^ Scroll to Top

Wednesday, June 4, 2008

Bersederhana Amalan Mulia

SETIAP manusia mengimpikan kehidupan yang baik dan sempurna. Jaminan kebahagiaan hidup menurut kaca mata Islam bukan sekadar keuntungan diperoleh di dunia semata-mata, tetapi wawasan lebih jauh harus difokuskan kepada hidup yang kekal abadi dalam alam akhirat.

Justeru, manusia digalakkan mengamalkan sifat istiqamah atau konsisten dalam beramal. Dorongan itu sebenarnya bertitik tolak daripada petunjuk wahyu al-Quran dan hadis.

Firman Allah bermaksud: “Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan juga orang yang bertaubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Hud, ayat 112) .

Ayat ini menjelaskan konsep istiqamah melaksanakan sesuatu perbuatan. Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami Li Ahkam al-Quran menyatakan, istiqamah bermaksud berterusan dalam mendirikan perintah agama yang diperintahkan Allah kepada manusia.

Pada masa sama, manusia diberi amaran untuk tidak bersikap berlebih-lebihan atau melampaui batas dalam beramal dibimbangi akan mendatangkan kesan tidak baik seperti penat dan jemu.

Sehubungan itu, amaran selanjutnya ditegaskan Allah menerusi firman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka.” (Surah Hud, ayat 112)

Kedua-dua ayat saling kait mengait antara satu sama lain kerana ia nampak sinonim mengaitkan hubungan membentuk budaya istiqamah dalam tindakan dengan pemilihan suasana yang baik untuk penerusan amal.

Pastinya, golongan zalim akan sentiasa mencari peluang memalingkan individu beriman yang sering berada dalam kebaikan secara berterusan ke lubang kebinasaan yang mendatangkan dosa dan perkara sia-sia.

Mewujudkan persekitaran yang baik dan harmoni serta menjauhi golongan melakukan kezaliman perlu digandingkan secara bersama sebagai faktor penentu kejayaan atau kegagalan amal yang direncanakan.

Istiqamah dalam amal perbuatan berkait rapat dengan kemampuan hamba melaksanakan sesuatu yang diperintahkan. Syarak menggalakkan ketaatan dilakukan mengikut kadar termampu dari sudut fizikal mahupun mental kerana yang penting adalah kualiti ibadat bukannya kuantiti.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang dilakukannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Pemahaman terhadap objektif di sebalik pensyariatan sesuatu hukum juga mesti diketahui untuk mengelakkan daripada melampau-lampau beramal secara membuta tuli. Kegagalan umat Islam memahami objektif syarak antara punca salah konsep dalam beramal.

Contohnya, ketaatan kepada pemimpin adalah wajib selama mana pemimpin tidak menyuruh kepada dosa dan kemungkaran. Namun, apabila ketaatan itu melampau-lampau sehingga sampai ke tahap berbunuhan antara satu sama lain dengan sebab arahan kepemimpinan, tentulah konsep imamah itu sudah jauh terpesong. Begitu juga sikap terlalu mengagung-agungkan pemimpin hingga menganggap semua kata-kata pemimpin itu betul dan tiada silapnya.

Dalam soal ibadah, pembahagian hukum diperjelaskan menerusi sistem nilai kepada lima iaitu wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Di sini pentingnya pemahaman keutamaan, iaitu mengutamakan yang lebih penting daripada kurang atau tidak penting. Hal ini nanti berkaitan pula dengan lima keutamaan hidup iaitu dari sudut menjaga agama, harta, nyawa, keturunan dan akal.

Semua konsep ini perlu difahami dan diketahui sebagai langkah awal menyusun keutamaan dalam beribadah secara konsisten serta mengelakkan melampau batas dalam beramal.

Kecelaruan memahami realiti ini menyebabkan ramai Muslim tidak jelas untuk apa dia beribadah. Dibimbangi juga sangkaan sudah sempurna amal, tetapi sebenarnya banyak ruang kosong yang terdedah sini sana.

Ada juga yang tersalah faham kononnya yang penting dalam beribadah adalah jumlah dan bukannya kualiti ibadah. Lantaran itu, sering berlaku pertelingkahan dan perbalahan dalam soal menentukan jumlah rakaat solat sunat.

Daripada Saidatina Aisyah yang bermaksud: “Datang seorang perempuan yang ingin menemui Rasulullah SAW, lantas Baginda bertanya: Siapakah perempuan ini? Jawab Aisyah, perempuan ini menyebut mengenai banyak dan baik solatnya. Sabda Baginda SAW: Hentikan. Bagi kamu atas apa yang kamu mampu. Demi Allah, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kamu yang sebenarnya berasa jemu. Perkara paling disukai Allah dalam urusan agama seseorang kamu ialah apa yang dilakukannya secara berterusan.” (Hadis muttafaq alaih)

Teguran Rasulullah SAW terhadap solat seorang wanita yang disangkakan cukup sempurna, namun dibimbing Baginda kerana yang penting bukanlah banyak atau panjangnya solat, tetapi nilai ibadah itu kerana yang terbaik ialah ibadah dilakukan, walaupun sedikit tetapi berterusan daripada yang panjang, tetapi terhenti-henti.

Rasulullah SAW juga pernah menegur tiga lelaki yang datang ke rumah Baginda bertanyakan mengenai ibadah Baginda. Mereka juga membanding-bandingkan ibadah mereka dengan ibadah Nabi SAW yang disangkakan panjang kerana Nabi SAW maksum.

Lelaki pertama menyebut dirinya yang solat sepanjang malam tanpa tidur, lelaki kedua pula berpuasa sepanjang hari tidak berbuka dan lelaki ketiga tidak berkahwin dan menjauhi wanita. Mereka melakukan sedemikian kerana menyangkakan itulah bentuk ibadah yang baik.

Lantas diperbetulkan Rasulullah SAW dengan menyatakan bahawa Baginda berpuasa dan berbuka, bersolat dan duduk berehat serta mengahwini wanita. Hadis ini sebagai paduan dan pedoman bagaimana untuk beramal dengan cara yang betul dan sempurna menurut al-Sunnah.

Sesungguhnya ajaran Islam bukanlah untuk memberatkan mana-mana individu kerana Allah sebagai Pencipta syariat amat luas pengetahuan terhadap keperluan hamba-Nya. Justeru, setiap hukum yang dipertanggungjawabkan kepada Muslim adalah yang mampu dilaksanakan dan bersesuaian fitrah kejadiannya.

Benarlah firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: “Toha, tidaklah apa yang Kami turunkan kepadamu wahai Muhammad apa yang ada dalam al-Quran itu untuk memberatkan.” (Surah Toha, ayat 1)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Allah menghendaki kepada kamu kemudahan dan Dia tidak menginginkan kesukaran buatmu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Kedua-dua ayat memberi isyarat kemudahan dan kemampuan melaksanakan ibadah dalam Islam. Maka, kita digalakkan melakukan ibadah secara seimbang. Ibadat sunat menampung yang wajib, kelonggaran juga dibenarkan dalam keadaan tertentu supaya manusia tidak terasa bebannya.

Justeru, dalam melahirkan ummah gemilang sebagai aset terpenting pembinaan bangsa yang berjaya, penekanan terhadap konsep bersederhana perlu ditumpukan berpaksikan nas syarak dan pemahaman fiqh semasa bertunjangkan matlamat syariah.

Azab Bagi Pemakan Riba'

AL-MAGHAGHI berkata: Kalam Allah sebelum ini berkenaan dengan ayat
sedekah begitu juga orang yang bersedekah tanpa mengharapkan balasan
tetapi hanya mencari keredaan Allah seterusnya di sini membincangkan
berkenaan dengan riba.

Firman Allah: Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat
berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan
lantaran (tekanan) penyakit gila.

Sayyid Qutub berkata: "Tidak ada ancaman mental yang sampai ke hati
sehebat ancaman yang disampaikan dalam bentuk gambaran fizikal yang
hidup dan bergerak ini iaitu gambaran orang yang rebah kerana dirasuk
syaitan.

"Ini satu gambaran yang biasa dilihat orang ramai. Al-Quran membawa
gambaran ini untuk memberi saranan yang menakutkan hati dan
menyedarkan perasaan para pemakan riba serta menggerakkan mereka
dengan kuat agar mereka meninggalkan adat kebiasaan mereka (yang
buruk) di dalam sistem ekonomi mereka. Dan meninggalkan tamak haloba
mereka untuk mendapat faedah riba itu".

Gambaran ini merupakan satu cara memberi kesan didikan yang berjaya
di tempat-tempatnya yang sesuai. Pada waktu yang sama ia juga
menggambarkan hakikat yang berlaku di dalam kenyataan. Di masa yang
silam kebanyakan tafsir menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan
gambaran berdiri yang menakutkan itu ialah gambaran berdiri pada hari
manusia dibangkitkan dari kubur kelak, tetapi sebenarnya gambaran
berdiri seperti ini juga - menurut pendapat kami - telah berlaku
dalam kehidupan manusia di dunia ini.

Ini adalah sesuai dengan keterangan ayat selepas ini yang menyatakan
perisytiharan perang dari Allah dan rasul-Nya. Kita dapat melihat
bahawa peperangan ini sedang berlaku sekarang dan sedang dilancarkan
ke atas manusia sesat yang terhuyung-hayang jatuh seperti orang yang
dirasuk hantu yang tersepit dalam tindasan sistem riba.

Sebelum memberi huraian yang terperinci untuk membuktikan kebenaran
hakikat ini dalam realiti manusia pada hari ini, eloklah dimulakan
dengan membentangkan gambaran muamalah riba yang dihadapi oleh al-
Quran di semenanjung Tanah Arab dan fikiran-fikiran ahli jahiliah
mengenai muamalah itu.

Riba sangat terkenal pada zaman jahiliah. Diturunkan ayat-ayat ini
dan yang lain adalah bertujuan untuk menghapuskan riba. Ia mempunyai
dua bentuk iaitu riba tangguh bayaran (riba nasi'ah) dan riba lebih
tukaran (riba al-fadhl).

Adapun riba tangguh bayaran, Qatadah menjelaskan: "Riba ahli jahiliah
ialah seorang penjual menjual sesuatu jualan dengan bayaran yang
ditangguhkan kepada suatu masa yang tertentu. Dan apabila tempoh itu
sampai sedangkan pembelinya tidak dapat menjelaskannya, maka ia akan
menambahkan lagi bayaran itu ke atas pembeli dan memberi tempoh yang
baru kepadanya".

Kata Mujahid pula: "Mereka di zaman jahiliah dahulu apabila seorang
berhutang kepada seseorang yang lain ia akan berkata kepadanya: Saya
akan membayar kepada awak sekian-sekian dan awak tempohkan saya
sekian masa, lalu ia diberikan tempoh".

Ujar Abu Bakar al-Jassas: "Adalah dimaklumi umum bahawa riba jahiliah
itu ialah berupa hutang yang ditangguhkan bayarannya dengan dikenakan
bayaran lebih yang disyaratkan. Bayaran lebih itu ialah sebagai ganti
tangguhan bayaran. Oleh sebab itu Allah hapuskan riba ini."

Ujar al-Imam al-Razi dalam tafsirnya: "Riba tangguh bayaran (riba
nasi'ah) itulah yang masyhur di zaman jahiliah, kerana seorang dari
mereka memberi hutang kepada seseorang yang lain dengan bayaran yang
bertangguh dengan syarat ia mengambil faedah sebanyak yang tertentu
daripada orang itu pada setiap bulan sedangkan pokok hutang kekal
tidak terjejas apa-apa.

"Apabila sampai tempoh ia akan menuntut si yang berhutang itu
menjelaskan pokok hutangnya dan apabila ia tidak dapat
menjelaskannya, maka si pemberi hutang akan menambahkan bayaran dan
melanjutkan tempohnya."

Firman Allah: Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan
mereka berkata (berpendapat) sesungguhnya jual beli itu sama dengan
riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan
riba. orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya,
lalu terus berhenti (dari mengambil riba), Maka baginya apa yang
telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya
(terserah) kepada Allah.

Al-Sya'rawi berkata: Bahasa yang digunakan al-Quran daripada kalimah
syaitan, penyakit gila dan lain-lain menggambarkan ketidakseragaman
dan stabil begitulah dengan bandingan orang yang makan riba kerana
menyamakan yang halal dan yang haram.

Firman Allah: Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu
adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.

Sayyid Qutub berkata: "Ancaman dengan hakikat azab di akhirat itu
menguatkan lagi sifat-sifat metodologi pendidikan al-Quran yang telah
kami sebutkan sebelum ini dan mendalamkan tunjangnya di dalam hati.

"Namun mungkin ramai yang tertipu dengan kelambatan masa kedatangan
kiamat dan dengan waktu kedatangannya yang tidak diketahui itu. oleh
sebab itulah mereka ketepikan akhirat daripada perhitungan mereka.

"Kini al-Quran mengancam mereka pula dengan kemusnahan di dunia dan
di akhirat dan menjelaskan bahawa hanya sedekah-sedekah, bukannya
riba, yang subur badan bertambah kebaikan dan kebajikannya. Kemudian
al-Quran mengecap orang yang tidak menyambut pengharaman riba itu
sebagai orang yang kafir dan berdosa serta menyarankan kepada mereka
bahawa Allah amat benci kepada orang-orang yang kafir yang berdosa".

Firman Allah: "Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. dan
Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan
selalu berbuat dosa".

Sayyid Qutub berkata: "Apa yang diancam dan dijanjikan Allah adalah
tepat dan benar. Kini kita dapat melihat tidak ada masyarakat yang
bermuamalat dengan riba yang dapat hidup dengan keberkatan,
kemewahan, kebahagiaan atau keamanan atau ketenteraman, kerana Allah
menghapuskan kebaikan riba.

"Oleh itu, mana-mana masyarakat yang mengamalkan sistem kotor ini,
maka Allah tidak akan melimpahkan ke atasnya melainkan keadaan yang
kemarau dan celaka. Mungkin yang dilihat mata pada lahirnya
masyarakat itu mewah, penuh dengan pengeluaran dan cukup dengan
sumber-sumber ekonomi. Tetapi keberkatan itu bukannya terletak pada
sejauh mana ia dapat dinikmati dengan baik dan aman tenteram.

"Sebelum ini telah disentuh tentang penderitaan batin yang malang
yang mengongkong hati manusia di negeri-negeri yang kaya-raya dengan
sumber-sumber ekonomi, juga tentang kegelisahan jiwa mereka yang
tidak dapat ditolak dengan kekayaan malah menambahkannya lagi. Dan
dari negeri-negeri yang kaya inilah, melimpahnya kegelisahan,
ketakutan dan kekacauan ke atas seluruh dunia pada hari ini, di mana
umat manusia sentiasa hidup dalam ancaman perang yang membawa
kemusnahan.

"Orang yang tidak melihat hakikat ini dalam realiti umat manusia
sekarang itulah orang yang sengaja tidak mahu melihat kerana nafsu
mereka tidak ingin melihat atau itulah orang yang mempunyai mata yang
telah diselaputi oleh kesesatan dan kekeliruan yang ditaburkan dengan
sengaja oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam menegakkan sistem
riba yang terkutuk itu. Dan kerana inilah mereka lemah untuk melihat
hakikat ini."

Firman Allah: Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam
kekafiran, dan selalu berbuat dosa.

Al-Baghawi berkata: "Allah tidak suka kepada setiap yang kufur dengan
itu diharamkan riba dan juga yang berdosa dengan sebab memakan riba.

Sayyid Qutub berkata: Kenyataan ini cukup jelas dan tegas
menanggapkan orang yang terus berdegil bermuamalat dengan riba
selepas diharamkan oleh Allah SWT sebagai orang yang tergolong di
dalam golongan kafir yang berdosa yang tidak disukai Allah".

Tidak syak lagi mereka yang menghalalkan perkara yang diharamkan
Allah itu termasuk di dalam golongan orang kafir dan berdosa walaupun
dia telah mengucap dua kalimah syahadah 1,000 kali dengan lidah
mereka, kerana Islam itu bukannya kata-kata yang diucapkan dengan
lidah. Malah ia adalah satu sistem hidup dan satu cara beramal.
Menolak sebahagian sistem Islam bererti menolak seluruh sistem itu,
maka itu adalah perbuatan yang kafir dan berdosa. Wal'iyazubillah!"

Oleh DR. ZULKIRLI MOHAMAD ALBAKRI

Sukar syahadah menjelang maut

DAN hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan ja nganlah kamu sekutukan dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang som bong, takbur dan membanggakan diri.” (an-Nisa': 36)

Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa adalah satu perintah Allah yang wajib diikuti. Berbuat baik sifatnya umum, ini termasuk bersikap lemah lembut, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar, malah selalu mengingati dan menghargai pengorbanan yang mereka berikan kepada kita selama ini.

Jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar. Mereka bersusah payah memelihara dan menjaga si anak siang dan malam, mengorbankan waktu, tenaga, perasaan serta wang ringgit demi memberikan yang terbaik dan ingin melihat anaknya menjadi seorang yang terbaik.

Atas faktor itu, Islam dari awal lagi menetapkan tang gungjawab kepada si anak supaya melakukan kebaikan kepada ibu bapa dalam segenap aspek, bermula dari hati, tutur bicara dan tindakan.

Malah, jika diteliti tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa diberikan keutamaan dalam al-Quran, kerana perintah ber kenaan digandingkan dengan perintah tauhid kepada Allah.

“Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak me nyembah melainkan kepadanya dan hendaklah engkau ber buat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun per kataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (al-Isra’: 23)

Melalui ayat itu juga dapat difahami, anak wajib berbuat baik kepada ibu bapa tanpa mengira keadaan dan kedudukan mereka, malah ketika mereka tua dan berkeadaan lemah, lebih-lebih lagi perlu diberikan perhatian. Jangan sesekali disisih.

Islam mengingatkan umatnya, di samping bersyukur kepada Pencipta, sebagai anak wajib bersyukur kepada kedua ibu bapa, kerana ibu bapa dapat si anak melihat dunia dan menikmati kemanisannya, malah dapat mengenal Allah dan beribadat kepada-Nya.

“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima ba lasan).” (Lukman: 14)

Maksud daripada beberapa ayat al-Quran terbabit jelas menunjukkan tuntutan berbuat baik terhadap ibu bapa bukan satu perkara remeh yang boleh diambil ringan, malah ia satu tanggungjawab besar yang wajib bagi anak melaksanakan sebaik mungkin.

Jika mahu dibandingkan nilai pengorbanan ibu bapa ter hadap anak dan kebaikan si anak kepada ibu bapa, memang tidak terbanding, malah sangat jauh perbezaannya.

Seorang ibu misalnya, sanggup melakukan apa saja demi anak, bersengkang mata hingga pagi jika si anak tidak lelap tidur, tidak berhenti daripada menyusukan anak selagi tidak kenyang, malah dalam aspek makanan dan pakaian anak diutamakan. Tetapi anak belum tentu mendahului ibu ba panya.

Begitu besar pengorbanan ibu bapa dan sudah semesti layak mereka diberikan penghormatan tinggi, lebih-lebih lagi ibu yang sangat rapat dengan anak. Ini tepat sekali dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w, bermaksud: “Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu.”

Kisah Alqamah misalnya elok dijadikan pengajaran. Beliau sukar untuk melafazkan kalimah syahadah di saat sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang tergores atas layanannya..

Walaupun Alqamah kuat beribadah, beliau melakukan sesuatu yang menggores perasaan ibunya, lalu ibunya kecil hati dengan tindakannya, sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Peristiwa itu sepatutnya dijadikan iktibar, semoga perkara yang dialami Alqamah tidak terjadi kepada kita.

Jika sebelum ini berlaku beberapa kes yang mengecewakan seperti dipaparkan media, mencederakan dan mengasingkan ibu bapa, mudah-mudahan dengan kesedaran mengenai perintah Allah supaya berbuat baik kepada ibu bapa, tiada lagi kes seumpama itu berulang.

Ibu bapa perlu diberikan layanan terbaik, diperuntukkan masa berbicara bersamanya, diziarahi jika berjauhan, di berikan hadiah pada waktu yang sesuai, malah sesekali diajak bercuti atau bersiar-siar bersama bagi menghiburkan ha tinya.

Tidak rugi berbakti kepada ibu bapa, malah ia memberikan satu kepuasan kepada si anak kerana dapat membalas jasa orang tua, walaupun tidak dapat dibandingkan dengan pengorbanan mereka. Tetapi sekurang-kurangnya, mereka bangga kerana mempunyai anak yang mengenal orang tua.

Anak juga bertanggungjawab mendoakan keampunan dan kesejahteraan kepada ibu bapanya, malah apabila mereka sudah tiada sekalipun, doa kepada mereka tidak dilupakan, sesuai dengan hadis nabi 'terputus amalan anak Adam, kecuali tiga perkara, ilmu bermanfaat, sedekah jariah dan doa anak soleh.

Kebaikan amalan Ayat Seribu Dinar

MENURUT ulama termasuk ulama besar ilmu tafsir, ada banyak faedah dan
fadilat yang diperoleh daripada amalan ayat seribu dinar iaitu baris
terakhir ayat kedua dan bersambung dengan ayat ketiga daripada surah
al-Talaq.

Antara fadilatnya ialah mendapat rezeki yang tidak disangka bahkan
memperoleh rezeki menurut jalan yang tidak pernah terfikir,
melenyapkan segala bentuk kesusahan serta dijauhkan daripada keraguan
dan kesusahan maut.

Menurut banyak riwayat, sebab ayat seribu dinar diturunkan Allah
adalah kerana peristiwa berkaitan seorang sahabat bernama Auf bin
Malik al-Asyja'i yang mempunyai anak lelaki ditawan kaum Musyrikin.

Beliau mengadu perkara itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda meminta
Auf supaya bersabar sambil bersabda kepadanya yang
bermaksud: "Sesungguhnya Allah akan memberi jalan keluar kepadamu."

Ternyata tidak lama selepas itu anaknya dilepaskan daripada tawanan
pihak musuh dan dalam perjalanan ia terserempak seekor kambing
kepunyaan musuh lalu dibawanya kambing itu kepada ayahnya.

Kemudian turunlah ayat yang bermaksud: "Siapa yang bertakwa kepada
Allah, Dia menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari
jalan yang tidak disangka-sangka dan tidak terfikir sebelumnya."
(Hadis riwayat Ibnu Jarir)

Menyingkap khasiat dan kegunaan pelbagai surah dalam al-Quran, buku
Amalan Mustajab dan Murah Rezeki hasil tulisan Nurhafiz Abdullah
memberi tumpuan kepada hikayat yang dikaitkan dengan ayat seribu
dinar.

Ini termasuk riwayat hartawan yang bermimpi didatangi lelaki meminta
beliau bersedekah 1,000 dinar kepada fakir miskin dan kisah Malik bin
Dinar yang dapat dibaca pada bahagian awal buku berkaitan ayat seribu
dinar.

Pada masa sama, buku setebal 162 halaman ini turut mendedahkan
fadilat dan khasiat ayat surah al-Fatihah, al-Kursi, al-Qadr, al-
Ikhlas dan beberapa surah lain supaya dapat diamalkan pembaca bagi
menyelesaikan masalah dihadapi dalam kehidupan.

Begitu juga doa untuk kejayaan, keberkatan hidup serta murah rezeki
yang dilampirkan dalam usaha mengajak manusia tabah menghadapi ujian
yang didatangkan dan berusaha mencari jalan penyelesaian dengan
bermohon kepada Allah.

Ada 30 doa memohon pertolongan Allah disediakan dalam buku Amalan
Mustajab dan Murah Rezeki yang boleh dijadikan panduan serta amalan
harian termasuk doa memohon dibuka pintu rezeki, diberi kecerdasan
akal dan hati serta memohon sentiasa dicintai Allah.

Kandungan buku ini menekankan hal berkaitan fadilat dan khasiat
beramal dengan ayat wahyu Allah dalam al-Quran serta hadis Rasulullah
SAW sebagai jalan keluar bagi mereka yang berhadapan kesusahan selain
ingin mencapai hajat untuk diri, keluarga serta orang lain.

Buku Amalan Mustajab dan Murah Rezeki adalah rujukan sumber ilmu yang
bukan saja menjadi penawar malah, malah mendorong pembaca
memperbanyakkan ibadat sunat dengan membaca ayat al-Quran seterusnya
menjadikannya sebahagian amalan harian.

Ilmu yang berkat adalah ilmu yang dimanfaatkan, semoga usaha penulis
menyampaikan maklumat kepada pembaca yang akan memanfaatkannya
membawa kedua-duanya beroleh keredaan Allah serta rahmat dalam
kehidupan di dunia dan akhirat.

Lupa diri terhadap Tuhan sifat orang fasik

SATU sifat berbahaya yang boleh memudaratkan manusia dalam kehidupannya ialah sifat lupa diri. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa sifat lupa diri ialah pokok kepada segala amalan kejahatan. Dengan lain perkataan, amalan kejahatan yang dilakukan setiap insan acap kali bertitik tolak daripada sifat lupa diri.

Hakikat ini diperkuatkan dengan firman Allah yang merakamkan keburukan sifat lupa diri di kalangan makhluknya. Antaranya, kisah penderhakaan iblis kepada Allah dengan keengganannya untuk mentaati perintah Allah kerana sifat lupa diri menguasai dirinya sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatkanlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis, dia berasal daripada golongan jin dan menderhaka terhadap perintah Tuhannya." - (Surah al-Kahfi, ayat 50)

Begitu juga kisah Firaun bersama pengikutnya yang melakukan kezaliman dan kerosakan di atas muka bumi ini, di samping menentang seruan dibawa Nabi Musa adalah kerana lupa diri sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Masuklah tanganmu melalui belahan dada bajumu, nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tiada cacat; dan kepitlah tanganmu di celah ketiakmu ketika berasa takut (nescaya hilanglah takutmu). Yang demikian itu adalah dua bukti daripada Tuhanmu (untuk kamu menunjukkan) kepada Firaun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik-derhaka." - (Surah al-Qasas, ayat 32)

Lanjutan itu, Allah memberi peringatan kepada orang Islam agar jangan sekali-kali bertindak seperti orang yang lupa diri di mana Allah menyifatkan mereka sebagai orang fasik iaitu orang yang suka berbuat dosa dan kejahatan serta durhaka kepada Allah.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah al-Hasyr, ayat 19 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang yang fasik lagi derhaka."

Yang dimaksudkan dengan fasik, Syeikh Raghib al-Asfahani mendefinisikan sebagai keluar daripada landasan syariat atau agama. Istilah fasik digunakan khusus kepada orang yang diperintahkan dengan hukum Allah namun mereka menolak untuk mentaatinya dan seterusnya mengingkari sama ada sebahagian mahupun keseluruhan hukum itu.

Dengan lain perkataan, istilah fasik ditujukan kepada mereka yang banyak melakukan dosa, baik dosanya kepada Tuhannya atau dosanya kepada sesama manusia.

Bertolak daripada sini, dapat disimpulkan bahawa sifat fasik ini pada hakikatnya adalah sifat lupa diri itu sendiri. Ia berdasarkan analogi berikut iaitu apabila seseorang manusia lupa diri, maka secara automatik dia akan lupa kepada Tuhannya. Serentak dengan sifat lupa kepada Tuhannya menguasai dirinya, maka dia sudah pastinya akan berani melawan dan menentang segala hukum Allah.

Kesannya, tercetuslah kezaliman, berlakulah kerosakan dan tersebarlah kekacauan di seluruh pelosok muka bumi ini. Ringkasnya di sini dapatlah disimpulkan betapa sifat fasik itu begitu sinonim dan signifikan kepada kerosakan dan kezaliman itu sendiri.

Mungkin timbul pula persoalan mengapa dan bagaimana sifat lupa diri ini boleh wujud dalam diri seseorang manusia. Sebenarnya ada beberapa punca utama yang boleh menyebabkan seseorang lupa diri dalam kehidupannya.

Pertama ialah apabila seseorang itu lupa kepada Allah yang selayaknya disembah, dipuji dan dipuja, dipanjatkan doa dan diminta segala pertolongan. Allah jugalah yang menurunkan al-Quran sebagai kitab hidayah dan pedoman kepada umat manusia. Namun, manusia sering ingkar dan angkuh, lalu membelakangkan ajaran al-Quran.

Ketika itu, dia lupa kepada Tuhannya dan mula menempah saat-saat kehancurannya. Hatinya sudah mula menjadi semakin keras dan berkarat dengan timbunan dosa dan tertutup rapat daripada menerima cahaya kebenaran dan seruan taubat ke jalan yang benar.

Oleh itu, dia semakin berani melakukan amalan kemaksiatan dan kedurhakaan kepada Allah sehingga seluruh detik kehidupannya sarat dengan kegiatan menyalahi syariat . Di samping itu juga, dia sudah bertuhankan iblis yang berjaya menyesatnya daripada landasan yang lurus. Akhirnya, dia termasuk ke dalam golongan penghuni neraka yang disediakan azab yang tiada terperi.

Sebab kedua yang mengakibatkan manusia lupa dirinya ialah lupa akan asal usulnya sebagai hamba dan makhluk Allah. Kisah keangkuhan iblis menjadi bukti nyata hingga menyebabkan iblis lupa diri lalu enggan tunduk patuh kepada perintah Allah agar sujud kepada Nabi Adam. Iblis menganggap bahawa penciptaan dirinya daripada api lebih baik daripada penciptaan Nabi Adam daripada tanah sehingga dia lupa asal-usul dirinya juga adalah hamba dan makhluk Allah

 
Dear Diary Blogger Template