanjutan.

Sengketa Fatah dan Hamas adalah tipu daya dan rancangan busuk Israel serta sekutunya untuk menciptakan ketidakstabilan politik dalam Palestin. Juga, menipu dunia Islam supaya mereka mempersoalkan keikhlasan pejuang Palestin itu.

Akhirnya, umat Islam seluruh dunia melupakan Palestin. Jika seorang Muslim yang mengikuti dari jauh kisah perjuangan Palestin sudah rasa bosan, tidak terdetik hati untuk berniat memberi sokongan dan pertolongan, maka dikhuatiri keadaan itu akan mencabut keimanan dalam hatinya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga menyuruh umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan membela saudara muslimnya dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim yang membiarkan saudara muslimnya ketika maruahnya dicerobohi dan kehormatannya dicela melainkan Allah SWT akan membiarkannya (tidak menolong) ketika dia memerlukan pertolongan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud)

Kelemahan umat Islam dalam menyampaikan maklumat sahih mengenai isu Palestin dimanfaatkan Zionis yang mampu memutarbelitkan fakta dalam berita yang mereka sebar luaskan melalui media masa. Mereka menyatakan tanah Palestin adalah milik nenek moyang mereka, sedangkan jika diteliti, sejarah dunia sudah mencatatkan pembohongan mereka itu.

Asal bangsa Palestin dikenali sebagai bangsa Kan’an dan keturunannya sudah mendiami tanah itu sejak 1500 tahun sebelum bani Israel menetap di sana. Islam pula datang dan memerdekakan Palestin daripada cengkaman penjajahan dan berkuasa selama 1200 tahun..

Sejarah tamadun Islam merekodkan pembebasan Palestin daripada cengkaman Rom pada zaman Umar bin al-Khattab. Islam memberi kedamaian selama 500 tahun di mana Kristian dan Yahudi dilindungi status kerakyatan mereka sebagai kafir Zimmi yang diberi hak sebagai warga negara.

Berdasarkan fakta penyelidikan seorang ahli akademik Yahudi sendiri bernama Arthur Koestler, lebih daripada 80 peratus Yahudi hari ini langsung tidak mempunyai kaitan sejarah dengan Palestin. Majoriti Yahudi sekarang sebenarnya berketurunan Yahudi Khazar iaitu puak Tartar-Turki kuno yang asalnya bukanlah Yahudi. Mereka mendiami bahagian utara Kaukaz (kawasan bekas Soviet) yang sudah memeluk agama Yahudi pada kurun ke-8 Masihi, mereka sepatutnya pulang ke selatan Russia bukannya Palestin.

Jadi, mengapa Zionis amat berminat dengan bumi Palestin? Zionis Antarabangsa sudah merangka dengan teliti tanah jajahan yang paling strategik dan berharga dengan menciptakan negara Yahudi. Suatu ketika mereka pernah merancang memilih Uganda sebagai jajahannya tetapi di situ tidak ada nilai sentimental seperti di Baitulmaqdis yang menyimpan sejarah Bani Israel bertapak suatu ketika dulu.

Mereka juga beriman bahawa di Al-Quds akan muncul Messiah (penyelamat) dan akan mengasaskan kerajaan Yahudi yang besar seperti yang dibina oleh Sulaiman, menurut dakwaan dongeng mereka.

Sikap umat Islam terhadap penjajahan Israel ke atas Palestin tidak akan berubah sehingga hari kiamat. Kita wajib menentang sekeras-kerasnya serangan dan pencerobohan ke atas kaum Muslimin. Ulama sedunia sudah memfatwakan haram mengakui kedaulatan Israel di bumi Palestin yang terjajah.

Pada 1947, fatwa Al-Azhar menyatakan haram membahagikan tanah antara Arab dan Yahudi di Palestin dan haram mengiktiraf kewujudan negara Israel di Palestin. Pada 1956 fatwa Syaikhul Azhar dan Mufti Mesir ketika itu, al-Imam al-Akbar al-Syaikh Hassan Makmum menyatakan menjadi fardu ain ke atas Muslimin semua untuk membebaskan bumi Palestin kerana Islam tidak mengenal persempadanan antara negara.

Perdamaian dengan Israel untuk merelakan mereka menindas dan membunuh kaum muslimin, perdamaian sebegini adalah haram. Fatwa Syaikhul Azhar terkini, Syaikh Muhammad Tantawi, ulama ulung sedunia, al-Syaikh Yusuf al-Qaradawi, Mufti Mesir Syaikh Nasr Farid Wasil pula menyatakan aksi serangan berani mati ke atas Yahudi penjajah adalah satu aksi jihad dan pelakunya adalah mati syahid.

Antara tindakan minimum yang wajib dilakukan umat Islam di seluruh dunia adalah memboikot barangan Israel dan sekutu. Mereka juga haram menjalankan hubungan dagang dan memberi apa-apa bekalan musuh, termasuk memboikot Amerika yang juga sekutu utama Israel.

Dr Yusuf Al-Qaradawi menyatakan: “Satu riyal yang digunakan untuk membeli barangan Amerika bersamaan dengan sebutir peluru yang akan digunakan oleh tentera Zionis untuk membunuh anak kecil di Palestin.” Inilah jihad minimum yang wajib dilakukan.

Apakah fatwa itu mampu menggerakkan umat Islam untuk menyokong perjuangan Palestin? Setiap kali kita membaca surah al-Isra dan mengingati peristiwa Israk dan Mikraj, muncul satu pertanyaan mengenai pembabitan kita dalam isu Baitulmaqdis, adakah cukup sokongan yang diberi untuk melayakkan kita sebaris dengan mereka yang berjihad di sana?

Terdetik ketakutan atas kelalaian, memandangkan Palestin adalah tanah air kita juga kerana Rasulullah SAW sudah memberi amaran dalam hadis Baginda yang bermaksud: “Barang siapa yang tidak peduli akan nasib saudara muslimnya maka dia bukan daripada golongan mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Palestin adalah sejarah kita, perjuangan dan impian umat Islam seluruh dunia. Sudahkah kita memastikan generasi selepas kita nanti masih menjaga nilai sejarah dan kedaulatan Islam di sana? Atau anak kita akan menjadi pemuda-pemudi yang buta maklumat mengenainya? Bahkan akan melupakan cita-cita tertinggi dalam kehidupan seorang Muslim iaitu berjihad di jalan Allah SWT.

Apabila sudah terhakis semangat menegakkan agama Allah SWT dalam diri generasi Islam, tidak mustahil mereka akan mengikut jejak tali barut kuffar memerangi umat Islam sendiri. Tidak peduli dengan agama, mencampakkan al-Quran dari dada mereka dan mengejek kemuliaan hadis Rasulullah SAW kerana terlalu taksub dengan kitab dari Amerika, Eropah dan bangsa lain.

Dan menjadi kewajipan umat Islam untuk menyokong Palestin dengan harta, jiwa, ilmu dan kepakaran yang diperlukan bagi sebuah negara Islam merdeka. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak ragu-ragu berjihad dengan harta dan nyawa mereka. Mereka itulah golongan mukmin yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15)






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Pendidikan disertai tarbiah bentuk generasi berkualiti

SESI persekolahan 2009 sudah bermula. Kini pelajar dan guru mula sibuk dengan kegiatan harian - guru menyampaikan ilmu dan murid menerima untuk dihayati serta diamalkan dalam kehidupan mereka. Tugas guru bukan saja perlu pakar dalam profesion perguruan mengikut subjek pilihan, malah bertindak sebagai pendidik dan pembimbing cemerlang untuk menangani cabaran memenuhi tanggungjawab diamanahkan.

Firman Allah yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang buruk dan keji, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benarnya).” (Surah Ali Imran, ayat 110)

Pendidikan cemerlang dengan lahirnya kumpulan guru cemerlang tentu dapat membantu semua warga pendidik berusaha menjuruskan reformasi potensi dan pencapaian pelajar. Perubahan ini berlaku lanjutan daripada pelbagai bentuk pengetahuan, kemahiran, maklumat dan pengalaman yang diterima pendidik dengan bertindak bukan sekadar penyampai semata-mata.

Pembelajaran lebih memfokuskan ke arah tarbiah, asuhan serta didikan untuk membentuk hati, jiwa, mental dan nurani anak didik mereka supaya lengkap dengan ciri insaniah yang baik untuk menjadi insan berkualiti.

Allah berfirman yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia.” (Surah al-Rum, ayat 41)

Besar nilai dan makna pendidikan menjadikan guru atau pendidik golongan penting untuk melahirkan generasi insan berilmu yang akan menterjemahkan pengetahuan diperoleh dalam bentuk tindakan ke arah masa depan lebih gemilang. Ilmu yang boleh diselaraskan dengan tuntutan syariat pula adalah pemangkin kepada lahir masyarakat berkualiti. Biarpun bukan semua guru dan warga pendidik layak diberi gelaran guru cemerlang, perlu diingat pendidikan ke arah kegemilangan ditangani dengan bersepadu oleh semua 293,608 guru di seluruh negara dalam gandingan serta matlamat yang satu.
Semangat, keazaman serta iltizam dapat menjadikan bidang pendidikan sebagai jihad bagi guru menabur jasa dan bakti. Jasa dan pengorbanan yang terarah itu membantu membangunkan bangsa serta negara. Hakikatnya, bagi semua guru anugerah bukan segala-galanya kerana yang pasti Allah sudah menjanjikan ganjaran lebih baik untuk mereka.

Firman Allah yang bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang menjadikan sekalian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang maha pemurah. Tuhan yang mengajar manusia menulis dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa yang manusia tidak mengetahuinya.” (Surah al-Alaq, ayat 1-5)

Jelaslah pendidikan bermula daripada proses penerokaan yang perlu disertai dengan asas agama yang kukuh. Antaranya adalah memulakan proses pencarian ilmu dengan menyebut nama Allah untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan-Nya. Orang yang mencari ilmu atau melakukan apa juga perbuatan, jika dimulakan dengan nama Allah dapat mengelak diri terpesong daripada matlamat sebenar mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu adalah fardu kepada semua orang Islam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Mencari ilmu adalah tuntutan besar agama kerana aset dan bekalan kepada setiap individu dalam mengharungi kehidupan penuh cabaran ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin kebahagiaan di dunia, maka perlu berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, maka perlu dia berilmu. Dan sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat, maka perlulah dia berilmu.” (Hadis riwayat Muslim). Rasulullah SAW menitikberatkan setiap umatnya meletakkan usaha mencapai kebahagiaan diri dengan mencari dan mempelajari pelbagai ilmu serta kemahiran mengikut keperluan atau kecenderungan masing-masing.
Dalam konteks dunia pendidikan hari ini pula, pelbagai disiplin ilmu yang dipelajari individu perlu diselaraskan dengan pendidikan bestari sebagai persediaan melahirkan generasi berkualiti. Ilmu yang tidak digemblengkan dengan asuhan serta pendidikan mantap akan hanya melahirkan manusia yang rakus untuk memperoleh kepentingan dan kemewahan dunia dengan menghalakan cara bagi mencapai matlamat diri.

Sebagai syarat mencapai kegemilangan dan kecemerlangan, pendidik juga perlu berlumba-lumba mengejar ilmu, kemahiran serta membuat penyelidikan berkaitan bidang pendidikan. Ia boleh diperoleh melalui pengajian sepenuh masa atau secara jarak jauh seperti dilaksanakan sekarang. Islam begitu menekankan proses pendidikan pada peringkat awal kerana mudah menerima didikan, asuhan atau kemahiran yang disampaikan. Di sinilah letaknya peranan besar ibu bapa dalam menentukan hala tuju masa depan anak mereka.

Sementara guru dan pendidik adalah pendukung kepada usaha mencari keredaan dan keberkatan hidup di dunia serta akhirat. Mereka adalah penyambung seruan rasul menyampaikan ilmu Allah untuk melahirkan insan cemerlang.

Rasulullah SAW mendoakan guru dalam sabda yang bermaksud: “Dan ampunilah wahai Tuhan kami akan semua guru kami (yang telah mencurahkan ilmu kepada kami) juga kepada orang yang mengasihi kami dan menasihati kami serta memberi petunjuk kepada kami untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Warna kulit, bangsa bukan ukuran menilai keimanan ummah

ISLAM tidak membezakan darjat, bangsa atau warna kulit penganutnya. Hal ini jelas tergambar dalam ibadat kepada Allah, sama ada solat berjemaah di masjid atau menunaikan haji di Makkah. Inilah kesamarataan dalam Islam yang sentiasa menjurus kepada perpaduan ummah.

Jika ditinjau sejarah awal kedatangan Islam, banyak contoh yang menjelaskan kesamarataan yang menonjolkan Islam tidak pernah mengamalkan diskriminasi atau membezakan seseorang kerana jantina, taraf atau warna kulit.

Ketika pasukan Muslimin tiba di Babylon bertujuan untuk menguasai Mesir, raja negara itu, Al-Muqauqis meminta menemui jururunding pasukan Muslimin.

Panglima pasukan Islam iaitu Amru As mengutuskan pasukan perunding diketuai Ubadah Samit, seorang yang hitam kulitnya dengan tinggi badan lebih dua meter.

Apabila Raja Mesir melihat Ubadah, dia ketakutan dan berkata: “Jauhkan orang hitam itu daripadaku dan tunjukkan orang lain sebagai pengganti.”

Anggota rombongan Islam menjawab: “Orang hitam inilah yang paling tinggi akalnya dan dialah pemimpin kami.”
Al-Muqauqis kemudian berkata: “Bagaimana kalian dapat menerima orang hitam itu sebagai yang termulia? Bukankah dia seharusnya paling rendah?” Demikian luahan Raja Mesir penuh hairan dengan sikap kaum Muslimin itu.

Orang Islam menjawab: “Dia paling sempurna akalnya dan terlebih dulu beriman di kalangan kami.”

Raja Mesir kemudian mengalah dan berkata: “Suruh orang hitam itu berbicara dengan lembut .Saya sungguh takut melihatnya.”

Ubadah dengan jiwa yang penuh beriman dan tenang kemudian berkata kepada Raja Mesir: “Dalam pasukan kami 1,000 orang yang kulitnya lebih hitam daripada saya.”
Begitulah kisah sejarah awal penyebaran Islam di Tanah Arab yang amat kuat iman dan mantap perpaduan ummah. Tidak timbul soal warna kulit, bangsa atau keturunan tetapi mereka genggam erat akidah Islam yang kukuh dan bersepadu di bawah panji Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kemesraan, kasih sayang dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti jasad, apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.” (Hadis riwayat al Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan oleh Tabrani: “Sesungguhnya orang yang paling dekat kedudukannya antara kamu dengan-Ku adalah orang yang paling baik akhlaknya dan yang berperi laku lemah lembut mengasihi hati orang lain dan orang lain mengasihi mereka.”

Justeru, piawaian darjat dalam Islam tidak diukur pada kedudukan tinggi rendah pangkat, warna kulit, bangsa atau asal keturunan, Muslim yang tinggi kedudukan di sisi Allah ialah mereka yang mantap, ketakwaan tinggi dan akhlak luhur.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template