^ Scroll to Top

Thursday, December 18, 2008

Strategi kepemimpinan Islam bertunjangkan wibawa, iman

Oleh Penulis Khas YaPEIM

PERNAH suatu ketika, Saidina Umar al-Khattab mempelawa sahabat yang berhimpun di sebuah rumah mengkhayalkan apa yang paling mereka impikan. Seorang daripada mereka bersuara: “Aku mengangankan supaya rumah ini dipenuhi emas yang nantinya aku boleh belanjakan di jalan Allah.”

Seorang lain pula menyampuk: “Aku pula mengangankan supaya rumah ini dipenuhi intan permata yang nantinya akan aku sedekahkan dan belanjakan pada jalan Allah.” Ya, begitulah seterusnya hingga mereka kehabisan angan-angan dan berkata: “Kami tidak tahu apa lagi yang harus kami katakan wahai Amirul Mukminin.”

Selepas itu, barulah Saidina ‘Umar sendiri menyatakan keinginannya: “Aku mempunyai keinginan yang lain daripada kalian. Aku menginginkan sejumlah orang yang hebat seperti Abu Ubaydah al-Jarrah, Muadh ibn Jabbal dan Salim Mawla Abi Hudhayfah untuk membantu mendaulatkan kalimah Allah.”

Jika kita meneliti kisah itu, walaupun seperti gurauan seorang rakan kepada rakan yang lain, ternyata ia bukan sekadar suatu gurauan, tetapi suatu dialog cukup bermakna dan membawa mesej betapa pentingnya membina generasi berkualiti untuk melaksanakan impian dan cita-cita umat.

Dalam rangka menjayakan risalahnya untuk membangun umat dan tamadun unggul, Nabi Muhammad SAW melaksanakan program pembinaan kelompok teras yang menjadi tulang belakang pembentukan umat baru. Kelompok teras berkualiti itulah yang disebut oleh Sayyid Qutb sebagai ‘generasi Quranik yang unik’.
Generasi sahabat sebenarnya adalah generasi yang sudah mengalami transformasi secara radikal menerusi penghayatan nilai dinamik daripada ajaran al-Quran. Generasi itu juga sebaik-baik ummah yang pernah tampil di pentas dan gelanggang perjuangan Islam.

Firman Allah bermaksud: “Maka jika mereka beriman seperti kamu beriman (dengan Kitab Allah dan Rasul-Nya), maka sesungguhnya mereka beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah Engkau khuatir Wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) daripada kejahatan mereka; dan Dialah juga Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 137)

Rasulullah SAW sebagai pemimpin dan pendidik ulung, cukup mengenali potensi sahabat dan pengikutnya. Lalu Baginda SAW memberikan galakan dan bimbingan secukupnya sehingga potensi mereka dapat berkembang.

Sebab itulah di bawah pimpinan Rasulullah SAW semua orang mendapat kesempatan untuk mengembangkan bakat dan potensinya, termasuklah mereka yang pernah secara terang-terangan memusuhi Islam seperti Umar al-Khattab dan Khalid bin al-Walid.
Usamah bin Zayd pernah diberi kesempatan memimpin suatu ekspedisi ketenteraan ketika usianya belasan tahun. Penampilan beliau mengetuai suatu misi penting itu adalah satu iktibar bahawa dalam budaya kualiti tidak ada amalan cantas mencantas terhadap generasi muda berbakat yang diberikan peluang oleh kepemimpinan tertinggi.

Memang dalam beberapa hal, faktor kekananan perlu diberikan penilaian tertentu. Tetapi ia bukanlah suatu yang mutlak. Penilaian terhadap faktor kekananan tidak sepatutnya sampai menjejaskan perkembangan bakat muda.

Amalan mengutamakan potensi itu berlanjutan ke zaman selepas era nabawi. Diceritakan bagaimana dalam satu pertemuan dengan seorang khalifah zaman Bani Umayyah, seorang anak muda ditampilkan sebagai juru bicara kaumnya.

Pembinaan generasi berkualiti tidak juga berasaskan kepada faktor keturunan. Amalan mewariskan posisi penting kepada anak cucu, kaum kerabat tanpa memperhitungkan bakat dan potensi akan mengakibatkan pudarnya kualiti.

Hal itu sudah diisyaratkan oleh Allah dalam al-Quran ketika Allah mengangkat Nabi Ibrahim sebagai pemimpin manusia. Lalu Baginda memohon supaya daripada kalangan zuriatnya juga akan diangkat menjadi pemimpin. Allah SWT menjawab dalam al-Quran, yang bermaksud: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak untuk orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah, ayat 124)

Memang Tuhan kabulkan permintaan Nabi Ibrahim dengan melantik keturunan menjadi nabi, tetapi tidak semua keturunan Baginda layak dan berhak menjadi pemimpin, hanya yang berkualiti adil.

Dalam sejarah Islam, generasi sahabat pernah menyaksikan proses perpindahan kepemimpinan yang luar biasa sifatnya di mana mereka sanggup menyerahkan tampuk kepemimpinan kepada orang lain yang dikira lebih baik daripada orang mereka sendiri.

Apabila Rasulullah SAW wafat, timbullah isu perlantikan khalifah. Sebagai golongan anak tempatan yang berjasa besar menyelamatkan perjuangan Islam, orang Ansar merasakan bahawa merekalah sewajarnya mengisi jawatan khalifah.

Mereka memilih calon sesuai iaitu Saad ibn Ubadah. Tetapi mereka merelakan penyerahan jawatan itu kepada orang Muhajirin selepas diyakinkan oleh Saidina Abu Bakr al-Siddiq.

Mereka adalah orang yang realistik, menerima kenyataan bahawa orang Arab hanya mungkin bersatu di bawah kepemimpinan Quraisy. Perubahan pucuk kepemimpinan daripada Quraisy kepada bukan Quraisy akan mengundang risiko kegoyahan dan perpecahan. Sebagai orang yang tahu erti dan nilai perpaduan mereka bersedia menjadi makmum di belakang.

Mereka masing-masing tahu diri, mempunyai rasa hormat kepada mereka lebih utama. Justeru, apabila Abu Bakr dan ‘Umar berbicara keputusan segera dicapai, maka pada ketika itu tidak ada lagi yang masih ghairah berbicara semata-mata sekadar ingin berbicara.

Masing-masing tidak suka membuang-buang waktu dengan hal yang sia-sia. Mereka kesampingkan hal yang titik bengik dan perkara tidak berfaedah. Seluruh perhatian mereka tumpukan kepada matlamat perjuangan, untuk itu mereka sentiasa mengelak daripada perselisihan.

Inilah yang dimaksudkan dengan fokus kepada tujuan serta matlamat dan jauhkan daripada perselisihan. Mereka bebas daripada sifat keji seperti dengki, dendam, iri hati dan yang sama dengannya.

Justeru, dalam peristiwa pemecatan Khalid al-walid daripada jawatannya sebagai panglima tertinggi angkatan bersenjata, beliau diarahkan supaya menyerahkannya kepada Abu ‘Ubaydah al-Jarrah. Pada ketika itulah, pengikut setia Khalid mendesak beliau jangan patuh kepemimpinan baru itu.

Dengan tegas Khalid menjawab: “Aku tidak berperang kerana Umar, tetapi kerana Tuhan Umar.”

Khalid berpegang terus dengan penuh setia di bawah pimpinan panglima baru yang sebelumnya adalah orang bawahannya.

Demikianlah secebis gambaran kualiti unggul sebaik-baik ummah, generasi yang mendapat nikmat kecintaan iman buat renungan dan iktibar kita bersama.

Firman Allah yang bermaksud: “…tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu dan menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan. Mereka inilah orang yang mengikuti jalan yang lurus.” (Surah al-Hujurat, ayat 7)






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template