^ Scroll to Top

Tuesday, March 24, 2009

WANITA dan KUBUR....

1.Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang
yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah akan
hal tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa
orangyang penyayang tidak akan sia-sia".

2.Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka
beristighfarlah para malaikat untuknya.Allah mencatatkan baginya setiap
hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3.Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah
mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

4.Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari
dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5.Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu
tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6.Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang
sakit, maka Allah memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba
dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

7.Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama
orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan orang yang
takutkan Allah, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8.Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah)
lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah.
Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka,
barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan
anak Nabi Ismail.

9.Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah
memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000
tahun).

10.Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan
ramadhan,memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia
dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11.Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang
soleh.

12.Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih
besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah, "Suaminya. "Siapa pula
berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah, "Ibunya".

13.Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah
panggilan ibumu dahulu.

14.Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung
diudara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar
baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang
dan puasanya.

15.Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup
pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari
mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16.Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17.Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku
(Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18.Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara
perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap
ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh
rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19.Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada
anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka
akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka. "Jadi, janganlah
sesekali kita merasa lemah. Wanitalah sebenarnya yang membuat seseorang
lelaki itu kuat. Itulah salah satu sebab mengapa Nabi meletakkan wanita
setaraf pada lelaki dan tidak lebih rendah.

SATU PERINGATAN!!

KUBUR SETIAP HARI MENYERU MANUSIA SEBANYAK LIMA
KALI;

1.Aku rumah yang terpencil,
Maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al-Quran.

2.Aku rumah yang gelap,
Maka teranglah aku dengan selalu solat malam.

3.Aku rumah penuh dengan tanah dan debu,
Maka bawalah amal soleh yang menjadi hamparan.

4.Aku rumah ular berbisa,
Maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar.

5.Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir,
Maka banyaklah bacaan "Laa ilaha illallah, Muhammadur
Rasulullah",supaya kamu dapat jawapan kepadanya.

Lima Jenis Racun dan Lima Penawarnya;

1. Dunia itu racun,
Zuhud itu ubatnya.

2.Harta itu racun,
Zakat itu ubatnya.

3.Perkataan yang sia-sia itu racun,
Zikir itu ubatnya.

4.Seluruh umur itu racun,
Taat itu ubatnya.

5.Seluruh tahun itu racun,
Ramadhan itu ubatnya.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kemudahan infrastruktur asas utama majukan ummah

LANGKAH pertama Rasulullah SAW membangunkan masjid secara gotong royong selama tujuh bulan sebagai rancangan pembangunan awal Madinah selepas penghijrahan Baginda bersama umat Islam mempunyai banyak hikmah.

Rumah Allah itu sangat penting bagi perkembangan agama Islam kerana sebagai tempat ibadah, masjid turut mengasuh dan mendidik jiwa supaya taat serta takwa kepada Allah selain menjadi tempat pertemuan menjalinkan silaturahim.

Oleh itu, masjid pada zaman Baginda dan khulafa al-Rasyidin bukan saja berfungsi sebagai tempat ibadat, malah menjadi pusat menjalankan pelbagai aktiviti membabitkan urusan seharian umat Islam serta masyarakat setempat.

Mengikut kajian Thomas Arnold, masjid pada zaman itu turut dijadikan pusat kegiatan sosial dan politik. Di situlah Baginda menerima kunjungan pegawai diplomatik asing dan di situ jugalah Baginda menjalankan urusan pentadbiran.

Mimbar masjid menjadi tempat pidato dalam perkara agama dan lainnya. Umpamanya ketika Umar menjelaskan mengenai pertempuran tentera Islam di medan perang, mimbar digunakan sambil menganjurkan orang ramai supaya menghulurkan bantuan. Demikian juga Usman menggunakan mimbar yang sama untuk memberi ucapan pembelaan diri.

Ulama pula menggunakan masjid untuk menyampaikan pelajaran agama serta mengadakan pertemuan ilmiah. Kadi juga menjalankan tugas rasmi mereka di masjid. Bahkan sekolah kanak-kanak pada peringkat itu dibuat di masjid.
Pendek kata, fungsi masjid begitu luas sekali tidak hanya terhad kepada ibadat khusus seperti sembahyang wajib dan sunat saja. Malah, berita penting mengenai isu semasa mula tersebar di masjid. Demikianlah fungsi masjid mengikut asalnya iaitu tempat merealisasikan kesatuan agama dan politik dalam Islam.

Adanya masjid bermakna satu masalah besar dalam kepemimpinan Baginda SAW untuk menyatukan serta mempersaudarakan umat Islam dapat dilakukan. Selaras dengan semangat itu perancangan penempatan dilakukan.

Sesungguhnya Islam ialah agama yang memberi perhatian berat kepada punca keselamatan hidup, keselesaan, keamanan dan kesihatan fizikal. Dengan fizikal yang sihat dan suasana aman, umat Islam lebih mudah untuk beribadat kepada Allah.

Selepas masjid, Rasulullah SAW mendirikan pasar untuk menyediakan keperluan ekonomi dan mengenakan peraturan ekonomi Islam supaya perdagangan sentiasa berjalan dengan baik dan membekalkan rezeki halal.
Sesungguhnya rezeki halal juga boleh mendorong ke arah amal soleh. Hakikat rahsia itu dapat disingkap daripada firman Allah yang bermaksud: “Makanlah kamu daripada rezeki yang baik dan beramal soleh.” (Surah al-Mukminum, ayat 51)

Mengikut keterangan Umar bin Syubah daripada Ata’ bin Yasar bahawa sebaik saja Rasulullah SAW berhasrat untuk mendirikan sebuah pasar di Madinah Baginda membuat kajian terlebih dulu di pasar Yahudi Bani Aainuqa’.

Selepas itu Baginda SAW bergerak ke suatu tempat lalu baginda menghentak kaki ke tanah sambil bersabda: “Inilah pasar kamu. Janganlah kamu sekat menyekat di sini dan jangan pula mengenakan sebarang cukai.”

Langkah Rasulullah SAW memaju dan mengemaskinikan Madinah berjaya menarik orang ramai datang daripada segenap penjuru Tanah Arab. Dalam sekejap masa saja bandar baru itu dipenuhi orang Arab yang tinggal di sekeliling Madinah. Dengan itu Madinah makin bertambah luas.

Berdasarkan langkah diambil Rasulullah SAW, Baginda berusaha menggunakan tanah terbiar di Madinah untuk dimajukan seterusnya memberi manfaat kepada penduduknya. Hakikat itu wajar diberi perhatian dalam usaha membuat perancangan pembangunan negara.

Usaha dilakukan Baginda SAW membuat kajian terperinci serta mendahulukan keperluan semasa masyarakat sepatutnya dijadikan ciri penting supaya perancangan pembangunan tidak menimbulkan masalah atau merugikan kemudian nanti.

Tidak dinafikan pembangunan fizikal yang hebat akan membentuk bandar Islam yang gemilang selain menjadi sebagai pusat dakwah, pentadbiran serta pembinaan tamadun hebat apabila setiap pembangunan memberi faedah dan menyatukan umat.

Setiap pelan perancangan memajukan sesuatu kawasan seharusnya mendatangkan keuntungan serta memajukan masyarakat, pada masa sama melahirkan kesyukuran dan mendekatkan umat Islam kepada Allah.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Ayat Kursi hindari perbuatan pukau dan sihir

ALLAH, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tidak ada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu - Nya dan kekuasaan - Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya). (al-Baqarah: 255)
Keterangan ayat
Diriwayatkan dalam Sahih Muslim bahawa Nabi SAW pernah memberitahu kepada Ubai bin Ka'ab bahawa ayat yang paling agung dalam al-Quran adalah ayat al-Kursi.
Khasiat dan kaifiat beramal
Ayat al -Kursi juga mempunyai kelebihan untuk menghadapi gangguan syaitan seperti yang disebutkan dalam hadis sahih. Ayat ini patut menjadi amalan dengan membacanya pada setiap waktu terutama apabila berhadapan dengan kebarangkalian diganggu jin dan syaitan. Kisah ini masyhur tentang Abu Hurairah r.a. menangkap syaitan ada dalam kedua kitab hadis Sahih al- Bukhari dan Sahih Muslim.
Selain itu, Nabi SAW juga menganjurkan agar membaca ayat ini sebelum tidur supaya terpelihara daripada diganggu syaitan hingga ke waktu Subuh.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Islam memuliakan wanita

WAHAI orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (An-Nisa': 19)
Huraian
Islam mengharamkan perbuatan mewarisi perempuan seperti mewarisi barang-barang dan binatang-binatang, begitu juga Islam mengharamkan perbuatan menyusahkan dan menyakitkan perempuan untuk memudaratkan mereka, kecuali jika ia melakukan perbuatan yang keji.
Islam memberi kebebasan kepada perempuan di dalam memilih teman hidupnya dari awal, iaitu sama ada dara atau janda , sama ada yang ditalak atau yang kematian suaminya.
Islam juga menyeru kepada kaum lelaki supaya tidak mudah terburu-buru emosi mengambil keputusan bertindak memutuskan hubungan suami isteri sekiranya terjadi sesuatu perbalahan dan persengketaan suami isteri.
Apabila berlaku keadaan sedemikian, suami hendaklah berusaha mengawal kemarahan dan kebencian yang memuncak. Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu amat besar pahalanya di sisi Allah SWT.
Allah SWT memerintah setiap suami menjaga kebajikan isteri masing-masing dengan baik, melayan isteri-isteri dengan penuh kemesraan dan kasih sayang, mendidik isteri dengan penuh hikmah, seterusnya memperlakukan mereka sebagaimana selayaknya seorang insan.
Kesimpulan
Islam mengangkat martabat kaum wanita di tempat yang tinggi yang selayaknya mengikut fitrah kejadian dan penciptaan mereka oleh Allah SWT.
Golongan suami hendaklah menghormati isteri-isteri mereka dan melayan mereka dengan penuh kemesraan dan kasih sayang.
Sesungguhnya peranan seorang isteri amat penting dalam sesebuah rumah tangga , oleh itu muliakanlah dan hormatilah kaum hawa seperti sepatutnya







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Melanggari amanah bererti mengkhianati agama

AMANAH berasal daripada perkataan Arab, amana, bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Dalam konteks akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang atau badan yang diamanahkan dengan melaksanakan tuntutan yang ada dalam kepercayaan itu.

Amanah dengan kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oleh seseorang atau pihak yang dipercayai dapat melaksanakannya seperti dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan amanahnya itu dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakannya mendapati dirinya atau badan yang diamanahkan itu berada dalam tenteram, aman, selamat dan harmoni serta diberkati atas Allah SWT dalam urusan yang bersahamkan agama.

Pecah amanah atau mengabaikan amanah yang diberikan adalah suatu kesalahan yang amat berat di sisi Islam, sehinggakan ia tidak dapat ditebus sekalipun dengan pengorbanan seseorang yang berjuang pada jalan Allah SWT.

Dalam hal ini Rasulullah SAW menjelaskan kedudukan amanah dan tanggungjawab mereka yang memikul amanah itu seperti sabdanya yang bermaksud ‘Menyertai perang fisabilillah akan menghapuskan segala dosa kecuali amanah. Amanah itu ada dalam solat. Amanah juga ada dalam percakapan. Maka amanah yang paling berat adalah menyimpan sesuatu yang diamanahkan.’ (Riwayat Abdullah Mas’ud).

Secara umumnya, terlalu banyak amanah yang perlu dilaksanakan dalam kehidupan kita. Sama ada sebagai pekerja, pengurus mahupun majikan. Kita hendaklah sentiasa ingat mengingati di antara kita bahawa apa juga bentuk amanah dipikul oleh kita, nescaya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar nanti.

Memusnahkan amanah atau tidak berlaku amanah pastinya akan mengundang musibah, bukan saja terhadap diri pelakunya, bahkan terhadap masyarakat dan negara umumnya.
Mereka yang diamanahkan untuk menjadi pengurus hendaklah membuat perancangan secara lebih strategik dengan daya fikiran lateral, jelas dan misi yang jitu. Pelaksanaannya pula hendaklah secara optimistik dengan menerap nilai yang murni di atas teras akauntabiliti, kualiti dan amanah.

Pengurusan kewangan yang bijaksana, cekap, fleksibel dan amanah adalah prasyarat bagi menjamin kedudukan kewangan yang kukuh. Islam mempunyai falsafah dan pendekatan sebagai garis panduan dalam melahirkan insan yang mempunyai sifat akauntabiliti, berkualiti dan amanah.

Mereka yang bertanggungjawab dalam menguruskan amanah, terutama berkaitan dengan aspek kewangan jangan mengambil mudah berhubung dengan amaran Rasulullah SAW agar amanah yang diberi tidak dikhianati. Mereka yang diamanahkan mesti bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan tanpa rasa angkuh, sombong dan riak dengan perjawatan itu.

Mereka juga tidak boleh semata-mata mengejar keuntungan di dunia berselindung di sebalik perjawatan dan kuasa mereka. Mereka yang mempunyai sahsiah itu mesti ingat bahawa segala urusan di dunia akan dihisab di akhirat seperti mereka menghitung keuntungan yang diperoleh di dunia melalui mainan catur kepintaran dan kecekapan mereka.
Laporan, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan juga adalah amanah dan perlu diucapkan atau direkodkan secara betul tanpa dipengaruhi emosi atau kepentingan diri. Antara lain perkataan laporan hendaklah bersih dan telus. Perbuatan menyembunyikan fakta dan rekod tertentu juga pengabaian terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada pengurusan dan pekerjanya.

Menyembunyikan fakta sebenar bertujuan mempertahankan imej dan personaliti majikan amat dilarang kerana kadang-kalanya ia boleh ‘membunuh’ terutama apabila rahsia tidak dapat disembunyikan lagi.

Justeru, jangan sekali-kali mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya kerana amanah adalah suruhan dan larangan bagi agama dan melanggarnya bererti mengkhianati agama.. Sesungguhnya orang yang mengkhianati amanah akan dituntut oleh Allah SWT pada hari kiamat kelak, supaya memulangkan hak kepada ahlinya.

Soal menjaga kewangan, terutama berkaitan pengurusannya amat diberi perhatian dalam Islam. Sejarah ada menceritakan bagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz begitu sensitif terhadap perkara itu.

Beliau, yakni khalifah cukup terkenal dengan sikapnya yang berhati-hati menguruskan amanah dan menjaga amanah yang diberikan. Salah satu contoh yang dapat dijadikan pengajaran ialah kisah yang diceritakan oleh Amru Bin Muhajir. Pada suatu malam, ketika beliau didatangi oleh anaknya sendiri di pejabat khalifah, Umar terlebih dulu berkata: “Adakah kamu datang untuk urusan Muslimin atau urusan keluarga?”

Selepas anaknya menjawab untuk urusan keluarga, lantas Umar memadamkan lampu pejabatnya. Bila anaknya bertanya tindakannya itu, Umar menjawab: “Lampu ini adalah milik negara, sedangkan kamu datang untuk urusan keluarga”. Lalu Umar pun menyalakan lampu miliknya sendiri. Inilah ketinggian amanah pada diri khalifah Umar Bin Abdul Aziz dalam menjaga dan menguruskan harta kaum Muslimin.

Sebahagian daripada mereka yang diberi peluang untuk mentadbir dan mengurus amanah beranggapan bahawa mereka boleh melakukan apa saja kerana kuasa yang ada di tangan mereka. Mereka bebas bertindak, berbelanja atau bebas menentukan gaji yang berhak diterima sedangkan apa yang diperoleh tidak setimpal dengan khidmat dan kebolehupayaan dalam pengurusan, melainkan mengambil peluang daripada jawatan itu.






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template