^ Scroll to Top

Friday, August 14, 2009

Masjid bukan pentas dedah aib, sebar fitnah

MASJID dan surau adalah pusat perhimpunan menyatupadukan umat Islam sama ada untuk beribadah mendekatkan diri kepada Allah SWT, pusat kecemerlangan keilmuan dan jalan terbaik mempererat hubungan silaturahim sesama umat Islam.

Inilah hakikat dibinanya masjid pertama Rasulullah SAW untuk membina kekuatan ketakwaan dan keimanan dalam jiwa sahabat bagi meninggikan syiar Islam. Selain itu, perlu diperbanyakkan aktiviti dan program pengimarahan supaya dapat menarik jemaah dan kelompok masyarakat.

Masjid atau surau yang diimarahkan akan membawa rahmat kepada umat Islam. Rasulullah SAW menerangkan kelebihan penduduk sesebuah kampung yang menghidupkan masjid dan suraunya dengan majlis ilmu serta aktiviti dakwah.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah (masjid atau surau) dari rumah Allah, sedang mereka membaca kitab Allah, serta mereka mempelajari kandungan isinya, melainkan mereka dilingkungi oleh malaikat (pembawa rahmat), dan turun kepada mereka semangat tenang tenteram, serta mereka diliputi oleh limpahan rahmat. Dan juga mereka dipuji oleh Allah dalam kalangan (malaikat) yang ada di sisi-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)

Masjid bukan medan mencari kekuatan pengaruh, melobi pihak tertentu dengan tujuan mendapatkan pangkat dan nama, masjid bukan medan mencerca, menghina atau mengharapkan sokongan satu kelompok manusia bagi menjatuhkan satu kelompok yang lain.

Masjid bukan medan mengaibkan maruah seseorang dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Masjid tidak wajar menjadi medan menyuburkan sifat munafik dalam diri individu mengaku dirinya Muslim dengan ‘bermanis mulut’ apabila bercakap di depan tetapi ‘tikam belakang’ terhadap Muslim lain.
Ciri kemunafikan bertambah jelas jika seseorang menggunakan kepetahan lidahnya berbicara dengan tujuan memburukkan orang lain dengan menambah setiap inci bait-bait percakapannya supaya masam, masin dan manis cukup dirasa..

Segala kesilapan diletak pada orang lain yang terhasil daripada perbuatan dirinya sendiri. Inilah realiti yang berlaku dan mainan percaturan manusia yang tiada hala tuju dalam perjuangan menegakkan Islam serta meletakkan kepentingan diri membaham semangat persaudaraan Islam.

Perkara ini hendaklah dielakkan daripada terus berlaku walaupun perbezaan pendapat sentiasa menghantui diri seseorang individu Muslim. Rasulullah SAW memberi peringatan kepada seluruh umatnya memelihara lidah mereka.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah yang terselamat orang Islam dari lidahnya dan tangannya, dan seorang mukmin (yang sempurna imannya) ialah yang dipercayai oleh orang ramai (sebagai Muslim) yang bersikap aman damai dan amanah) terhadap keselamatan nyawa dan harta benda mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Janganlah kamu berhasad dengki antara satu dengan yang lain, dan janganlah kamu benci membenci atau bermusuhan, dan janganlah kamu putuskan hubungan mesra dan pulau memulau sesama sendiri, dan janganlah kamu (sebagai pembeli) berpura-pura menawarkan harga yang tinggi dengan tujuan memperdaya orang lain membelinya dengan harga yang lebih tinggi, dan janganlah kamu (sebagai penjual) memotong jalan penjual lain; (janganlah kamu melakukan perkara yang keji itu) tetapi hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara; (Ingatlah!) Orang Islam adalah saudara orang Islam yang lain, janganlah seseorang Muslim menganiaya saudaranya itu, dan janganlah ia mengecewakannya semasa orang itu memerlukan pertolongan, dan janganlah ia memandang rendah kepada orang lain apatah lagi menghinanya; Sebenarnya takwa bertempat di sini (Baginda mengisyaratkan yang demikian dengan menunjukkan ke arah dadanya sebanyak tiga kali), kemudian Baginda menegaskan lagi, cukuplah (nyatanya) seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang jahil apabila ia memandang rendah atau menghinakan saudaranya yang sesama Islam; keseluruhan hak seseorang Muslim adalah haram atas seseorang Muslim yang lain (bertindak terhadapnya menurut cara yang tidak dibenarkan oleh syarak) iaitu darahnya (keselamatan nyawa dan tubuh badannya), harta bendanya dan kehormatannya.” (Hadis sahih riwayat Muslim).

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (di antara orang munafik juga ialah) orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.” (Surah at-Taubah, ayat 107)

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan bahawa antara sifat munafik ialah mencari jalan memecahbelahkan perpaduan orang beriman. Orang munafik sudah dihinggapi serta bersarang dalam hati mereka dengan penyakit syak dan hasad dengki.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” (Surah al-Baqarah, ayat 10)

Penyakit yang menghinggapi diri seperti hasad dengki, mengadu domba, menghina mencerna seseorang dan sebagainya wajar dijauhi setiap Muslim yang mengaku beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat. Penyakit itu adalah ciri-ciri munafik yang boleh memusnahkan persaudaraan dan perpaduan Islam yang diikat dengan akidah mengesakan Allah SWT.

Perpaduan atau persaudaraan Islam mampu melembutkan jiwa seorang mukmin daripada sikap ego dan individualistik, jalan utama ke arah melaksanakan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, simpulan ikatan kukuh sebagai perlindungan dan penghormatan terhadap hak individu Muslim supaya tidak diceroboh dan wadah ke arah meninggikan syiar Islam.

Hidup sebagai mukmin dibebani dengan tanggungjawab besar dalam memelihara kehormatan masjid sebagai tempat suci dan mulia yang diberi nama ‘Baitullah’ (rumah Allah SWT). Selain menjaga kebersihan dan kesuciannya, masjid perlu diimarahkan.

Mereka yang berjawatan dalam institusi masjid bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perjalanan pentadbirannya dan mereka akan diperhitung serta pasti disoal jawab di hadapan Allah SWT atas amanah itu.

Bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang jawatan bertanggungjawab ke atas apa yang sudah diaturkan pentadbir dengan bekerjasama mengimarahkan masjid. Itulah nilai sebenar seorang mukmin yang harga dirinya di tempat mulia apabila melangkah ke masjid mencari reda dan rahmat-Nya.

Daripada Abi Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat seseorang rajin pergi ke masjid (atau ke surau), maka hendaklah kamu menjadi saksi bahawa ia (benar-benar) beriman kerana Allah berfirman: Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Surat Dari Setan Untuk Mu

* (Surat ini akan membuat anda benar-benar berfikir)
**(Sebenarnya surat ini hampir membuat aku pening seketika, saat aku membacanya, tapi
aku harus titipkan kerana catatan kecil di bawahnya)

SURAT DARI SETAN UNTUK MU
Aku melihatmu kemarin, saat engkau memulai aktiviti harianmu.
Kau bangun tanpa sujud mengerjakan subuhmu
Bahkan kemudian, kau juga tidak mengucapkan "Bismillah" sebelum
memulai
santapanmu, juga tidak sempat mengerjakan shalat Isha sebelum berangkat
ketempat tidurmu
Kau benar2 orang yang bersyukur, Aku menyukainya
Aku tak dapat mengungkapkan betapa senangnya aku melihatmu tidak
merubah
cara hidupmu.
Hai Bodoh, Kamu millikku.
Ingat, kau dan aku sudah bertahun-tahun bersama,
dan aku masih belum bisa benar2 mencintaimu .
Malah aku masih membencimu, karena aku benci Allah.
Aku hanya menggunakanmu untuk membalas dendamku kepada Allah.
Dia sudah mencampakkan aku dari surga, dan aku akan tetap
memanfaatkanmu
sepanjang masa untuk mebalaskannya
Kau lihat, ALLAH MENYAYANGIMU dan dia masih memiliki rencana-rencana
untukmu
dihari depan.
Tapi kau sudah menyerahkan hidupmu padaku,
dan aku akan membuat kehidupanmu seperti neraka.
Sehingga kita bisa bersama dua kali dan ini akan menyakiti hati ALLAH
Aku benar-benar berterimakasih padamu, karena aku sudah menunjukkan
kepada
NYA siapa yang menjadi pengatur dalam hidupmu dalam masa2 yang kita
jalani
Kita nonton film 'porno' bersama, memaki orang, mencuri, berbohong,
munafik,
makan sekenyang-kenyangya, bergosip, manghakimi orang, menghujam orang
dari
belakang, tidak hormat pada orang tua ,
Tidak menghargai Masjid, berperilaku buruk.
TENTUNYA kau tak ingin meninggalkan ini begitu saja.
Ayuhlah, Hai Bodoh, kita terbakar bersama, selamanya.
Aku masih memiliki rencana2 hangat untuk kita.
Ini hanya merupakansurat penghargaanku untuk mu.
Aku ingin mengucapkan 'TERIMAKASIH' kerana sudah mengizinkanku
memanfaatkan hampir semua masa hidupmu.
Kamu memang sangat mudah dibodohi, aku menertawakanmu.
Saat kau tergoda berbuat dosa kamu menghadiahkan tawa.
Dosa sudah mulai mewarnai hidupmu.
Kamu sudah 20 tahun lebih tua, dan sekarang aku perlu darah muda.
Jadi, pergi dan lanjutkanlah mengajarkan orang-orang muda bagaimana
berbuat
dosa.
Yang perlu kau lakukan adalah merokok, mabuk-mabukan, berbohong,
berjudi,
bergosip, dan hiduplah se-egois mungkin.
Lakukan semua ini didepan anak-anak dan mereka akan menirunya.
Begitulah anak-anak .
Baiklah, aku persilakan kau bergerak sekarang.
Aku akan kembali beberapa detik lagi untuk menggoda mu lagi.
Jika kau cukup cerdas, kau akan lari sembunyi, dan bertaubat atas
dosa-dosamu.
Dan hidup untuk Allah dengan sisa umurmu yang tinggal sedikit.
Memperingati orang bukan tabiatku, tapi diusiamu sekarang dan tetap
melakukan dosa, sepertinya memang agak aneh.
Jangan salah sangka, aku masih tetap membencimu.
Hanya saja kau harus menjadi orng tolol yang lebih baik dimata ALLAH.
Catatan : Jika kau benar2 menyayangiku , kau tak akan memberi surat ini
dengan siapapun







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Nabi dibekalkan mukjizat

Ayat ke-49
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israel, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah, dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah, dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.
Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman".
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: "Tafsiran perkataan akmah dengan pelbagai maksud, antaranya: Yang dapat melihat pada waktu siang dan tidak pada waktu malam atau sebaliknya dan pendapat mengatakan buta adalah lebih kuat dari sudut mukjizat.
"Nabi Isa AS dibangkitkan pada zaman kedoktoran atau mereka yang mempunyai banyak maklumat berkenaan ilmu. Justeru, kelebihan merawat pelbagai jenis penyakit hatta menghidupkan yang telah mati sebagai tanda dan sokongan syariat yang dibawa".
ii. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini bermaksud Allah SWT telah mengutus baginda sebagai rasul kepada Bani Israel. Menurut satu riwayat, baginda menerima wahyu yang pertama ketika berumur 30 tahun. Baginda menjadi nabi selama tiga tahun, tidak lama kemudian baginda telah diangkat ke langit".
iii. Mohamad Quraish Shihab: "Tanda atau mukjizat sangat perlu bagi setiap nabi atau rasul kerana mereka diutus kepada kaum dengan membawa ajaran yang secara tegas mereka akui dari Allah SWT.
"Tidak semua masyarakat dapat mempercayai nabi dan rasul kerana itu perlu ada bukti untuk menyerlahkan kebenaran yang nyata.
"Seharusnya bukti tersebut hal yang luar biasa untuk meyakinkan kaum yang tidak mempercayai dan menolak ajaran yang dibawa oleh nabi dan rasul. Sesungguhnya mukjizat membuktikan kebenaran yang dibawa oleh nabi dan rasul".
iv. Hamka berkata: "Kepada Bani Israel tujuan beliau yang pertama dan utama sekali. Diterangkan juga seruan Nabi Isa a.s kepada Bani Israel dengan dibuktikan mukjizat yang ada padanya untuk membuktikan kekuasaan Allah SWT kepada kaumnya.
Nabi Isa menyeru pada kaumnya: "Satu tanda yang tidak akan dapat kamu mungkiri lagi bahawa aku ini memang utusan Allah SWT untuk kamu. Semua yang terjadi pada mukjizat itu hanya semata-mata keizinan dari Allah SWT, bukan daya upayaku sendiri. Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah SWT".
Ayat ke-50
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu, dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Dakwah Nabi Allah Isa atas dua perkara: Takwa kepada Allah dan manusia wajib mentaatinya dalam mengikut manhaj".
ii. Al-Maraghi berkata: "Aku (Isa a.s) datang kepada kamu dengan membawa tanda demi tanda, kebenaran daripada Tuhan kamu, yang membuktikan kebenaranku dan kebenaran kerasulanku.
"Sebagaimana yang telah aku sebutkan kepada kamu, antara lain, seperti membuat burung, menyembuhkan penyakit kusta dan cacar, menghidupkan orang mati dan mengkhabarkan hal-hal yang tersembunyi, dan lain-lain lagi".
iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Setelah menjelaskan mukjizat Nabi Isa, dijelaskan pula ajarannya iaitu beliau diutuskan kepada Bani Israel untuk membenarkan Taurat kitab suci yang diturunkan kepada Nabi Musa jauh sebelum kelahiran Isa".
iv. Hamka berkata: "Nabi Isa bukanlah didatangkan untuk mengubah hukum Taurat. Banyak perkara yang diharamkan kepada Bani Israel kerana kesalahan mereka sendiri, persoalan yang banyak maka kedatangan Nabi Isa adalah mencabut kembali beberapa larangan itu sehingga tidak menyempit".
Ayat ke-51
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Nya. Inilah jalan yang lurus.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Alusi berkata: "Ayat ini menerangkan supaya disuruh berkata sesungguhnya Allah SWT, Tuhanku dan Tuhan kamu semua".
ii. Al-Maraghi berkata: "Ini adalah perintah Allah SWT kepada mereka agar memiliki pegangan yang benar, iaitu kepercayaan tauhid.
Kemudian perintahkan agar tetap taat melalui jalan menunaikan perintah-perintah Allah SWT kepada mereka dan menjauhi larangan-Nya.
"Seiring dengan ayat ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah SWT. Kemudian tetapkanlah diri (di atas kebenaran)".
iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata shirath terambil dari kata yang bermakna menelan. Sesuatu yang menelan pastilah lebih lebar dari yang ditelan. Jalan yang dinamai shirath adalah jalan yang sangat luas dan dapat menampung semua yang berjalan di atasnya.
"Penyembahan kepada Tuhan yang Maha Esa serta tuntutan-tuntutan agama pada hakikatnya adalah jalan yang sangat luas dan mudah untuk diselusuri.
"Demikianlah agama, penuh dengan toleransi dan kemudahan sehingga para penganutnya tidak akan merasa berat dan terdesak oleh tuntutan-tuntutannya".
iv. Hamka berkata: "Demikianlah diceritakan tentang Maryam mengandung dan Nabi Isa a.s lahir kemudian diangkat Allah SWT menjadi utusan-Nya. Tidak ada Isa al-Masih menyeru manusia untuk menempuh jalan lain ataupun untuk menuhankan dirinya sendiri".
Ayat-ayat yang dibincangkan ini jelas menunjukkan betapa kuasanya Allah SWT dan peranan rasul untuk membawa ajaran Islam serta berdakwah kepada seluruh manusia.
Nabi Allah Isa a.s adalah seorang Nabi dan Rasul yang bertauhidkan Allah SWT. Baginda dikurniakan pelbagai keistimewaan sebagai mukjizat untuk membenarkan risalah yang dibawanya. Inilah sunnatul anbiya' al-Mursalin.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Sejarah pembesaran Masjidil Haram

SEWAKTU Nabi Ibrahim a.s. dengan bantuan puteranya, Ismail a.s. mendirikan Kaabah atas perintah Allah SWT, ia adalah sebuah bangunan yang didirikan di tengah-tengah kawasan terbuka. Kedudukannya ini mendefinisikan arah kiblat umat Islam.
Pada masa itu solat dan tawaf dilakukan di kawasan yang terbuka. Malah binaan bangunan ini tidak berubah-ubah sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW.
Had ruang terbuka ini ditentukan oleh kawasan kediaman dan bangunan-bangunan komersial yang semakin berkembang dari semasa ke semasa di sekelilingnya.
Malah pelaksanaan ibadat sa'ie telah dilakukan sepanjang lorong sempit yang selari dengan kedai-kedai dan rumah-rumah yang terletak di bahagian antara bukit Safa dan Marwah.
Kini ruang terbuka tersebut telah diubah menjadi laman dalam (courtyard) sebuah masjid agung iaitu Masjidil Haram, Mekah.
Keadaan Masjidil Haram pada masa Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar tidaklah seluas seperti sekarang.
Pada zaman Saidina Umar dan Uthman, masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya. Kerja-kerja pembaikan terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah.
Usaha untuk memperindahkan bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan Abasiyah. Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) daripada kerajaan Uthmaniah memerintah, baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap kecil.
Kaum Quraisy yang merupakan ketua puak Arab direkodkan adalah pihak yang bertanggungjawab melaksanakan pembesaran pertama sekeliling Kaabah iaitu pada 604. Diikuti sekurang-kurangnya 10 fasa pembesaran Masjidil Haram.
Yang pertama padan zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar ini telah menetapkan sempadan dan yang terakhir dilakukan semasa pemerintahan Al-Malik Fahd, kerajaan monarki Arab Saudi yang kelima.
Walau bagaimanapun, sehingga pembesaran pertama pada 1955 di bawah Raja Abdulaziz Al-Saud, masjid itu hanyalah sekadar ruang terbuka yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan beratap yang bersebelahan, sekali gus menandakan sempadan.
Khalifah ketiga, Othman bin Affan merancang semula terutamanya untuk ruang tawaf dengan merobohkan khemah-khemah yang kurang penting.
Pada 1988, sekali lagi Masjidil Haram melalui pembesaran secara besar-besaran pada masa pemerintahan Al-Malik Fahd. Selepas perluasan itu, keluasan Masjidil Haram menjadi 117,480 meter persegi iaitu 16,745 peratus lebih besar saiznya pada zaman Baginda Rasulullah SAW.
Penambahan kawasan lantai yang lebih teguh serta pertama kalinya diperkenalkan pengunaan penghawa dingin merupakan pembesaran kali kedua Masjidil Haram.
Pembesaran kali kedua ini juga melibatkan kawasan berbumbung yang terbuka untuk tujuan solat dan tawaf serta pelebaran perkarangan di pintu gerbang Bab Al-Malik dan Bab al-Salam.
Hamparan jernih batu marmar yang berkilat di laluan perkarangan pintu masuk turut memberi keselesaan kepada tetamu Allah terutamanya sewaktu mendirikan solat di sebelah malam.
Namun yang paling penting ialah penambahan penyediaan kemudahan tandas dan tempat berwuduk yang dibina di bahagian bawah tanah, telah berjaya menjadikan urusan jemaah haji lebih selesa dan dapat memberi tumpuan kepada penyerahan diri kepada Allah SWT.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Tercetusnya perang Uhud

PERANG Uhud adalah lanjutan daripada Perang Badar. Kaum Quraisy ingin menuntut bela di atas kekalahan yang mereka alami dalam Perang Badar. Mereka berasa aib dan malu atas kekalahan tersebut. Mereka ingin menebus kehormatan dan nama mereka dengan serangan pembalasan.
Setelah kaum Quraisy kalah teruk dalam Perang Badar, perasaan dendam semakin memuncak dalam hati sanubari mereka. Kekalahan tersebut telah menjatuhkan maruah dan harga diri mereka. Mereka berasa sangat malu dan hina. Pada masa yang sama, kaum Quraisy tidak henti-henti berusaha sedaya upaya untuk membalas dendam terhadap Nabi Muhammad SAW dan tentera-tenteranya.
Dalam Perang Badar, banyak harta benda kaum Quraisy dirampas oleh tentera Muslimin. Ini menambahkan lagi perasaan dendam dan marah mereka. Oleh itu, ketua-ketua kaum Quraisy telah mengadakan mesyuarat bagi memutuskan cara untuk memusnahkan tentera Muslimin.
Antara ketua-ketua kaum Quraisy yang terlibat dalam mesyuarat itu ialah Abu Sufyan bin Harb, Abdullah bin Rabi'ah, Ikrimah bin Abi Jahl, Syofwan bin Umaiyyah, Jubair bin Muta'in, Harith bin Hisyam, Huwith bin Abdul Uzza, Ubay bin Khalaf dan lain-lain.
Mereka mula mengumpul dana dan mengerah tenaga tentera yang ada. Antara sumber dana yang digunakan sebagai persediaan untuk menebus kembali kekalahan mereka ialah wang hasil perniagaan mereka.
Hasil keuntungan daripada penjualan barang-barang dagangan yang dibawa oleh kafilah Abu Sufyan dari Syam digunakan untuk menyediakan kelengkapan perang yang akan datang.
Dengan persetujuan Abu Sufyan, beliau menjual segala barangan dagangannya sebagai aset peperangan. Oleh kerana usaha ini, Allah SWT menurunkan firman-Nya dalam ayat di atas.
Selain itu, ketua-ketua Quraisy telah membangkitkan semangat orang-orang yang kehilangan ahli keluarga dan saudara mara dalam perang yang lalu supaya menuntut bela atas kematian mereka.
Desakan daripada pihak atasan ini telah menyuntik semangat orang Quraisy untuk membalas dendam. Akhirnya tercetuslah perang Uhud antara orang-orang Islam dan Musyrikin Quraisy.
Dalam tempoh setahun, pihak Quraisy telah berjaya melengkapkan kekuatan bala tenteranya. Kekuatan tentera Quraisy adalah seramai 3,000 orang. Bilangan wanita sebagai pembakar semangat seramai 15 orang. Tentera berkuda seramai 200 orang termasuk 3,000 ekor unta. Setelah berkumpul mereka terus mara menuju ke Madinah.







"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template