^ Scroll to Top

Monday, December 15, 2008

Solat Mendidik Patuhi Waktu

SOLAT adalah satu institusi yang sangat agung mendidik insan dari segala aspek. Antaranya supaya seseorang itu menjadi tidak malas dan tidak mensia-siakan masa.

Ketika waktu menjelang siang, muazzin mengingatkan masa tidur sudah berlalu. Sekarang tiba siang dan waktu siang bukan lagi untuk tidur, sebaliknya sekarang adalah waktu untuk membina dunia.

‘Marilah solat, marilah menuju kejayaan. Solat lebih baik daripada tidur.’ Hebatnya solat yang memberi motivasi pagi.

Apabila matahari menegak di atas kepala ketika asyik dengan tugas diingatkan lagi, ‘marilah solat’ Zuhur. Ia mengingatkan kita supaya prihatin dengan masa.

Apabila bayang sama panjang dengan benda dan matahari mula melabuh, datang lagi seruan ‘marilah solat’, malah ketika matahari tenggelam dan tidak nampak lagi cahayanya, suara ‘marilah solat’ datang lagi.

Ketika luput lembayung merah di langit, muazzin sekali lagi mengajak manusia berkumpul untuk menunaikan solat secara berjemaah. Begitulah hidup kita membuka dan menutup hari dengan solat.

Ada pepatah berbunyi, ‘time is money’ (masa adalah wang) dan ‘time is running like arrow’ (masa bergerak laju seperti anak panah), kedua-dua ungkapan itu menggambarkan sifat masa sangat bernilai dan berlalu begitu pantas.

Solat sangat mendesak umat Islam supaya menukarkan masa menjadi ‘money’. Ramai orang tahu masa itu emas tetapi tidak ramai orang tahu bagaimana hendak menukar masa menjadi emas.

Bila tidak menghayati solat, kita banyak menghabiskan masa dengan sia-sia. Salah satu cara bagaimana menukar masa kepada emas ialah tidak malas atau belajar bagaimana mengisi masa dengan berfaedah, menggunakan masa dengan cermat, cepat dan tepat.

Menggunakan masa dengan cermat maknanya jangan sampai masa kita dicuri oleh kelalaian, kealpaan kerja yang tidak berfaedah seperti berkhayal, lepak kosong dan jangan sampai orang mengambil masa kita yang sangat berharga itu.

Menggunakan masa dengan cepat maknanya jangan bertangguh apabila sudah merancang sesuatu.

Peluang kadangkala hanya datang sekali. Kita ada tiga masa sahaja iaitu ‘past time’ sebagai pengalaman, kita ada ‘present time’ iaitu masa sekarang dan kita ada ‘future time’ iaitu hari depan atau hari akhirat.

Ketiga-tiga masa itu sangat bergandingan. Lambat bertindak, akibatnya penyesalan. Menggunakan masa dengan tepat maknanya buat kerja betul pada masa yang betul.

Seperti membunuh dalam peperangan akan digelar sebagai wira negara tetapi kalau membunuh orang tanpa sebab akan dihukum gantung. Berbogel dalam bilik air adalah harus tetapi berbogel di tengah khalayak, orang gila namanya.

Allah berfirman yang antara lainnya bermaksud: “Apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan) maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain dan hanya Tuhanmulah tempat kamu berharap.”

Ayat di atas mengisyaratkan agar kita menyiapkan kerja dengan sempurna, barulah melakukan kerja lain dengan cermat, cepat dan tepat serta menggantungkan harapan hanya kepada Allah.

Selepas merancang, berserah dan bertawakal kepada Allah. Sebenarnya tiada sesuatu yang untung, yang kita dapat daripada kemalasan kecuali penyesalan dan kekecewaan.

Jaminan Allah, telah berjaya orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Orang khusyuk sebenarnya mereka yang belajar, bukan sahaja fikah solat yang betul tetapi juga falsafah di sebalik tarbiah solat.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template