^ Scroll to Top

Monday, December 15, 2008

Solat Mendidik Patuhi Waktu

SOLAT adalah satu institusi yang sangat agung mendidik insan dari segala aspek. Antaranya supaya seseorang itu menjadi tidak malas dan tidak mensia-siakan masa.

Ketika waktu menjelang siang, muazzin mengingatkan masa tidur sudah berlalu. Sekarang tiba siang dan waktu siang bukan lagi untuk tidur, sebaliknya sekarang adalah waktu untuk membina dunia.

‘Marilah solat, marilah menuju kejayaan. Solat lebih baik daripada tidur.’ Hebatnya solat yang memberi motivasi pagi.

Apabila matahari menegak di atas kepala ketika asyik dengan tugas diingatkan lagi, ‘marilah solat’ Zuhur. Ia mengingatkan kita supaya prihatin dengan masa.

Apabila bayang sama panjang dengan benda dan matahari mula melabuh, datang lagi seruan ‘marilah solat’, malah ketika matahari tenggelam dan tidak nampak lagi cahayanya, suara ‘marilah solat’ datang lagi.

Ketika luput lembayung merah di langit, muazzin sekali lagi mengajak manusia berkumpul untuk menunaikan solat secara berjemaah. Begitulah hidup kita membuka dan menutup hari dengan solat.

Ada pepatah berbunyi, ‘time is money’ (masa adalah wang) dan ‘time is running like arrow’ (masa bergerak laju seperti anak panah), kedua-dua ungkapan itu menggambarkan sifat masa sangat bernilai dan berlalu begitu pantas.

Solat sangat mendesak umat Islam supaya menukarkan masa menjadi ‘money’. Ramai orang tahu masa itu emas tetapi tidak ramai orang tahu bagaimana hendak menukar masa menjadi emas.

Bila tidak menghayati solat, kita banyak menghabiskan masa dengan sia-sia. Salah satu cara bagaimana menukar masa kepada emas ialah tidak malas atau belajar bagaimana mengisi masa dengan berfaedah, menggunakan masa dengan cermat, cepat dan tepat.

Menggunakan masa dengan cermat maknanya jangan sampai masa kita dicuri oleh kelalaian, kealpaan kerja yang tidak berfaedah seperti berkhayal, lepak kosong dan jangan sampai orang mengambil masa kita yang sangat berharga itu.

Menggunakan masa dengan cepat maknanya jangan bertangguh apabila sudah merancang sesuatu.

Peluang kadangkala hanya datang sekali. Kita ada tiga masa sahaja iaitu ‘past time’ sebagai pengalaman, kita ada ‘present time’ iaitu masa sekarang dan kita ada ‘future time’ iaitu hari depan atau hari akhirat.

Ketiga-tiga masa itu sangat bergandingan. Lambat bertindak, akibatnya penyesalan. Menggunakan masa dengan tepat maknanya buat kerja betul pada masa yang betul.

Seperti membunuh dalam peperangan akan digelar sebagai wira negara tetapi kalau membunuh orang tanpa sebab akan dihukum gantung. Berbogel dalam bilik air adalah harus tetapi berbogel di tengah khalayak, orang gila namanya.

Allah berfirman yang antara lainnya bermaksud: “Apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan) maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain dan hanya Tuhanmulah tempat kamu berharap.”

Ayat di atas mengisyaratkan agar kita menyiapkan kerja dengan sempurna, barulah melakukan kerja lain dengan cermat, cepat dan tepat serta menggantungkan harapan hanya kepada Allah.

Selepas merancang, berserah dan bertawakal kepada Allah. Sebenarnya tiada sesuatu yang untung, yang kita dapat daripada kemalasan kecuali penyesalan dan kekecewaan.

Jaminan Allah, telah berjaya orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Orang khusyuk sebenarnya mereka yang belajar, bukan sahaja fikah solat yang betul tetapi juga falsafah di sebalik tarbiah solat.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Azab seksa bagi golongan kufur

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Al-Maraghi berkata: “Pada ayat-ayat yang lalu, diterangkan hakikat agama yang diterima oleh Allah SWT dan agama itu ialah agama yang menyuruh menyerah kepada Allah SWT semata-mata.
“Disebut bahawa sikap Ahli Kitab yang menentang agama ini timbul semata-mata kerana kebencian setelah datang ilmu kepada mereka. Kemudian disebut pula bantahan Ahli Kitab dan seluruh kaum musyrik Arab terhadap Nabi SAW..
“Kemudian disusuli pula dengan keterangan bahawa mereka yang lari daripada kebenaran, sedikitpun tidak membahayakan baginda dan kewajipan baginda hanyalah menyampaikan ajaran Allah SWT”.
Perbincangan selanjutnya menyentuh secara khusus tentang orang Yahudi dan mencela sebahagian orang yang hidup pada masa itu kerana perbuatan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka dahulu.
Akibat perbuatan umat terdahulu, generasi berikutnya terpaksa bertanggungjawab terhadap perbuatan generasi sebelum mereka laksana seorang yang mempunyai tanggungjawab di atas perbuatannya yang lalu. Hal yang seumpama ini dibicarakan dalam surah al-Baqarah.
Sebab Nuzul
Abu al-Abbas al-Mubarrad berkata: “Manusia di kalangan Bani Israel datang kepada Nabi mereka yang menyeru kepada Allah SWT lantas mereka membunuh. Kemudian bangkit sekumpulan selepas daripada mereka dan memerintahkan supaya mengikut ajaran Islam kemudian mereka dibunuh lantas turunnya ayat ini.
Mengikut riwayat Ma’qal bin Abi Miskin di kalangan Nabi-Nabi yang datang kepada Bani Israel tanpa kitab lantas mereka dibunuh. Kemudian bangkit satu kaum yang mengikut para Nabi dan menyeru supaya melakukan keadilan dan saksama kemudian mereka juga dibunuh.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Jarir meriwayatkan daripada Abu Ubaydah al-Jarah, katanya: Aku bertanya, wahai Rasulullah SAW! Siapakah mereka yang dikenakan azab yang paling pedih pada hari kiamat? Jawabnya: Orang yang membunuh Nabi atau menyuruh melakukan kemungkaran dan melarang mengerjakan kebaikan. Kemudian baginda membaca ayat ini seraya bersabda: “Wahai Ubaydah! Bani Israel telah membunuh 43 orang Nabi pada pagi hari dalam satu masa”. Lalu bangunlah hamba-hamba lelaki Bani Israel dalam lingkungan 170 orang. Mereka kemudiannya disuruh membunuh orang yang mengerjakan kebaikan daripada mencegah kemungkaran. Mereka semua dibunuh pada waktu petang pada hari yang sama.
ii. Al-Qurtubi berkata: “Ayat ini menunjukkan bahawa pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar merupakan kewajipan bagi umat yang terdahulu yang merupakan faedah kerasulan dan pengganti kenabian.
Beliau menambah Allah SWT menjadikan amar makruf dan nahi mungkar sebagai membezakan golongan beriman dan munafik.
iii. Al-Maraghi berkata: “Perhatikanlah perbezaan yang terdapat antara dakwah Nabi kepada bangsa Arab yang menyembah berhala dan yang telah sebati dalam diri mereka, yang berhasil mengubah mereka dalam masa yang sangat singkat dengan dakwah ahli falsafah Yunani kepada bangsanya untuk mengesakan Allah SWT.
“Mereka lemah untuk melakukan dakwah seperti Nabi itu atau mendekati dakwahnya, sebab dalam masa yang begitu panjang hanya sedikit sahaja yang mahu menerima, itupun daripada murid-murid ahli falsafah itu sendiri.
“Rahsia perbezaan ini ialah kerana dakwah Nabi Allah SWT dikuatkan dengan roh dari sisi-Nya, serta disajikan dengan pelbagai cara, sesuai dengan orang yang menjadi lawan bicara”.
iv. Ayat di atas menyebut tiga jenis dosa besar, masing-masing secara berdiri sendiri diancam dengan seksa yang pedih. Pertama, mengingkari ayat-ayat Allah SWT, baik dengan tidak mengakui kitab suci yang diturunkan kepada para Nabi, mahupun ayat-ayat yang berupa tanda dan bukti-bukti yang terbentang dengan sangat jelas di alam raya.
Kedua, membunuh nabi-nabi. Kononnya orang-orang Yahudi membunuh 43 orang Nabi, demikian disebutkan dalam tafsir al-Jalalain. Namun yang jelas, yang telah mereka bunuh adalah Nabi Zakaria dan Yahya a.s serta mereka usahakan untuk membunuhnya adalah Nabi Isa a.s dan juga Nabi Muhammad SAW.
v. Hamka berkata: “Membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil ialah ahli-ahli fakir yang berani menyatakan kebenaran, menyebut yang terasa, menunjukkan jalan yang adil dan membawa perubahan-perubahan berfikir kepada masyarakat, meskipun mereka bukan Nabi, sebagai Socrates dalam dunia falsafah yang juga mati dihukum bunuh oleh penguasa Yunani dengan tuduhan merosak fikiran anak-anak muda dan meremehkan agama pusaka nenek moyang mereka.
“Begitu juga yang mereka lakukan kepada orang yang memperjuangkan keadilan dengan membunuh mereka kerana menghalang usaha perubahan ke arah kemajuan dengan cara mereka”.
vi. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Kata basysyir diambil daripada kata basyarah yang bererti kulit. Biasanya berita yang penting kesannya nampak pada kulit (air) muka. Dari sini kata tersebut biasa digunakan dalam erti “beritakan” dan kerana berita gembira seringkali lebih mudah tampak pada air muka dan tidak segan untuk ditutupi.
“Dalam ayat ini, kata tersebut dipilih sebagai ejekan kepada mereka. Nabi SAW diperintahkan untuk menyampaikan berita yang nampaknya pada air muka mereka yakni bahawa mereka dinanti oleh seksa yang pedih”.
Jelas terbukti bahawa golongan yang memusuhi Islam dan melakukan kerosakan di muka bumi sudah
pasti menerima azab yang pedih. Semoga kita menjadi orang yang beriman.. Amin.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Selamatkan anak-anak dari pornografi

REALITINYA hari ini di kalangan anak- anak muda atau remaja dengan mudah melihat dan mengumpul koleksi gambar atau majalah pornografi yang didapati dengan mudah di kedai-kedai atau dari Internet. Bayangkanlah jika hal ini terjadi kepada anak-anak kita. Kita boleh berbeza pendapat mengenai definisi pornografi dan perlu atau tidaknya hal seumpama ini diuruskan oleh undang-undang. Tetapi setidak-tidaknya kita sepakat untuk menyatakan bahawa pornografi itu adalah satu kesalahan dari peraturan Allah SWT.
Dilihat daripada perspektif Islam, jelas sekali pornografi merupakan perbuatan yang bersalahan dengan hukum syariat kerana ia mendorong seseorang lelaki atau perempuan kepada perbuatan yang tidak bermoral. Pengaruh pornorafi yang boleh mengakibatkan berlakunya perbuatan zina cukup besar implikasinya sehingga melahirkan penyakit yang tidak ditemui penyembuhannya iaitu AIDS. Di kalangan sesetengah anak-anak muda kita, kegilaan melihat gambar-gambar pornografi adalah merupakan tanda- tanda awal penyerapan kearah penzinaan. Titik tolak untuk memahami pornografi dalam Islam ialah melalui firman Allah SWT yang bermaksud:
Katakanlah kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah pula kepada perempuan yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kemaluannya. Dan janganlah mereka menampakan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak padanya… (An-Nur: 30-31)
Ayat di atas berbicara dalam konteks pedoman pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, iaitu mereka yang dibolehkan berkahwin. Menarik dikaji bahawa dalam pergaulan antara lelaki dengan perempuan, Tuhan menekankan kepada dua perkara pokok, iaitu menahan pandangan dan menjaga organ seksual. Dalam kaitan dengan pornografi, terlihat bahawa aktiviti pornografi ini sangat berkait erat dengan soal menjaga mata dan memelihara organ seksual.
Melalui firman Allah SWT di atas, jelas bahawa perintah untuk menjaga pandangan dan organ seksual hanya ditujukan kepada kelompok tertentu, iaitu orang-orang yang beriman, tanpa membezakan lelaki dan perempuan, bukan kepada semua manusia, bahkan juga bukan kepada semua yang mengaku Muslim. Mengapa perintah Tuhan itu hanya ditujukan pada orang beriman? Sebabnya, hanya orang beriman sahaja yang mematuhi dan melaksanakan perintah Tuhan.
Perintah itu tidak ditujukan kepada mereka yang tidak beriman kerana ia adalah sia-sia sahaja. Mereka pasti tidak akan mematuhinya. Kepatuhan seseorang kepada Tuhan adalah kerana dia beriman kepada-Nya, demikian sebaliknya, kerana itu perintah dan larangan Tuhan hanya ditujukan kepada hamba- Nya yang beriman, bukan kepada selainnya. Dalam konteks ini, kita perlu melakukan introspeksi (proses penilaian) diri apakah kita masih tergolong sebagai orang beriman atau bukan. Sebab yang tahu hanya diri kita sendiri dan Tuhan sahaja.
Apa yang lebih penting pada ketika ini kita harus bahu membahu untuk menyelamatkan anak-anak muda dari terus terjerumus dalam kancah kegilaan pornografi ini.Usaha untuk mencegah merebaknya pengaruh pornografi dari perspektif agama haruslah bermula daripada keluarga. Bukan hal yang kebetulan jika dalam al-Quran ditemukan sekitar 70 ayat yang berbicara mengenai pentingnya institusi keluarga. Keluarga harus menjadi tonggak awal dalam membangun masyarakat dan selanjutnya bangsa yang bermoral.
Nilai-nilai moral yang sangat ditekankan dalam setiap agama harus dimulai pelaksanaannya dalam kehidupan berkeluarga. Keluarga adalah unit terkecil dalam masyarakat yang memiliki banyak fungsi, dan di antara fungsinya yang sangat strategik adalah fungsi pendidikan dan agama. Pendidikan agama harus dimulai daripada keluarga. Pendidikan agama di luar keluarga hanya bersifat pelengkap kepada nilai-nilai yang sudah ditanamkan di dalam sesebuah keluarga.
Pendidikan agama
Perlu ditegaskan di sini bahawa pendidikan agama yang hendak ditanamkan kepada anak-anak sejak awal adalah pendidikan agama yang mengajarkan nilai-nilai kemanusiaan sehingga mereka terdorong menjadi manusia yang bertanggungjawab dan berguna. Bukankah ada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling berguna bagi sesamanya.”
Daripada hadis tersebut difahami bahawa sejahat-jahat manusia adalah yang mengeksploitasi sesamanya. Oleh yang demikian itu, apa yang dituntut bukanlah pendidikan agama yang hanya menekankan pada hal-hal yang bersifat peraturan formal semata-mata, sebaliknya pendidikan agama yang menekankan tiga aspek penting dalam diri manusia, iaitu aspek pemikiran, jiwa dan minda sehingga dapat membangun moral yang kukuh dalam diri seseorang.
Tujuan akhir daripada semua ajaran Islam sesungguhnya adalah menjadikan manusia itu berakhlak karimah atau berbudi luhur sebagaimana dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku diutus semata-mata untuk menyempurnakan akhlak mulia.”
Impak kepada kehidupan beragama seseorang itu adalah menjadi manusia yang berakhlak mulia. Salah satu penunjuk utama daripada akhlak mulia adalah menjauhi perbuatan, perkataan dan perilaku yang keji serta kotor termasuklah bahan-bahan pornografi. Bahkan, salah satu ciri orang yang beriman adalah mampu mengawal syahwat seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Mukmin ayat 5. Justeru, pengurusan syahwat atau nafsu itu penting bahkan mungkin juga lebih penting daripada pengurusan hati.
Dalam rangka melaksanakan tugas sebagai khalifah, manusia harus menjaga kesucian diri dan keturunan termasuk memelihara diri daripada mendekati bahaya zina seperti pornografi sendiri. Zina adalah perbuatan paling keji dan jalan yang sesat (Al-Isra’, ayat 32).
Zina memberikan kesan yang sangat buruk bukan hanya kepada si pelaku itu sendiri juga kepada anak-anak yang lahir akibat perbuatan zina itu. Dalam konteks zina, ajaran Islam menekankan unsur-unsur pencegahan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (Al- Isra’: 32)
Sebahagian ulama menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan mendekati zina salah satunya adalah dengan melihat bahan-bahan pornografi (mempertontonkan gambar-gambar bahagian tubuh yang membangkitkan nafsu berahi) baik secara langsung ataupun tidak. Ini bermakna, semua perbuatan keji yang boleh membawa kepada zina adalah haram sebagaimana haramnya zina itu sendiri. Sehubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Umatku masih dalam keadaan baik selagi perbuatan zina tidak melanda mereka. Apabila perbuatan zina sudah merajalela di antara mereka, Allah akan menurunkan seksa-Nya kepada mereka semua (Hadis Riwayat Ahmad).







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

MANISNYA MENJADI WANITA ISLAM

1. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

2. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh

3. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1,000 lelaki yang jahat

4. 2 rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil

5. Wanita yang memberi minum susu badan kepada anaknya akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya

6. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad

7. Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba

8. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat

9. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 maalaikat. dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut

10. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat

11. Wanita yang memerah susu binatang dengan "bismillah" akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan

12. Wanita yang menguli tepung gandum dengan "bismillah", Allah akan berkatkan rezekinya

13. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di Baitullah

14. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami, Allah akan mengizinkannya untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dia suka

15. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari

16. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari
17. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji

18. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid

19. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat

20. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun), maka maalaikat-maalaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya

21. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa

22. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala tola perak

23. Wanita yang meniggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga

24. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah

Dipetik daripada Bayan Mastura Oleh Syed Ahmad Khan; Januari 1992




"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Wednesday, November 26, 2008

Berhutang Untuk Naik Haji?

HAJI satu ibadat penting dalam Islam. Ulama secara ijmak mengatakan ia adalah fardu ke atas setiap orang Islam yang berupaya mengerjakannya dan satu daripada rukun Islam yang lima.

Ayat 97 Surah Ali Imran antara lain bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk."

Kewajipan melaksanakan haji itu hanya sekali seumur hidup sebagaimana dijelaskan Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a bermaksud: "Rasulullah s.a.w pernah berkhutbah kepada kami. Sabdanya: Wahai manusia, sesungguhnya Allah sudah mewajibkan haji ke atas kamu, oleh itu kerjakanlah haji itu."

Seorang lelaki bertanya: Adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah? Rasulullah SAW diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang pertanyaannya sebanyak tiga kali. Selepas itu barulah Rasulullah s.a.w menjawab: Jika aku jawab ya, nescaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berupaya melakukannya."

Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Biarkanlah aku (jangan kamu tanya) mengenai apa yang aku tinggalkan (yang tidak aku sebutkan) kepada kamu. Sesungguhnya sudah binasa orang sebelum kamu dengan sebab banyaknya pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi mereka. Maka aku menyuruh kamu dari (mengerjakan) sesuatu, kamu tinggalkan ia." (Hadis riwayat Muslim)

Dalam melaksanakan kefarduan haji dan umrah, ada beberapa syarat yang mewajibkannya, antaranya berkuasa.

Berkuasa melaksanakan haji dan umrah boleh dilihat pada dua aspek, iaitu berkuasa melaksanakannya dengan sendiri dan berkuasa menunaikan dengan pertolongan orang lain.

Setiap aspek itu ada syarat tertentu, contohnya berkuasa melaksanakan haji oleh dirinya sendiri antara syaratnya, ada perbelanjaan yang cukup untuk dirinya dalam perjalanan pergi dan balik serta sepanjang melaksanakan haji serta untuk sara hidup orang yang wajib ditanggungnya serta perbelanjaannya itu melebihi hutangnya.

Di samping itu, ada kenderaan untuk menyampaikannya ke Makkah seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya sama ada milik sendiri atau mampu menyewanya.

Syarat bekalan dan kenderaan itu ada disebut dalam hadis diriwayat Ibnu Umar dengan katanya: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w, dia berkata: Wahai Rasulullah apakah yang mewajibkan haji itu? Maka sabda baginda: Bekalan dan kenderaan."

Bagaimanapun, kewajipan menunaikan haji tidak akan gugur bagi orang yang terlalu tua, orang menghidap penyakit yang tidak ada harapan sembuh dan penyakit teruk, seperti dinyatakan Datuk Md Daud Che Ngah dalam buku Kursus Kesempurnaan Ibadat Haji & Umrah.

Bagaimanapun, dalam kes berkaitan hutang, apa pula justifikasinya? Apakah orang yang berhutang wajib atau tidak mengerjakan haji?

Presiden Majlis Fekah Amerika Utara, Dr Muzammil Siddiqi, berkata haji tidak menjadi kefarduan terhadap seseorang yang berhutang.

"Bagaimanapun, jika seseorang itu mempunyai pinjaman jangka panjang dan beliau dikehendaki membayar hanya jumlah tertentu setiap bulan, hutangnya itu tertakluk melalui bayaran setiap bulan.

"Sekiranya beliau membayar semua hutangnya dan kemudian tiada baki padanya untuk melaksanakan haji, ibadat haji tidak diwajibkan ke atasnya.

"Tetapi jika beliau hanya membayar secara ansuran bulanan dan kemudian mempunyai wang secukupnya untuk melaksanakan haji, dia sepatutnya mengerjakan haji kerana ia menjadi kewajipan ke atasnya.

"Jika seseorang itu berhutang dan pemberi hutang membenarkannya untuk pergi haji, dia boleh melaksanakan haji," katanya.

Bertitik-tolak dari situ juga timbul kekeliruan mengenai pelaksanaan ibadat haji dengan kaedah pinjaman (hutang), yang dibayar kemudian seperti dengan cara ansuran, ditambah dengan keadaan mutakhir ini, ketika orang ramai mudah mendapatkan pembiayaan atau pinjaman.

Ini kerana ada pihak mengatakan cara itu dibolehkan manakala setengah yang lain pula berdasarkan hujah masing-masing mendakwa kaedah seperti itu tidak dibenarkan.

Dr Muzammil berkata, jika seseorang mengambil pinjaman (tanpa faedah) untuk melaksanakan haji dan dia melaksanakan haji, ibadat hajinya itu sah, walaupun tidak dikehendaki berbuat demikian dan haji tidak menjadi kewajipan ke atasnya.

Ulama kontemporari lain menyatakan, adalah dibenarkan untuk melaksanakan haji dengan cara pinjaman yang dibayar ansuran jika seseorang itu tidak mampu mengadakan belanja sekali gus.

Mufti Mesir, Dr Ali Jum'ah, berkata: "Adalah sah bagi seseorang untuk melaksanakan ibadat haji atau umrah dengan cara ansuran; ia tidak melanggar mana-mana upacara atau syarat berkaitan haji atau umrah.

Rektor Universiti Al-Azhar, Dr Ahmad At-Tayyeb berkata: "Secara umum, tidak sah menegah untuk membayar bagi sesuatu secara ansuran, selagi ia tidak membabitkan bayaran faedah.

"Dengan itu, tiada kesalahan jika institusi kewangan membayar perbelanjaan haji bagi pihak ahlinya sebagai pinjaman tanpa faedah dalam keadaan itu dan ahlinya akan membuat bayaran balik secara ansuran."

Seorang ulama, Dr Abdel-Fattah Idrees, yang juga Profesor Undang-undang Perbandingan di Universiti Al-Azhar menyatakan:

"Melaksanakan haji dengan bayaran ansuran, atau dalam perkataan lain melalui institusi kewangan (yang memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk melaksanakan tanggungjawab agama) adalah dibenarkan kerana tiada nas yang melarang daripada melaksanakan ibadat haji seperti itu.

Tambahan lagi, jemaah haji dalam kes terbabit akan membayar balik wang yang dipinjam (dihutang). Pandangan ini mengikut aliran perundangan, seperti Syafie dan Zhahiri, yang mengatakan mana-mana cara yang menurut hukum membenarkan seseorang untuk melaksanakan haji adalah dipertimbangkan dalam perkara terbabit walaupun jika ia melalui pinjaman wang.

Dengan itu, melaksanakan ibadat haji dengan cara ansuran adalah dibenarkan dan mendapat ganjaran sebagai ibadat haji apabila semuanya dijelaskan."

Berdasarkan huraian ulama terbabit, secara ringkas dan umum dapat difahami ibadat haji dengan cara pinjaman tanpa faedah dibenarkan dan sah.

Fatwa Jabatan Mufti Kerajaan Brunei juga ada menghuraikan perkara ini, cuma ia cenderung memperkatakan mengenai permasalahan hutang dan kedudukan seseorang individu yang tiada kemampuan kewangan untuk mengerjakan haji.

Antara lain ia menjelaskan: "Dalam Islam berhutang dibolehkan, tetapi tidak dibolehkan kerana mengambil risiko yang boleh menyusahkan di dunia dan akhirat.

Banyak hadis yang memperkatakan masalah hutang dan orang yang berhutang, antaranya, bermaksud: "Dan jauhilah diri kamu daripada hutang, kerana sesungguhnya awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula adalah mengambil harta orang dengan tiada mengembalikannya." (Hadis riwayat Imam Malik)

Pada zaman Nabi s.a.w ada yang bertanya kepada baginda mengenai orang tidak berupaya mengerjakan haji. Adakah dia perlu berhutang kepada orang lain supaya dapat pergi haji, akan tetapi Nabi s.a.w tidak membenarkannya.

Perkara ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Auf, katanya: "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w berkenaan dengan seorang lelaki yang tidak (dapat) pergi haji: "Adakah dia boleh berhutang untuk pergi haji? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak. (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Agama Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Dalam hal mengerjakan haji dan umrah, ulama membuat syarat tertentu yang kemas berdasarkan al-Quran, hadis dan ijmak.

Jika syarat itu tidak dapat dipenuhi seseorang, tidaklah wajib baginya mengerjakan haji, walaupun ia satu daripada rukun Islam.

Ini membuktikan Islam itu adalah rahmat dan tidak menyusahkan umatnya. Oleh yang demikian, bagi orang yang ingin mengerjakan fardu haji dan umrah yang wajib ke atasnya, tidaklah perlu dia sampai menyusahkan dirinya dengan berhutang.

Apatah lagi bagi orang yang pernah pergi mengerjakan haji dan umrah. Lebih-lebih lagi jika umrah yang dilakukan itu, hanya berbentuk sunat semata-mata, jadi berhutang bagi tujuan ini suatu perkara yang tidak dituntut agama kerana ia akan menjadi beban dan akan menyusahkannya."







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template