^ Scroll to Top

Monday, December 15, 2008

Haji Akbar: Hakikat dan Kepercayaan





SETIAP kali apabila hari wuquf jatuh pada hari Jumaat, umum umat Islam menganggapnya sebagai Haji akbar. Ini mungkin berdasarkan hari wuquf Rasulullah ketika haji wada’ yang juga berlaku pada hari Jumaat.
Perkataan Haji akbar disebut di dalam al-Quran yang bermaksud: Dan (Inilah) suatu pemakluman daripada Allah dan rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji akbar bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas diri daripada orang-orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, Maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, Maka Ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. Dan beritakanlah kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih. (at-Taubah: 3)
Para Mufassirin (ahli tafsir) berbeza pendapat tentang yang dimaksud dengan Haji akbar, ada yang mengatakan hari Nahar, ada yang mengatakan hari Arafah.
Kebanyakan Mufassirin seperti Ibn kathir, al Sa’diyy, al Syanqitiyy, al Qurtubiyy dan al Tabariyy cenderung menyatakan Haji akbar adalah hari raya haji ataupun hari Nahar.
Sungguhpun begitu yang dimaksud dengan Haji akbar di dalam ayat ini adalah haji yang terjadi pada tahun kesembilan Hijrah. Tidak ada seorang pun ahli tafsir yang berpandangan Haji akbar adalah haji yang wuqufnya jatuh pada hari Jumaat.
Haji akbar
Kebanyakan ahli fikah atau Jumhur Fuqaha berpandangan Haji akbar adalah hari Nahar atau Hari Raya Haji. Ini lantaran kebanyakan amalan haji seperti melontar di Jamratul Kubra, bergunting, tawaf Ifadhah dan saie mula ditunaikan para jemaah haji pada hari Nahar.
Tokoh besar fiqh di dalam Mazhab Syafiee, Imam al Nawawiy menyatakan: “Humaid menyatakan hari nahar adalah hari Haji akbar, ini kerana qaul Abi Hurairah, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam sahih kedua-duanya…. Ini kerana kebanyakan manasik dilakukan pada hari tersebut, adapun orang yang mengatakan Haji akbar adalah hari arafah mereka berhujahkan hadis ‘haji adalah arafah’ tetapi hadis Abu Hurairah menolak pandangan ini.
Al Qadhi ‘Ayyadh menukilkan yang Haji akbar menurut Mazhab Malik adalah hari Nahar, manakala menurut Mazhab Syafiee adalah hari Arafah.
Realitinya adalah di sebalik apa yang beliau nyatakan, bahkan Mazhab Syafiee dan Ashabnya adalah hari Nahar seperti yang telah disebut wallahu ‘alam.
Shamsuddin al Sarkhasiyy seorang tokoh daripada Mazhab Hanafi menyatakan: “Tawaf ziarah adalah rukun haji dan dia adalah Haji akbar pada takwil firman Allah: surah Taubah ayat ketiga. Waktunya adalah pada hari Nahar”.
Fuqaha Maliki juga menyatakan perkara yang sama, umpamanya Muhammad ibn Yusuf menyatakan: “Malik berkata: hari Nahar adalah hari Haji akbar”.
Tersebut di dalam al Mughniyy ‘ala Mukhtasar Al Kharqiy sebuah karya besar di dalam Mazhab Hanbali: Fasal: Hari Haji akbar adalah hari Nahar, Sesungguhnya Rasulullah telah berucap pada hari nahar dengan berkata, “Inilah hari Haji akbar”.
Dinamakan demikian kerana banyaknya amalan haji yang ditunaikan pada hari tersebut dari wuquf di Masy’ar, bertolak ke Mina, melontar, menyembelih, bercukur, tawaf ifadhah dan kembali ke Mina untuk bermalam...”
Berdasarkan paparan di atas jelas kepada kita bahawa Haji akbar menurut fuqaha keempat-empat mazhab utama di dalam Islam adalah Hari Nahar..
Haji akbar menurut muhaddithin
Di sini dinukilkan beberapa pandangan Muhaddithin berkenaan dengan Haji akbar.
-Menurut Muhammad ibn ‘Ali al Shaukaniyy: “Sabdanya: (Hari Nahar) iaitu hari Haji akbar menurut pandangan yang sahih di dalam Mazhab Syafiee, Malik dan Ahmad...”
-Abu al ‘Ala al Mubarakfuriyy menyatakan: “Telah terkenal di kalangan orang awam apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, haji pada tahun itu adalah Haji akbar, tiada asal pada pandangan ini. Benar Razin telah meriwayatkan daripada Talhah bin Ubaidullah bin Karz secara mursal: “Sebaik-baik hari adalah hari Arafah apabila jatuh pada hari Jumaat, maka ia lebih utama daripada 70 kali haji di hari selain dari hari Jumaat”, demikianlah seperti yang terdapat di dalam Jamu’ al Fawaid dan ia adalah hadis mursal yang saya tidak dapati isnadnya”.
-Menurut al Zarqaniyy pula: “...(setelah beliau menyebut hadis Razin tersebut)...al Hafiz telah mengkajinya dan menyatakan: aku tidak mengetahui halnya kerana ia tidak menyebut dua sahabat yang meriwayatkan hadis ini dan tidak mentakhrijnya….. dan di dalam al Hadyu karangan Ibn al Qayyim: Apa yang tersebar di atas lidah orang awam yang wuquf pada hari Jumaat menyamai 72 kali haji adalah riwayat yang palsu/batil tidak ada asalnya dari Rasulullah SAW juga tidak daripada mana-mana sahabat ataupun Tabiein”.
-Al Imam Ibn Hajar Al Asqalaniyy ketika mensyarahkan hadis berkenaan penurunan ayat Allah dalam surah al-Maaidah ayat 3 yang bermaksud: Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu..., dengan katanya: “... Hadis ini menjadi dalil kepada keistimewaan wuquf pada hari Jumaat berbanding dengan hari-hari lain, kerana Allah SWT telah memilih bagi Rasul yang terbaik dan amalan itu mulia dengan kemuliaan masa dan tempat. Hari Jumaat pula adalah sebaik-baik hari dalam seminggu, kerana padanya, terdapat satu saat yang mustajab padanya doa lebih-lebih lagi bagi qaul yang mengatakan ia selepas asar.
Adapun hadis yang disebut oleh Razin secara marfu’ di dalam Jami’nya: “Sebaik-baik hari adalah hari Arafah apabila jatuh pada hari Jumaat, maka ia lebih utama daripada 70 kali haji di hari selain dari hari Jumaat. Aku tidak mengetahui halnya kerana ia tidak menyebut dua sahabat yang meriwayatkan hadis ini dan tidak mentakhrijnya... secara keseluruhannya dari kedua-dua- nya ia mensabitkan kelebihan dengan yang demikian itu, Wallahu ‘alam”.
Berdasarkan pandangan-pandangan yang dipaparkan jelas kepada kita yang mengHaji akbarkan wukuf pada hari Jumaat adalah suatu yang tidak mempunyai asas yang kuat. Namun kelebihan wuquf pada hari Jumaat adalah suatu yang sabit dan diakui.
Kesimpulan
Paparan ringkas ini menunjukkan realitinya Haji akbar datang pada setiap tahun dengan datangnya hari Nahar iaitu Hari Raya Haji.
Ia menjadi agung dan besar dengan keagungan amalan haji dan korban yang dilakukan oleh umat Islam pada hari tersebut.
Wuquf pada hari Jumaat pula adalah suatu keistimewaan yang amat besar kerana ia menghimpunkan keutamaan hari wuquf dan hari Jumaat di samping keutamaan beribadat di Padang Arafah. Wallahu ‘alam.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template