MENITIPKAN tajuk malu pada minggu ini sedikit sebanyak ada kaitannya dengan akhlak yang dapat menghindarkan seseorang daripada melakukan perbuatan tercela. Pertandingan ratu cantik di kalangan mak nyah yang berlaku di negeri Serambi Makkah contohnya adalah satu perbuatan sungguh memalukan, apatah lagi turut disertai seorang guru yang tugasnya melahirkan modal insan berkualiti sebagai jaminan kesinambungan umat Islam cemerlang.
Daripada Abu Mas'ud 'Uqbah bin 'Amir: "Sesungguhnya antara apa yang didapati manusia daripada ucapan nabi terdahulu adalah 'apabila engkau tidak malu, maka lakukan apa pun yang engkau mahu'." (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Ada dua jenis sifat malu yang ada pada diri manusia iaitu malu berasal daripada tabiat dasar seseorang. Ada sebahagian orang Allah anugerahkan sifat malu iaitu yang kita perhatikan memang pemalu sejak kecil, tidak berbicara kecuali yang penting dan tidak melakukan sesuatu perbuatan kecuali ketika ada kepentingan. Sikap ini tentunya diwarisi daripada ibu bapa atau ahli keluarga lain.
Kedua, malu yang diupayakan daripada latihan, bukan pembawaan. Contohnya, seseorang itu bukan asalnya seorang pemalu tetapi kerana pergaulannya dengan orang bersifat pemalu, akhirnya dia memperoleh sikap itu. Malu bersifat pembawaan adalah lebih utama daripada malu disebabkan latihan atau 'jangkitan'.
Abdullah bin 'Umar pernah mengatakan: "Malu dan iman itu sentiasa ada bersama-sama. Bila hilang salah satu daripada keduanya, hilang pula yang lainnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Rasulullah SAW sendiri adalah seorang yang memiliki sifat pemalu. Digambarkan oleh Abu Sa'id Al-Khudri bahawa sifat malu Baginda lebih pemalu daripada seorang gadis pingitan, bahkan apabila tidak menyukai sesuatu, para sahabat boleh mengetahuinya daripada wajah Baginda.
Jika Rasulullah dihormati dan dikagumi masih luhur dengan sikap malu, dan itulah juga yang menyenangkan Allah akhirnya juga disanjungi oleh umat Islam seluruhnya, jelaslah kepada kita bahawa sifat malu adalah sifat terpuji dan membuatkan kita disenangi.
Sifat lemah yang turut dibandingkan juga merujuk kepada keadaan tidak positif, kurang agresif dan tiada iltizam untuk mencapai sesuatu disebabkan tiada keyakinan, kekuatan fizikal atau takut kemungkinan gagal.
Ibnu Rajab al-Hambali ketika menjelaskan hadis Imran bin Husain mengenai malu, mengatakan bahawa malu yang dipuji dalam ucapan Rasulullah SAW adalah akhlak yang boleh mendorong seseorang melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Sedangkan rasa lemah ialah yang menyebabkan seseorang mengurangi hak Allah ataupun hak hamba-Nya.
Jangan pula kita jadikan sikap malu sebagai penyebab kelemahan umat Islam hari ini. Dalam urusan ilmu, pentadbiran atau kepentingan umat, jika malu bermuzakarah, bermusyawarah, berhiwar atau bersyura disebabkan ia boleh meninggalkan tanggapan bahawa pihak yang mengundang pertemuan lebih dipandang mulia, maka jauhilah hakikat itu kerana yang benar tetap Allah tunjukkan kebenaran.
Malu bertoleransi dalam urusan agama untuk menjulang kebenaran sebenarnya menunjukkan kelemahan yang sangat nyata. Begitu juga jangan malu mengaku salah jika kita akur pada hakikat bahawa kelak Allah akan buka seluruh keaiban pada perhitungan di Padang Mahsyar (melainkan kita tidak membuka keaiban orang lain).
Oleh itu, akuilah kesalahan moga-moga ia menjadikan kita manusia yang dihargai. Tetapi jika terus-terusan menegakkan benang yang basah kerana malu, ketahuilah kita akan menjadi manusia paling lemah akhirnya.
Betapa jauh amalan kita dengan sahabat Rasulullah SAW. Mereka berhias dengan rasa malu hakiki, kerana agama yang sejati, menahan diri daripada perbuatan keji, bukan supaya disanjung tinggi tetapi kerana takutkan Rabbul Izzati.
Jika benar dikatakan dengan lafaz dan hati, jika salah tidak sukar diakui, akhirnya setiap satu hidup dalam rukun dan saling mengerti, kerana mereka tahu dunia yang sepincing ini bukanlah milik mereka yang pasti.
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)