^ Scroll to Top

Thursday, August 13, 2009

Hargai Nyawa Diri

JANGAN terkejut jika tindakan membunuh diri adalah satu daripada penyumbang utama kematian di dunia. Pertubuhan Kesihatan Dunia menyatakan, seorang membunuh diri setiap 39 saat.

Malah, dianggarkan 10 hingga 20 juta cubaan bunuh diri yang tidak membawa maut berlaku setiap tahun di seluruh dunia.

Bunuh diri boleh difahami sebagai suatu tindakan mengambil nyawa sendiri. Ia merujuk kepada perbuatan memusnahkan diri sendiri kerana enggan berhadapan sesuatu perkara atau masalah yang dianggap tidak dapat ditangani.

Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor, seperti kegagalan menghadapi tekanan, malu kepada keluarga dan masyarakat, rasa bersalah, tidak dapat menahan kesakitan fizikal, tekanan emosi yang meluap-luap, kebimbangan dan masalah kewangan.

Menurut pakar psikiatri, kadar kejadian bunuh diri dalam kalangan mereka yang berusia antara 19 hingga 59 tahun terutama wanita adalah 1.5 kali lebih tinggi daripada lelaki.

Punca utama kejadian itu disebabkan tekanan perasaan, skizofrenia dan kemurungan diri yang melampau. Pada satu tahap pesakit berasakan tiada lagi jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi.

Tekanan itu boleh menyerang sesiapa saja dan keadaan menjadi bertambah rumit jika pesakit mengambil dadah atau alkohol yang boleh mendorong perkara tidak diingini.

Pengaruh lain seperti berasakan diri keseorangan, tiada sokongan sosial dan dibayangi rasa putus asa, bahkan ditambah dengan kegagalan mengawal desakan dalam diri turut mendorong mangsa membunuh diri.

Umat Islam tidak sepatutnya terikut-ikut dengan tindakan agresif dan negatif itu, mudah mengalah terhadap tekanan, putus asa dan terkulai dengan pemikiran jahat syaitan.

Bagi seorang Muslim yang berhadapan situasi terbabit, sewajarnya kembali kepada Allah dan mendapatkan pertolongan-Nya selain mendapatkan rawatan perubatan.

Pensyarah Kanan di Institut Islam Toronto, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, berkata Islam mengajar kita jangan berputus asa dengan belas kasihan Allah.

Menurutnya, tekanan adalah satu keadaan yang sangat serius dan jika tidak dirawat akan membawa maut.

"Seseorang juga wajar konsisten dalam merawat jiwa," katanya.

Bunuh diri adalah fenomena sejagat kerana kes terbabit berlaku dalam masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya, bahkan dalam kalangan orang Islam.

Di Barat banyak kes bunuh diri membabitkan penggunaan senjata api. Di United Kingdom, lebih 52 peratus bunuh diri pada 2005 dengan senjata api.

Negara maju seperti Jepun dilaporkan tergolong antara negara paling banyak kadar kes cubaan bunuh diri dengan purata lebih 30,000 rakyatnya membunuh diri setiap tahun.

Pada 2006, ada 32,115 kes, dengan 25 kes bagi setiap 100,000 penduduk iaitu hampir 100 orang sehari atau seorang setiap 15 minit. Waktu paling kerap menjadi pilihan mereka ialah jam 5 pagi bagi lelaki dan tengah hari dalam kalangan wanita.

Bagi Malaysia, berdasarkan maklumat umum diperoleh, tujuh kes berlaku setiap hari dan bagi setiap satu kes, 10 hingga 20 lain akan mendapat kesannya. Kebanyakan kes adalah akibat daripada kemurungan.

Islam menegaskan setiap jiwa, sama ada kanak-kanak atau dewasa mempunyai hak untuk hidup.

Justeru, tiada siapa yang berhak menghalang hak untuk hidup bahkan diri sendiri tidak berhak menentukan riwayat hidupnya sesuka hati kerana hidup dan mati urusan Allah.

"Sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan dan yang mematikan dan Kamilah yang kekal memiliki segala-galanya." (al-Hijr: 23)

Ulama menegaskan, setiap perkara yang berhubung kehidupan dan membawa keselamatan anggota badan dikira perkara wajib seperti memelihara kesihatan, merawat, mencegah dan mengawal penyakit daripada merebak.

Begitu juga setiap perkara yang boleh merosakkan tubuh badan, mengancam nyawa atau melemahkannya adalah haram hukumnya seperti mabuk, menggunakan benda yang mendatangkan bahaya dan mengkhayalkan seperti dadah, candu dan heroin.

"Belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (al-Baqarah: 195)

Bunuh diri walau dalam keadaan apa sekalipun, tetap dilarang keras dalam Islam. Setiap manusia wajar menghargai kehidupan yang diberikan dan menyuburkannya dengan sebaik-baiknya.

Menurut seorang ulama Arab Saudi, Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid, wanita yang berada dalam keadaan terdesak seperti hendak dirogol juga tidak dibenarkan mengambil jalan singkat dengan membunuh diri.

"Seseorang wanita tidak dibenarkan membunuh dirinya kerana takut dirogol. Seorang wanita Islam yang suci dikehendaki menangkis penyerang, tetapi dia tidak dibenarkan bertindak ekstrem membunuh dirinya.

"Jika dia membunuh dirinya, dia dikira melakukan perbuatan yang haram," katanya.

Rasulullah dilaporkan bersabda, maksudnya: "Sesiapa membunuh dirinya dengan benda tajam, benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka jahanam. Hal itu akan berlaku selama-lamanya.

"Sesiapa yang minum racun hingga mati, dia akan minumnya dalam neraka jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, dia akan menjatuhkan dirinya ke neraka jahanam selama-lamanya."






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Saudaraku Tercinta

Saudaraku tercinta! Sesungguhnya alam semesta ini, yang besar mahupun yang kecil, semuanya menghadap kepada Allah s.w.t., bertasbih kepada-Nya, mengagungkan dan bersujud kepada-Nya.. Allah s.w.t berfirman yang maksudnya,


"Dan tidak ada satu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya". (QS. Al-Isra: 44).


Sesungguhnya seluruh makhluk yang Allah ciptakan menundukkan kepalanya, merendahkan diri kepadaNya dan mengakui keutamaanNya. Akan tetapi, di alam semesta ini ada suatu makhluk kecil yang rendah lagi hina. Diciptakan dari setitis air yang hina (mani) tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata. Dia berada di suatu lembah manakala alam semesta berada di lembah yang lain. Ia enggan taat, tidak mahu tunduk dan enggan bertasbih kepada-Nya, meskipun segala sesuatu yang ada di sekelilingnya tekun berzikir dan bertasbih kepada Allah s.w..t. Makhluk kecil ini ialah manusia yang melakukan maksiat kepada Allah s.w..t. Alangkah dahsyatnya kesesatan ini! Alangkah besarnya kebodohan ini! Dan alangkah rendah dan hinanya kerana ia menjadi penyakit di alam yang sempurna ini.


Berapa banyak ia dipujuk supaya bertaubat namun ia enggan untuk bertaubat. Berapa kali ia diminta untuk kembali kepada Allah s.w.t., namun dia enggan untuk kembali, malah sebaliknya ia lari dariNya. Berapa banyak diajukan kepadanya perdamaian bersama kekasihnya namun dia enggan berdamai dan mengangkat kepalanya menyombongkan diri.


Saudaraku tercinta! Sebelum engkau bermaksiat kepada Allah s.w.t. berfikirlah sejenak tentang dunia ini dan kehinaannya. Berfikirlah tentang penghuni dan pencintanya. Dunia telah menyiksa mereka dengan siksa yang beraneka ragam. Memberi minum dengan minuman yang paling pahit. Membuat mereka sedikit tertawa dan banyak berlinangan air mata.


Sebelum engkau bermaksiat kepada Allah s.w.t berfikirlah tentang kehidupan dan kekalnya akhirat. Ia adalah kehidupan yang sebenarnya. Ia adalah tempat kembali.. Ia adalah penghujung perjalanan.


Sebelum engkau bermaksiat kepada Allah s.w.t. fikirkanlah sejenak tentang api neraka, bahan bakarnya, gemuruhnya, kedalaman jurangnya dan kedahsyatan panas apinya. Bayangkanlah betapa pedihnya siksa yang dirasakan penghuninya. Mereka di dalam air yang sangat panas dalam keadaan wajah yang tersungkur. Di dalam neraka mereka seperti kayu bakar yang menyala-nyala.



Sebelum engkau bermaksiat kepada Allah s.w.t., wajib bagimu untuk berfikir tentang syurga dan apa yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. kepada orang-orang yang mentaatiNya. Di dalam syurga terdapat sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, telinga belum pernah mendengarnya dan tidak pernah terlintas dalam hati dan benak manusia, berupa puncak kenikmatan dengan kelazatan yang paling tinggi dengan berbagai jenis makanan, minuman, pakaian, pemandangan, dan kesenangan-kesenangan yang tidak akan disia-siakan kecuali oleh orang-orang yang diharamkan untuk memasukinya.



Saudaraku tercinta! Sebelum engkau bermaksiat kepada Allah s.w.t. ingatlah berapa lama engkau akan hidup di dunia ini? Enam puluh tahun, lapan puluh tahun. Seratus tahun, seribu tahun? Kemudian apa setelah itu? Kemudian kematian pasti akan datang. Di manakah tempat tinggal mu? Syurga-syurga yang penuh dengan kenikmatan ataukah neraka jahim?


Saudaraku tercinta! Yakinlah dengan keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawasanya Malaikat Maut yang telah mengunjungi orang lain, sesungguhnya ia sedang menuju ke arahmu. Hanya dalam hitungan tahun, bulan, minggu, hari, bahkan hitungan minit dan saat ia akan menghampirimu. Lalu engkau hidup seorang diri di alam kubur. Tiada lagi harta, keluarga dan sahabat-sahabat tercinta. Ingatlah dan renungkanlah gelapnya kubur dan keseorangan kamu di dalamnya, sempit ruangannya, sengatan binatang-binatang berbisa, ketakutan yang mencekam dan kedahsyatan pukulan Malaikat Azab.


Saudaraku tercinta! Ingatlah hari Kiamat. Hari di mana kemuliaan hanya di tangan Allah s.w.t.. Ketika rasa takut mengisi hati. Ketika engkau berlepas diri dari anakmu, ibumu, ayahmu, isterimu, dan juga saudaramu. Ingatlah suasana kelam-kabut di saat itu. Ingatlah hari di mana neraca diletakkan dan lembaran-lembaran amal manusia beterbangan. Berapa banyak amal kebaikan di dalam bukumu? Berapa banyak ruang-ruang kosong dalam amal-amalmu? Ingatlah tatkala engkau berdiri di hadapan Al-Malikul Haqqul Mubin Zat Yang engkau lari dariNya. Zat Yang memanggilmu namun engkau berpaling dariNya. Engkau berdiri di hadapanNya dan di tanganmu lembaran catatan amal yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula yang besar, melainkan ia mencatat semuanya.


Maka lisan manakah yang engkau gunakan untuk menjawab pertanyaan Allah s.w.t. ketika Ia bertanya kepadamu tentang umurmu, masa mudamu, perbuatanmu, dan juga hartamu. Maka kaki manakah yang engkau gunakan untuk berdiri di hadapan Allah s.w.t. ? Dengan mata yang mana engkau memandangNya? Dan dengan lisan manakah engkau menjawab-Nya ketika Ia berkata kepadamu,


"Hamba-Ku, engkau menganggap remeh pengawasan-Ku padamu, Engkau anggap sebagai orang yang paling hina dari orang-orang yang memperhatikanmu. Bukankah Aku telah berbuat baik kepadamu? Bukankah Aku telah memberi nikmat kepadamu? Lalu mengapa engkau mendurhakaiKu padahal Aku telah memberi nikmat kepadamu."


Saudaraku tercinta! Tidak sanggupkah engkau bersabar mengerjakan ketaatan kepada Allah s.w.t. untuk beberapa hari yang pendek ini? Detik-detik ini begitu cepat, setelah itu engkau akan meraih kemenangan yang sangat besar dan engkau akan bersenang-linang di dalam kenikmatan yang abadi.


Saudaraku tercinta! Di sana terdapat segolongan manusia yang berkeyakinan bahawa mereka diciptakan dengan sia-sia dan dibiarkan begitu sahaja. Kehidupan mereka hanya diisi dengan senda gurau dan permainan belaka. Penglihatan mereka tertutup, telinga mereka tuli untuk mendengar petunjuk, hati mereka terbalik, mata mereka buta dan hati mereka tak berfungsi sama sekali. Engkau akan mendapati di majlis-majlis mereka segala sesuatu kecuali Al-Qur'an dan zikir kepada Allah s.w.t.


Mereka meninggalkan Allah s.w.t, padahal mereka adalah hamba-hamba-Nya yang berada di dalam genggaman-Nya. Allah s.w.t. memanggil mereka namun mereka tidak menyahut panggilan-Nya, mereka lebih mendahulukan panggilan syaitan, keinginan, dan hawa nafsu mereka. Ajaib sungguh keadaan mereka! Bagaimana mereka sanggup memenuhi ajakan syaitan dan meninggalkan seruan Allah s.w.t. . Ke manakah perginya akal mereka?!


Allah s,w,t telah berfirman, maksudnya,


"Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada."
(QS. Al-Hajj:46).


Apa salah Allah s.w.t. terhadap mereka sehingga mereka sanggup mendurhakai dan tidak mentaati-Nya?! Bukankah Allah s.w.t. telah menciptakan mereka? Bukankah Dia telah memberi rezeki kepada mereka? Bukankah Dia telah mencukupi harta mereka dan menyihatkan tubuh mereka? Apakah Allah s.w.t Yang Maha Lembut dan Maha Mulia telah menipu mereka?


Apakah mereka tidak takut jikalau kematian mendatangi mereka di saat sedang bermaksiat kepada Allah s.w.t.? Sebagaimana firman-Nya, maksudnya,


"Maka apakah mereka merasa aman dari azab Allah (yang tidak disangka-sangka)? Tiadalah yang merasa aman dari azab Allah kecuali orang-orang yang rugi."
(QS. Al-A'raf: 99).


Hindarilah dirimu untuk menjadi sebahagian dari mereka dan jauhkanlah dirimu dari mereka. Beramallah untuk sesuatu yang engkau diciptakan , iaitu, beribadah kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya, demi Allah, engkau diciptakan untuk sesuatu yang sangat agung. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud ,


"Tidaklah Aku (Allah) menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku".
(QS.Az-Zariyat:56).


Saudaraku tercinta! Wahai engkau yang sedang melakukan maksiat kepada Allah!! Kembalilah kepada Tuhanmu dan takutlah akan api neraka. Sesungguhnya di hadapanmu terbentang berbagai kesulitan. Sesungguhnya di hadapanmu terbentang dua pilihan, kehidupan penuh nikmat atau kehidupan penuh siksa. Sesungguhnya di hadapanmu terhampar kalajengking-kalajengking, ular-ular dan masalah-masalah yang sukar dan pelik. Demi Allah yang tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Dia, tawa tidak dapat memberi manafaat kepadamu. Nyanyian-nyanyian, filem-filem, dan perkara-perkara hina tidak dapat memberi manafaat kepadamu. Aneka surat khabar dan majalah tidak mampu memberi manfaat kepadamu. Isteri, anak-anak, teman dan sahabat tidak dapat memberi manfaaat kepadamu. Harta yang melimpah tidak akan memberi manafaat kepadamu. Tidak ada yang mampu memberi manafaat kepadamu kecuali kebaikan-kebaikan dan amal-amal soleh yang engkau kerjakan selama hidupmu di dunia.


Saudaraku tercinta! Demi Allah tidaklah aku menulis perkataan ini melainkan kerana kasihan aku kepadamu. Aku khuatir wajah putihmu ini berubah menjadi hitam pada hari Kiamat. Aku takut wajah bercahayamu ini akan berubah menjadi gelap. Aku gusar tubuh yang sihat itu akan diratah oleh api neraka. Maka bersegeralah, semoga Allah s.w.t. memberi taufik kepadamu, untuk membebaskan dirimu dari api neraka. Nyatakanlah ia sebagai taubat yang sebenarnya dari sekarang. Yakinlah bahawasanya selamanya engkau tidak akan menyesal melakukan itu. Bahkan sebaliknya, dengan izin Allah s.w.t., engkau akan merasakan kebahagiaan. Hindarilah keraguan atau menangguh-nangguhkannya






"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Rumah Itu SyurgaKu

Apa yang membezakan fizikal dengan suasana tempat kediaman?

APA yang kita inginkan dari sebuah rumah? Baik kita tinggal di rumah batu atau kayu, rumah teres atau banglo, kecil atau besar, di bandar atau jauh di pedalaman, kita tentunya inginkan rumah yang selesa, ada kedamaian dan ada `privacy'. Rumah yang di situ ada kebebasan dan kemerdekaan individu.

Lebih-lebih lagi bila sudah berkeluarga, kita inginkan rumah yang benar-benar dapat dikuasai suasana dan persekitarannya. Rumah yang memang kita rasakan milik kita sepenuhnya, walaupun hakikatnya ia pinjaman dari Allah.

Keinginan pada rumah yang demikian ada pada semua pasangan yang mendirikan rumah tangga. Keinginan ini memang satu fitrah yang Allah bekalkan secara semula jadi. Sama ada sebagai suami atau isteri, kita mahu mendiami sebuah rumah tempat berlindung yang di situ juga kita dapat membina kehidupan yang bahagia dan tenteram. Rumah itu jugalah tempat kita membenteng maruah diri dan keluarga.

Namun, bagaimana hendak mencapai apa yang kita inginkan itu? Bagaimana hendak memiliki rumah seperti yang kita mahukan itu dengan menggunakan sumber-sumber yang ada? Bukan saja fizikal rumah itu sendiri (house) tapi juga aspek dalaman rumah itu (home) - sejauh mana ia mempunyai suasana dan pengisian aktiviti yang menjadikan rumah benar-benar berfungsi dalam kehidupan kita, khususnya dalam hidup berkeluarga. When a house is really a home, menurut ungkapan Inggerisnya, iaitu apabila rumah benar-benar memberi suasana tempat kediaman.

Berdasarkan pengalaman dan realiti yang kita lihat, ada rumah yang terasa harmoni, damai dan tenang bila dimasuki walaupun rupa bentuknya biasa-biasa saja. Malah rumah itu mungkin kecil saja dengan perabot yang sangat sederhana.

Terasa di situ ada suasana tempat kediaman yang mendamaikan. Tetapi ada juga rumah yang terasa tidak berapa menyenangkan bila kita berada di dalamnya walaupun ia mungkin luas dan lapang, dihiasi pula dengan perabot yang cantik-cantik.

Rumah besar dengan perabot serba cukup nampaknya belum memadai untuk melahirkan suasana yang membahagiakan. Rumah yang dihias indah dengan halaman yang lapang juga belum menjamin wujudnya kedamaian dan ketenangan. Belum dapat menjanjikan `privacy' yang diinginkan.

Rumah yang dilengkapi alat kawalan keselamatan serba canggih juga belum tentu dapat menjadikan penghuninya merasai suasana merdeka, selamat dan tenteram.

Dengan kata lain, faktor fizikal semata-mata tidak mampu mencorak suasana rumah sebagai tempat kediaman. Dinding, atap, tiang, lantai dan segala yang mengisi serta menghiasi rumah adalah benda-benda mati yang perlu `dihidupkan' supaya ada fungsi dan peranannya.

Tidak dinafikan, rupa bentuk, warna dan hiasan rumah dapat juga mempengaruhi suasana rumah. Tetapi yang lebih kuat mempengaruhi jiwa dan perasaan adalah suasana interaksi di dalam rumah itu dan aktiviti sehari-hari yang dibuat di rumah.

Fizikal rumah yang nampak harmoni jika dipadankan dengan suasana hidup keluarga yang harmoni dan berkasih sayang tentulah akan menyerlahkan suasana membahagiakan.

Berbanding jika rupa bentuk, warna dan susun atur perabot rumah saja yang kelihatan harmoni tetapi suasana pergaulan, interaksi dan aktiviti di dalamnya tidak harmoni. Tidak ada saling berkasih sayang, saling memberi, bertolak-ansur, saling memaafkan dan lain-lain nilai harmoni.

Sumber keharmonian sebenar di dalam sebuah rumah adalah bilamana semua penghuninya dirahmati dan diberkati Allah. Namun, rahmat Allah tidak akan turun jika rumah dipenuhi suasana pergaulan dan aktiviti yang Allah tidak redhai. Lebih-lebih lagi jika kehidupan penghuni- penghuninya bergelumang dengan dosa dan tidak ada ketaatan kepada Allah.

Oleh itu, mencorak rumah dengan suasana yang diingini perlu diiringi dengan mengharap pada rahmat dan keberkatan dari Allah. Jika ada limpahan rahmat dan keberkatan ini, rumah akan terasa lapang dan luas biarpun mungkin keadaannya kecil dan sempit saja. Apalagi kalau memang luas dan selesa.

Mari kita renungi sabda Rasulullah s. a. w. ini:

"Rumah yang di dalamnya dihiasi alunan bacaan al-Quran akan memancarkan cahaya hingga terlihat oleh para penghuni langit, sebagaimana bintang- bintang memancarkan cahaya terlihat oleh para penghuni bumi."
(Riwayat Baihaqi)

Berdasarkan hadis ini, rumah yang sempit sekalipun akan terasa lapang dan terang-benderang kerana adanya cahaya dari bacaan al-Quran. Betapalah kalau sesebuah rumah itu sentiasa dihiasi dengan zikir, puji-pujian kepada Allah, taubat, sedekah, menjalin silaturrahim serta pelbagai amalan baik oleh para penghuninya. Diperindah pula dengan sifat saling menyayangi, saling pemaaf, penyantun, penyabar, pemurah, berlapang dada dan lain-lain sifat mulia.

Tentulah Allah akan menurunkan rahmat-Nya yang melimpah-ruah hingga rumah benar-benar menjadi `syurga' dalam kehidupan sementara di dunia! Insya-Allah.











"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."

(Surah an-Nahl: ayat 125)

Wednesday, July 1, 2009

Wanita & Rumput Semalu

Ada hadith meriwayatkan bahawa pada suatu hari, Rasulullah s. a. w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r. a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.

Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah s.a.w dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah s.a.w menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil. Insya-Allah.








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

Pemilikan kekayaan ujian pemegang amanah

SECARA amnya, kekayaan boleh didefinisikan sebagai nilai bersih, iaitu nilai aset bersih ditolak liabiliti pada satu-satu masa. Semua aset ini boleh dikategorikan dalam pelbagai bentuk mengikut beberapa tatanama seperti kewangan dan bukan kewangan, ketara dan tidak ketara, serta yang boleh dipasarkan dan yang tidak boleh dipasarkan.

Islam menganggap kekayaan sebagai pemberian atau rezeki tanpa batas daripada Allah yang amat pemurah. Sesungguhnya, Allah adalah pemilik sebenar dan mutlak segala pemberian, dan memberikan keberkatan terhadap sesiapa yang mendapatkan kekayaan itu melalui cara yang halal dan membelanjakannya mengikut ajaran Islam.

Dalam kata lain, kaedah mendapatkan, mengumpul, mengedar dan mengagih kekayaan mesti mematuhi peraturan dan prinsip syariah. Islam menghormati hak individu terhadap pemilikan, sementara pada masa yang sama, menggesa sesiapa yang memiliki kekayaan supaya memenuhi tanggungjawab sosial mereka.

Sesungguhnya, pemilikan kekayaan adalah satu bentuk ujian daripada Allah terhadap hamba-Nya yang diberikan tugas sebagai pemegang amanah yang mesti mencuba sebaik mungkin mengelakkan diri daripada sebarang penyalahgunaan seperti digambarkan oleh Imam Al-Ghazali, iaitu “Kekayaan seumpama seekor ular yang membawa bersamanya bisa dan penawar; bahaya dan manfaat”.

Kurniaan rezeki kekayaan tidak sepatutnya dianggap hanya sebagai penghormatan, tetapi juga sebagai tugas atau tanggungjawab untuk dibelanjakan atau dilaburkan dengan bijaksana, sementara menyorok harta, mensia-siakannya dan membazirkan harta tersebut wajib dihindari sama sekali.

Islam tidak menghalang pengumpulan harta persendirian, tetapi mengutuk pengumpulan harta di dalam tangan segelintir pihak tertentu yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. Harta sepatutnya dimiliki melalui usaha yang produktif oleh individu dan bukannya atas usaha orang lain.
Namun, di dalam Islam, kejayaan sebenar yang kita perlu capai adalah memperoleh tahap ubudiyyah yang abadi atau kepatuhan terhadap Allah dan bukannya pengumpulan harta.

Al-Dailami meriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda, “Seorang Islam harus mempersiapkan diri untuk kehidupan akhirat seolah-olah dia akan mati pada keesokan harinya, tetapi pada masa yang sama, dia harus bekerja kuat untuk meningkatkan kesejahteraan hidup di dunia, seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya”.

Menyorok kekayaan adalah dilarang sama sekali dalam Islam kerana ia menyekat peredaran kekayaan dalam kalangan masyarakat. Kekayaan yang terhasil daripada usaha yang halal hendaklah beredar dalam kalangan orang ramai (bukan segelintir) kerana kekayaan yang dibelanjakan dengan baik akan menjana kekayaan baru dan memastikan ramai orang lain mempunyai punca pendapatan. Mekanisme peredaran dan pengagihan kekayaan dalam Islam adalah bertujuan menjaga hak orang ramai dalam masyarakat terutama yang lemah dan mudah terjejas.

Memandangkan Islam tidak menentang usaha mengejar keuntungan kebendaan atau pengumpulan harta yang sah, menjadi multi jutawan atau ribu jutawan bukan perbuatan keji. Malah, kita harus berbangga melihat kemunculan umat Islam yang menjadi orang kaya baru, yang kemudian boleh kita harapkan akan menunaikan tanggungjawab mereka membantu umat Islam yang kurang bernasib baik.
Walau bagaimanapun, daripada empat puluh lelaki dan wanita terkaya di negara ini pada 2008, seperti diterbitkan majalah Forbes Asia terbitan 2 Jun 2008, hanya lapan orang Islam yang tersenarai dalam barisan ‘Senarai Orang Kaya’ di Malaysia.

Dalam senarai ini, hanya seorang saja individu Islam yang termasuk dalam senarai 10 teratas yang layak masuk ke kelab ribu jutawan yang dinilai dalam dolar Amerika Syarikat. Jika digabungkan kekayaan semua lapan individu Islam itu, mereka hanya menyumbang 7.9 peratus daripada kekayaan keseluruhan hartawan Malaysia dianggarkan berjumlah AS$46.133 bilion.

Untuk mendapatkan gambaran sepenuhnya pemilikan kekayaan dalam kalangan umat Islam di negara ini, sebarang analisis hendaklah berdasarkan pendekatan dan mengambil kira perspektif semua kelas aset utama dimiliki umat Islam, sama ada dari segi kewangan atau bukan kewangan. Malangnya, cabaran terbesar yang kami hadapi bagi menyediakan kertas kerja ini ialah ketiadaan data sebenar yang relevan atau barangkali, ketidakwujudan mereka dalam domain awam. Berlatarbelakangkan perkara ini dan berdasarkan pengetahuan saya, perkembangan pemilikan kekayaan umat Islam di negara ini boleh dijelaskan dengan membuat rujukan munasabah menerusi hanya dua set penunjuk, iaitu ekuiti dan harta tanah bukan kediaman.

Memandangkan kedua-dua kategori data ini dipecahkan dari segi pemilikan Bumiputera dan bukan Bumiputera, saya terpaksa membuat andaian umum secara purata, pemilikan umat Islam mencakupi 90 peratus daripada keseluruhan pemilikan Bumiputera. Dengan demikian, pemilikan ekuiti dalam kalangan umat Islam di negara sebagai peratusan kepada pemilikan ekuiti negara melonjak kepada 17.4 peratus pada 2006 berbanding hanya 2.1 peratus pada 1970.

Begitu juga, pemilikan harta tanah bukan kediaman oleh umat Islam di Malaysia sebagai peratusan kepada jumlah keseluruhan meningkat hampir sekali ganda kepada 13.5 peratus pada tahun 2007 daripada hanya 7.4 peratus pada tahun 2002. Lebih daripada 60 peratus bangunan dimiliki umat Islam adalah bangunan setingkat dan dua tingkat.

Ketiadaan data mengenai pemilikan harta lain seperti bon, unit amanah atau dana bersama, skim insurans, rumah dan tanah yang dipegang oleh umat Islam Malaysia akan memberikan gambaran tidak lengkap mengenai pemilikan kekayaan mereka.

Sememangnya, dengan ketiadaan data sebegini, agak sukar bagi kita membuktikan secara tepat sumbangan sistem kewangan khususnya industri perkhidmatan kewangan Islam (IFSI) terhadap proses pembentukan, pengumpulan, pemeliharaan, peredaran dan pengagihan kekayaan oleh umat Islam di negara ini.

Kemuliaan Islam sebagai agama yang sempurna dapat dibuktikan dengan wujudnya aplikasi Islam yang meluas dalam semua aspek kehidupan manusia yang saling berkait rapat dan saling bergantung, termasuk dalam bidang ekonomi.

Secara umum, umat Islam boleh menjalankan sebarang aktiviti ekonomi dan amalan komersial kecuali perkara diharamkan, iaitu perkara yang boleh membawa keburukan dari segi moral dan kebendaan kepada diri mereka atau masyarakat secara keseluruhan, antara lain termasuk peminjaman yang dikenakan riba, perjudian, alkohol, bahan berdasarkan khinzir, bahan yang mengkhayalkan seperti dadah, bahan lucah, amalan sorok untuk meningkatkan harga dan memanipulasi harga.

Pada dasarnya, sebagai satu jalan tengah antara kapitalisme dan sosialisme, prinsip umum dan peraturan yang wujud dalam ekonomi Islam berusaha untuk mencapai imbangan yang adil antara usaha swasta (individualisme) dengan keutamaan sosial (kolektivisme) atau antara kecekapan ekonomi dengan keadilan sosial tanpa menghalang usaha individu.

Perbezaan ciri ekonomi Islam yang lain ialah kepentingan normatif dan insentif kerohanian dalam tindak-tanduk ekonomi sebagai satu daripada motif di sebalik sebarang aktiviti ekonomi. Ekonomi Islam juga mengiktiraf perbezaan dari segi keupayaan individu yang boleh bertindak sebagai penghalang semula jadi kepada mereka untuk mendapatkan akses terhadap pembentukan kekayaan dalam masyarakat. Melaksanakan ajaran sistem ekonomi Islam yang sebenar sepatutnya memberikan sumbangan yang bermakna ke arah pengukuhan pemilikan kekayaan dalam kalangan umat Islam.

Sistem ekonomi Islam adalah unik jika ditinjau dari aspek sifatnya yang memiliki mekanisme pengagihan atau peruntukan dan jaringan keselamatan sosial yang membabitkan pemindahan pendapatan dan kekayaan daripada penduduk yang secara relatifnya kaya kepada penduduk miskin dan yang memerlukan di samping faraid atau undang-undang pewarisan yang memastikan kekayaan tersebar dalam kalangan waris yang layak atau waris dekat dari generasi ke generasi bagi mengelakkan pemilikan tertumpu pada seseorang individu.








"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

 
Dear Diary Blogger Template