^ Scroll to Top

Friday, September 4, 2009

Bersihkan rohani, jasmani

SECARA umum manusia gemar kepada kebersihan, kesucian dan kesuburan. Pakaian kotor dibersihkan, kenderaan berdebu dicuci, malah kediaman yang kelihatan kian suram diceriakan dengan sentuhan baru, seperti cat dan perabot baru.

Diri manusia juga lebih-lebih lagi memerlukan usaha penyucian, kerana sekiranya dibiar, tidak dirawat dan disuburkan, kekotoran yang melekat pada diri menjadi makin degil dan sukar dibersihkan.

Sebab itu ada manusia yang bersifat dengki khianat, makin menjadi-jadi gelagat buruknya, manakala yang bertabiat jahat seperti suka mencuri, menyamun dan merompak, makin menjadi-jadi pula.

Jika sifat keburukan itu tidak dirawat segera dan tidak dibersihkan sebaiknya, kemungkinan besar diri akan terus bergelumang dengan kekotoran, sehingga berpenghujung dengan kemusnahan.

Pembersihan, penyucian dan penyuburan diri dalam istilah Arab dipanggil `tazkiyah nafs'. Ia adalah suatu usaha bersungguh untuk membersihkan dan menyucikan diri manusia dari sifat yang rendah dan hina, buruk dan keji.

Tetapi usaha penyucian ini tidak sempurna jika tidak disertai dengan usaha pengisian dan perhiasan diri manusia iaitu dengan sifat yang tinggi lagi mulia, baik dan terpuji.

Dalam ilmu akhlak, tazkiyah mengandungi dua sudut, iaitu membuang sifat yang rendah dan tercela (disebut juga takhalli/takhliyah) serta menghias dengan sifat mulia lagi terpuji (disebut tahliyah/tahalli).

Antara sifat buruk yang perlu dibersihkan ialah takbur, suka berbangga dan menunjuk-nunjuk, riak, syirik dan kufur manakala sifat baik yang perlu dihias seperti bercakap benar, ikhlas, reda dan sabar.

Jika mencuci pakaian menggunakan cara tertentu termasuk menggunakan bahan pencuci yang disyorkan bagi mendapatkan tahap kebersihan berkualiti, usaha menyucikan diri juga memerlukan kaedah dan panduan, supaya tidak tersasar dari matlamat.

Dalam Islam usaha penyucian diri mestilah berasaskan tauhid iaitu keimanan kepada Allah dan cirinya, keimanan berasaskan ilmu yang benar. Iman yang berasaskan ilmu menghasilkan keyakinan, iaitu keyakinan yang berasaskan ilmu.

Tauhid adalah teras yang mendasari binaan hidup manusia yang sebenar, sentiasa berinteraksi dengan semua sudut di dalam binaan terbabit. Dengan lain perkataan, tauhid yang menjadi teras itu yang menjiwai, menyuburkan, mengukuhkan dan mengindahkan binaan Islam.

Antara amalan penting yang dapat memberikan kesan terhadap usaha pembersihan dan penyucian diri ialah solat, membelanjakan harta seperti berzakat, puasa, mengerjakan haji, membaca al-Quran, zikir dan tafakur.

Bagaimanapun amalan yang memberikan kesan positif adalah amalan yang dilakukan dengan sempurna, selari dan menepati di antara amalan zahir (fizikal) dan batin (rohani).

Tuntutan zahir dilaksanakan dengan memenuhi syarat dan rukunnya, sebelum, semasa dan selepasnya, wajib dan sunatnya serta meraikan adab lahir dan batinnya.

Sejauh mana amalan itu dilaksanakan dengan sempurna, sejauh itulah kesan dalam usaha penyuciannya, sama ada ketika berusaha membuang sifat tercela atau memasukkan sifat terpuji.

Dalam usaha penyucian ini, sudah tentulah anggota lahir yang tujuh seperti tangan, kaki, telinga, mata, lidah, perut dan jantina dibersihkan dan dipelihara dari perbuatan keji.

Ini kerana kebersihan anggota berkenaan memberikan kesan secara langsung terhadap kebersihan diri.

Kemudian, ilmu pengetahuan berkaitan proses penyucian dan penyuburan juga perlu diketahui, termasuk tabiat nafsu dan hubungannya dengan hawa (nafsu), seperti kelemahannya yang menjadi saluran syaitan menggoda dan memperdayakan diri.

Apabila manusia, khususnya umat Islam dapat memahami konsep penyucian dan penyuburan diri, mengamalkannya dengan kesungguhan sudah pasti akan menghasilkan kesejahteraan, kebahagiaan dan kelapangan - bak cahaya menyinari hidup.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Kasihkan baginda

TANGGAL 12 Rabiul Awal setiap tahun umat Islam menyambut kehadiran tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, melalui pelbagai acara, antaranya perarakan besar-besaran, ceramah agama dan jamuan.

Ada juga majlis marhaban dan qasidah yang dialunkan dengan suara merdu dan penuh bersemangat, berdasarkan kitab Berzanji dan Burdah al-Bushairi. Semuanya demi menggambarkan kasih terhadap Baginda.

Saban tahun, kemunculan 12 Rabiul Awal turut mengundang polemik antara keharusan dan bidaahnya menyambut maulidul rasul.

Satu pihak mendakwa ia bidaah kerana tidak pernah dilakukan Nabi s.a.w, sahabat dan golongan salafussoleh.

Malah, jika ditinjau dari Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, tidak pernah menganjurkan sambutan maulidul rasul ini.

Tetapi, adakah mereka tidak mencintai Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan maulidul rasul?

Satu pihak lagi yang menyokong sambutan ini menganggap bidaah yang baik (hasanah) dan hanya bertujuan untuk mengagungkan Rasulullah s.a.w dan mencerminkan kasih sayang kepada Baginda.

Bahkan, menurut mereka tiada larangan muktamad daripada Allah dan Rasul-Nya ke atas sambutan maulidul rasul ini.

Apa pun, kita tidak ingin menyambung polemik tanpa penghujung ini. Cuma yang ingin dibincangkan ialah tatacara untuk membuktikan kasih sayang dan pengagungan terhadap Nabi s.a.w.

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip agama yang sangat penting. Seseorang tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya)..." (Surah al-Taubah: 24)

Rasulullah s.a.w berhak meraih cinta itu kerana Baginda makhluk paling mulia di sisi Allah, memiliki akhlak yang luhur, mengasihi umatnya, memberi petunjuk dan menyelamatkan umatnya dari neraka, malah menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w memiliki ciri tertentu. Berikut adalah tanda yang membuktikan perasaan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w:

  • Mentauhidkan Allah - Hikmah utama diutusnya rasul termasuk Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik.

    "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut." (Surah al-Nahl: 36)

    Maksud mentauhidkan Allah ialah beribadat hanya kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.

  • Mempelajari al-Quran, memahaminya, mengamalnya dan menyebarkan ajarannya - Mukjizat yang paling utama bagi Rasulullah s.a.w ialah al-Quran al-Karim, iaitu aset utama baginya dalam menyebarkan Islam.

    Ibnu Mas'ud berkata: "Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya, kecuali al-Quran. Apabila dia mencintai al-Quran, maka dia mencintai Allah dan Rasul-Nya." (Huquq al-Nabi)

  • Mentaati sunnah Nabi s.a.w - Satu lagi tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi s.a.w ialah dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya.

    Ini kerana Allah memberi jaminan yang Baginda adalah insan terbaik untuk dijadikan contoh ikutan bagi umat manusia.

    "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu..." (Surah al-Ahzab: 21)

  • Menyebarkan sunnah Nabi s.a.w - Sabda Baginda s.a.w, maksudnya: "Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walau satu ayat." (Hadis riwayat al-Bukhari)

  • Sentiasa memuji dan mengingatinya - Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w, seharusnya baginda sentiasa berada di hati kita.

    Kita juga sepatutnya memuji Nabi s.a.w dengan pujian yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya dengan selawat yang terdapat dalam hadis yang sabit daripada Baginda.

  • Mencintai mereka yang dicintai oleh Nabi s.a.w - "Janganlah kamu semua mencaci salah seorang sahabatku. Ini kerana, sekiranya salah seorang di kalangan kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud, semua itu tidak mampu menyamai satu mud (yang diinfakkan) salah seorang antara mereka malah tidak mencapai separuh." (Hadis riwayat Muslim)

  • Benci orang dibenci Nabi s.a.w - Hendaklah kita membenci dan menjauhkan diri dari mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan bertentangan syarak.

  • Membela Nabi s.a.w dari serangan golongan munafik - "Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik dia akan mendapat balasan syurga atau menjadi temanku di syurga." (Hadis riwayat Muslim)







  • "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Maulid: Antara sejarah dan amalan

    Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi saw. Hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya.
    Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda saw. Bagi yang berpendapat baginda lahir pada bulan Rabi'ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya.
    Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya.
    Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri. Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin 'Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah.
    Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.
    Kelahiran Nabi saw adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud.
    Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah. Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi saw antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi saw yang tidak merayakan tarikh tersebut.
    Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi saw, namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.
    Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina 'Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi saw, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan.
    Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan.
    Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?
    Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya.
    Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi 'politik mencorakkan Islam'. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.
    Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri. Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi saw melainkan Kerajaan Syi'ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran.
    Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh khalifah mereka al-Musta'la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.
    Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi saw dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika bulan Rabi'ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi saw, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.
    Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi saw, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda: "Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak" (Riwayat Muslim). Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda sama ada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya.
    Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda saw Sabda baginda saw: "..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak". Mereka bertanya: "Apakah puak itu wahai RasululLah?" Jawab baginda: "Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya". (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).
    Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi saw kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad saw.
    Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka. Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi: "Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yang diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya" (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa'udiyyah).
    Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja'far bin Hasan bin 'Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku Al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut: "Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi saw) Asiah (isteri Fir'aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)". Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi saw yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut: "Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu'jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang.
    Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu'jizat-mu'jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-'Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).
    Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad saw Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?







    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Friday, August 14, 2009

    Anak Permata Kurniaan Illahi

    Dalam suatu hadis, ada diriwayatkan supaya mengahwini wanita-wanita yang subur supaya berupaya melahirkan zuriat yang baik-baik.

    Ini adalah sebagaimana hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

    “Kahwini-lah wanita-wanita yang penyayang dan subur kerana sesungguhnya pada hari kiamat kelak aku berbangga dengan umatku yang paling ramai bilangannya berbanding nabi-nabi yang lain.” (Hadis Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, jil. 3, m/s. 158 & 245)

    Dalam hal ini, antara hikmah yang dapat kita semua perhatikan adalah kelak anak-anak tersebut mampu membantu mendoakan kebaikan buat kita dan juga (dengan izin-Nya) membantu kita di masa-masa hadapan.

    Ini dapat dilihat dalam hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

    “Apabila seseorang manusia itu mati, terputuslah daripadanya segala amalan melainkan tiga perkara: 1 – Sedekah Jariah, 2 – Ilmu yang bermanfaat, dan 3 – Anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Wasiat, Hadis no. 14. Dan Abu Daud, Kitab Wasiat, no. 3880)

    Oleh itu, selain memiliki zuriat yang ramai, ayah dan ibu juga perlulah berusaha untuk mendidik dan menjaga anak-anak tersebut dengan usaha yang keras, tanggungjawab, dan didikan yang sebaik-baiknya.

    Dalam suatu hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya Allah subhanahu wa Ta’ala akan menanyakan kepada setiap pemimpin atas apa yang dipimpinnya (dikuasainya), adakah dia menjaga atau menyia-nyiakannya. Sehinggakan seseorang akan ditanyakan mengenai rumah tangganya.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dalam Sahihnya. Lihat: Sislsilah al-Ahaadis ash-Shahihah, no. 1626)

    Oleh itu, serba sedikit, tulisan ringkas ini ingin membawa untuk menyelami kehadiran anak-anak di dalam kehidupan adalah sebagai penyeri, tanggungjawab, kurniaan, dan mutiara berharga sebuah keluarga muslim.

    Cahaya Mata Penyeri Kehidupan

    Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

    “Dan orang-orang yang berkata (berdoa): “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa”. Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya…” (al-Furqon, 25: 74-75)

    Anak-anak yang dilahirkan adalah merupakan kurnia dari Allah dan merupakan suatu bentuk amanah bagi kedua ibu dan bapa untuk menjaganya dengan petunjuk yang digariskan. Kehadirannya menjadi penyeri sebuah kehidupan berkeluarga bagi mereka yang mengerti. Kegembiraan tersebut adalah merupakan sebuah fitrah kurniaan yang tidak terkira nilainya. Hal ini dikuatkan lagi apabila anak-anak adalah termasuk ke dalam salah satu bentuk perhiasan dan kesenangan dunia yang digambarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana dalam firman-Nya, (maksudnya):

    “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).” (Ali Imran, 3: 14)

    “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi sholeh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” (al-Kahfi, 18: 46)

    Doa Sebagai Sarana Dikurniakan Anak Yang Sholeh

    Doa adalah salah satu sarana yang agung yang dimiliki oleh orang-orang yang beriman sebagai suatu bentuk penghubung dirinya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Melalui doa, Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi peluang kepada kita untuk memohon sesuatu yang diperlukan dan diingini. Malalui doa jugalah Allah akan membantu kita dengan mengabulkan (memperkenankan) apa yang diingini oleh hati-hati kita. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

    “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (al-Baqarah, 2: 186)

    Melalui al-Qur’an sendiri, terdapat banyak kisah-kisah dan doa-doa yang boleh menjadi contoh kepada para keluarga, pasangan suami isteri, dan mereka yang berkaitan, tentang kehebatan doa agar dikurniakan cahaya mata serta meraih kurniaan anak yang sholeh.

    Sebagai contoh, di sini diutarakan dua kisah dan doa yang berkaitan;

    1 – Doa Nabi Ibrahim ‘alaihis salam,

    “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: "Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.” .... “Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.” (Ibrahim, 14: 35 & 39)

    “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafir pun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani siksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”. Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. “Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) diantara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”.” (al-Baqarah, 2: 126-128)

    2 – Doa Nabi Zakaria ‘alahis salam;

    “Di sanalah Zakariya berdoa kepada Tuhannya seraya berkata: “Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil Zakariya, ketika ia sedang berdiri melakukan sholat di mihrab (katanya): “Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran (seorang puteramu) Yahya, yang membenarkan kalimat (yang datang) dari Allah, menjadi ikutan, menahan diri (dari hawa nafsu) dan seorang Nabi termasuk keturunan orang-orang sholeh”.” (Ali Imran, 3: 38-39)

    Isteri Nabi Zakariya adalah seorang yang mandul dan dia sendiri adalah seorang yang sangat tua, namun dengan kuasa dan izin dari Allah, doanya telah diperkenankan. Menurut Sheikh Abdur Rahman as-Sa’di, “Kedua hal itu (tua dan mandul) merupakan penghalang, namun Allah berfirman (maksudnya) “Demikianlah, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya”. Bahawasanya sebagaimana telah berlaku hikmah-Nya dengan berjalannya segala sesuatu itu menurut sebab-sebabnya yang wajar, maka Allah juga berkuasa merubah hukum alam tersebut menurut kekuasaan dan apa yang dikehendaki-Nya.” (Tafsir as-Sa’di (Judul Asli: Taisir al-Karim al-Rahman fii Tafsir Kalam al-Mannan), jil. 1, m/s. 490)

    Tanggungjawab Melahirkan Anak

    Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

    “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapa-nya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya (meleraikan dari susuan) adalah tiga puluh bulan...” (al-Ahqaaf, 46: 15)

    Seorang ibu, memiliki tanggungjawab yang besar bagi menjaga dan sekaligus melahirkan anak yang dikandungnya dengan selamat walaupun dengan susah payah.

    Di dalam suatu hadis, disebutkan tentang kisah (dari hadis Imran bin Hushain) seorang wanita yang telah berzina sehinggalah dia hamil. Lalu dia merasa bersalah dan berjumpa dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam agar menjatuhkan hukuman kepadanya atas kesalahannya berzina. Tetapi Nabi berpesan kepada walinya supaya membawa dia pulang dan mengawasinya dengan baik sehinggalah dia telah melahirkan anaknya.

    “Bahawasanya ada seorang wanita dari Juhainah mendatangi Nabi shallallhu ‘alaihi wa sallam, yang pada ketika itu dia dalam keadaan hamil kerana hasil perbuatan zina. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah melakukan perbuatan yang mengharuskan hukum hadd. Kerana itu, laksanakanlah hukuman itu ke atas-ku”. Kemudian Nabi shallallahu ‘alahi wa sallam memanggil walinya lalu bersabda, “Perlakukanlah/jagalah dia dengan baik. Jika dia telah melahirkan, bawalah dia menghadapku”. Maka walinya pun melaksanakan apa yang diperintah oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam...” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Hudud, no. 4207)

    Daripada kisah ini dapat dilihat betapa besarnya peranan ibu untuk menjaga, dan melahirkan anak yang dikandungnya dengan keadaan yang selamat.

    Ibu Bapa Yang Sholeh Dan Kesannya

    Peribadi yang baik dan sholeh adalah merupakan tauladan yang terbaik buat anak-anak yang berada di bawah jagaan mereka. Ini terlaksana antaranya apabila kedua orang tua mempunyai disiplin dan keperibadian yang bertaqwa kepada Allah dengan mengikuti panduan yang ditunjukkan oleh-Nya di samping sentiasa bekerjasama di antara ibu dan bapa bagi melaksanakan tugas dalam mendidik dengan baik.

    Ini juga dapat dilihat melalui firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (yang maksudnya):

    “Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga ‘Imran melebihi segala umat (di masa mereka masing-masing), (sebagai) satu keturunan yang sebahagiannya (mewarisi) dari yang lain. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Ali Imran, 3: 34)

    Sheikh Abdur Rahman as-Sa’di berkomentar, “Dan Allah menyebutkan keluarga-keluarga besar tersebut dan apa yang di dalamnya berupa manusia-manusia yang agung yang memiliki sifat-sifat kesempurnaan, dan bahawasanya keutamaan dan kebaikan itu telah diwariskan secara turun temurun oleh anak-cucu mereka, yang mencakupi lelaki dan wanita. Ini adalah merupakan kurniaan yang paling utama dan tempat kemurahan dan kebaikan-Nya yang paling utama. (Tafsir as-Sa’di (Judul Asli: Taisir al-Karim al-Rahman fii Tafsir Kalam al-Mannan), jil. 1, m/s. 487)

    Kesan daripada Ibu bapa yang bertaqwa dan sholeh, para malaikat juga turut mendoakan buat mereka kebaikan dan memohonkan syurga buat anak-anak yang memiliki ibu bapa yang sholeh. Ini dapat dilihat dari firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut (maksudnya):

    “Ya Rabb kami, masukkanlah mereka ke dalam Syurga Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang sholeh di antara bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka serta keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Mukmin, 40: 8)

    Malah, suatu anugerah dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, seandainya anak-anak cucu yang tersebut lahir dan hidup dalam keadaan yang penuh taqwa dan keimanan, taat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka Allah juga turut menyatakan bahawa kelak nanti di Syurga, Allah akan mempertemukan mereka.

    Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya): “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Setiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (ath-Thuur, 52: 21)

    Anak-Anak Yang Sholeh Akan Mendoakan Ibu Bapanya

    Memiliki anak yang sholeh adalah merupakan sebahagian kurniaan yang sangat bermakna bermula dari dunia sehinggalah meninggal dunia. Ini terlaksana melalui keperibadiannya yang sentiasa merendah diri menjaga akhlak kepada ibu bapa atau orang tua, sekaligus mendoakan kebaikan buat kedua ibu dan bapanya tidak kira semasa hayatnya mahu pun setelah meninggal dunia. Ini dilihat dari firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang maksudnya,

    “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”. Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu; jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.” (al-Isra’, 17: 24-25)

    “Dan dia berdoa: “Ya Tuhanku berilah aku petunjuk untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapa-ku dan untuk mengerjakan amal sholeh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang sholeh.” (an-Naml, 27: 19)

    Juga melalui hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, kita dikhabarkan bahawa doa dan amalan anak-anak yang sholeh itu sentiasa memberi kesan yang baik kepada kedua orang tuanya walaupun orang tuanya telah meninggal dunia.

    “Apabila seseorang manusia itu mati, terputuslah daripadanya segala amalan melainkan tiga perkara: 1 – Sedekah Jariah, 2 – Ilmu yang bermanfaat, dan 3 – Anak sholeh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Wasiat, Hadis no. 14. Dan Abu Daud, Kitab Wasiat, no. 3880)






    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

    Hukum Mewarna Rambut Dan Uban

    Ulama telah bersepakat mengharuskan mencelup warna rambut dari warna hitam ke warna lain seperti merah dll, samada dengan inai dan apa jua pewarna yang dibenarkan syarak. (Rujuk Al-Fatawa al-Hindiyyah, jld 5,ms 359 ; Al-Istizkar, Ibn Abd Al-Barr , jld 27, ms 85 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syabini, jld 1, ms 191 ; Kassyaf al-Qina', Al-Bahuti, jld 1, ms 77)

    Mereka semua berdalilkan dengan hadith-hadith riwayat An-Nasaie, At-Tirmidzi, Ahmad, dan Muslim. Hampir kesemuanya mempunyai sanad hasan dan shohih dengan perawi yang thiqah. Demikian menurut Imam Al-Haithami dalam kitabnya Majma' az-Zawaid dan Imam As-Syawkani dalam Naylul Awtar.

    Bagaimanapun ia diikat dengan syarat berikut :-
    1- Pewarna tersebut bukannya jenis yang kekal, jika tidak ia dikira mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan.
    2- Menggunakan pewarna yang suci dan halal.
    3- Tidak mengakibatkan mudarat terhdp kesihatan individu. Seperti Kanser, kekeringan rambut dan merapuhkannya, atau allergi ataupun mudasrat terhdp janin dll akibat bahan kimia pewarna tadi.
    4- Memutihkan rambut iaiatu dengan mengikis warna hitamnya dengan tujuan utk menghasilkan warna baru rambut yang lebih cantik, adalah makruh. kerana ia menukar ciptaan asal Allah.

    HUKUM MENCELUP UBAN PUTIH KE HITAM

    Ulama telah berbeza pandangan dalam hal ini seperti berikut :-

    1. Makruh
    Ia adalah pandangan Mazhab Maliki, Abu Hanifah, sebahagian ulama Syafie seperti Imam Ghazali, Al-Baghawi.

    Tetapi kiranya ia dibuat untuk tujuan menakutkan musuh di dalam peperangan ia adalah HARUS.

    Dalil mereka :
    a) Sabda Nabi SAW : "Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam" (Shohih Muslim)
    b) Berkata Ibn Umar ra : "Kekuningan pewarna para mukmin, kemerahan pewarna para Muslimin, Hitam pewarna puak Kuffar" (Riwayat At-Tobrani, Al-Haithami)

    c) Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa yang mewarnakan rambutnya dengan warna hitam, nescaya Allah akan menghitamkan wajahnya di akhirat kelak" (Al-Haithami, bagaimanapun Ibn Hajar berkata seorg perawinya agak lemah, bagaimanapun rawi tersebut diterima oleh Imam Yahya Mai'en dan Imam Ahmad)

    d) Dalil aqal, ia dikira suatu penipuan.

    2. Haram

    Ia adalah pandangan Mahzab Syafie. Dikecualikan kiranya utk jihad. Mereka berdalil dengan dalil kumpulan pertama tadi.

    3.. Harus tanpa Makruh

    Ia adalah pandangan Imam Abu Yusof dan Ibn Sirin.

    Dalil mereka :
    a) Sabda Nabi SAW : "Sebaik-baik pewarna yang kamu gunakan adalah warna hitam ini, ia lebih digemari oleh isteri2 kamu, dan lebih dpt menakutkan musuh" (Riwayat Ibn Majah, bagaimanapun ia adalah hadith Dhoif)
    b) Diriwayatakan bhw sahabat dan tabi'ein ramai juga yang mewarnakan rambut mrk dengan warna hitam. Antara Sa'ad, ‘Uqbah bin ‘Amir, Az-Zuhri dan diakui oleh Hasan Al-Basri. (Lihat Fath al-Bari, Majma' az-Zawaid dan Tahzib al-Athar oleh At-Tabari)

    Suka disebutkan di sini setiap mazhab mempunyai dalil masing-masing yang tidak dpt disebutkan kesemuanya di sini, demi meringkaskan tulisan ini.

    Kesimpulan Hukum

    Akibat terdapat zahir hadith dan athar yang bertembung antara satu sama lain, maka fuqaha mengambil jalan membuat takwilan bagi menggabungkan hadith-hadith ini. Ia seperti berikut :

    a) Hadith larangan adalah menujukan kepada larangan penipuan umur yang tua akibat tua dan uban maka dihitamkan bagi kelihatan lebih muda. Tidak kira dari kalangn lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam.

    b) Adapun hadith yang mengharuskan adalah dalam keadaan dan sebab2 yang diiktiraf oleh syarak, seperti perang bagi menakutkan musuh, ataupun ia tidak mengandungi unsur penipuan, seperti merawat penyakit dan lain-lain.






    "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
    (Surah an-Nahl: ayat 125)

     
    Dear Diary Blogger Template